Friday 21 August 2009

Ramadhan Karim, Wallahu Akram!

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan!

Pengertian Ramadhan dari segi lughah adalah panas yang terik. Dari sudut istilah pula Ramadhan bermaksud panas yang membakar segala dosa-dosa dari diri manusia seperti api yang panas boleh menghilangkan karat dari besi. Begitulah Ramadhan, bulan puasa, bulan pengampunan, bulan pesta ibadah, bulan sedekah, bulan tarbiyyah jiwa, bulan yang diturunkan al-Quran, padanya ada suatu malam yang menyamai seribu bulan.

Puasa ialah ibadah dengan menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan niat kerana Allah Taala. Begitu juga hendaklah menahan diri daripada perkataan sia-sia, perkataan yang menimbulkan syahwat, perkataan yang diharamkan dan dimakruhkan menurut syarat-syrat yang telah ditentukan.

Wajib ke atas individu muslim berpuasa dalam bulan ini dengan sabit dengan Ayat al-Quran dan hadis. Allah berfirman:
Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa". -Al-Baqarah: 183.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Islam itu didirikan atas lima; persaksian bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa pada bulan Ramadhan".
Puasa diwajibkan ke atas muslim yang telah akil baligh, sesiapa tidak berpuasa hukumnya haram, sesiapa yang mengingkari serta menafikan kewajipannya hukumnya kafir. Sesiapa yang tidak berpuasa secara sengaja maka wajib qadha serta kifarat. Sesiapa yang tidak berpuasa dengan sebab uzur maka wajib qadha tanpa kifarat.

