Monday, 18 October 2010

Motivasi Dari Pelombong Chile

Sukar dibayangkan kalau kita menjadi salah seorang yang terperangkap di bawah tanah sedalam 625 meter dalam keadaan gelap, tanpa udara yang bersih, tiada makanan yang cukup dan terputus hubungan dengan dunia luar. Yang ada hanyalah lampu suluh yang akan malap dalam beberapa hari sahaja lagi...

Bagaimanakah perasaan kita jika hal seperti itu benar-benar terjadi pada diri sendiri? Mungkin yang terbayang hanyalah kematian... Namun sebelum mati... mungkin kita akan kelaparan, kebuluran, dahaga, sedih, takut kecewa dan putus harapan. Hidup umpama dipenjara. Setiap saat terasa begitu lama. Berkemungkinan juga runtuhan tanah akan berlaku bila-bila masa!

Beginilah keadaan pelombong yang terperangkap setelah mendapat bantuan.

Hakikatnya, itulah yang terjadi kepada 33 orang pelombong Chile di lombong San Jose yang terperangkap sejak 5 ogos 2010 apabila lombong emas dan tembaga di utara Chile itu runtuh. Bukan satu hari atau satu minggu tetapi selama 69 hari sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat negara mereka dengan menggunakan Pheonix 2, kapsul setinggi 4 meter yang direka khas. Ia adalah rekod paling lama manusia terperangkap di bawah tanah dan terselamat.

Kapsul Pheonix 2 yang direka untuk menyelamatkan pelombong yang terperangkap dan hanya seorang sahaja yang boleh menaikinya dalam satu masa.

Pelombong berkenaan terperangkap selepas sebahagian daripada lombong di kawasan gurun itu roboh menutup laluan masuk.

Beberapa minggu selepas kejadian, pelombong berkenaan dianggap sudah mati sehingga Ogos 22 apabila mereka menghantar surat yang ditampal kepada gerudi bahawa mereka masih selamat. Sejak itu pasukan penyelamat menurunkan bekalkan makanan, air, ubat dan udara untuk pelombong terbabit.

Setelah lebih dua bulan terperangkap mereka akhirnya seorang demi seorang ditarik keluar ke permukaan. Penantian itu berkhir dengan sorakan, tepukan dan airmata kegembiraan oleh keluarga, penyelamat serta pemimpin mereka Presiden Chile, Sebastian Pinera yang setia menunggu saat-saat 'pembebasan'. Kegembiraan itu bukan sahaja dirasai atau dialami oleh mereka yang berada dilokasi menyelamat dijalankan malah dikongsi dan dizahirkan oleh seluruh rakyat Chile.

Rakyat Chile bergembira kerana pelombong-pelombong berjaya diselamatkan

Bagi saya, hal seperti ini adalah sangat hebat. Betapa semangat persaudaraan yang ditunjukkan oleh mereka. Salah seorang pelombong, Mario Sepuldeva Espina menzahirkan ucapan "saya benar-benar bernasib baik. Tuhan bersama saya." sambil memuji operasi dijalankan dia menyambung "Sungguh hebat kerana mereka berjaya menyelamatkan dan membawa kami keluar dari kedalaman 700 meter bawah tanah." katanya.

Salah seorang pelombong yang baru diselamatkan menunjukkan rasa gembira.

Pelombong berpelukan dengan ahli keluarga yang terpisah sejak lebih 2 bulan.

Apa yang menjadi motovasi pada diri saya adalah beberapa perkara berikut:-

Pertama; Kesungguhan kerajaan Chile dalam usaha menyelamatkan rakyat mereka yang terperangkap walaupun mereka hanyalah 33 orang pekerja lombong dengan membelanjakan RM70 juta. Kerajaan mereka memiliki sifat tidak meremehkan pekerja 'bawahan' dan tidak bersifat memilih kasih. Sifat berhati perut ini sangat diperlukan dalam sesebuah kerajaan dalam usaha menyelamatkan rakyat yang 'terperangkap'.

Kedua; Bersatu hati menangani cabaran. 33 orang pelombong yang terperangkap bersatu hati di bawah pimpinan ketua pelombong, Luis Urzua dalam menghadapi cabaran itu. Meraka saling memberi semangat untuk terus hidup dan disematkan dalam hati mereka bahawa mereka akan diselamatkan selain terus berusaha. Para penyelamat juga bersatu hati, berusaha dengan melakukan perancangan terbaik termasuk membina jentera penyelamat terbaik serta menggunakan langkah yang strategik dan berhati-hati.

Ketiga; Sokongan moral dari pelbagai pihak termasuk keluarga, media, pekerja lombong, pemimpin dan rakyat seluruhnya sangat membantu dalam usaha gerakan menyelamat.

Keempat; Segala masalah boleh diatasi asalkan ada kesungguhan. Perancangan yang baik dan sokongan semua pihak adalah perkara penting selain bersabar menghadapi rintangan.

Kelima; Jangan mudah putus asa walau apapun terjadi. Sebelum mati usaha perlu diteruskan. Bak kata pepatah berpantang maut sebelum ajal...

Keenam; Kepimpinan yang baik dan bijak sana (good Governance). Ketua Pelombong yang terperangkap, Luis Urzua, 54, menunjukkan sifat kepimpinan yang sangat baik kerana dapat memberi khidmat kepada anak buahnya seperti membahagi-bahagikan makanan, memberi motivasi, merawat dan sebagainya. Dia adalah orang yang terakhir menaiki kapsul itu setelah semua anak buahnya berada dipermukaan. Dia ibarat kapten kapal yang enggan meninggalkan kapal yang sedang karam selagi semua anak kapalnya menyelamatkan diri - bersetuju untuk terus berada di perut bumi sehingga semua 32 pelombong lain diselamatkan.

Luis Urzua, ketua pelombong dan merupakan orang terakhir muncul dipermukaan.

Ketujuh; Untuk lebih berjaya kita mesti kreatif. Lihat sahaja Pheonix 2 dan jentera menyelamat, betapa kreativiti manusia perlu digunakan dalam menghadapi segala kemungkinan.

Kelapan; Apapun usaha manusia... betapa hebat pun manusia... perlu berbalik kepada Yang Maha Berkuasa, Allah SWT. Allah SWT. yang menguji manusia dengan memerangkap mereka di bawah tanah dan Dialah Yang Menyelamatkan manusia melalui instrumennya iaitu manusia yang diberi akal dan mampu berfikir serta berkreativiti.

Semoga kita semua mendapat iktibar dari apa yang berlaku. Wallahu A'lam bisshowab...

2 comments:

Anonymous said...

salam,
dikhabarkan bahawa sebahagian mereka telah memeluk agama islam dan menerima baiah tarekat naqshbandi haqqani
dikhabarkan juga sebahagian mereka telah melihat keruhanian sheikh nazim naqshbandi of cyprus, turki sejak awal mereka terperangkap di lombong tersebut
wassalam
amar durra

Wan Hisyam said...

Al-hamdulillah... Subhanallah... di mana-manapun ada hidayah Allah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...