Thursday 29 October 2009

Sahabat Aku

Pagi Selasa lalu telefon bimbit aku berbunyi. Di skrin terpapar entah nombor siapa. Aku tak pernah simpan dan tahu nombor itu. Aku angkat dan letakkan di telinga. Bila terdengar suara itu memberi salam, aku sudah tahu siapa di talian. Bukan orang lain lagi. Sahabat karib aku, Jan (Shah Rizan).

“Syam, aku kat KL nih…”, Jan memberitahu lokasinya.

“KL…? Bila sampai?”, aku bertanya.

“Pagi ni, baru sampai”.

“Anak, isteri datang sekali?”.

“Tak, aku bawak anak murid aku”.

“Ooo… berapa hari kat sini?”.

“Besok malam kami balik”.

“Ok Jan, nanti petang aku call balik, aku ada meeting kejap”, aku memberitahu keadaan aku sekarang yang kebetulan pagi ni ada delegasi dari ILIM datang melawat Akademi.

“Ok ye… assalamualaikum”.

Aku menjawab salam sebelum mengakhiri perbualan singkat dan tidak dijangka itu.

Yang pastinya Jan sudah berada di KL. Inilah peluang untuk aku berjumpa dengan sahabat aku itu selepas aku tidak berkesempatan untuk berjumpa dengannya pada hari raya baru-baru ini. Walaupun rumahnya tidaklah seberapa jauh dari rumah aku, namun, timing sentiasa tidak betul ketika di kampung.

Setelah urusan pejabat beransur diselesaikan, petang itu aku kembali menelefoninya. Dari perbualan kami kali kedua dapatlah aku fahami lebih banyak tentang lawatannya ke KL. Lawatan itu terdiri dari 40 orang murid tahun enam dan diiringi 9 guru. Mereka menggunakan kereta api dari Tanah Merah Ke KL Sentral. Hari ini, Mereka akan melawat Pusat Sains Negara, KL tower dan Putrajaya. Malam ini mereka akan menginap di Hotel Maxico; berdekatan dengan KL sentral.

Aku segera memberi tahu dia bahawa aku akan berjumpa dengannya pada sebelah malam nanti iaitu selepas dia balik dari Putrajaya.

Malam itu, aku membawa isteri dan anak-anak sekali ke pusat Bandar. Dalam perjalanan, sekali lagi Jan menghubungi aku dan memberitahu Joe (Aziron Mohd Noor) dalam perjalanan ke Hotel tempat penginapannya.

Setelah berjumpa di KL Sentral, Jan bersama Joe serta isteri (Kak Zira) membuntuti kereta aku ke sebuah restoran di Lembah Pantai.

Di sinilah kami bertanya khabar dengan lebih-lebih terperinci dan bertukar-tukar cerita. Dari cerita diri sendiri, tentang kerja, anak, isteri dan aktiviti mereka semua sehinggalah kepada cerita-cerita pada masa dulu-dulu ketika kami sama-sama bergelar student.

Kami (aku, Jan dan Joe) adalah rakan satu sekolah, iaitu sekolah Sekolah Menengah Arab Meheliah Geting, Tumpat. Selepas SPM (1998) kami berhijrah ke Sekolah Menengah Arab Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian bersama empat lagi rakan lain iaitu Zek (Mohd Nazri Hassan), Badrul (Badrul Hisham), Che Othman Abdullah dan Roney Ibrahim. Kami bertujuh menyewa rumah kayu yang ala-ala pondok berdekatan dengan kawasan sekolah. Tiga bulan kami di sekolah baru, Joe, Jan dan Zek mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di Matrikulasi UIA. Badrul pula pindah ke sekolah lain (sekarang sudah lost contact). Tinggallah kami bertiga di Ar-Rahmah Kenali. Selama dua tahun kami di situ. Tahun pertama kami mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Ugama (STU) dan tahun kedua (STPM). Semasa di tingkatan enam atas, Roney pula mendapat tawaran Maktab Perguruan di Batu Rakit, Terengganu. Tetapi dia masih menghadiri peperiksaan STPM walaupun pada masa itu dia dan bergelar student Maktab Perguruan. Jadi hanya kami bertigalah yang tinggal di situ sehingga akhir.

