Tuesday 27 March 2012

Berdoalah Sentiasa

Bila ingin memulakan sesuatu yang baik kita akan berdoa... "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani... Aku mohon petunjuk dan redhaMu dengan apa yang bakal aku lakukan. Semoga dilindungi olehMu dari awal hingga akhir. Aku berharap ianya menjadi satu ibadah yang bakal dihitung olehMu di hari akhirat nanti".

Dengan doa itu kita melakukan suatu kebajikan dengan niat kerana Allah SWT. Kemudian apabila kita merasa masih kuat untuk melakukannya kita akan pula berdoa, "Ya Allah... aku berharap padaMu agar engkau memberi kekuatan kepada ku ini berpanjangan dan dapat aku meneruskan usaha aku ini dengan baik hingga sempurna... Engkaulah Yang Maha Kuat ya Allah..."

Jika kita merasa semakin lemah kita segera berdoa kepada Allah SWT, "Ya Allah... berikanlah kekuatan kepadaku untuk meneruskan usahaku ini. Aku berlindung denganMu dari segala sifat lemah... Ya Allah... aku ini insan biasa dan tidak dapat lari dari sifat lemah... oleh itu... aku sangat mengharapkan pertolongan Engkau ya Allah untuk memberikanku sedikit kekuatan..." Inilah rintihan kita pada Allah.

Begitu juga bila kita dilanda rasa lalai, resah dan tidak dapat fokus pada usaha kita, dengan segera kita akan memohon kepada Allah untuk mengembalikan tumpuan dan fokus kita pada usaha kita itu selain memohon keampunan dariNya dari kelalaian kita. Kemudian jika kita berjaya menyelesaikan usaha itu kita akan juga berdoa kepada Allah semoga usaha itu menjadi manfaat kepada semua manusia dan semoga Allah memberikan kejayaan yang lebih besar dari kejayaan itu di masa akan datang.

Jika kita gagal menyudahkan usaha itu pula kita akan berdoa pada Allah, "Ya Allah... aku gagal dalam usahaku... berilah aku kekuatan untuk menghadapi kegagalan ini. Janganlah Engkau jadikan kegagalan ini sebagai pematah semangatku untuk aku lebih berusaha di masa hadapan. Ya Allah... aku sangat yakin ada hikmah di sebalik kegagalan ini. Ya Allah... walaupun usahaku ini gagal tetapi aku mengharapkan keredhaan Engkau sepanjang usahaku ini kerana aku juga yakin suatu amalan tidak hanya dikira pada natijahnya atau hasilnya akan tetapi pada usahanya juga."

Ketika kita merasa tersesat dan tersalah langkah dalam usaha kita, selain dari kita sedaya upaya kembali kepada misi dan visi serta niat yang asal kita juga hendaklah segera berdoa pada Allah "Ya Allah... aku mengharapkan petunjuk dariMu ya Allah..." atau " Ya Allah... tunjukkanlah yang benar itu benar supaya dapat aku mengikutinya dan tunjukkan aku yang bathil itu bathil supaya dapat aku menghindarinya..."

Manakala ketika kita diganggu oleh syaitan dan manusia, kita diajar untuk memohon perlindungan dari Allah dari semua itu. Allah Maha Kuasa. Mohon sahaja padaNya dengan syarat jangan hanya berdoa tetapi berusaha kerana Allah tidak akan memberi jika kita tidak mencari seperti burung yang senantiasa terbang di waktu pagi keluar mencari makanan.

Doa adalah motivasi terbesar dalam hidup muslim-mukmin. Orang yang senantiasa berdoa akan merasai kekuatan yang Allah berikan padanya dan dia tidak akan rasa baawa kekuatan itu berpunca dari dirinya sendiri. Seseorang yang berdoa, dia akan mendapat rangsangan dari doanya itu kerana ketika berdoa dia menyebutnya misinya atau sesuatu yang bakal dilakukan itu di depan Tuhannya Yang Maha Agung dan pastinya doanya itu akan didengari oleh Allah, kerana Allah berfirman:
{وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ}

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya padamu mengenai aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa padaKu"

Marilah kita berdoa pada Allah SWT pada setiap masa, ketika senang ataupun sudah, ketika berjaya atau gagal dan ketika sibuk atau lapang. Mintalah apa sahaja dari Allah SWT walaupun sekecil-kecil benda seperti pesan Nabi SAW;

"Mintalah pada Allah walaupun sebuku garam."

Doa bukan sahaja sebagai motivasi atau pencetus kepada usaha kebajikan tetapi juga sebagai senjata untuk orang Islam. Sabda Nabi Muhammad SAW;

الـدعـاء ســلاح الـمـــؤمـــن

Betapa kuatnya orang Islam dari segi mental dan fizikal serta spritualnya jika benar-benar sentiasa mengamalkan doa. Wallahu a'lam... (Ya Allah... semoga tulisan ini menjadi manfaat kepada semua dan ada ganjaran di sisiMu... Amin)

Tuesday 20 March 2012

Sayu di Kuburan

Pagi itu, hari Jumaat yang shahdu, aku melangkah menuju ke kuburan. Terdetik perasaan dan keinginan untuk menziarahi orang yang telah pergi mendahului aku. Sesampai di sana aku memberi salam... dan aku tahu salam ku pasti dijawab.

Aku mulai berkata-kata, "Ma... Hisyam datang... dah lama tak jenguk Ma... "

Kenapa aku ini sukar datang menziarahi Ma. Sibuk sangatkan cucumu ini. Atau kenapa mudah sangat lupa pada Ma.