Siapa Yang Wajib Berpuasa?
  1. Orang Islam.
  2. Mukallaf ('akil Baligh). Tidak wajib ke atas orang yang tidak berakal (gila atau pengsan). Begitu juga tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum 'akil baligh.
  3. Orang yang suci dari darah haid dan nifas.
  4. Orang yang bermukim (menetap). Tidak wajib ke atas orang yang bermusafir.
  5. Berkuasa (orang yang lemah dan sakit tidak diwajibkan)
Sah puasa sekiranya dilakukan oleh:
  1. Muslim (orang kafir tidak sah).
  2. Orang yang suci dari haid dan nifas.
  3. Mumayyiz (dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk).
  4. Berpuasa pada waktunya.
Batal puasa sekiranya:
  1. Berniat berbuka puasa.
  2. Makan, minum dan bersetubuh siang hari dengan sengaja.
  3. Memasukkan sesuatu ke dalam lubang rongga seperti hidung, telinga dan mulut walaupun tidak mengenyangkan.
  4. Muntah dengan sengaja.
  5. Melihat bulan syawal.
  6. Keluar haid bagi kaum wanita.
  7. Mengeluarkan mani dengan sengaja pada siang hari.
  8. Bersalin.
  9. Hilang akal sebab gila atau mabuk pada siang hari.
  10. Murtad.
Sunat dilakukan semasa puasa;
  1. Menyegerakan berbuka. Berbukalah dengan kurma (tamar) atau sesuatu yang manis.
  2. Melambatkan makan sahur.
  3. Menjauhi perkara-perkara yang kotor.
  4. Mengerjakan solat terawih pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan.
  5. berdoa dan berzikir pada setiap malam sesudah sembahyang witir.
  6. Tadarrus (membaca) al-Quran pada sepanjang bulan Ramadhan.
  7. Memperbanyakkan sedekah.
  8. Ketika berbuka puasa hendaklah berdoa; Ertinya: Ya Allah, untuk Engkaulah puasaku dan dengan Engkaulah aku beriman dan atas adanya rezeki Engkaulah aku berbuka disertai dengan rahmat Engkau wahai Yang Maha Pengasih.
  9. Membaca qunut pada rakaat terakhir sembahyang witir mulai malam ke 15 Ramadhan hingga akhir bulan ramadhan.
Makruh dilakukan semasa puasa;
  1. Berkumur-kumur dan menggosok gigi setelah gelincir matahari.
  2. Memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan.
  3. Mengeluarkan kata-kata kotor dan sia-sia.
  4. Memandang dan mencium bunga atau bau-bauan.
  5. Berbekam jika berbekam itu melemahkan badan.
  6. Merasa makanan dengan lidah.
  7. Mengunyah benda keras yang tidak boleh hancur seperti getah dan sebagainya.
Adab-Adab ketika berpuasa;
  1. menjauhi diri daripada mengumpat, mencela, mencaci, maki-hamun dan perkara-perkara kotor.
  2. Menjauhi diri dari segala perkara yang membatalkan puasa.
  3. Mengurangkan makan dan minum ketika berbuka dan makan sahur.
  4. Mengurangkan tidur terutama pada siang hari.
  5. Manahan hati daripada memikirkan keinginan-keinginan yang hina dan kotor.
  6. Hendaklah selalu mengingatkan bencana pada hari Akhirat.
  7. Menanam rasa penuh harapan terhadap segala amal ibadat kita semoga dibalasi Allah dengan balasan yang setimpal.
Yang dibolehkan ketika berpuasa;
  1. Menyelam dan membasahkan kepala asalkan air tidak masuk ke dalam perut.
  2. Bercelak dan menitiskan ubat ke dalam mata.
  3. Mencium, memegang tangan atau memeluk isteri bagi orang yang kuasa menahan dan mengawal nafsu syahwatnya.
  4. Suntikan dibolehkan. Sekiranya orang yang disuntik itu sakit maka boleh tidak puasa (buka puasa) dan wajib qhada.
  5. Memasuki subuh dalam keadaan berjunub.
  6. Perempuan yang berhenti haid dan nifas pada malam hari bulan puasa, boleh melambatkan mandi sehingga subuh.
Hikmah ibadah puasa;
  1. Melahirkan perasaan ingin tolong-menolong, kasih sayang terhadap fakir miskin, anak-anak yatim dan orang yang melarat hidupnya serta menginsafi akan kesusahan mereka itu yang pernah menderita kelaparan berhari-hari lamanya.
  2. Melatih sifat sabar, kuat dan mempunyai daya tahan untuk menghadapi segala kesusahan dan cabaran.
  3. Melatih sifat amanah.
  4. Menyihatkan badan.
  5. Melatih disiplin.
  6. Sebagai tanda syukur dan terima kasih kepada Allah kerana memberi nikmat yang tidak terhingga.
  7. Menguatkan iman kepada Allah, kerana Dialah kita berpuasa dan dapat menahan diri dari nafsu.
  8. Mendidik jiwa mentaati Suruhan Allah.
  9. Orang yang ikhlas berpuasa dan betul-betul mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.
  10. Meningkatkan keikhlasan.
  11. Melatih menjadi muqarrabin iaitu orang yang dapat menahan diri dari keinginan nafsu keduniaan.
  12. Menginsafkan diri sebagai hamba yang lemah di sisi Allah.
  13. Menjaga diri dari jatuh ke jurang dosa dan maksiat.
  14. Memperkuat fikiran dan daya penglihatan mata hati (basirah).

Hari-Hari Yang Dilarang Berpuasa

  1. Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal)
  2. Hari Raya Aidil Adha (10 Zulhijjah)
  3. Hari Tasyriq, iaitu 11, 12, 13 harubulan Zulhijjah
  4. Hari Syak (hari yang diragui antara 30 haribulan Sya'ban atau sudah masuk 1 haribulan Ramadhan
Hari-Hari Yang Makruh Berpuasa
  1. Berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa berturut-turun dengan hari sebelum atau selepas Jumaat. Tidak makruh sekiranya berturut-turut atau berselang-seli seperti sunnah Nabi Daut a.s. yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat.
  2. Berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa berturut-turun dengan hari sebelum atau selepas Sabtu. Tidak makruh sekiranya berturut-turut atau berselang-seli seperti sunnah Nabi Daut a.s. yang kebetulan jatuh pada hari Sabtu.
  3. Berpuasa terus menerus sepanjang tahun.
Keutamaan Tadarus Al-Quran Di Bulan Ramadhan
  1. Tiap-tiap satu huruf al-Quran yang dibaca dalam bulan Ramdhan itu diberi satu kebajikan oleh Allah.
  2. Membaca al-Quran dalam bulan Ramadhan bererti memohon kebajikan, kerahmatan dan keampunan daripada Allah.
  3. Puasa dan al-Quran itu memberi syafaat kepada orang yang berpuasa dan orang yang bertadarrus al-Quran pada bulan Ramadhan.
Wallahu A'lam

