Friday 11 December 2015

Nilai Kosong

Pada asasnya nombor kosong itu tidak ada nilai. Berbanding dengan nombor nombor lain seperti 1, 2 atau 3. Tetapi nilai kosong boleh menjadikan nombor lain lebih bernilai jika ia berdampingan dengannya. Jika diumpamakan nombor 1 adalah sebagai orang bijak dan nombor kosong adalah orang bodoh maka analisis ini akan jadi lebih menarik.

Sebagai contoh; apabila nombor kosong berada di belakang nombor satu maka bacaan terhadap nilai 1 sudah berubah kepada sepuluh.

10 ; kosong di belakang nombor 1

Maksudnya, orang bodoh yang berada di belakang orang bijak yang jadi pemimpinnya maka kedua-dua nombor dalam susunan ini menjadi lebih tinggi.

Tetapi jika nombor kosong berada di hadapan nombor 1 maka nilai satu itu tidak berubah sama sekali. Kita boleh katakan jika orang bodoh menjadi pemimpin maka kedua-dua nilai ini tidak berubah. Kosong hanyalah kosong dan satu hanya bernilai satu juga.

01 = 1

Tetapi jika kosong di hadapan dan satu di belakang dan di antara satu dan kosong itu mempunyai satu titik maka nilai satu sudah berubah menjadi lebih kecil iaitu hanya 10 peratus dari nilai asal 1. maksudnya, jika pemimpin yang bodoh melakukan kesilapan maka pengikut yang cerdik di belakangnya akan nampak lebih bodoh iaitu 10 peratus sahaja dari kecerdikannya yang asal.

0.1 = Nilai 1 lebih rendah

Begitulah kita boleh umpamakan nilai orang cerdik akan jatuh lebih rendah jika sentiasa mengikut pemimpin yang bodoh. Orang cerdik mesti berada di depan, bukan di belakang.


Tuesday 8 December 2015

Takkan Pergi - Hyperact


Hari ku yang pergi, hilang ku mencari
Gelora cinta kau bawa datang kembali
Rindu ku tak sudah, kelam dalam sedar
Mungkin ku menanti sepi hangat yang hadir
Kenangan bagai mengejar mentari
Terbakar debunga kasturi
Apakah tandanya yang tersembunyi
Dibalik rahsia semalam

Hadir dirimu memulihkan ku
Dalam lumpuh dan lesu menghidup jiwaku
Namun rasa ini, dalam mencari erti
Yakin ku kekal mu disisi takkan pergi

Mungkin sebenarnya ruang tu tiada
Mengisi kasih nan pilu sebentar cuma
Kenangan bagai mengejar mentari
Terbakar debunga kasturi
Apakah tandanya yang tersembunyi
Dibalik rahsia semalam

Hadir dirimu memulihkan ku
Dalam lumpuh dan lesu menghidup jiwaku
Namun rasa ini, dalam mencari erti
Yakin ku kekal mu disisi takkan pergi

Hadir dirimu memulihkan ku
Dalam lumpuh dan lesu menghidup jiwaku
Namun rasa ini, dalam mencari erti
Yakin ku kekal mu disisi takkan pergi

Terima cinta ku merindu kecewa
Bisikan indah maya itu seketika
Airmata ini mengalir tersendiri
Moga kelam resah ku kan berlalu pergi

Hanya untuk beribadat kepada Allah...


Wednesday 11 November 2015

Pattani Alah Kepada Siam (1785) - part 2

Pattani Dibahagi-bahagi


"BAGAI DISENGAT JENGKING, SIAM SEGERA 'BANGKIT' MENYIAPKAN BALA TENTERANYA BUAT 'MENGAJAR' RAJA PATTANI"