Tahun 2000, Che Othman mendapat tawaran UKM dan aku UIA. Di UIA sekali lagi aku berjumpa dengan Zek, Joe dan Jan. kami sempat melalui Taaruf week (Minggu Sua Kenal) bersama di Main Camp (UIA Gombak).

Semasa di UIA, aku tidak ada ramai kawan. Boleh dikatakan mereka bertigalah yang selalu bersama aku. Banyak aktiviti yang kami buat bersama seperti; jalan-jalan di Bandaraya, berkelah dekat air terjun belakang UIA, menangkap atau memancing ikan, lepak-lepak dan lain-lain kegiatan yang luar kebiasaan student UIA. Malah kami sering balik kampong bersama. Kami juga adalah anggota persatuan COMRADE yang sering masuk kampong orang asli setiap kali cuti pengajian. Cuma bidang pengajian kami agak berbeza yang menyebabkan aktiviti akademik kami tidak dilakukan bersama.

Kini, Joe dan Jan dah jadi ustaz masing-masing di Cheras Dan Tanah Merah. Che Othman bertugas di Jabatan Kaunseling di UKM. Zek dan Roney jadi guru masing-masing di Terengganu dan Sabah. Semua sudah ada kerjaya.

Tentang anak-anak pula, Joe, Jan dan Othman sudah ada anak satu masing-masing. Zek dan aku masing-masing dua. Roney juga dah ada anak, tapi entah berapa orang (sebenarnya aku sudah lama tak jumpa Roney). Alhamdulillah, kami sudah ada anak dan isteri.

Pertemuan pada malam itu merupakan pertemuan yang agak meriah memandangkan banyak cerita yang ingin ditanya dan disampaikan. Sambil-sambil menikmati makanan, satu demi satu kisah dirungkaikan yang diselangi berbagai-bagai gurauan. Ternyata kami masih orang yang sama. Masih mahu kebudak-budakan dan masih boleh ketawa. Cuma sedikit berbeza pada susuk tubuh yang masing-masing melebar. Zira, isteri Joe yang nampak kurang sihat (kesihatannya terganggu selepas melahirkan anak pertama) hanya mahu menjadi pendengar, jawab bila ditanya sahaja. Mungkin disebabkan faktor kesihatan itu juga anaknya kini dijaga oleh emaknya di kampung. Manakala isteri aku pula hanya mencelah ketika perlu, kerana sibuk melayani dua puteri kami, Nadhirah dan Syahirah.

Jan juga menceritakan prihal anak lelakinya yang seusia Syahirah, setahun lebih, yang sedang lasak. "dah tak boleh pegang sekarang ni, kalau gi shopping dia hanya mahu berlari je, tak larat nak kejar. kat rumah pulak, bukannya reti berjalan, berlari...!", sambil menunjukkan isyarat tangan ke kiri dan ke kanan.

Melalui perbualan kami itu juga, aku mendapat tahu sedikit sebanyak perkembangan rakan-rakan yang lain. InsyaAllah kami akan membuat pertemuan reunion dalam masa terdekat. Cuma sekarang aku akan berusaha untuk menghubungi semua rakan-rakan aku itu.

Tuesday 27 October 2009

Anak Jantan

Bahasa puitis tradisional tentang anak jantan – manusia ideal bagi orang melayu


Apa tanda si anak jantan

Anak jantan matinya di tengah gelanggang

Tidurnya di puncak gelombang

Makannya di tebing panjang

Langkahnya menghentam bumi

Lenggangnya mengipas semak

Tangisnya terbang ke langit

Esaknya ditelan bumi

Yang tak kenal air mata

Tak kenal tunduk terkulai

Siapa Malcolm X

Malcolm X dilahirkan di Omaha pada tahun 1925 dalam sebuah keluarga besar – 10 orang adik beradik. Bapanya adalah penganut agama kristian yang kuat. Sejak kecil hidupnya berpindah randah mengikut ibu bapanya.