Wednesday 19 August 2009

Antara Ustaz Asri Rabbani dan Michael Jackson

Kematian yang menjemput manusia saban hari adalah suatu fitrah dahsyat dalam kehidupan ini. Kematian juga merupakan titik akhir kehidupan yang bernilai dan dinilai. Tanpa mengetahui masa dan tempatnya, tanpa disangka-sangka, manusia yang hidup di atas muka bumi ini, yang sentiasa terdedah dengan keinginan untuk memiliki, mengasihi segala isi dunia serta mahu sebolehnya hidup lebih lama tiba-tiba telah dijemput oleh hamba Allah yang bernama ‘Izrael (a.s.). Tidak akan terlepas sesiapapun dari kematian, sama ada dia itu si raja, si kaya, si cantik, si glamor, si rakyat, si hamba hatta seorang nabi pun.

25 Jun 2009 yang lalu, satu dunia terkejut dengan kematian raja pop, Micheal Jackson. Para peminatnya menangis pilu dan meraung kesedihan. Begitu beremosi sekali mereka yang mengasihi dan mengaguminya menunjukkan rasa kehilangan. Berbagai-bagai upacara dilakukan termasuklah berhimpun, bertafakur, meletakkan bunga-bungaan dan kad ucapan, berarak sambil membawa sepanduk yang tertulis perkataan “Michael, we love you”, “Michael, we miss you”, “Michael, you’re always in my heart”, “you are not alone” dan berbagai-bagai lagi.

Kemudian, jasadnya diletakkan di dalam keranda mahal dan diberi penghormatan terakhir yang diadakan di Staple Centre yang dihadiri oleh anak-anak, ibu bapa, saudara-mara, sahabat-handai dan beribu-ribu peminatnya. Dalam upacara tersebut, lagu-lagu ratapan dan kesedihan dinyanyikan termasuk lagu-lagu ciptaannya. Para sahabat dan keluarga membuat ucapan khas terhadapnya. Tambah pilu lagi apabila anaknya, Paris-Michael Katherine menangis teresak-esak ketika menyatakan bahawa bapanya seorang bapa yang terbaik.

Dengan pemergiannya itu maka berakhirlah riwayat seorang penghibur dengan membawa pergi segala suka duka kehidupannya, yang tinggal menemani hanya kenangan kepada mereka yang pernah terhibur dengan pesona lagu nyanyiannya.

Jasad yang terkujur kaku itu tidak mungkin bernafas kembali, namun di hati pengagumnya, Michael tidak akan pernah mati.

Dia akan terus hidup dan dekat di hati serta jiwa mereka menerusi lagu nyanyiannya yang bisa membuat penggemarnya tersenyum, ketawa, malah menitiskan air mata kerananya.

Betapa kehidupan misteri lelaki yang pernah dilabel sebagai Wacko Jacko itu akan terus melekat kukuh di hati sanubari pencinta seni.

Lantas pemergian mengejutnya pada tarikh keramat itu akan terus diratapi dan ditangisi masyarakat seluruh dunia biarpun tidak pernah bertentang mata dengannya.

Michael Jaseph Jackson yang lahir pada 29 Ogos 1958 merupakan seorang hamba Allah yang sentiasa diberi ilham untuk mengarang lagu-lagu serta diberi keupayaan untuk menghiburkan manusia seluruh dunia dengan suara dan gerak tarinya terutama tarian moonwalk yang diperkenalkan pada tahun 1983. Hidupnya dipenuhi dengan berbagai-bagai kontroversi. Walaupun pada zahirnya, dia dilihat mewah dan terkenal, namun di sebalik tabir kehidupannya itu, dia sebenarnya kesunyian dan sentiasa murung. Sehinggalah pada akhir hayatnya dia dikatakan mengucapkan dua kalimah syahadah dan menganut agama Islam yang nyata lebih mententeramkan jiwanya. Semoga benar ucapan Abangnya, Jermaine Jackson, “Semoga Allah bersamanya”.

