Saturday, 31 December 2011

Selamat Tinggal 2011

Terlalu banyak cerita di tahun 2011. Ada suka dan dukanya. Ada berjaya dan gagalnya. Semuanya mematangkan diri supaya lebih maju di masa hadapan.

Tahun 2011 juga merupakan tahun yang mencabar. Alhamdulillah aku dapat harungi dengan tabah. Sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt. aku bersyukur kerana Allah masih membimbing aku. Segala kesilapan yang aku lakukan Allah terus tunjuk jalan yang sebenarnya. Allah masih sayangkan aku.

Selamat tinggal tahun 2011. Tahun yang pernah aku hidup di dalamnya. Yang menjadi sebahagian sejarah hidup ini. Segala apa yang berlaku bolehlah dijadikan iktibar, tauladan yang berguna. InsyaAllah... kita akan jadi lebih baik. Cahaya yang benderang akan menerangi jalan kita setelah mendung berlalu. Ayuh kita kejar cita-cita yang masih tertinggal.

Ya Allah... aku memohon agar masa yang Engkau berikan ini menjadi nikmat yang akan aku gunakan sebaik mungkin dan jauhkanlah aku dari kelalaian diri ini supaya dapat aku syukuri nikmat masa yang Engkau berikan ini...

Tuesday, 20 December 2011

KARNIVAL HIJRAH 2011, PADA 22, 23 & 24 DISEMBER 2011

Karnival Hijrah 2011 anjuran bersama Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dan TV AlHijrah buat pertama kalinya akan menemui rakyat Pantai Timur khususnya rakyat negeri Terengganu Darul Iman dan negeri-negeri berdekatan pada 22 – 24 Disember 2011 nanti.

Karnival Hijrah yang akan diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu selama tiga hari ini akan dilancarkan pada hari Khamis 22 Disember 2011 jam 3 petang.

Dengan tema “HIJRAH 1 TRANSFORMASI”, Karnival yang menggabungkan 44 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri Terengganu ini menjangkakan satu fenomena baru di dalam penglibatan agensi-agensi Kerajaan Malaysia untuk membawa kepada rakyat pelbagai inovasi dan kemajuan yang telah diperkenalkan oleh agensi masing-masing.

Tema HIJRAH 1 TRANSFORMASI bersesuaian dengan hasrat Kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai kecemerlangan melalui perubahan yang menyeluruh dalam pentadbiran Islam yang akan memberi kebaikan kepada rakyat serta membawa negara ini mencapai kemajuan khususnya dalam bidang keislaman di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom,
“Karnival Hijrah 2011 ini bertujuan untuk memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia memahami dan mendapat pendedahan mengenai pencapaian pembangunan Islam di Malaysia dan peranan yang telah dan sedang giat dimainkan oleh Kerajaan serta semua pihak termasuk Kerajaan Negeri.

“Antara empat belas Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akanterlibat secara menyeluruh bagi menjayakan Karnival Hijrah ini ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Tabung Haji Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Waqaf Malaysia, International Zakat Organization (IZO), Yayasan Taqwa dan TV AlHijrah sebagai penganjur bersama.
Selain daripada agensi-agensi tersenarai, Karnival yang bersifat terbuka dan secara langsung ini turut melibatkan penyertaan badan-badan penyiaran seperti TV Alhijrah dan IKIM FM bersama Salam FM dan Manis FM.

FAMA juga akan turut serta dengan mini MAHA dengan membawa hasil-hasil pertanian seperti buah-buahan tempatan dan produk-produk makanan yang dihasilkan dari tanaman tempatan.

Menyentuh lebih lanjut tentang aktiviti yang bakal disediakan kepada tetamu-tetamu yang hadir, Dato’ Seri Jamil Khir mengulas,“ Pelbagai aktiviti termasuk pameran yang akan berjalan di sana nanti. Antaranya ialah PAMERAN DETIK-DETIK KEGEMILANGAN ISLAM yang julung kalinya akan membawa beberapa artifak dan replika kegemilangan Islam seperti Lampu Masjid Mamluk, Astrolab, Sfera Bintang, dan Papan Lapis yang tertera perkataan “Bismillahirrahmanirrahim”.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula akan mempamerkan kepada pengunjung Alatan Penentu Tarikh Lahir Islam manakala JAKIM pula akan menganjurkan KLINIK AL-QURAN dan juga pameran tentang HALAL HUB.” kata beliau.

Pengunjung ke Karnival Hijrah juga akan dapat melihat sendiri alat menguji emas dikhemah pameran YAPEIM dan Tabung Haji pula akan menyediakan perkhidmatan dan urusan haji yang menjadi tanggungjawab utama agensi tersebut.

Sebagai tambahan, TV AlHijrah yang bertindak sebagai penganjur bersama Karnival Hijrah ini diamanahkan untuk membawa siaran secara langsung dari Dataran Shahbandar Kuala Terengganu program seperti bual bicara ASSALAMUALAIKUM dan KONSERT ULANG TAHUN TV ALHIJRAH yang membariskan artis terkemuka seperti Yasin, Nora, Opick, Rabbani, Aishah, Badri dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, rakaman program 30 MINIT BERSAMA USTAZ DON, TERENGGANU BERSELAWAT dan DIALOG HARMONI akan turut diadakan.

Sesi perkenalan dengan penyampai-penyampai TV AlHijrah seperti Amin Idris, Ustaz Don Danial, Irma Hasmie dan Munif Isa juga akan diadakan.

Karnival yang menganggarkan kunjungan seramai 200,000 pengunjung ini turut tidak ketinggalan menyiarkan program Forum Perdana bertajuk “Hijrah Satu Transformasi ”serta program Adik-Adikku terbitan RTM.

IKIM FM, Manis FM serta Salam FM akan turut memeriahkan Karnival besar-besaran ini dengan menyiarkan siaran lintas langsung melalui frekuensi radio masing-masing.

Dengan adanya karnival ini juga kesempatan terbaik untuk rakyat negeri Terengganu datang beramai-ramai bersama keluarga sempena musim cuti sekolah untuk berada di khemah pameran agensi-agensi yang menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti sesuai untuk seisi keluarga.

Sumber: www.manis.fm

Friday, 2 December 2011

Jelajah ke Bandung




Jalan-jalan cari buku...

Published with Blogger-droid v2.0.1

Monday, 21 November 2011

Tiba Masanya...