Mereka akhirnya menetap di Lancing, Machigan. Kedua-dua ibu bapanya meninggal ketika Malcolm X masih remaja.

Malcolm X membesar sebagai anak kulit hitam yang lain, yang menghadapi diskriminasi dan tekanan daripada golongan kulit putih. Malcolm X meninggalkan sekolah lebih awal dan mencari kerja di New York. Dia bekerja sebagai pelayan di Harlem.

Kehidupan yang sukar menyebabkan dia mula menjual dadah – Marijuana dan menjadi penagih kokain. Beliau kemudiannya menjadi perompak dan pada tahun 1946 dia ditangkap dan dipenjara.

Di dalam penjaralah Malcolm X mengenal Islam melalui pemimpin kulit hitam Elijah Muhammad. Selain Islam, Malcolm X juga mendapat Ilmu dari buku-buku yang dibacanya. Di sinilah Malcolm X mengasah bakat kepimpinan dan daya intelektualnya. Elijah memperjuangkan Islam dengan pandangan yang penuh perkauman dan dendam terhadap kulit putih. Itulah pandangan Malcolm terhadap Islam yang dianutinya.

Malcolm X keluar dari penjara pada tahun 1952. Beliau menjadi pendakwah Islam sepenuh masa dan memperjuangkan Islam serta hak kesamaan kulit hitam dan kulit putih.

Kepintarannya berhujah dan memberikan idea menjadikan Malcolm X lebih popular dari daripada Elijah. Publisiti yang diterimanya dari akhbar dan TV menjadikan Malcolm X dicemburui oleh banyak orang termasuk Elijah.

Pada tahun 1963, Elijah menyingkirkan Malcolm X daripada gerakan Muslim kulit hitam. Malcolm menubuhkan kumpulan protesnya sendiri – Pertubuhan Perpaduan Afro-Amerika (PPA-A).

Pandangan Malcolm X terhadap Islam dan fahaman perkauman berubah apabila beliau mendapat peluang mengerjakan haji ke Mekah pada tahun 1964. beliau mula memahami betapa indahnya konsep kesejagatan perdamaian dan keamanan yang diutarakan oleh Islam. Di Mekahlah juga Malcolm X menginsafi bahawa bukan semua orang kulit putih itu kejam dan bukan semua orang kulit hitam baik.

Malcolm X kembali ke Amerika dengan nama baru iaitu Al-Hajj Abdul Malik Al-Shabazz dan semangat baru memperjuangkan Islam. Pertubuhan Perpaduan Afro-Amerika yang diasaskannya membawa pendekatan yang lebih diplomatik dan sederhana, tidak lagi perkauman dan penuh dendam terhadap kulit putih.

Kumpulan ini bagaimanapun hanya dapat mengumpulkan sejumlah kecil penyokong pada saat Malcolm X dibunuh dengan kejam pada 1965.


Wasiat Hassan Al-Banna

Saudaraku,

Seandainya kau tangisi kematianku

Dan kau siram pusaraku

Dengan air mataku

Maka di atas tulangku yang hancur luluh

Nyalakanlah obor buat ummat mulia ini

Dan teruskanlah perjalanan ke gerbang jaya.


Kematianku adalah suatu perjalanan

Mendapatkan kekasih yang sedang merinduiku

Taman-taman di syurga

Bangga menerimaku

Burung-burung berkicau

Riang menyambutku

Bahagialah hidupku di alam abadi.