Sebelum jatuh ke tangan Siam pada tahun 1785, negeri Pattani adalah sebuah negeri besar. Ia merangkumi kawasan-kawasan yang sekarang dipanggil ‘changwad’ atau wilayah Naratiwas, Yala, Pattani dan sebahagian wilayah Songkhla atau Senggora. Malah sebahagian besar daerah Ulu Perak di semenanjung Malaysia sekarang. Lebih kurang mulai dari Lenggong, Kenering, Gerik, Selama, Rantau Panjang dan Keroh (sekarang Pengkalan Hulu) adalah merupakan daerah kawasan Pattani. Begitu juga dengan beberapa kawasan yang sekarang termasuk di dalam negeri Kelantan seperti Jedok, Jeli, Air Lanas dan Batu Melintang (dalam jajahan Tanah Merah dan Jeli). Di sebelah utara pula, sempadan negeri Pattani dengan wilayah Senggora ditandai pada sebatang sungai bernama sungai Tibor seperti Sungai Kolok yang menjadi sempadan antara Kelantan (Malaysia) dengan Thailand.

Inilah lebih kurang luas kawasan negeri Pattani pada waktu kekalahannya kepada siam pada tarikh di atas. Menurut A. Bang Nara Pattani dahulu dan sekarang (Penal Penyelidikan angkatan Al Fatani 1977), setelah mengalahkan Pattani, tentera pendudukan Siam telah bertindak kejam ke atas rakyat Pattani. Sebulan lamanya mereka membakar dan merompak segala barang dan harta benda rakyat termasuk membakar istana Sultan di Kerisik. Sesetengah buku pula menyebut bahawa tentera Siam menangkap orang-orang Pattani dan mengirimnya ke Bnagkok menjadi tawanan Perang atau hamba sahaya.

Dua laras meriam besar yang dibuat dalam masa pemerintahan Raja Biru, Sri Pattani dan Sri Nagara, juga dibawa sebagai oleh oleh dari medan perang. Meriam yang bernama Sri Nagara diberitakan jatuh di Kuala Pattani pada waktu diangkut naik ke kapal, sementara sebuah yang lain Sri Pattani, selamat sampai ke Bangkok dan sekarang diletak di hadapan pejabat kementerian pertahanan Thai sama ada menjadi perhiasan atau sebagai tugu kemenangan. Sebuah lagi meriam, Maha Lela lesap entah dimana.
 
Meriam Sri Pattani yang diletakkan di hadapan Pejabat Kementerian Pertahanan Thai
Memulakan pemerintahannya di Pattani, Siam melantik seorang yang bernama Tengku Lamidin menjadi Raja Pattani. (istilah raja dipakai bagi membezakan raja-raja Pattani yang lantik Siam dengan Sultan-sultan pattani lama. Ibrahim Syukri dalam bukunya Sejarah kerajaan Melayu Pattani menyebut raja-raja yang dilantik oleh siam ini sebagai raja patung oleh kerana kuasa sebenar pentadbiran negeri Pattani adalah terletak pada tangan Pesuruhjaya Siam di Ligor, di samping Pattani  sendiri mulai terpaksa menghantar ufti bunga emas sebagai tanda taat setia kepada Raja Siam.

Bagi menggantikan istana lama di Kerisik yang dibakar hangus, Tengku Lamidin membina kediaman barunya di kampung Perawan.

Zaman awal pemerintahan Tengku Lamidin adalah merupakan suatu zaman yang sangat sulit. Keadaan ini dapat diatasi oleh kerana inilah zaman yang pertama kalinya Pattani dipaksa hidup di bawah payung kekuasaan asing. Keadaannya serba tidak kena dan payah. Kota kerisik yang dahulunya ramai, kini telah sunyi. Penduduk yang menguasai ketempat-tempat lain selama perang terjadi masih belum berani pulang memenuhi ibukota Pattani yang lama. Perdagangan merosot, hasil pertanian tidak mampu menyuap mulut penduduk yang lapar dan berbagai-bagai masalah selepas perang yang lain lagi. Namun, dengan segala keupayaan ini, Tengku Lamidin berjaya mengumpul kembali rakyatnya dan membina semula negerinya.