Seminggu dua ini kami giat melayari laman web mudah.my untuk meneliti kediaman yang mahu dijual. Sememangnya sesuai dengan namanya 'mudah.my' ternyata amat mudah sekali untuk menyemak iklan terbaru untuk pelbagai barangan. Ada beberapa kriteria yang kami senaraikan termasuklah jenis rumah, keluasan, area dan tentunya harga yang menjadi ukuran utama untuk dilanjutkan kepada pertanyaan terus melalui telefon. Tentunya yang berdekatan dengan ibu kota harganya melambung. Manakala yang murah pula sangat daif keadaannya, sempit dan jauh dengan ibu kota tempat kami bekerja. Tidak hairanlah kalau ramai yang membelinya di Rawang, Semenyeh atau Batang kali...

Setakat ini kami sudah menelefon beberapa pemilik namun hasilnya sangat tidak memuaskan kerana kediaman yang diinginkan itu harganya terlalu mahal di samping beberapa orang pemilik yang lain sudah menjual kediaman yang diiklankan itu kepada orang lain. Katanya "first come first serve".

Alternatif kepada itu, kami telah berusaha untuk mendapatkan khidmat personal yang boleh membangunkan rumah. Namun setakat ini kami belum dapat berhubung dengan beliau. InsyaAllah, akan kami hubungi nanti.

Selain bersilaturrahim ke rumah seorang ustaz yang berasal dan juga datang dari daerah yang sama dengan kami, kami bertanyakan nasihat dan juga tip-tip berguna dalam usaha untuk memiliki kediaman.


Kalau dapat rumah macam ni kan best...

Ternyata, usaha untuk memiliki kediaman tidak mudah. Malah perlu difikir secara mendalam untuk mengelakkan penyesalan di hari kemudian. Selain berusaha bersungguh-sungguh, kami sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan kediaman yang sesuai. Bukan rumah serba mewah yang kami inginkan, hanya tempat berteduh anak-anak yang sesuai dengan zaman mereka. Setakat kami berdua sahaja kami tidak kesah tinggal di manapun, asal boleh melelapkan mata untuk berehat seketika dari kepenatan bekerja seharian, itu sudah memadai.

"Ya Allah, tidak ada yang mudah melainkan engkau menjadikannya mudah..."

Blog berkaitan property:

Cara Membeli Rumah Dari Pemaju - macam best je tajuk ni... perlu baca bagi mereka yang ada keinginan untuk membeli property.

Friday, 18 November 2011

Perutusan Hari Lahir

Assalamulaikum kepada semua...

Alhamdulillah aku masih diberi nikmat umur hingga ke hari ini 18 November 2011. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana aku masih hidup dan berada bersama isteri dan anak-anak tercinta, keluarga, sanak saudara, sahabat-sahabat, teman taulan dan anda semua. Anda semua telah memberikan haruman bahagia dalam jiwaku dan menjadikan aku sebahagian hidup kamu. Syukur alhamdulillah...

Pada hari ini 31 tahun yang lalu aku dilahirkan ke dunia. Dari saat itu aku menjadi penghuni tanah yang mulanya dijejaki Nabi Adam (as) ketika dikeluarkan dari syurga. Aku mewarisi status hamba dengan menunduk kepala pada ketentuan Yang Maha Esa. Aku hanya selama ini menelusuri denai-denai becak yang beralun ke sana dan ke mari mencari erti diri sehingga aku terdampar di sebuah kota besar. Dalam perjalanan itu telah aku mengutip bingkisan pengalaman yang berharga buat bekalan untuk hari mendatang. Antara mengerti dan memahami hasrat diri aku masih menghela nafas shahdu dalam bisikan zikir tidak henti memandang ke arah dunia selebar ini bagai tiada apa lagi yang dicari. Namun langkah longlai ini terus dan masih dihayunkan demi kesinambungan dewasa yang beralasan hidup pada ketaatan yang sejati.

Kotak minda terbuka memikirkan keagungan yang terjelas dalam kesamaran alam menuntut segera ditutupkan pada hanya yang jelas. Kesamaran itu kadang kala mengganggu kedewasaan yang andainya diturutkan pasti kecelaruan pintasan alam ini akan dirasai oleh semua. Aku menjadi terbius seketika. Mujur aku masih ditarik oleh tunjukan yang diutarakan pada sinar yang berkilau. Aku mengikutinya dan aku masih mengikutinya. Agar yang lepas dilupakan keras yang mengguris hatinya. Seandainya aku masih alpa pasti terjerat dengan kebekuan yang berpanjangan.

Aku berterima kasih kepadaMu wahai Tuhan. Aku terima kasih padaMu wahai Tuhan. Aku berterima kasih padaMu wahai Tuhan kerana aku masih berada di sini berpeluang melihat sinaran matahari yang menunjukkan aku jalanku untuk keluar mencari rezeki, berjuang dalam keredhaanMu.

Terima kasih kepada kalian, anda mengisi hatiku dan aku mengisi hati anda. Terpaku aku sebenarnya melihat keindahan ciptaan Tuhan dalam diri kalian. Betapa agungnya Tuhan meletakkan tanda-tanda kebesaranNya pada anda semua yang pastinya aku hargai, hormati dan dengan setulus jiwa aku cintai...

Dalam genggamanku... anak-anakku... ingin aku membesarkan kalian semua dengan sepenuh kasih sayang tanpa batasan. Aku ingin sekali menjadi seperti Nabi Muhammad (saw) mendukung anak kecil, menciumnya dengan penuh kasih sayang. Engkaulah permata hatiku... akan kutatang dengan cinta dan kasih sayang.

Semoga kita semua beroleh bahagia di sini dan di sana nanti. Oleh itu sama-sama kita berdoa dan beramal dengan tulus ikhlas untuk Allah (swt) agar diberi kenikmatan berpanjangan serta bimbingan hidayah dalam menghadapi semua keadaan. Amin ya Rabbal Alamin...

Wednesday, 16 November 2011

Kisah Muwaffaq

Dia seorang miskin yang begitu mengimpikan untuk pergi menunaikan haji, namun setelah wangnya terkumpul, dia kemudiannya terhalang untuk memenuhi keinginannya. Sesiapapun tidak akan suka berhadapan dengan situasi seperti ini, tetapi adakah ini merupakan sesuatu yang buruk bagi Muwaffaq? kisah Muwaffaq ada hikmah yang sangat besar untuk menjadi perhatian kita semua. Kisah ini dituturkan oleh seorang ulama bernama Abdullah bin Mubarak. Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak sedang menunaikan haji, dia tertidur di Masjidil Haram dan dia bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, "Berapa ramai orang-orang yang berhaji pada tahun ini?"

"Enam ratus ribu." Jawab yang lain.

Lalu dia bertanya lagi, "Berapa ramai yang diterima?"
Jawabnya, "Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq. Dia tidak menunaikan haji, tetapi diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun ini diterima dengan berkat hajinya Muwaffaq."

Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar percakapan itu, maka terbangunlah dia dari tidurnya dan terus berangkat menuju Damsyik mencari orang yang bernama muwaffaq itu sehingga dia sampai ke rumahnya. Ketika diketuk pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera bertanya namanya. Orang itu pun menjawab, "Muwaffaq."

Lalu Abdullah bin Mubarak menceritakan mimpinya dan bertanya padanya, "Kebaikan apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjah yang demikian itu?" Jawab Muwaffaq, "Tadinya aku ingin menunaikan haji tetapi tidak dapat kerana keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga ratus dirham dari pekerjaanku membuat dan membaiki kasut, lalu aku berniat menunaikan haji pada tahun ini. Pada saat itu isteriku sedang hamil, maka suatu hari dia terbau akan bau makanan dari rumah tetanggaku dan ingin mencubit rasa makanan itu. Aku pun pergi ke rumah jiranku itu dan menyatakan tujuanku kepadanya."

Jiranku kemudiannya menjelaskan, "Aku terpaksa membuka rahsiaku, sebenarnya anak-anakku sudah tiga hari tidak makan kerana itu aku keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba terjumpalah aku dengan bangkai himar di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk dimasak. Adapun makanan ini halal bagi kami dan haram untukmu." Ketika aku mendengar jawapan itu, aku segera kembali ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan ku serahkan kepada jiranku tadi sambil menyuruhnya membelanjakan wang tersebut untuk keperluan anak-anak yatim yang ada dalam jagaannya itu. Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku." Demikian Muwaffaq menutup kisahnya.

Begitulah kisah Muwaffaq, walaupun terhalang dari menunaikan haji padahal dia telah mengimpikannya selama bertahun-tahun. Namun, apa yang tidak menyenangkan itu ternyata membuahkan kebaikan baginya. Malah itu bukan hanya baik bagi Muwaffaq seorang. Muwaffaq yang tidak pergi haji, diterima hajinya dan menyebabkan seluruh jemaah haji pada tahun itu diterima hajinya oleh Allah. Pada kes Muwaffaq, Allah memberitahukan keutamaan yang diperoleh melalui mimpi seorang ulama. Padahal ada begitu banyak kejadian di dalam hidup kita ini di mana kita tidak mengetahui hikmah di sebalik peristiwa-peristiwa yang kita alami.

Sekiranya Allah tidak memberitahu rahsia di sebalik batalnya perjalanan haji Muwaffaq apakah agaknya yang akan dirasakan oleh Muwaffaq dan mereka yang tahu tentang beliau? Muwaffaq mungkin merasa sedih kerana tidak jadi pergi menunaikan haji. Isterinya pun mungkin ikut bersedih kerana suaminya tidak dapat menunaikan haji. Orang-orang lainnya mungkin akan kasihan dengan nasib Muwaffaq. Tapi apa hendak dikata kerana semua telah digariskan oleh Allah dan Allah memerintahkan orang-orang beriman untuk beriman terhadap ketetapanNya "Supaya kamu jangan terlalu sedih terhadap apa-apa yang menimpamu."

Dipetik dari buku Bila Allah Menduga Kita tulisan Syed Alwi Alatas (2011).

Majlis Fatwa: Syarat-Syarat Pelaburan Emas

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:

Syarat Umum Jual Beli

1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.

Pihak Yang Berakad

2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:

i. Baligh, berakal dan rasyid

Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.

ii. Keredhaan

Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.

Harga Belian (al-Thaman)

3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.

Barang Belian (al-Muthman)

4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.

5. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.

6. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:

i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.

ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.

iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.

Sighah

7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.

8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.

9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi

10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.

ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.

Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.

Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:

Syarat Pertama: Taqabudh

11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.

12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:

a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.

Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.

13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.

14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.

Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.

Syarat Kedua: Secara Lani

15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.

16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.

17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.

Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.

Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:

Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:

i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.

ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.

iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.

iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.

Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.

Akad Dan Unsur Sampingan

18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.

19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.

20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.

21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.

22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.

23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas

Thursday, 10 November 2011

Dilanggar dari Belakang: Apa Anda Perlu Buat???

Saja je nak kongsi sedikit maklumat ini sekiranya perkara ini berlaku pada anda... Sekiranya kereta anda dilanggar dari belakang, perkara yang anda perlu lakukan adalah:

1) Jangan panik dan marah, sila ketepikan kenderaan anda, jangan berhenti di tengah jalan kerana ia akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain dan pastikan semua berada dalam keadaan selamat.

2) Sila catatkan maklumat penting seperti masa, tempat kejadian dan nombor serta jenis kenderaan yang melanggar kereta anda. Lebih senang kalau anda ada telefon berkamera. Ambil sahaja gambar kereta yang melanggar kereta anda. Dari situ anda dapat catat masa dan tempat kejadian.

3) Anda tidak payah susah-susah nak ambil maklumat pemandu yang melanggar kereta anda. semua itu tidak perlu dan akan menyusahkan dia.

4) Jangan marah-marah. kemarahan tidak dapat kembalikan bentuk asal kenderaan anda.

5) Sekiranya kenderaan anda masih boleh bergerak sila ke balai polis berdekatan untuk membuat aduan *nota penting: Jangan pergi ke balai polis yang berada diluar daerah kejadian kerana salinan report akan dikeluarkan hanya oleh pegawai penyiasat bahagian trafik, balai polis dalam daerah berkenaan sahaja.

6) Jika kenderaan anda tidak boleh bergerak sila dapatkan khidmat kereta tunda yang dicadangkan oleh insuran anda untuk ke balai polis berdekatan.

7) Buat pengaduan dengan tepat mengikut apa yang telah terjadi.

8) Aduan anda ini berguna untuk claim insuran. walaupun nampak dari luaran kerosakan kereta anda tidak serius tetapi jangan terkejut bila mekanik meletakkan harga yang tinggi untuk membaikinya. Itulah gunanya insuran yang kita bayar setiap kali nak memperbaharui cukai jalan.

Nota: Sekiranya perlanggaran itu melibatkan 4-5 buah kenderaan, saman akan dikeluarkan kepada pemilik kereta yang berada di belakang sekali. Begitu juga dengan insuran, insuran kereta yang berada di belakan sekali akan cover semua kerosakan kereta yang berada di hadapan.

Akhir kata; sila hati-hati ketika memandu dan amat-amatlah penting anda menjaga jarak anda bagi mengelakkan terjadi hal-hal demikian.

Sila tambah sekiranya maklumat ini tidak mencukupi dengan meninggalkan komen anda...