Pasir di sekitar kubur Ma nampak bersih. Tiada rumput pun. Rumput sudah dibuang oleh Khali (bapa saudara) yang datang setiap Jumaat. Yang ada atas kuburan itu hanyalah dua anak pohon kemboja yang ditanam ketika pengkebumian Ma.

Pagi yang hening itu, matahari baru terbit separuh tapi sudah cerah. Baru jam 7.10 pagi. Orang kampung baru sahaja mendatangi kuburan menziarahi arwah keluarga mereka. Mereka kelihatan baru memulakan bacaan tahlil dan surah yasin.

"Ma... aku nak baca yasin Ma..."

Ketika mula membacakan surah itu, hatiku menjadi sayu terkenang kenangan bersama arwah Ma. Dan suaraku tersekat kerana kerongkongku mula menutup... tiba-tiba air mataku menitis. Aku cuba memberi perhatian pada bacaan yasin tetapi sesekali hatiku berbicara sendiri. "Ma... maafkan cucumu ini... maafkanlah aku... cucucmu ini bukan cucu yang baik dan tidak banyak jasa padamu sepanjang hayatmu. Cucumu ini sering mengabaikanmu... tidak selalu dan sering menghiburkanmu..." Titisan air mata melaju turun dan jatuh ke tanah... syahdunya.

Selesai bacaaan yasin dan tahlil serta doa aku sekali lagi berkata-kata, " Ma... Ma duduklah kat sini dulu... satu hari kita akan jumpa lagi...

"Hisyam balik dulu Ma... ada masa nanti Hisyam datang..."

Sebelum pulang aku pergi ke kubur arwah Su di hujung sana. Setelah melihat nama su tertulis di suatu nisan aku segera memberi salam, salam rindu dan hormatku pada arwah.

"Su... Hisyam datang Su... Su apa khabar? Lama tak jumpa Su. Sunyinya balik kampung setelah Su tidak ada lagi..." Air mata mula menitis lagi. Senyuman Su jelas terbayang. Wajah tenangnya bisa meredakan semua orang yang memandangnya. Jasanya padaku dan pada keluargaku tidak terhitung. Hidupnya penuh dengan duri ranjau perjuangan dan kasih sayang. Dialah juga yang mengajarku menjadi seseorang. Tidak akan aku lupa sedikitpun.

Selesai membaca beberapa surah dan berdoa aku berdiri, dengan genangan air mata aku memberi salam dan meminta diri untuk pulang. InsyaAllah aku akan menziarahi mereka lagi setiap kali aku balik ke kampung.

Thursday 8 March 2012

Minda Yang Merdeka

Haji Ma tersenyum mendengar pertanyaan Ma Ho. Dia berkata, "Kehebatan ilmu mantik akan menjadikan seseorang itu lebih pintar daripada orang lain."

Dahi Ma Ho berkerut, seolah-olah meneliti maksud kata-kata ayahnya. Dia berkata, "Bukankah pakaian indah, rupa paras yang cantik dan segak seseorang membuat seseorang lebih disukai daripada yang berpakaian compang-camping dan rupa paras yang buruk?"

Haji Ma menjawab. "Aspek luaran hanya salah satu daripada ciri-ciri bagi menilai sesuatu."

Ma Ho bertanya, "Bukankah kemampuan menilai keindahan fizikal juga menunjukkan kehebatan ilmu mantik seseorang?"

Haji Ma tersenyum lagi lalu berkata, " Dia hebat hanya apabila dia menilai keindahan fizikal itu dengan kesedaran, di sebalik keindahan itu ada penciptanya."

"Maksud ayah semua penafsiran perlu berlandaskan keesaan Tuhan?"

"Ya benar, malah seluruh kehidupan kita perlu berpaksikan pengabdian kepada Tuhan."

"Bagaimana dengan perhambaan manusia kepada manusia? Adakah manusia yang diperhamba itu berdosa sedangkan dia tidak mempunyai pilihan?"

"Seseorang itu menjadi hamba kepada makhluk yang lain apabila mindanya tidak merdeka, walaupun dia bukan seorang hamba kepada manusia."

"Adakah seseorang hamba kepada manusia dianggap merdeka apabila fikirannya bebas?"

"Selagi seseorang insan itu dapat berfikir tanpa minda terbelenggu, maka dia bebas berfikir. Namun begitu kebebasan berfikir perlu sentiasa berlandaskan tauhid kepada Tuhan."

Ma Ho berkata, "Ertinya seorang hamba kepada maharaja pun pada hakikatnya seorang yang merdeka selagi dia tidak mahu mindanya diperhamba?"

"Bahkan selagi dia menganggap dia hamba Tuhan semata-mata, maka walaupun dia seorang tawanan perang ataupun hamba kepada maharaja China sekalipun, maka selagi itulah pada hakikatnya dia seorang yang merdeka."

"Ayah, adakah seseorang boleh menjadi hamba kepada dua orang tuan?"

Haji Ma berkata, "Tidak mungkin! mustahil! Apabila seseorang dimiliki oleh dua orang tuan, maka satu daripadanya mempunyai tuntutan yang lebih kuat. Sebagai contoh seorang hamba kepada maharaja, juga adalah hamba Tuhan. Tetapi pada hakikatnya hamba maharaja adalah hamba Tuhan semata-mata. Maka tuntutan maharaja ke atas hamba itu dengan sendirinya terbatal kerana Tuhan jua memiliki sekelian alam."

Petikan dari Novel Laksama Cheng Ho: Pemimpin Armada lautan Barat, Imran Yusuf, PTS Litera Utama, 2011, ms 21-22.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...