Thursday 25 February 2010

Pesan Ibu - Pesan Nabi s.a.w.

Seseorang berkata; “mak aku dulu selalu pesan, jangan tinggal solat, buatlah perkara baik dan sentiasa menjaga adab”.


Seseorang yang lain pula berkata; “a’aa… betul la… mak saya pun ada pesan, hati-hati dalam pergaulan. Jangan berkawan dengan orang tak tentu arah”.


Ada juga yang berkata; “disebabkan oleh pesan-pesanan mak dan ayah lah saya menjadi orang berguna”.


Tanpa kita sedari, pesanan-pesanan yang baik daripada orang tua yang kita sayangi serta hormati walaupun jauh di mata atau sudah tiada lagi di dunia ini telah menjadi suatu panduan, azimat dan prinsip hidup kita sehingga kita berjaya. Kita telah berjaya dari semua segi, kerjaya, keluarga dan bermasyarakat.


Dalam pada kita merasakan pesanan-pesanan daripada orang tua kita itu adalah panduan hidup yang boleh membawa kita kepada kejayaan dan keselesaan, jangan kita lupa bahawa pesanan yang datang itu adalah dari sumber Penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w.. Dialah yang terlebih dahulu berpesan kepada sahabat-sahabatnya dan pesanan itu diturun-temurun sehingga kepada kita dengan melalui pelbagai bentuk; pendidikan, pembacaan, pengkisahan dan sebagainya.


Kadang-kadang kita merasa bangga kerana ibu dan bapa mendidik kita! Tidaklah salah kiranya merasa bangga dan membalas budi baik ibu bapa. Namun, apa yang lebih mustahak adalah kita mesti sedar bahawa Rasulullah s.a.w. telah mendidik kita. Bagindalah yang memberi pesan kepada kita sehingga katanya: “aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selamanya sekiranya kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu, KitabaLlah (al-Quran) dan Sunnahku”.


Kita akan sentiasa memperolehi suluhan cahaya hidayah dari Allah sekiranya kita masih mengamalkan apa yang terkandung dalam al-Quran dan apa yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Bukan sahaja kita tidak sesat di dunia malah tidak akan sesat di akhirat.


Amalan atau ajaran yang lain selain dari ajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah ajaran yang tidak patut kita utamakan kerana semua itu akan menjerumuskan kita ke arah kesesatan. Penekanan harus diberikan kepada asas-asas Islam yang sejati. Bukan hanya wajib dan wajar pada pendidikan anak-anak yang masih kecil malah wajib menjadi agenda utama kepada mereka yang lebih dewasa.


Kalam suci al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w. bukan hanya patut kita hormati dan sanjungi secara ritual, teknikal malah lebih patut kita menghormatinya secara praktikal. Mempraktikkan al-Quran dan hadis adalah lebih baik daripada hanya menyimpannya di tempat-tempat yang tinggi. Ini kerana ajaran yang datang dari Nabi Muhammad s.a.w. itu bukan untuk dijadikan hiasan malah ianya patut disebarkan dalam pelbagai bentuk dan amalan.


Kesimpulan yang ingin saya sampaikan adalah, kita wajib menghormati ibu dan bapa. Berkhidmat kepada mereka kerana mereka mendidik dan mengajar kita ilmu-ilmu kehidupan. Mencurahkan segala pengalaman dengan penuh kasih sayang. Oleh sebab itu, kita juga adalah wajib menghormati, menyayangi dan berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w. malah lebih dari itu. Ini kerana, dialah yang mendidik kita, mendidik ibu bapa kita, datuk nenek kita, mendidik seluruh kaum muslimin dari zaman kemunculan Islam sehingga kini. Dialah yang menyampaikan ajaran-ajaran suci dari Allah ‘Azza wa Jalla. Berkorban diri, harta dan tenaga untuk menyampaikan Islam. Baginda Rasulullah s.a.w. berkata: “tidak sempurna iman kamu sehingga aku dicintai lebih daripada keluarganya, hartanya dan manusia seluruhnya”.


Wallahu Ta'ala A'lam

Friday 12 February 2010

Berhenti Mencari Ilmu

Disebut di dalam al-Qur'an bahawa Allah s.w.t. Maha 'Alim seperti di dalam surah as-Sajdah, "...Dia Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata...". Tidak ada sesuatupun yang terlepas dari pengetahuanNya.

Dia bukan sahaja Maha Alim, Dia juga mengajar ilmu-ilmu kepada manusia kerana manusia makhlukNya yang dapat menyerap ilmu sebagaimana yang berlaku kepada manusia pertama, Nabi Adam a.s.; "...allama Adam al-asma'...", Allah mengajar Nabi Adam nama-nama (pengetahuan).