Friday, 4 November 2011

Akulah Yang Akan Dikorbankan

Tahun ini aku didaftarkan untuk dijadikan korban. Tahun lepas aku terlepas sebab belum cukup umur. Nampaknya aidil adha ini adalah tarikh mati aku. Aku tak kesahpun. Memang kaum aku bangga dijadikan korban. Lebih baik mati dijadikan korban daripada dijadikan daging untuk jualan. Lebih teruk lagi kalau aku hanya mati dilanggar lori. Sia-sia sahaja tuan aku membela aku.


Aku ni kira berani-berani takut je untuk mati. Sakit ke tak sakit pun aku tak tahu. Yang pastinya bila aku tengok bapakku dulu meraung-raung kena pisau belati dekat leher naik seram jugak aku. Darah yang mengalir bagai sungai itu terus melenakan bapakku. Tak pernah tengok raungan sesakit itu walaupun kaumku kena sedok atau kena tanduk atau kena 'cendah'.


Orang kata apabila mati boleh masuk syurga. Entah lah. Aku pun tak tahu. Yang pastinya nanti kulit aku akan dilapah dan disiat-siat. Bagaimanalah rasanya nanti diri ini apabila tidak lagi berkulit yang selama ini aku sangat bergaya kerana kulit cantikku. Kulit ini jugalah yang menahan diri ini dari kesejukan di kala malam menjelma atau di pagi hari yang hening.


Seterusnya nanti keempat-empat kakiku akan diasingkan. Kaki itu akan dibuang daging oleh kumpulan orang yang hadir gotong royong untuk buat korban. Daging segar itu akan dipotong-potong dan dilambak di suatu sudut. Kaki ku hanya akan tinggal tulang kemudian akan dipotong tulang-tulang kakiku. Aduh... tulang keringku juga akan dihentak dengan belakang kapak. Tapi yang peliknya kenapalah diorang panggil tulang kaliku ini sebagai gear box. Padahal aku bukan kereta yang ada gear. Aku hanya lembu dan yang pastinya juga kereta lembupun takde gear apatah lagi gear box.


Sementara kaki-kakiku diselenggarakan, badanku pula akan dibedah. Bagitu mahir pakcik Mat membedah badan bapakkku dulu. Kemudian nanti pastinya ususku akan dikeluarkan. Mungkin aku akan terasa sangat geli apabila tidak lagi berusus kecil atau besar. Begitu juga dengan jantung, limpa, penkreas, hempedu, hati, buah pinggang, kerongkong dan sebagainya akan dikeluarkan... alamak mati la aku kalau takde jantung. Kalau takde usus takpe lagi kot...


Si Zain yang mahir dengan kerja-kerja menguruskan tulang rusuk lembu aku tengok tadi dah siap sedia dengan pisau dan parang tajamnya yang ditempah khas. Sudah siap diasah dan digilap-gilap. Seriau darah aku tengok pisau setajam itu. Pastinya nanti dengan senang sahaja tulang rusuk aku ini akan dicerai-beraikan. Diorang kata sup tulang rusuk adalah pilihan utama kerana keenakannya... enak macam mana laaa aku pun tak tahu. Tak pernah rasa plak sepanjang hidup.


Yang paling aku risau bukanlah ekor aku yang pastinya akan dibuat sup ekor oleh penggemar sup ekor kerana khasiatnya tersendiri dan membuatkan mereke yang menyebutnya tersengeh penuh makna tapi yang aku risaukan ialah 'torpedo' aku dan pelurunya. Aku mohon lah kalau korang nak buat masak kari atau nak buat sup ke atau masak lemak cili api ke boleh tak jangan dipotong-potong. Kekalkan lah bentuk asalnya. Sakit tau bila dipotong-potong macam tu. Kalau korang nak rasa betapa sakitnya korang boleh cuba ketuk sendiri yang korang punya. Aduh mencarut plak aku nihhh sori satu malaya ye... Kepala aku pulak nanti korang bukak elok-elok dan ambik otak aku yang tak berapa cerdik ni korang buat masak mmm masak apa ye... ikut suka korang la... yang penting masak lah jangan makan mentah-mentah nanti termuntah.


Semalam aku terdengar tuan aku bercakap-cakap dengan beberapa orang dekat kandang aku nih. Diorang datang nak tempah beberapa bahagian untuk buat korban dan aqiqah. Seekor kami boleh dijadikan tujuh bahagian. Tersenyum kambing tuan aku memandang tempahan sudah melebihi jangkaan. untung sangat lah tahun nih. InsyaAllah jumlah kami akan ditambah tahun depan bisik tuan aku pada aku sambil mengusap-usap kepala aku. Aku jugak yang tersenyum pahit sambil memamah-mamah rumput yang kering. Rasa tak lalu nak makan...


Untuk kali terakhir aku memohon korang janganlah sia-siakan pengorbanan aku yang korang korbankan. Biarlah upacara pengkorbanan ini dijadikan sebagai ibadah bukan pesta membelasah lembu-lembu seperti aku. Buatlah dengan penuh keinsafan dengan mengenangkan pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail (as) dan syari'ah yang disunatkan oleh nabi Muhammad (saw).


Aku bukan mengidamkan layanan first class untuk pengkorbanan ini. Tapi silalah dahulukan yang sunat misalnya korang tajamkan lah pisau-pisau korang supaya senang korang buat kerja dan tidaklah nampak sangat korang menyiksa aku. Aku tak tersiksa pun. Dah memang macam ni nasib kami. Tapi biarlah semua kerja smooth je... lancar.


Mulakanlah dengan bismillah. Sambil memotong dan menyiat-nyiat daging aku korang jangan lah berbual kosong atau gelak. Ingatlah pada Tuhan sambil bertakbir raya. Jangan pula korang isap rokok sambil buat kerja kerana asap rokok akan mengganggu orang lain. Kalau jatuh habuk rokok kat daging-daging aku nanti beracun pulak. Kata buat korban so... korban la skit... asyik nak merokok je... rosak trakea dan paru-paru korang.


Dan aku nak pesan juga korang jangan la bila dah banyak daging nanti korang makan banyak sangat nanti korang jugak susah, dapat darah tinggi nanti. Satu lagi jangan lah korang membazir. Kalau buat sup atau kari nanti korang rajin-rajin la panaskan kalau tak habis makan. Jangan biarkan basi dan terbuang macam tu je. Ingat... membazir itu bukan amalan lembu tapi amalan syaitan.


Pandai-pandailah korang bahagi-bahagikan daging, tulang dan organ-organ dalaman aku nanti. Berikanlah pada yang memang memerlukan. Kalau korang buat aqiqah silalah masak terlebih dahulu dan panggil orang makan atau berikan yang sudah dimasak dan masaklah masakan yang manis-manis skit. Itu lah syariah korang dan bukan syariah lembu... hehehe muhhhh...