Empat tahun kemudian, 1789 setelah keadaan kembali pulih dan stabil, Tengku Lamidin mula mengatur strategi melawan siam. Meskipun beliau dilantik oleh siam dan kekuasaannya sangat terbatas, namun tidak sangguplah negerinya menderita dibawah penjajahan Siam. Memulakan langkah dalam hal ini, tindakan baginda yang pertama ialah menghantar utusan kepada seorang raja Annam yang bernama Ong Ching Su, memintanya supaya menyerang Siam dari sebelah utara, manakala baginda sendiri akan menyerang dari sebelah selatan. Namun Malang bagi Tengku Lamidin, kerana bukan sahaja permintaan baginda tidak dipenuhi, akan tetapi lebih dari itu, Raja Annam telah memanjangkan surat baginda kepada Raja Siam di Bangkok sebagai bukti pengkhianatan.

Bagai disengat Kalajengking, Siam segera bangkit menyiapkan bala tentranya buat mengajar raja Pattani. Dengan dipimpin oleh Phra’ya Kalahom, pasukan ini berangkat ke selatan lalu menyatu dengan pasukan pesuruhjaya di Ligor dan Singgora, memukul angkatan Pattani yang pada waktu itu telah mara sejauh Pathlung. Peperangan ini telah berlaku dengan hebatnya selama 3 tahun.Tiada siapa yang menang dan kalah, lapor Ibrahim Syukri dalam bukunya sejarah kerajaan Melayu Pattani mukasurat 97. Tetapi oleh kerana kesilapan Raja Pattani yang keluar terlalu jauh dari pusat Negerinya, maka ini telah menyebabkan sukar baginya mendapatkan bantuan tambahan baik berupa tenaga, makanan ataupun senjata. Keadaan ini telah mengakibatkan tentera Pattani menjadi lemah dan akhirnya terpaksa mundur untuk memberi laluan kepada tentera siam menuju ke Pattani.

Dipendekkan cerita, Negeri Pattani dengan ibu kotanya yang baru di Perawan jatuh ke tangan Siam pada tahun 1791. Sekali lagi sejarah berulang, Pattani babak-belur dilanyak tentera Siam yang bermaharajalela. Tengku Lamidin ditangkap dan dihukum bunuh. Rakyat ditawan dan harta benda dirampas.

Sebelum tentera Siam pulang ke Bangkok, mereka sekali lagi melantik raja patung mejadi raja Pattani. Kali ini mereka melantik seorang yang dikelali dengan nama Dato' Pengkalan iaitu salah seorang pembesar melayu yang berpengaruh dan yang pernah dilantik oleh Tengku lamidin menjadi ketua di Kerisik. Selain dari itu bagi tujuan mengimbangi keadaan, Siam juga melantik seorang pembesar Siam bergelar Laksamana Dajang menjadi semacam pengawal keselamatan negeri bagi mengawal orang melayu daripada menderhaka kepada Siam. Beberapa orang Siam juga di arah tinggal di Pattani sebagai langkah berjaga-jaga.

Sedikit masa tenang berlaku di Pattani selepas Siam menguatkuasakan perlantikan ini. Akan tetapi tidak lama. Beberapa tahun kemudian, Dato' Pengkalan sering bertelagah dengan orang-orang Siam dalam perkara pemerintahan dan pentadbiran negeri. Mereka dikatakan banyak campurtangan dan menghalang Dato' Pengkalan, di samping seringkali melakukan tindakan ganas ke atas rakyat. Pada tahun 1808, pertelagahan ini mencapai kemuncaknya. Akibatnya Dato' Pengalan secara mengejut menyerang orang-orang Siam di Pattani menyebabkan ketuanya, Laksamana Dajang lari menyelamatkan diri ke Sengggora.

Di Senggora mereka memaklumkan kepada Bangkok bahawa Dato' Pengkalan dan orang-orang Melayu telah belot. Bala tentera siam dikerah ke Pattani bagi menangkap Dato Pengkalan.

Di Pattani, sekali lagi persiapan diatur bagi menyekat kemaraan orang-orang gasar Siam. Sekalian kerabat Dato' Pengkalan, Dato' Said an Dato' Pujud dikerah mengumpulkan kekuatan dan usaha melepaskan Pattani daripada belenggu Siam. Dalam pusingan pertama, tentera Pattani berjaya memaksa tentera Siam berundur hingga ke Ligor. Tetapi dalam pusingan kedua, apabila Siam secara serantak menyerang dari arah laut dan darat, tentera Pattani tidak ampuh lagi. Sekali lagi Pattani menyerang. Dato' Pengkalan sendiri mati dalam pertempuran ini, manakala dato'-dato' yang lain sempat menyelamatkan diri.