Selain itu, Allah lah yang memberi pengetahuan kepada manusia dari awal hingga kini dan selamanya selagi dunia belum kiamat. Ilmu dari Allah datang kepada manusia dalam berbagai-bagai bentuk seperti wahyu yang diturunkan kepada nabi-nabi dari kalangan manusia supaya manusia itu sendiri boleh mengikuti ajaran merekan dengan senang.

Allah s.w.t. juga boleh memberi ilmu kepada manusia yang dikasihiNya berbentuk ilham, kemahiran dan sebagainya. Ilmu juga ada yang senang difahami dan ada juga yang perlu kepada pengamatan yang mendalam dalam usaha memahaminya.

manusia juga disuruh untuk meneliti, merenungi dan menghayati alam ciptaan Allah ini dalam usaha untuk mendapat ilmu. Kerana sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi ini ada tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t..

Islam mengajar supaya kita menuntut ilmu sebanyak mungkin. sebagai makhluk yang dapat menyerap ilmu, manusia tidak harus mensia-siakan keupayaan yang ada untuk menambah ilmu. Ilmu atau maklumat amat berguna untuk mengatur-uruskan dunia ini mengikut kehendak Allah s.w.t. dengan berkesan. Ilmu bukan sahaja penting dalam usaha manusia untuk memperolehi kedudukan yang baik di dunia malah juga amat penting untuk mendapatkan tempat yang baik di akhirat. Sesiapa yang tidak menguasai maklumat akan pasti ketinggalan.

Seharusnya usaha menyerap dan menguasai ilmu ini tidak harus terhenti pada fasa-fasa usia tertentu. Menuntut ilmu wajib dilakukan berterus-terusan sehingga ke saat nafas yang akhir. Sama ada ilmu syariah atau ilmu semasa kedua-duanya amat berguna untuk melalui perjalanan kehidupan ini juga berguna buat menjawab persoalan yang timbul dalam kecelaruan masyarakat.

Marilah kita sama-sama memartabatkan diri umat Islam dengan mendekatkan diri kita secara individu atau berkelompok dengan keilmuan yang terbentang luas di depan mata. Hanya mereka yang enggan dan merasa diri sudah cukup alim (angkuh) sahaja yang tidak mahu menyahut seruan ilmu yang amat dasar ini. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini. Wal 'iyazu biLlah...

Saturday 6 February 2010

Kuarters Guru

Agak membosankan kalau aku tidak benar-benar membawa computer riba milik adik bongsu aku ke Pusat servis Nissan, Batu Caves pagi ini. Masa 4 jam menunggu ini amat membosankan. Nak balik rumah bukan senang jika tidak ada kenderaan sendiri. Tambang teksi agak mahal akhir-akhir ini. Tambahan pulak aku ini bukan jenis suka membazir jika sekadar nak balik rumah dan datang balik ambik kereta dengan susah payah. Fikir-fikir lebih baik menunggu sahaja di sini.

Dari pagi lagi pusat servis ini penuh. Bilik menunggu pun penuh. Para mekanik agak sibuk. Namun semuanya nampak teratur. Mereka ini kelihatan bekerja dengan dedikasi dan professional. Setakat ini aku agak berpuas hati walaupun cas yang dikenakan tidak murah.

Kesempatan yang ada ini aku guna untuk melayari laman kegemaran aku kini (facebook, blog-blog, berita online dll.) disamping meng'update' beberapa laman yang aku miliki seperti blog ini.

So... pada masa menulis blog ini juga aku mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa kami sekeluarga tidak lagi tinggal di rumah sewa tuan haji Ahmad di Batu 10 Gombak. Kami kini tinggal di kuarters guru batu 8, bersebelahan dengan International Islamic School (IIS).

Perpindahan yang memakan masa selama sebulan untuk dibereskan, yang dibuat sedikit demi sedikit, dengan keadaan barang yang banyak, nak kemas, susun, bersih, reject itu dan ini, menyebabkan aku sangat letih sekali gus tidak sempat mengemaskini blog ini. Azam untuk membaca buku setiap hari pun terganggu.

Kini, setelah selesai (walaupun ada beberapa hal kecil lagi yang belum benar-benar beres) aku harapkan aku dapat istiqamah untuk membaca buku dan novel setiap hari. Dan daripada semua itu aku akan lebih releks untuk mengisi blog ini dengan idea-idea atau maklumat yang segar dan baru.

Akhir kata... Selamat berhari minggu. Wassalam...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...