Akhir sekali... korang banyak-banyaklah bersyukur kerana tak dilahirkan sebagai lembu. Bersukurlah kerana dijadikan oleh Tuhan sebagai makhluk terbaik. Jangan tiru perangai kami yang hanya mengikut sahaja tarikan tali hidung... tak merdeka langsung. Kami tak reti melawan... kalau melawan nanti pendek umur atau sekurang-kurangnya rebes hidung. So... korang pandai-pandai la masa yang ada ini untuk mengisi hidup merdeka korang untuk melakukan amal soleh. Serulah pada kebenaran dan cegah kemungkaran. Pandai pulak aku berceramah... hahai...


Okeh lah... aku sibuk nih... stress dah nihhh babai... jumpa lagi...

Menjahit

Minggu lepas kami sekeluarga pergi ke Langkawi. Dari Langkawi kami terus balik ke kampung, Pengkalan Kubor. Kami tiba di kampung pada jam 8.00 pagi. Hari dah cerah.

Hari pertama di kampung aku agak excited nak cuba menjahit memandangkan mesin jahit buruk dah dibaiki oleh abah. Mesin tersebut dibeli oleh abah ketika abah berumur belasan tahun dengan menggunakan duit biasiswa yang dia dapat ketika belajar di sekolah menengah Thailand. Sebelum ini, arwah nenek yang menggunakannya. Setelah arwah nenek tiada, sepupu aku pula yang menggunakannya. Raya lepas, kami sekeluarga balik ke kampung dan dapati mesin buruk itu tersadai oleh kerana sepupu sudah ada mesin baru mesin itu tidak lagi digunakan. Peluang tersebut abah gunakan untuk membawa pulang pusaka itu ke rumah kami di Pengkalan Kubor.

Geram tengok adik aku, Sebu dah boleh menjahit sikit-sikit dengan menggunakan mesin jahit yang berumur lebih 40 tahun itu. Aku mintak Sebu ajarkan basic yang dia tahu. Dari situ aku terkial-kial mencuba beberapa kali hingga tak ingat bahawa aku baru je sampai di kampung yang biasanya aku akan tidur seharian dulu baru la hilang kepenatan.

Pada keesokan harinya isteri aku menghulurkan kain batik yang dibeli di Langkawi mintak aku menjahitnya. Aku cakap aku baru belajar dan takut rosak nanti. Dia kata takpe la... jahit terus je. Dia kata lagi kain itu lebih bermakna kalau aku menjahitnya. Tanpa membuang masa aku terus mencuba. Sudahnya bukan sehelai tapi tujuh helai selesai dijahit. Tersenyum lebar isteri aku kerana kain batiknya tak payah dihantar kepada tukang jahit. Dia terus pakai. Cantik katanya walaupun baru belajar. Hehe... Bangga sungguh hari itu. Bukan apa... satu lagi kemahiran aku bertambah. Dia cakap nanti nak beli mesin jahit. Senang nak jahit kain.

InsyaAllah kalau ada peluang nak tambah kemahiran. Kena belajar banyak benda lagi. Barulah hidup ini menarik skit. Jom kawan-kawan tambah kemahiran...

Sunday, 23 October 2011

Hujan Lebat

Hujan Lebat

Jangan kau risau
Nanti hujan lebat kita bermain lagi
Membasah bersama
Dalam dentum petir
Kilat sambar menyambar

Jangan kau menangis
Walau selebat hujan
aku kan pergi jua
Meninggalkanmu dan kenangan
Kerana ini takdirku

Suatu hari aku kan datang
Biar selebat mana hujan
Tiada bisa menghalangku
Untuk bawa kau pergi
Untuk hentikan tangisanmu
Selebat Hujan


Wan Norhisyam
A 4.5 Mahallah Bilal, UIA Gombak
30 Januari 2004

Nenek Sudah Tua

Nenek Sudah Tua

(Dedikasi untuk nenek- Mok Tok Muyam)

Nenek telah lihat pelbagai peristiwa
Nenek telah dengar pelbagai berita
Nenek telah melalui banyak masa
Kerana nenek sudah tua

Wajahnya itu ditelan masa
Matanya kabur berzaman diguna
Kendur kulitnya, bongkok belakangnya
Kerana nenek sudah tua

Sisa kehidupan nenek isi sebaiknya
Bagi nenek masa perlu dipenuhi jua
Walau usia telah meratah kekuatan
Namun kewajiban perlu dipatuhi

Sebagai insan nenek akur
Sebelum ajal tiba
Sebelum rebah
Nenek perlu beribadat jua...
Namun ibadatnya nenek...
Bukan kerana nenek sudah tua.

Wan Norhisyam
Kampung Telian
07 April 2003

Tuesday, 18 October 2011

kapal

Pantai dan kapal
Published with Blogger-droid v1.7.4

Monday, 26 September 2011

Pengorbanan

Assalamualaikum
Sudah lama aku tidak menulis... skill menulis semakin berkarat. Tak tahu nak mula dari mana. Hampir sebulan lamanya aku tidak mengisi apa-apa bahan di blog kesayangan aku ini. Aku menjadi terlalai dengan persekitaran yang mempengaruhi diri untuk seketika lalai dari menulis. Padahal menulis adalah kegemaran, kesukaan yang membawa kenyamanan serta ketenangan untuk aku sendiri.

Menulis sebenarnya menjadi terapi yang sangat berkesan ketika jiwa memerlukan penawar. Menulis atau meluahkan sesuatu melalui tulisan boleh melegakan walaupun tulisan itu hanya sekadar untuk diri sendiri tanpa orang lain ketahui. Dan kadang-kadang melalui tulisan juga membuat orang lain memahami isi hati apa yang nak disampaikan. Mungkin juga melalui medium penulisan juga segala persoalan akan terjawab. Segala cadangan boleh diajukan kepada orang ramai atau perseorangan supaya hidup lebih baik.

Menulis memerlukan semangat yang tinggi untuk kekal istiqamah dengan kehidupannya sebagai penyampai dan pemberi maklumat. Ilmu mesti ada dan ditambah dari masa ke semasa. Betapa maklumat yang tepat dan berguna sahaja akan menjadi manfaat kepada orang ramai. Justeru, diri sendiri perlu berkorban masa dan tenaga untuk mempersembahkan yang terbaik melalui karya supaya ianya bukan sahaja menjadi bahan tatapan malah menjadi pengubat untuk jiwa orang lain dan juga menjadi penawar kepada segala kesakitan...