Pada 13 Ogos 2009 pula, rakyat Malaysia terutamanya peminat nasyid tanah air dikejutkan pula dengan kematian Ustaz Asri Rabbani. Beliau seperti yang diberitakan bahawa berkeadaan kurang sihat sebelum rebah pada Majlis pelancaran Program Syahadah, di Angkasapuri. Setelah dihantar ke Hospital Pantai, beliau disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Keluarga, anggota Rabbani dan sahabat-sahabat beliau menziarahi dan menguruskan jenazahnya serta menguruskan pengebumiannya di Perkuburan Islam Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam selepas Maghrib.

Para peminat dan sahabat-sahabat yang mengenalinya, menarik nafas sebak mengenangkan bahawa pemergiannya terlalu awal, iaitu ketika umat Islam di sini masih dahagakan hiburan Islam yang dibawa oleh Rabbani. Lagu-lagu nyanyian Rabbani seperti Assalamualaikum, Mari Berkasih Sayang , Pandanglah Lihatlah bisa menyegarkan jiwa yang layu. Ketika peminatnya menginginkan lagu-lagu ketuhanan pula, lagu Munajat, Insan, Subhanallah akan menjadi pilihan. Manakala lagu Intifada, Pergi Tak Kembali, Bidadari, Adab Sopan adalah lagu segar yang sarat dengan mesej.

Dalam dunia yang dipenuhi dengan budaya negatif dan ibu bapa berdepan dengan cabaran untuk mendidik minda anak-anak maka lagu nasyid yang tepat seperti Rabbani akan diperdengar kepada mereka di rumah mahupun di dalam kenderaan.

Ustaz Asri atau nama Sebenarnya Mohd Asri Ibrahim sebelum menubuhkan Rabbani, beliau adalah salah seorang Vokalis Nadamurni. Sebanyak 44 album telah diterbitkan sepanjang 1986 sehingga 1996 bersama Nadamurni. Pada asalnya Nadamurni mempunyai 20 orang anggota. Mereka berpecah kepada 3 kumpulan iaitu 4 orang bersama Hijjaz dan seorang bersama Raihan.

Ustaz Asri bersama 13 anggota yang lain menubuhkan Rabbani, antaranya ialah Azaddan Abd Aziz, Rahmat Shafie, Mohamad Asri Ubaidullah, Lokman Abdul Aziz, Rithauddeen Yaacob, Zulkifli Azman, Nazrul Tamrin, Effendi Sahabudin, Azizan Khalid dan Hamzah Hashim.

Seperti teman-teman yang lain, saya juga turut merasai pemergiannya. Hati saya berkata, tiada lagi gantinya orang yang bernama Ustaz Asri Rabbani. Lagu-lagunya sejak dari Nadamurni amat mempengaruhi minda hiburan saya. Kini lagu-lagunya sering dimainkan ketika perjalanan dan anak-anak saya juga sudah pandai menyanyikannya. Beliau adalah ikon dan lagenda yang tidak akan terhenti gema suaranya dalam hati para peminatnya.

Saya mendokan supaya Allah swt. Menempatkannya di kalangan orang-orang soleh, dilapangkan kehidupan akhiratnya dan terus mendapat syurga Allah. Beliau sudah berdakwah di jalan Allah dengan merdu suaranya. Moga-moga Allah membalas nikmat di negeri akhirat.

Begitu jugalah harapan saya pada Michael Jackson. Sebagai salah seorang daripada jutaan peminatnya, saya yang juga begitu gembira mendengar berita keislamannya pada pada 21 November 2008 mendoakan agar rohnya dirahmati oleh Allah swt. dan diberi nikmat seperti hamba-hambaNya yang baik.

Walaupun mempunyai persamaan yang sedikit dan perbezaan yang jauh antara Michael Jackson dan Ustaz Asri Rabbani namun hakikat kedua-duanya hanyalah hamba Allah yang telah kembali kepadaNya setelah mengharungi dunia ini dengan meninggalkan karya-karya hebat. Walau bagaimanapun, banyak pengajaran yang boleh dipelajari dari kehidupan mereka berdua selain dari hanya mendengar lagu-lagu mereka. Wallahu a’lam!