Belajar dari dua kali pengalaman khianat ini, Siam kemudiannya melantik seorang Siam yang bernama Nai Kwan Sai menjadi Raja Pattani. Beliau ialah seorang pembesar Chennak yang berasal dari keturunan bangsa cina yang datang berniaga di Chennak. Setelah dilantik sebagai raja, beliau pun datanglah ke Pattani untuk memerintah Pattani dan berbuat kampung kediaman di kampung Bandar, tidak jauh dari Kerisik. Turut bersama beliau ialah beberapa ramai keluarga Siam dari Senggora.

Inilah julung kali dalam sejarah negeri Pattani diperintah oleh seorang bukan Melayu. Apabila Nai Kwan Sai mati pada tahun 1815, tempatnya diganti oleh adiknya Nai Phai. Pada masa Nai Phai menjadi raja, Negeri Pattani tidak pernah aman. Perbalahan dan kadangkala pertumpahan darah terjadi di mana-mana di antara orang-orang Melayu dan Siam. Apabila satu laporan dikemukakan ke Bangkok mengenai perkara ini, Siam memutuskan bahawa satu dasar perlu diperkenalkan di Pattani.
Dasar baru ini yang mulai diperkenalkan pada tahun1816 ialah sebuah dasar yang dikenali umum di dunia politik penjajahan dengan nama Divide and Rule. Dibawah dasar ini Negeri Pattani Besar dipecahkan kepada 7 negeri kecil masing-masing bernama Nongchik, Jambu, Jalor,Teluban, Legeh (Renge), Raman dan Pattani. Pada setiap negeri kecil ini Siam melantik raja-raja dari kalangan orang-orang yang pada anggapannya dapat berkerjasama dengannya. Inilah asal mula wujud raja kecil di Pattani yang keturunannya masih dapat ditemui sehingga sekarang. Sedikit sejarah mengenai raja-raja dari negeri-negeri kecil bertujuh ini, InsyaAllah saya akan tulis pada kesempatan yang lain.

90 Tahun kemudian (1906), iaitu beberapa tahun sebelum persetiaan Bangkok yang terkenal itu, negeri-negeri kecil bertujuh ini di susun semula mejadi hanya empat buah negeri kecil iaitu Pattani (dengan memasukkan Nongkecik dan Jambu), Teluban dan Leguh. Pada penyusunan kali ini, nama Leguh ditukar menjadi Bangnara dan kemudian lagi pada tahun 1915 nama ini bertukar kepada Naratiwat sehingga sekarang.

Pada tahun 19 Mei 1916, istilah negeri dihapuskan digantikan dengan kalimah wilayah atau changwad sebagaimana pemakain sekarang. Kemudian pada 16 Februari 1963 pula Taluban (Saiburi) ditukar daripada sebuah wilayah menjadi hanya sebuah daerah dalam wilayah Pattani.

Inilah sekelumit daripada sebuah riwayat panjang mengenai bagaimana negeri Pattani besar berubah dan mengecil menjadi apa yang dikenal sekarang ini dengan nama Naratiwat, Yala (daripada perkataan Jalor) dan Pattani. Semua wilayah ini diketuai oleh Gabenor yang dikenali di kalangan orang melayu Pattani dengan nama Raja negeri. Tidak pernah ada orang melayu dilantik bagi menjadi gabenor di bekas negeri Pattani ini setakat ini.

Cerita ini ditulis oleh Ahmad Fathy Al-Fatani. Saya telah menaip  cerita ini dengan menggunakan mesin taip lama ketika zaman sekolah menengah, sumbernya entah dari buku atau majalah mana, saya tidak ingat dan tidak catat. Saya telah taip semula dan kongsikan di blog ini sebagai maklumat kita bersama.