Tuesday, 13 September 2011

Inang Pulau Kencana



Kau rindu apa lagi
Kasih ku yang sejati
Mari bersama berdendang

Berdendang lagu badai
Membisik lembut ghazal
Berlayar ke pulau impian

Kami kan sentiasa bersama
Di sana di Pulau Kencana

Di sini kau kecewa
Dengan mainan kata
Meragukan, memesongkan

Tak perlu harta dunia
Hanya apa yang ada
Percayalah kekasih

Pasti kau akan gembira
Di sana di Pulau Kencana

Damai menunggumu di sana
Bersama handai taulan
Di sana Pulau Kencana

Tanam semangat rindu
Kecintaan azali
Bersama ke pulau abadi
Kami kan sentiasa bersama
Di sana di Pulau Kencana

Wednesday, 3 August 2011

Welcome Ramadhan



بالحب تلقاك البدور
ضيف الأماني والسرور
فيك العطايا والاجور يا مرحبا ..
يا مرحبا زين الشهور
Jour après jour,
un monde d'amour des océans,
soyez la bienvenue Meilleur des mois,
bienvenue bonheur et joie Notre mois saint,
bonheur et bien
We welcome you month
we all adore
We pray for happiness and more
To all the people open up your door Peace,
love and joy
Let them soar,
let them soar
Ramadan… ramadan
welcome holy month Ramadan
ahlan ramadan
احلى القوافي والنشيد
في مقدم الشهر السعيد
النور في الدنيا يزيد
والرب تواب شكور
أحلى القوافي والنشيد
في مقدم الشهر السعيد
النور في الدنيا يزيد
والرب تواب شكور
والرب تواب شكور
رمضان رمضان
welcome holy month Ramadan
welcome ramadan

Sunday, 24 July 2011

Sunday, 17 July 2011

Catatan Perjalanan (Bhg. 5)

Kg. Habu, Cameron Highland 2001
Bahagian ke lima

Bergaduh dalam hujan lebat

Kami berjalan kaki melalui jalan tanah merah berbatu dan berlumpur. Berlumpur mungkin disebabkan oleh hujan malam tadi. Aku dan Joe mula bergerak melintasi satu demi satu kumpulan yang terbentuk disebabkan oleh aliran dan minat yang sama. Mungkin mereka dari kuliyah yang sama atau mereka menyertai persatuan ini pada batch yang sama. Seronok dapat berkenalan dengan kumpulan-kumpulan mereka itu.

Setelah berlalu beberapa jam, kami menemui kampung Mansun. Batin kampung itu namanya Batin Singa... Sebab apa namanya Singa? Dalam hati aku berkata mungkin sebab dia garang macam singa.

"Dia tu memang garang, sape-sape masuk kampung dia dengan niat tak baik akan dihalaunya dengan parang panjang...", cerita dari seorang senior.

"Mana satu batin Singa tu?" tanya aku.

"tu... yang tengah tu...", senior menunjuk ke arah seseorang. Dan ketika itu ada senior-senior pergi menegur batin dan penduduk kampung Mansun ini.

HA... HA... HA..., tergelak besar aku..., apa tidaknya, rambutnya sebijik macam singa jantan. Mengerbang. Badannya 'tough'. Layak la dilantik jadi batin. Dan layaklah dipanggil batin Singa.

Aku tanya pada senior itu, "adakah nama singa itu hanya gelaran?".

Senior menjawab "tak lah... itu nama betul dia".

Ya Allah... betullah nama itu satu doa. Bila dah selalu orang sebut nama itu maka ia akan jadi macam doa. Kalau baik nama itu bererti baiklah doa untuknya. Sebab itu Nabi S.A.W. melarang nama yang tidak baik diberikan kepada anak-anak.

Kampung Mansun ini agak istimewa sebab ada sebuah sekolah dibina di kampung ini. Sekolah ini agak besar dan moden. Anak-anak orang asli sekitar ini semuanya bersekolah di sini. Ramai guru-guru daripada luar yang dilantik dan datang mengajar di sekolah ini untuk mengajar anak-anak orang asli. Masa kami lalu di kampung ini sekolah tengah cuti. Jadi, sekolah ini kosong dan sunyi. Kerana cuti sekolah juga kami berprogram di sini. Kerana berhasrat nak bersama dengan anak-anak orang asli dan boleh melakukan macam-macam aktiviti bersama mereka.

Kami meneruskan perjalanan setelah selesai sesi singgah dan menegur sapa ketika melalui mana-mana kampung. Saat itu jugalah kami ambil masa untuk rehat seketika sebelum menyambung kembara kami.

Dengan arahan yang diterima, perjalanan dimulakan semula. Kami bergerak mengikut kumpulan-kumpulan yang semakin serasi dan mesra. Kami melalui hutan yang semakin tebal. Di sebelah kiri lembah dan di sebelah kanan bukit yang padat dengan hutan hijau. Pokok-pokok besar menjulang tinggi memayungi kami dengan teduhan bayang dedaunan. Namun sinar mentari masih mencuri-curi mengintai di celah-celah dedaunan menambahkan pesona keindahan alam semula jadi. Bunyi unggas dan serangga liar kedengaran semakin nyaring bertingkah-tingkah dari dekat dan jauh.

Sambil berjalan kami sentiasa bertawakkal dan berdoa dalam hati moga dijauhi perkara-perkara yang memudharatkan dan mengganggu program kali ini. Kami juga diingatkan supaya menjaga tatasusila ketika di dalam hutan tabal. Terutama mulut kena jaga betul supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Sudah jam 4 petang. Kami belum tiba di destinasi yang ditujui. Hari makin gelap. Ada tanda-tanda hujan akan turun. ketika ini kami sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Seperti yang dijangka, hujan mulai turun dengan lebatnya. Namun kami masih meneruskan perjalanan. Perjalanan kami menjadi semakin sukar dan perlahan kerana pandangan kami menjadi terhad. Terhalang oleh titisan air yang membasahi segenap bumi termasuk kami, pakaian kami, peralatan kami dan segalanya. Pakaian dan barangan kami menjadi berat.

Kami melewati kampung Leryar. Namun Leryar bukanlah kampung yang tersenarai dalam destinasi kami. Setibanya di persimpangan menuju ke Kampung Susu (salah satu kampung untuk program masuk kampung selain Teji dan Habu) kami berhenti seketika untuk berbincang bagaimana nak menyelesaikan keadaan yang agak kritikal ini. Yelah, keadaan hujan masih lebat. Sedangkan 2 lagi kampung yang nak ditujui masih jauh. Jalan menuju ke sana sudah menjadi becak yang menyebabkan landrover dan lori tak dapat masuk ke sana. Kalau semua nak singgah dan bermalam di kampung Susu memang tak boleh sebab surau kampung itu tidaklah boleh menampung ke semua pelajar yang menyertai program ini.

Pegawai JOA telah meminta kebenaran untuk bermalam di Leryar dan Penghulu Leryar mengizinkan. Maknanya separuh dari kami akan bermalam di Leryar dan separuh lagi di Kampung Susu.

