Monday 31 December 2012

Diskriminasi Fokus

Raya yang lepas, aku memandu hampir 15 jam dari KB ke KL melalui jalan Timur Barat. Perjalanan yang biasanya memakan masa 8 jam sahaja itu terpaksa diharungi melebihi 7 jam daripada kebiasaan. Ini semua kerana musim perayaan yang sememangnya warga kota secara beramai-ramai pulang ke kota setelah berhari raya beberapa hari di desa.

Apa yang aku ingin nyatakan bahawa kita boleh fokus kepada sesuatu benda sekiranya kita mahukannya. Selama 15 jam memandu adalah suatu jangka masa yang agak lama. Aku mampu buat pengfokusan selama masa itu. Akan tetapi kenapa aku sering hilang fokus pada sesuatu yang lain yang lebih penting? Aku selalu hilang fokus pada penulisan. Begitu juga fokus pada kerja. Kerja tak sampai 5 minit dah penat dan tension.

Sepatutnya fokus semasa memandu dijadikan contoh terbaik dalam melakukan kerja. Semasa mamandu kita ada arah dan halatuju. Objektif sangat jelas dengan sebilangan risiko sekiranya kita gagal fokus dan memandu dengan cuai.

Aku sering tertanya-tanya kenapa perlu ada dalam diri diskriminasi kepada fokus. Sedangkan diri kita adalah orang yang sama ketika memandu dan juga ketika bekerja... huh... perlu muhasabah diri

Memahami Hakikat

Kelihatan ramai dari kalangan umat Islam kini tidak memahami hakikat. Mereka sering melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan kadang-kadang melanggari batas hakikat keadaannya yang sebenar. Bukan setakat tindakan sahaja yang melambangkan mereka tidak faham hakikat malah perkataan dan perasaan juga tersasar dari HAKIKAT. Adakah semua ini kesan daripada zaman yang berubah atau kita yang jauh dari hakikat?

Hakikat atau realiti adalah hal keadaan yang sebenar bukan sahaja benar pada pandangan tetapi juga pada logik dan rasionalnya. Hakikat perlu dibuktikan dengan nas atau hujah yang tepat. Sesuatu dikatakan benar bila dibuktikan benar atau kebenaran itu jelas.

Seorang lelaki yang bekerja keras untuk mendapatkan wang tanpa memikirkan halal dan haram adalah seorang yang tidak memahami hakikat kerana dia tidak melakukan hal yang betul. Bekerja adalah ibadah sekiranya pekerjaan itu harus dari hukum dan tidak mendatangkan bahaya pada orang lain. Seorang pekerja perlu mengelak dari melakukan apa yang dilarang oleh agama iaitu seperti mencuri, merompak, menipu, menindas. Tidak boleh juga menjalankan perniagaan yang dilarang contohnya menjual beli benda yang diharamkan oleh syarak, melibatkan diri dengan rasuah, riba dan penindasan. Untuk mendapatkan status ibadah memang sesuatu pekerjaan itu mestilah murni dari sebarang perkara yang dilarang seperti yang disebut di atas. Maksudnya, seseorang yang memahami hakikat diri akan melakukan kerja yang benar dan mendapat rezeki dengan cara yang betul seperti yang ditunjukkan oleh syarak. Benar atau salah sesuatu pekerjaan itu tidak boleh dinilai dengan akal kita sendiri tetapi dengan Syarak.