Tuesday 4 August 2009

Kelebihan Bulan Sya'ban

Sedar tak sedar tinggal 17 hari lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan yang mulia dan penuh rahmat dan maghfirah...Semoga Allah s.w.t memanjang umur kita semua agar bertemu dengan Ramadhan al-mubarak yang bakal menjelang nanti...Aminn!!!
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Kini kita semua berada di bulan yang mana sabda Rasulullah s.a.w:
Sya'aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sya'aban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa(jasmani dan rohani).

Oleh itu, marilah sama-sama kita memanfaatnya dengan berbuat amal ibadah kepada Allah s.w.t, sebagai permulaan atau persediaan untuk menghadapi bulan ramadhan. Terdapat banyak kelebihan yang terdapat dalam bulan syaaban ini.
Sesiapa yang berpuasa sehari pada bulan Sya'aban, maka diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi teman Nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga kelak dan diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Sya'aban, makan akan dimudahkan Allah atasnya Sakrotulmaut dan terlepas daripadanya kegelapan di alam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Munkar dan Nakir serta ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya.
Sesiapa yang berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya'aban dan akhir khamis daripada Sya'aban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah).
Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w ialah bulan Sya'aban. Sabda Nabi s.a.w.:
Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya'aban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu dan diberkatikan rezeki baginya, antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Dinamakan Sya'aban kerana padanya terdapat dapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Sya'aban.
Pengertian Sya'aban: Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Cahaya.

Sabda Nabi s.a.w.:
Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Qur'an atas segala kalam. Kelebihan Sya'aban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia' (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.
Bulan Sya'aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Sya'aban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya'aban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang tidak menyekutukan (syirik) denganNya sesuatu, kecuali: tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibubapa.

Allah menilik kepada hambaNya pada malam Nisfu Sya'aban maka diampunkan dosa segala makhlukNya melainkan orang syirik dan orang yang tidak bertutur dengan saudaranya. Apabila pada malam Nisfu Sya'aban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyang, beribadat dan puasa kamu pada siangnya. Allah berfirman yang bermaksud: Adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang ditimpa bala Aku akan melepaskannya. Adakah orang yang meminta rezeki maka Aku akan murah rezekinya, demikianlah pertanyaan lainNya sehingga keluar fajar subuh.
Tersebut di dalam Kitab Iqna' : Bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Sya'aban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasulullah s.a.w. kali keduanya katanya: Ya Muhammad! gembirakanlah kamu bahawa Allah Ta'ala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tidak mengsekutukanNya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga.
Bahawa malam Nisfu Sya'aban adalah hari raya Malaikat, begitu juga pada malam Lailatul Qadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadat sepanjang malamnya. Dan bagi anak-anak Adam berhari raya pada siang hari dengan berpuasa dan ibadat, kerana mereka tidur pada malamnya.
Pada malam Nisfu Sya'aban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turunkan ke langit dunia lalu berfirman yang bermaksud: Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintaanya, adakah orang yang meminta, maka Aku perkenankan permintaanya, adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang bertaubat maka aku Taubatkannya dan diampunkan bagi sekalian orang mukmin lelaki dan perempuan melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.
Sabda Nabi s.a.w.: Hai Aisyah! adakah engkau izinkan aku sembahyang pada malam ini? Jawab Aisyah: Ya, aku izinkan, lalu Nabi pun bersembahyanglah sepanjang malam Nisfu Sya'aban itu, beliau telah diambil ruhnya (mati), lalu aku tutupkannya dengan kain, Daku letakkan tanganku di atas dua tapak kakinya. Maka gembira aku kerana beliau masih bernafas lagi dan aku dengar beliau membaca di dalam sujudnya yang bermaksud: AKU BERLINDUNG DENGAN KEMAAFAN ENGKAU DARI SIKSA ENGKAU DAN AKU BERLIDUNG DENGAN KEREDAAN ENGKAU DARIPADA KEHINAAN ENGKAU DAN AKU BERLINDUNG DENGAN ENGKAU DARIPADA KEJAHATAN YANG DATANG DARIPADA ENGKAU, AKU TIDAK TERHINGGA MEMUJI ENGKAU SEPERTIMANA ENGKAU MEMUJI DIRI ENGKAU.
Nabi menyuruh Aisyah mengamalkan doa ini dalam sujud.Sesiapa sembahyang pada malam Nisfu Sya'aban daripada umat Muhammad s.a.w. terlebih afdal daripadanya ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah memberitahu kepada Nabi `Isa a.s, lalu Nabi `Isa a.s. pun berdoa kepada Tuhan: Mudah-mudahan aku daripada umat Muhammad s.a.w.
Telah disebut empat malam istimewa tentang beribadat (berbuat amal kebajikan) iaitu malam Nisfu Sya'aban, malam hari raya aidilfitri yang pertama dan malam Arafah. Disembunyikan malam Lailatul Qadar kerana bahawasanya malam rahmat dan mereka daripada api neraka, supaya sapanjang malam Ramadhan atau sepanjang sepuluh yang akhir daripada Ramadhan umat Muhammad berlumba-lumba dalam ibadat dengan berjaga malamnya. Demikian pula saat mustajab doa pada hari Jumaat.
AMALAN PADA MALAM NISFU SYABAAN:

Selesai sembahyang Maghrib hendaklah dibaca YASIN. Dengan niat panjangkan umurnya dalam mentaati Allah. Kemudian berdoalah. Kemudian dibacakan pula YASIN dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkatinya, kemudian lalu dibacakan doanya. Kemudian dibacakan pula YASIN dengan diniatkan minta mati dalam iman, kemudian lalu dibacakan doanya.

Pada malam Nisfu Sya'aban sangat baik dibanyakkan beristighfar (memohon keampunan) dan taubat dari dosa-dosa besar dan kecil serta meminta diampunkan Allah ibubapa kita dan keluarga kita.
(Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada ada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menjadikan aku dan aku adalah hambaMU, sentiasa berada dalam genggamanMu dan ketetapanMU, tidak ada kesanggupanku. Aku mengaku padaMU nikmatMu atasku dan aku mengaku kepadaMu dengan dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tiada apa yang akan mengampun dosa melainkan Engkau jua. Aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan apa yang telah aku lakukan.
Memohon keampunan dua ibubapa, Maksudnya: YA TUHANKU AMPUNILAH AKU DAN KEDUA IBUBAPAKU DAN RAHMATILAH DUANYA SEPERTIMANA MEREKA MENDIDIK AKU DI WAKTU KECIL.
Memohon keampunan dan taubat diri: (70/100 kali pagi petang) Maksudnya: AKU MOHON KEAMPUNAN ALLAH DAN AKU BERTAUBAT KEPADANYA.
Membaca: (beberapa kali - pahala seperti ibadat seribu tahun).Maksudnya: TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH DAN TIADA KAMI SEMBAH MELAINKAN DIANYA, DENGAN CARA IKHLAS KEPADANYA, LAGI TETAP TEGUH DI ATAS TAUHID, WALAU PUN MEMBENCI OLEH ORANG-ORANG KAFIR.

Membaca Al-Qur'an. Membaca Tasbih: (Seratus kali tiap-tiap satu) Maksudnya: Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi.Maksudnya: Maha Suci Allah dan dengan segala kepujianNya. Maha Suci Allah yang Maha Agung.Maksudnya: Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar (Agong) tiada suatu daya dan tiada suatu kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Agong.
Membaca Selawat Atas Nabi: ( 10 atau 100 kali pagi dan petang.) Membaca Zikrullah: (100 kali selepas sembahyang Subuh dan Asar.)
Sembahayang-sembahyang sunat: Sunat Mutlaq, Sunat Isyraq, sunat Dhuha, Sunat mengiringi Fardhu, Sunat Awwabin, Sunat Tahajjud, Sunat Tasbih, Sunat Witir dan Sunat Hajat di tengah malam sebaik-baiknya memohon hajat sesuatu.

sumber: http://hanistantawi.blogspot.com/

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...