"Along, kami dah buat keputusan nak buat program kat Leryar je", kata Zeli.

"Boleh ke macam tu, kita dah bagitahu pada penduduk kampung Teji dan Habu nak buat program di sana. Apa kata diorang nanti", jawab Along yang memang sedar bahawa tidak boleh dengan senang untuk tidak menunaikan janji dengan orang Asli.

"Mengikut keadaan sekarang, kita kena ubah pelan asal. Kita dah tak boleh masuk ke Teji dan Habu. Lagipun kampung Leryar mengalu-alukan kedatangan kita", tambah Zeli lagi yang sudah bertekad untuk menghuni Leryar seminggu ini.

Saya dan Joe serta beberapa rakan lagi hanya memerhati perbualan Along dan Zeli. Mereka adalah senior dan lebih tahu. So... serahkan saja pada mereka walaupun dalam hati tidak menyetujui seratus peratus untuk mengubah perancangan asal. Kalau betul-betul berubah maka yang sepatutnya 3 kampung sudah menjadi 2 kampung sahaja.

Hujan makin lebat. Suasana bertambah tegang dan tidak ada keputusan yang jelas. Hala tuju dah lari dari perancangan asal disebabkan oleh keadaan yang tidak kami jangka sama sekali.

"jadi, bahan bekalan dan peralatan kita bahagi dua. Satu untuk Leryar dan satu untuk Susu", Abang Zeli membuat cadangan.

"Macam mana dengan pembahagian pelajar? kita ada tiga senarai ajk dan peserta yang mewakili tiga kampung, macam mana nak bahagi kepada dua kumpulan?", Soal Along.

"Sekarang ni kita dah tak boleh ikut senarai tu. Kita tanya je sape nak ke Leryar bersama saya atau nak ke Susu dengan Along", tegas Abang Zali membuat keputusan.

Maka dengan itu, telah berpecah para peserta kepada dua kumpulan... yang ikut Abang Zeli telah berundur menuju ke Leryar dan kumpulan Along terus menuju ke Kampung Susu. Aku, Joe dan beberapa rakan lagi termasuk Anis, Abang Zulfikar masih di tempat perbincangan tadi. Tak tahu arah mana nak dituju. Ke Leryarkah? Atau ke Susukah? Kalau ikut senarai nama kami di kampung Habu dan Teji.

"Macam mana ni, kita nak ke Habu ke?" Aku bertanya pada Abang Anis.

"Kampung Habu jauh lagi", jawab beliau.

"Jadi... camana, nak gi Leryar ke?", tanya aku lagi.

"Tak nak aku... baik kita gi ke Susu... ", Jawab yang lain.

Termenung sejenak. Selepas itu seseorang dari kami memberi cadangan yang bernas.

"Apakata... kita lepak dulu kat Susu malam ni dan besok kita ke Habu dan Teji".

"Okey jugak tu." kami bersetuju dengan cadangan itu.

Kami pun selepas itu terus menapak menuruni lembah dan menyeberangi sungai untuk ke Kampung Susu. Hujan semakin perlahan. Namun kami sudah kebasahan dan kesejukan. Dalam perjalan itu kami meneruskan perbualan.

"Sape lagi nak ikut kita besok..."

"Tak kesah lah... sape nak ikut..."

"Landrover comfirm takleh masuk ke sana, barang-barang macam mana?".

"Kita angkut je sorang sikit... ambik yang perlu je..."

"hahaha..." Kami tergelak... entah lucu apa... terkenang apa yang bakal terjadi besok kot.

Bersambung...

Friday, 15 July 2011

Didikan Terbaik

Sekolah Meheliah tempat aku belajar dulu akan mengenakan tindakan yang tegas ke atas pelajar yang melakukan kesalahan berat seperti mencuri, ber'dating' atau berpasangan menonton wayang di panggung. Hukuman yang akan dikenakan kepada mereka ini adalah dengan memandikan mereka di depan perhimpunan pelajar setelah disabitkan kesalahan.

Pelajar yang bersalah akan dipanggil ke hadapan, di depan seluruh pelajar dan guru-guru. Kerusi akan disediakan. Kalau melibatkan sepasang kekasih maka sepasang kerusi akan diletakkan, satu di hadapan pelajar-pelajar lelaki dan satu lagi di hadapan pelajar perempuan. Dan pernah juga berlaku pelaksanaan hukuman ini ke atas dua atau tiga pasang mungkin 4 atau lima pasang kerana ber'dating' secara beramai-ramai.

Pelaksanaan hukum bermula dengan ucapan dari guru-guru mengenai hukuman yang akan dijalankan. Kemudian, air yang diletakkan di dalam baldi-baldi akan dibacakan doa oleh ustaz yang paling alim, biasanya ustaz pokme, imam muda masjid pada ketika itu. Bacaan doa yang ditiupkan ke air itu adalah bertujuan untuk memohon petunjuk dari Allah S.W.T. serta memohon keberkatan dariNya agar pesalah diberi hidayah untuk berubah.

Seterusnya air akan dicurahkan ke atas kepala pelajar yang bersalah sedikit demi sedikit oleh beberapa orang ustaz dan ustazah di sebelah pihak pelajar perempuan. Suasana agak riuh rendah ketika pelajar-pelajar menyaksikan pemandian ini.

Walaupun hukuman ini agak memalukan pelajar yang bersalah tetapi mengandungi hikmah yang besar disebalik pelaksanaannya. Di samping memberi pengajaran dan pengalaman berguna kepada pesalah, hukuman ini juga memberi kesan mendalam kepada pelajar-pelajar yang menyaksikannya. Oleh sebab itu kesalahan-kesalahan umpama ini dapat dikekang di sekolah ini. Hanya beberapa kali sahaja dilaksanakan sepanjang aku bersekolah di sana.

Itulah antara didikan yang berguna kepada kami selaku pelajar selain pelajaran secara formal dalam kelas. Kelakuan yang buruk akan dihindari dengan segera kerana kesan yang ditinggal dalam jiwa kami. Kesan itu masih dibawa hingga kini walaupun sudah meninggalkan bangku sekolah lebih sepuluh tahun dan memiliki kerjaya.

Cabaran kini adalah untuk mendidik generasi baru yang penuh dengan serangan moral tidak sihat dari pelbagai arah. Persoalannya adalah mampukah kita mendidik generasi baru agar terdidik seperti pendidikan yang telah kita terima dulu?

