Monday 18 January 2016

Tidak Percaya Pada Orang Lain

Zaman ini adalah zaman orang tidak percaya lagi pada orang lain. Tidak menghormati orang lain. Tidak perlukan orang lain. Mereka lebih suka percaya diri sendiri dan lebih suka melakukan semua kerja sendiri-sendiri. Mereka lebih suka mendapat perhatian orang lain.

Orang zaman ini tidak percaya pada wartawan dan mereka lebih suka menjadi wartawan sendiri. Mereka suka melaporkan kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling mereka dan sebarkannya kepada orang lain. Walaupun tidak menepati ciri-ciri kewartawanan dan etika laporan yang betul tetapi semua itu tidak penting asalkan mereka menjadi juara atas kepelikan dan kecepatan sesuatu laporan itu dibuat. Jika ramai yang 'like' maka itu memberi kepuasan kepada mereka. Jumlah 'like' memberi tanda aras bahawa kerja mereka punyai kualiti dan berjaya menarik perhatian orang ramai.

Begitu juga sekarang, orang ramai tidak suka lagi mendengar nyanyian penyanyi yang terkemuka. Mereka lebih suka menyanyi sendiri untuk diri sendiri dan cuba menarik perhatian orang dengan nyanyian mereka. Makin pelik nyanyian itu maka makin ramai yang menyukainya. Lagu sudah tidak dinilai pada keseniannya tetapi pada tahap kepelikan dan anehan yang terdapat pada penyampaiannya.

Zaman ini juga menyaksikan ramai yang nak jadi pelakon dengan merakamkan lakonan sendiri yang aneh dan pelik lalu disebarkan ke internet sehingga menggemparkan seluruh dunia. Mereka sudah hilang kepercayaan kepada seniman dan biduan. Mereka lebih suka menonjolkan diri pada kadar yang besar lebih besar dari artis-artis yang ada. Malah ada yang bergelar raja parodi.

Kita telah mendatangi zaman yang pelik yang mana manusia sudah tidak perlukan manusia kerana semua manusia ingin melakukan sendiri-sendiri. Maka kebimbangan hal ini terjadi kepada Agama kita (Islam). Ramai sudah yang tidak memerlukan guru untuk belajar tetapi menjadi pandai hanya belajar sendiri-sendiri. Takut-takut yang dia belajar sendiri-sendiri itu tidak sama dengan yang sebenar seperti apa yang berlaku kepada lagu yang tiada seni, seperti kewartawanan yang tiada etika...

Nampaknya ulama dan bijak pandai Islam tidak harus menangani hal ini sendiri-sendiri. Bersendirian sangatlah tidak kukuh dan hanya mengundang serigala yang akan membaham mangsa seperti kita. Harus sekali lagi kita korbankan diri untuk menghadiri jemaah islami yang lebih dekat dengan sunnah.

Wednesday 13 January 2016

Memilih Untuk Berseteru

Jika anda memilih untuk berseteru maka beberapa perkara pokok tentang seteru anda kena faham. Antaranya:-

Seteru, musuh, penentang adalah merupakan orang yang akan melawan anda dengan keadaan yang seburuk-buruk dan sedahsyat-dahsyat yang mampu dan tidak mampu anda bayangkan. Seteru akan cenderung untuk melawan dan membalas dalam bentuk fizikal atau maya pada kadar kekerapan yang banyak atau sedikit bergantung kepada keadaan dan masa.

Anda kena tahu bahawa seteru akan cuba sedaya upaya menyakiti fizikal atau perasaan secara paling buruk dan paling terkesan kepada anda semata-mata untuk menunjukkan perseteruannya. Bila dia adalah seteru anda, anda tidak ada peluang untuk menganggap dia akan jadi baik kecuali anda ubah pemikiran anda bahawa dia tidak lagi musuh anda.