Monday 9 November 2015

Pattani Alah Kepada Siam (1785) - 1


Pattani Alah kepada Siam ( 1785)



‘APABILA DITEMBAK, TUBUH PEMBUAT MERIAM TERBELAH DUA; SEBELAH JATUH DI KUALA PERMA DAN SEBELAH LAGI JATUH DI KUALA BARAT’

Upaya Siam menakluki Pattani bermula pada tahun 1603. Entah kerana sakit hati disebabkan Pattani pernah menyerang Ayuthia pada tahun 1563, entah kerana irihati atas kemakmuran yang dinikmati Pattani selama abad 17 dan bahagian pertama abad 18, Siam tetap menjadikan ‘kempen’ penaklukan ini sebagai suatu agenda politik jangka panjangnya yang tetap dan berterusan. Kempen ini sambung bersambung dari seorang raja kepada seorang raja lain sehinggalah Pattani jatuh pada tahun 1785. Jumlah keseluruhan masa yang diambil bagi menjayakan kempen ini ialah 182 tahun.
             
Pada waktu serangan pertama dilancarkan pada tahun 1603, Pattani sedang diperintah oleh raja perempuan Pattani yang pertama yang bernama Raja Ijau. Pada waktu ini Pattani sangat makmur. Kuasanya melebar ke Kelantan dan Terengganu. Kecuali Johor, tidak ada negeri Melayu lain di belahan timur semenanjung Tanah Melayu yang memiliki kemakmuran dan kekuatan setanding Pattani. Kuala sungainya (sungai Pattani) menjadi laluan dagang seteri hilir mudik membawa dagangan masuk dan keluar Pattani. Pada 7hb. November 1601 misalnya, seorang Belanda bernama Jacob Van Neck dilaporkan sampai ke Pattani dengan dua buah kapal dagang, Amsterdam dan G Gonds. Setahun kemudian, 1602, Raja Perempuan Pattani membenarkan orang Belanda mendirikan logi perdagangannya di Pattani. Sebelum itu pada tahun 1592, Raja Pattani menerima mengadap wakil kerajaan Jepun yang datang meminta keizinan baginda untuk membuka perniagaan di Pattani. Hubungan antara Pattani dengan Jepun ini kemudiannya jadi mesra apabila Ratu Pattani mengirim utusan ke Jepun berturut-turut pada tahun 1599 dan 1606.
             
Serangan pertama Siam ini dipimpin oleh Panglima Okya Dicha. Serangan angkatan laut Siam lengkap dengan beribu-ribu orang tentera dan kelengkapan perang bertolak dari Ayuthia bagi memenuhi hasrat Raja Siam waktu itu, Phra Nareswan, untuk menakluk Pattani. Serangan ini bagaimanapun dapat dipatahkan oleh Pattani dengan bantuan tenaga-tenaga asing yang berniaga di Pattani pada waktu itu.
             
Menyedari adanya ancaman Siam ke atas kemerdekaan Pattani, Raja Perempuan Pattani yang kedua, Raja Biru (1616-1624), mengerahkan kawalan keselamatan yang ketat ke atas Pattani. Pada masa bagindalah usaha-usaha pembuatan meriam besar telah dilakukan. Sejumlah tiga laras meriam besar, masing-masing diberi nama Seri Negara, Seri Pattani dan Mahalela telah diketuai oleh tukang berbangsa cina bernama Lim Tau Kin. Oleh kerana peristiwa pembuatan meriam ini merupakan suatu peristiwa besar dalam sejarah Pattani maka ia telah dikenang dalam ‘ingatan’ rakyat Pattani. Hasilnya, beberapa versi cerita lisan di sekitar pembuatan meriam ini muncul di sana sini. Beberapa antaranya masih dituturkan sampai sekarang. Antaranya ialah cerita “To’ Panjang” yang telah disentuh dalam peristiwa bilangan 24 (mukasurat 18 dan 19) lagenda tragedi bunuh diri Lim Ko Nim  yang dikaitkan dengan asal usul riwayat “Tok Pekong Mek” (PERISTIWA bilangan 17 muka surat 16-19) dan terakhir ialah dongeng tukang pembuat meriam yang bersedia menjadi “peluru” bagi percubaan menguji sejauh mana meriamnya mambuat tembakan. Konon khabarnya, apabila ditembak, tubuh pembuat meriam terbelah dua; sebelah jatuh di Kuala Perma dan sebelah lagi jatuh di Kuala Barat.
             