Jenayah-jenayah moral yang berlaku kini amat membimbangkan. Pelajaran moral dan akhlak di sekolah-sekolah seakan tidak memberi kesan ke atas kerosakan sosial sekarang. Bentuk hukuman yang ada mungkin tidak boleh memberi kesan yang berterusan seperti hukuman yang dilaksanakan pada zaman kami. Padahal zaman persekolahanlah merupakan masa terbaik untuk memberikan didikan terbaik kepada manusia.

Wednesday, 13 July 2011

Kurangkanlah Gelak Ketawa

Allah S.W.T berfirman:

فليضحكوا قليلا وليبكوا كثيرا جزاء بما كانوا يكسبون

"Hendaklah mereka sedikit ketawa dan banyak menangis setelah menerima pembalasan dari amal perbuatan mereka".

Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Ingatlah demi Allah yang jiwaku di tanganNya andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui nescaya kamu sedikit katawa dan banyak menangis"

Ja'far bin Auf dari mas'ud dari Auf bin Abdullah meriwayatkan: Biasa Nabi S.A.W. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak menoleh kecuali dengan semua wajahnya (menjeling).

Malik bin Dinar dari Al-Ahnaf bin Qays berkata: Umar berkata kepadaku: Siapa yang banyak ketawa kurang wibawanya, dan siapa yang suka bergurau diremehkan orang, dan siapa yang membiasakan sesuatu terkenal dengan kebiasaannya itu, dan siapa yang banya bicara banyak salahnya, dan siapa yang banyak salahnya hilang malunya, dan siapa yang hilang malunya kurang wara'nya (hati-hatinya), dan siapa yang kurang wara'nya mati hatinya, dan siapa yang mati hatinya maka neraka lebih layak baginya.

Kesan gelak ketawa:

1) Dicela oleh ulama' dan orang yang sopan sempurna akal.
2) Orang berani membodohinya
3) Orang bodoh yang ketawa maka bertambah bodohnya dan jika orang alim ketawa maka berkuranglah ilmunya, ada riwayat mengatakan: Seorang alim jika ketawa bererti dia telah memuntahkan ilmunya.
4) Melupai dosa-dosa lampau.
5) Berani melakukan dosa di masa akan datang kerana gelak ketawa membekukan hati.
6) Melupai mati dan akhirat.
7) Menanggung dosa orang yang gelak ketawa kerana melihat ketawanya.
8) Banyak gelak ketawa menyebabkan banyak menangis di akhirat.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sahabat-sahabat untuk mengurangkan gelak ketawa, atau menyertai aktiviti yang menyebabkan diri sendiri atau orang lain yang menonton bergelak ketawa. Wallahu a'lam...


Sekadar gambar hiasan... tak baik gelak macam ni...

Tuesday, 12 July 2011

Sampah dan Anjing

Sebuah dialog menerusi YM di petang hari...

Teman: betull, jgn sombong
Teman: sumbang takpe

Seorang teman memulakan perbualan dengan mengomen status aku: wei... jangan sombong Tuhan marah!

aku: hihi
Teman: sumbangkan lagu pun ok
aku: jangan sombong walaupun dah jadi orang besar
aku: ikutlah resmi padi
Teman : ngape dia besar? ni mesti byk makey
aku: ye
aku: banyak make
aku: wat gapo mek?
Teman: tak wat gapo
Teman: tgh memikirkan masalah dunia
Teman: pemanasan global
Teman: persengketaan yg tidak tahu bila akan tamat
aku: takyah fikir
Teman: perebutan kuasa
Teman: hahaha
Teman: saja
aku: buang yg keruh ambil yg jernih
aku: hadapilah kenyataan hidup yang ada di depan mu
Teman: tokleh.. kalau kuah laksa, hok keruh2 tu sedap
aku: ingat pesan Nabi (S.A.W)
aku: "Dunia ini ibarat tempat sampah dan yang mengerumuni ia adalah anjing"
Teman: perjelaskan
aku: Dunia yang cantik ini hakikat sebenarnya adalah sampah
aku: sebab orang2 terdahulu telah guna dan telah buang ia semasa ia mati
aku: dan orang2 terkemudian guna balik
aku: kita yang ada sekarang ini hanya guna apa yang telah digunakan oleh orang terdahulu
aku: bukankah itu sampah
aku: dan sape-sape yang terlalu mementingkan sangat dengan apa yang ada di dunia ini adalah anjing
aku: Nabi menyebut mereka itu anjing
aku: bukan dengan kata "mereka itu umpama anjing" tapi Nabi sebut "mereka itu anjing"
aku: betapa hinanya
Teman: wahh
Teman: ye ke
Teman: tq2
Teman: atas perkongsian
aku: walaupun kita sedang cari makan
aku: tapi makan itu bukan matlamat
aku: kita cari harta
aku: harta itu bukan tujuan asal
aku: carilah apa yang ada di dunia ini dengan matlamat utama adalah mencari keredhaan Allah
aku: kalau tak... kita hanya mengumpulkan sampah2 yang akan membebankan bahu kita di akhirat nanti
aku: BEST JUGAK KALU SAYA BUAT KULIAH DI PAGI JUMAAT NIH!!!!
Teman: nnti buat je lah
Teman: pas baca yasin silakan enta ke hadapan
aku: terhegeh2
aku: segan la mek...
aku: iman tak cukup kuat
aku: untuk menghadapi wajah-wajah suci kaum hawa...
Teman: ayyooo
aku: nanti terkelu di situ
Teman: kekekekek
Teman: apelah ustad ni
aku: mek...
aku: sorri la kalu dialog ni saya letak kat blog saya
Teman: ayyooo
aku: hahaha
Teman: isk isk isk
aku: nanti saya edit la
Teman: ermmm

Last message received on 7/12 at 4:20 PM

Monday, 4 July 2011

Mengapa?




Entah mengapa ku selalu rindu pada mu

Bayangan wajahmu selalu bermain di mataku

Resah gelisah rinduku tidak menentu

Tak rela berpisah seksa jiwa merindu

Aku percaya diri mu serupa

Teringat diriku setiap masa oh….

Rela dicela sanggup diseksa

Kerana cinta antara kita berdua

Apakan daya masa tiada

Untuk kita bertemu semula oh…

Terpaksa kita menahan rasa

Walaupun sebak di jiwa bergelora

Semakin siksa jiwa merindu

Menanti masa yang kian berlalu oh…

Tunggulah saja sabar lah sayangku

Diri mu tercipta mungkin hanyalah untuk ku

Hanyalah dikau antara berjuta

Cintamu suci tak akan ku lupa oh…

Sama lah sama kita membelainya

Biar abadi kekal selamanya

Kini kutahu isi hati mu

Putih berseri bagaikan salju oh…

Bilakah lagi dapat bertemu

Tetap ku nanti diri mu tiada jemu

Oh…. Ahh….

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...