Puaka kegelapan pasti akan hilang

Dan alam ini akan disinari fajar lagi

Biarlah rohku terbang

Mendapatkan rindunya

Janganlah gentar berkelana di alam abadi

Nun di sana fajar sedang memancar!

  • wasiat terakhir As-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna sebelum digantung oleh rejim Thaghut Jamal Abdul Nasser-
  • Perjuangannya menjadi ikutan para Mujahid dan Mujaddid kini.
  • Peribadinya menjadi idola insan-insan yang ingin syahid.
  • Gerakan yang diasaskannya terus hidup dan mendapat sokongan seluruh pejuang Islam di seantero dunia JIKA MUSLIMIN TERUS BERGERAK DENGAN PANJI-PANJI ISLAM MESKIPUN KEKANGAN SERIBU KEKANGAN DAN TENTANGAN DATANG BERTUBI-TUBI DARI PIHAK THAGHUT KUFFAR!!!

Wednesday 21 October 2009

Perjuangan Kita

Sajak ini pernah aku deklamasikan pada malam sambutan Sepuluh Tahun COMRADE UIA, 4 Oktober 2002, berduet dengan Muniyati Abdul Kadir.


Sebuah sajak yang selamba…


Perjuangan kita.


Aku rasa bukan sia-sia mendaki bukit, meredah hutan bersama kawan-kawan

Malah inilah medan perjuangan selayak dengan daya kekuatan usia kita

Yang masih muda belia… apa salahnya kita juangkan sedikit tenaga, masa

Bersama mereka yang masih dahagakan ilmu dan iman jauh sekali kemodenan.

Yang hidup dalam serba kekurangan dan kegelapan…


Aku rasa bukan sia-sia ketika aku turun ke lembah untuk memancing ikan

Bersama budak-budak yang kotor berselut, berbau hapak dan hingus kering di pipi

Namun mereka bersuka-ria dengan kehidupan beralunan nyanyian kebebasan

Sebebas unggas di hutan yang terbang ke sana ke mari, bergurau senda bersama

Tiada keganasan macam yang kita rasai di hutan batu…


Aku rasa bukan juga sia-sia bila aku mengenali dan menghayati kehidupan mereka

Yang daif pada pandangan, namun kaya pada ketenangan dan kedamaian

Dapat merasai nikmat yang Allah berikan pada tangan sendiri

Dari kecil bila dewasa terus mengasari tangan sendiri, menarik rotan,

Tanam padi atas bukit, cari akar kayu…. Jadi hamba keparat penghisap darah mentah.


Demi kehidupan yang temurun diwarisi mereka akur dengan keadaan diri

Cuma mengharapkan generasi kini mengubah kembali pilihan moyang dulu

Yang memilih jalan sepi di hutan demi menjaga adat resam sendiri

Dan mengubah nasib bangsanya…yang moden pada kemusnahan…

Kerana mereka kenali kemajuan hanya pada keseronokan dan hiburan

Perjuangan kita… seharusnya tiada noktah… kerana pada tangan kita

Terletak satu amanah ilmu…yang perlu disampaikan pada yang perlu.


Dan bukan sia-sia kita berjuang…bukan sia-sia kita berjalan jauh

Menyusuri jalan sempit nan redup… gugur keringat dan kepenatan

Menuruni selekoh bahaya… namun… kita gembira kerana

Di situ kita tersenyum tanda syukur pada Ilahi

Yang memberi kudrat sebagai pencinta.

Pencinta kedamaian, ketenangan dan... kasih sayang.


Pada malam ini, kita bangga dengan perjuangan kita selama ini

Setelah sepuluh tahun berlalu, kita masih gagah membawa misi

Dalam mencari keredhaan yang hakiki juga ketenangan tersembunyi

Lihatlah temanku… kini terbukti

Perjuangan kita bukan sia-sia… hasilnya sama-sama kita rasai…

Teruskan berbakti... teruskanlah!


Wan Norhisyam

A 4.5 Mahallat Bilal

2002

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...