Amat rugi kepada anda jika kekadang seteru anda menyakiti perasaan anda, anda rasa sangat sedih dan kecewa, kekadang mengganggu tugasan kewajipan kepada keluarga dan Tuhan. Sepatutnya anda sudah maklum dan sedia akan tindakan seteru anda. Anda kena faham bahawa memang dalam hati seteru anda hanya ada pandangan buruk terhadap anda sama ada terzahir atau tidak, anda tahu atau tidak, anda dengar atau tidak, anda baca atau tidak. Apabila dia keluarkan apa sahaja kata-kata secara zahir itu sememangnya adalah sebahagian tindakan aktif sebagai seteru yang tidak perlu anda kesalkan kerana anda sudah memilih untuk berseteru.

Tidak akan ada perseteruan jika salah seorang dari anda atau seteru anda tidak menganggap anda atau dia sebagai seteru. Jika hanya seorang sahaja yang menunjukkan sifat perseteruan tetapi seorang yang lain tidak melayan dan menganggapnya perseteruan maka situasi itu akan berakhir. Malah akan timbul penghormatan kerana ia lebih matang dan lebih Islami.

Perseteruan terjadi sebab anda juga melawan dan aktif mengikuti perkembangan sifat perseteruan seteru anda. Malang sekali nasib anda kerana anda mendedahkan diri anda kepada tekanan dan menyakitkan diri sendiri. Kenapa anda perlu menghiris tangan anda dengan pisau yang tajam setiap masa padahal anda sudah tahu pisau itu tajam dan boleh memudharatkan? Simpan saja ia dan keluarkan pisau itu hanya untuk potong sayur dan menjadi alat yang berguna kepada anda serta keluarga anda. Kenapa anda sibuk nak cuba hiris diri sendiri dengan perbuatan anda sendiri?

Jika anda memilih untuk berseteru maka anda bersedialah dan faham risiko berseteru. Tetapi Islam tidak menyuruh untuk berseteru tetapi menyuruh membalas perbuatan jahat seteru dengan kebajikan yang banyak sehingga terzahir akhlak yang mulia yang Nabi SAW ajar selalu. Nabi SAW mengajar untuk berkasih sayang dan bukan berseteru. Berseteru adalah bukan yang Nabi SAW galakkan. Jika kita melakukan apa yang Nabi SAW tidak suka maka adakah kita jamin akan mendapat tempat dalam kalangan umat Nabi SAW?

Kemenangan dan kegembiraan bukanlah milik kita bila kita berjaya berseteru. Tetapi makhluk yang paling gembira adalah syaitan yang sentiasa mencari jalan agar anak cucu Nabi Adam bermusuhan sesama mereka dalam perkara-perkara apa sekalipun sebagaimana berlaku kepada Qabil dan Habil, Nabi Yusof dan saudaranya serta lain-lain.

Cubalah ubah diri dan persepsi terhadap kehidupan. Jangan menyuruh orang berubah dahulu baru kita nak berubah. Ular yang menyusur di akar tidak akan hilang bisanya. Orang yang bijak akan melakukan hal-hal yang positif demi kelangsungan kehidupan. Walau apa pun cabaran dan ujian hadapi dengan tenang dan pemikiran yang terbuka serta tidak mudah melatah. Tunjukkan kehadiran agama dalam diri semasa bertindak. Menuding jari kepada orang sekeliling anda tidak akan mengubah apa-apa. Sebaliknya tauladan yang baik akan menjadi perhormatan dan panduan orang ramai.

Belajarlah bersyukur dan menerima ujian. Ujian bukan sahaja terjadi ketika kematian orang tersayang atau kehilangan harta benda atau kesakitan. Tetapi ujian juga datang dalam bentuk perasaan yang kita tidak suka pada sesuatu. Ketahuilah bahawa ini juga ujian dari Tuhan. Ayat Quran menyatakan bahawa boleh jadi yang kamu suka itu sebenarnya tidak baik untuk kamu dan boleh jadi yang kamu  benci itu sebenarnya baik untuk kamu.

Hidup ini adalah sementara. Perseteruan bukanlah tujuan Tuhan menghidupkan kita di dunia ini. Tetapi tujuan hidup ini adalah sebagai hambaNya. Sujudlah kepada aturanNya yang sudah tersedia. Tidak ada kekuatan dan daya upaya kecuali daya upaya dari Allah Taala.

Wallahu a'lam...






LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...