Begitu juga dengan orang yang selalu menyakiti hati orang lain dan suka menyusahkan orang dengan menghina dan mengeji atau bergurau berlebihan dikatakan sebagai orang yang tidak memahami hakikat. Dalam agama kita, kita memang disuruh melakukan perkara yang baik. Malah lidah dan tangan kita perlu dijaga kerana dua anggota ini disebut sebagai dua lambang keislaman seseorang. Nabi Muhammad (SAW) menyebut "Muslim ialah seseorang yang mensejahterakan muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya". Dalam apa-apa keadaan sekalipun seorang muslim tidak boleh mengeji dan menghina orang lain. Tidak boleh sesekali menyentuh keburukan orang lain sama ada keburukan rupa parasnya atau perbuatannya. Rupa paras adalah ciptaan Allah. Jika kita menghina rupa paras orang lain maka seolah-olah kita menghina Penciptanya. Tidak kira warna kulit atau kecacatan, itu semua ciptaan Allah yang dianugerahkan kepada seseorang. Begitu juga dengan kelakuan buruk seseorangpun tidak boleh sewenang-wenang kita sebut dan war-warkan kepada umum atau menghina si pelakunya denga kata-kata nista dan keji. Apa yang disuruh oleh Nabi Muhammad adalah menyekat kemungkaran sebagaimana kata Nabi Muhammad (SAW) "Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka cegahlah dengan tanganmu atau dengan lidahmu atau dengan hatimu (berdoa), mka ia adalah selemah-lemah iman". Apa yang dikehendaki oleh Nabi (SAW) adalah cegah kemungkaran dan bukannya menghina perbuatan buruk orang lain. Sekiranya kemungkaran telah berlaku maka kita perlu menyekat daripada berulang atau menyekat kemungkaran yang mungkin lebih buruk jika dibiarkan.

Sifat mengeji, menghina, mencela atau membuka keaiban orang tidak sangat membantu untuk mencegah kemungkaran malah ia akan menjadi kemungkaran kepada diri penghina atau pencela pula. Bukan mudah untuk menyekat keburukan orang. Strategi dan perancangan diperlukan dalam uslub dakwah Islamiyyah yang semakin mencabar. Niat yang baik tidak bererti sekiranya tidak disusuli dengan perbuatan yang betul yang boleh menyokong niat itu.

Selain itu juga, wanita hari ini ramai kelihatan tidak memahami hakikat. Ini dibuktikan dengan tindakan mereka dalam melalui kehidupan di zaman moden ini. Wanita adalah ciptaan Allah yang mempunyai hak-hak tertentu dalam masyarakat. Namun, wanita seperti juga lelaki ada keterbatasan tertentu yang ditetapkan. Perkara-perkara yang sering dikedepankan berkenaan dengan wanita adalah seperti pergaulan, aurat, hormat ibu bapa dan suami serta fungsi dalam masyarakat. Lelaki dipertanggung jawabkan untuk menjaga wanita. Manakala wanita dipertanggungjawabkan untuk menjaga diri dan maruahnya. Untuk menjaga dirinya, wanita perlu menjaga dirinya supaya tidak dirosakkan seperti yang dianjurkan dalam Quran dan Sunnah. Jika tidak ada Quran dan tidak ada Nabi maka kita tidak tahu macam mana penjagaan ke atas wanita. Syukurlah ada panduan yang diberikan kepada kita semua.

Wanita perlu ada toleransi kepada masyarakat. Toleransi yang paling wajar adalah hormat kepada lelaki yang bernama bapa atau suami. Bapanya yang membiayainya dari kecil dari segi keperluan diri dan pendidikannya maka sewajarnya diletakkan ditempat teratas dalam hierarki hormat sebelum dia mempunyai suami. Bila sudah bersuami maka hormat itu pula beralih kepada sang suami.

Semua yang difardhukan kepada wanita itu adalah suatu perintah daripada Ilahi. Suatu perintah yang diwajibkan kepada setiap wanita. Semua yang dilakukan itu adalah ibadah bukti perhambaan kita kepada Ilahi. Bukanlah suruhan menghormati suami itu sebagai melambangkan wanita itu rendah tarafnya tetapi ia adalah suatu nilai yang tinggi sebagai pengabdian kepada Allah. Wanita bukan hamba kepada suami tetapi wanita adalah hamba Allah yang bertugas sebagai isteri. Yang menilai kita semua adalah Allah. Dia jugalah yang memberi ganjaran nanti mengikut setiap amalan kita semua.

Wallahu A'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...