Monday 23 May 2011

Memiliki harta

Manusia memang memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidup yang asasi seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya. Namun begitu, bukan sewenang-wenang seseorang boleh mengambil, mendapatkan harta dengan mudah tanpa memikirkan hal-hal seperti halal haram, betul salah, risiko, memudharatkan orang lain. Seseorang perlu memikirkan hak siapa yang dia ambil. Jika betul dia bekerja dengan jalan yang jelas benarnya, itu memang rezekinya. Jika ia mendapatkan harta dengan merampas hak orang lain atau melalui jalan-jalan yang salah dan tidak bermoral maka pemilikan harta ini adalah salah.

Allah melarang manusia makan harta dengan dengan cara yang bathil, merampas hak orang lain, jangan makan harta anak yatim dan lain-lain. Namun begitu, makin ramai yang tidak mengambil berat larangan Allah. Ramai yang berbelanja dengan harta yang salah sama ada salah kerana bukan miliknya atau kerana salah cara mendapatkannya.

Salah satu soalan yang perlu dijawab di padang mahsyar ialah tentang harta, dari mana kamu mendapatkannya dan ke mana kamu membelanjakannya. Maka kalau seseorang tidak dapat menjawab persoalan ini maka di saat itulah akan datang penyesalan yang amat dahsyat.

Kita masih di dunia. Namun jangan lupa akhirat yang bakal menjelma sekejap lagi. Awaslah. kehidupan di sini bukan selamanya. Akhirat jua yang akan kekal abadi. Harta di dunia bukan matlamat dan wawasan yang perlu didahulukan. Sebaliknya, kehidupan akhirat yang perlu diutamakan...

Allah tidak larang mencari harta. Akan tetapi, pencarian harta mestilah dengan landasan taqwa. Iaitu berhati-hati jangan sampai mengambil yang haram. Kerana setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, Allah menyebut sebagai ...an-naru aula bih - "neraka adalah tempat yang sesuai dengannya".

Sahabat-sahabat, saya berpesan pada diri sendiri dan kalian supaya berhati-hati dalam usaha mendapatkan harta. Jangan sampai kita terambil barang yang salah dan haram di sisi agama. Cubalah sampaikan pada rakan-rakan yang lain. Kerana pesan-pesan yang baik akan tidak merugikan kita (...watawashou bil haq, watawashou bis shobr).

Monday 16 May 2011

Sebuah Hadis Yang Memotivasikan

Sebuah hadis menyebutkan bahwa ada seseorang yang berjalan melalui tempat Rasulullah. Orang tersebut sedang bekerja dengan giat dan semangat yang tinggi. Para sahabat kemudian bertanya, "Wahai Rasulullah, andaikata bekerja semacam orang itu dapat digolongkan jihad fi sabilillah, maka alangkah baiknya." Mendengar itu Rasul pun menjawab, "Kalau ia bekerja untuk menyara anak-anaknya yang masih kecil, itu adalah fi sabilillah; Kalau ia bekerja untuk menyara kedua orang tuanya yang sudah lanjut usia, itu adalah fi sabilillah; Kalau ia bekerja untuk kepentingan (kehormatan) dirinya sendiri agar tidak meminta-minta, itu juga fi sabilillah." (H.R. Al-Thabrani).

Hadis ini memberikan motivasi yang sangat tinggi kepada para pekerja muslim kerana Islam menyamakan kedudukan pekerja dengan jihad fi sabilillah, suatu pekerjaan yang sangat mulia dalam Islam.

Jihad fi sabilillah merupakan perang suci dalam Islam bagi menentang kekufuran dan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Peristiwa perang banyak terjadi di zaman Rasulullah S.A.W. ketika baginda dan para sahabatnya berusaha menyebarkan dakwah Islam serta untuk mempertahankan kesuciannya.Seterusnya pada zaman Khulafa' Al-Rasyidin juga banyak terjadi peperangan fi sabilillah dan berlanjutan kepada zaman tabi'in.

Jika peperangan itu dianggap suci kerana bertujuan untuk menegakkan syariat Islam, menegakkan kalimah La ilaha illa 'llah, menghapuskan kakafiran, membuang ketidakadilan, menyebarkan perdamaian dan kesejahteraan dengan berpayung pada agama suci iaitu Islam, maka bekerja juga dianggap jihad kerana bekerja mempunyai unsur-unsur seperti jihad. Ini kerana, seseorang yang bekerja sebenarnya ia berjuang untuk kesejahteraan orang yang ditanggungnya. Dia juga sedang menghilangkan kemungkaran dengan menghasilkan sumber yang halal kepada anak-anak dan ibu bapanya. Sesungguhnya kefakiran amat dekat dengan kekafiran, sabda Nabi S.A.W.:

{ كاد الفقران يكون كفرا }

"Hampir-hampir kefakiran itu menjadi kekufuran"

Lantaran takut menjadi kafir dia berjuang untuk tidak menjadi fakir dan ini seolah-olah dia berjuang di jalan Allah (fi sabilillah). Bekerja juga boleh dipandang sebagai menjaga agama kerana pekerja yang bekerja bersungguh-sungguh telah menjaga salah satu daripada maqasid syariah iaitu menjaga kehormatan diri.

Selain itu, bekerja dengan bersungguh-sungguh sebenarnya akan menghasilkan keadaan ekonomi yang baik. Imej seseorang akan meningkat bila keadaan ekonominya meningkat. Keadaan sosialnya juga akan berubah, Malah jenayah juga akan dapat dikurangkan. Agama Islam akan dipandang tinggi bila ummatnya mempunyai kedudukan ekonomi, sosial yang baik. Sebaliknya Islam akan dipandang sepi bila ummatnya bermalasan serta tidak mempunyai aset yang banyak.

Oleh sebab itu, bekerja itu satu jihad kerana bekerja boleh membangunkan keluarga, meningkatkan imej Islam, meningkat ekonomi dan semua itu adalah dakwah Islamiah secara tidak langsung dapat memberi gambaran baik kepada orang bukan Islam untuk mendalami Islam.

Kesimpulannya, Islam sudah menandakan suatu kedudukan yang baik kepada pekerja muslim iaitu sebagai jihad. Maka, berusahalah dengan sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat Agama.

Berhati-hati ketika Menulis

Tak nak menulis sesuatu yang sia-sia dan tidak bermanfaat serta sangat berhati-hati kadang-kadang menjadikan aku kurang produktif. dua tiga menjak ini aku lebih kepada meneliti blog-blog dan trend penulisan bloggers. Ada yang sangat baik pengisiannya, ada yang kurang dan banyak yang biasa-biasa. Bukan senang. Aku tidak boleh bersahaja dalam memilih tema dan kata-kata. Aku juga bukan orang yang suka meniru-niru gaya dan trend penulisan orang. Malah aku lebih senang membiarkan diri ini hanyut dalam arus deras pemikiran sendiri.


Biasanya... aku mengumpulkan dulu maklumat yang nak ditulis. mungkin berhari-hari lamanya dan mungkin tak sampai lima minit... maklumat itu datang mencurah-curah macam hujan. Nikmat Allah semua itu. Aku syukur sekali. Ketika aku nak menceritakan sesuatu yang sukar dan agak teknikal mungkin penulisan menjadi berat menyebabkan penulisan tertangguh beberapa hari.

Begitulah adanya... Bukan senang dan tidaklah sesukar mana. Namun semua perkara perlu mengambilkira kesan selepas penulisan. Aku akan mengelak fitnah atau menjadi punca fitnah, mengelak memberi maklumat salah, memalukan, mengelirukan, memudharatkan dan lain-lain... tapi paling besar mengelakkan dari masuk neraka atau menyebabkan masuk neraka...

Hati aku berkata... tak glemor pun tak pe, takde orang komen pun takpe, orang tak ramai tengok pun jugak tak apa, takde upah iklan pun takpe lah asalkan aku puas menulis. Menulis dengan puas itu sangat memuaskan.

InsyaAllah... rancangan terbaru aku akan menulis sesuatu yang bermanfaat kerana sesuatu itu dinilai dari manfaatnya... wallahu a'lam...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...