Serangan kedua ini terjadi pada tahun 1632, juga dengan diketuai oleh Okya Dicha. Sebelum melancarkan serangan, siam telah terlebih dahulu menghubungi Belanda di Betawi (Betavia) bagi mendapatkan bantuan. Belanda bersetuju tetapi sehingga serangan dibuat keatas Pattani, Siam tidak pernah menerima bantuan seperti yang dijanjikan.
             
Sementara itu, dipihak Pattani pula, orang Melayu telah dapat mengusir serangan itu berkat kekuatan tiga laras meriam besar yang disediakan oleh Raja Biru sebelumnya. Ditambah dengan tenaga 3000 rakyat Terengganu yang secara kebetulan berada di Pattani kerana menyertai rombongan Yang diPertuan Muda Johor meminang anak raja Ungu yang bernama Raja Kuning (Perkahwinan terpaksa ditangguhkan sehingga perang selesai. Selepas berkahwin Yang diPertuan Muda Johor tidak pulang ke Terengganu, tetapi menetap di Pattani.
            
 Kecewa dengan kegagalan ini, Siam sekali lagi melancarkan serangan pada tahun berikutnya, 1633 atau menurut setengah sumber 1634 di bawah pimpinan Phya Phra Khlang. Pada waktu ini raja Siam yang lama telah digantikan oleh Prasat Tong, iaitu iaitu seorang yang lebih dianggap sebagai perampas daripada seorang raja yang sebenar, tetapi juga yang mempunyai ambisi yang sama terhadap Pattani. Serangan ini dibuat dengan jarak masa yang dekat kerana siam beranggapan bahawa Pattani masih “belum Pulih” daripada luka-luka serangan dahulu. Sebaliknya pada pihak Siam, sekali lagi persetujuan dicapai dengan belanda di Betawi bagi mendapatkan bantuan. Dipendekkan cerita perang ketiga Siam-Pattani pun terjadilah. Tetapi sekali lagi Siam gagal kerana beberapa sebab, pertahanan Pattani yang kuat, kekurangan bekalan makanan serta wabak penyakit di pihak Siam dan kelewatan tiba bantuan yang dijanjikan Belanda (bantuan sampai setelah angkatan Siam berangkat pulang). Di sebaliknya pula di pihak Pattani mendapat bantuan daripada negeri-negeri Melayu dari Johor dan Pahang.
             
Raja Ungu mangkat dua tahun kemudian 1635 digantikan pula dengan puterinya Raja Kuning. Baginda (raja Kuning) adalah seorang raja yang masyhur, bijak dalam sejarah kesultanan Pattani, banyak membuat pembaharuan dan kemajuan kepada rakyat, melibatkan diri dalam perniagaan dan merupakan raja perempuan dan terakhir memerintah Pattani. Sumbangan baginda yang kekal dapat dilihat sampai sekarang ialah usahanya memperdalamkan kuala sungai Pattani sehingga membolehkan kapal-kapal besar masuk berlabuh membawa dan mengangkut dagangan.
             
Pada masa baginda menjadi raja, Siam sekali lagi menyerang Pattani (serangan kali ke4) serangan ini berlaku pada tahun 1638. Pimpinan kali ini dipegang oleh pesuruh jaya Siam yang memerintah negeri Ligor bergelar Okya Sena Phimok. Pesuruh jaya ini asalnya orang berbangsa jepun bernama Yamada. Tetapi telah lama menetap di Siam dan menjadi pegawai tentera yang berkhidmat kepada raja Siam. Oleh kerana jasa-jasanya banyak maka raja Siam telah melantiknya menjadi Pesuruh jaya Ligor.

Serangan kali ke empat ini juga gagal. Selepas seragan ini, Pattani tinggal aman hampir 1 setengah abad. Selang masa yang lama ini telah menyebabkan Pattani alpa kepada musuh lamanya. Selain dari itu berbagai kelemahan dialami oleh pattani selepas masa-masa gemilang dicapainya dalam masa pemerintahan ratu-ratu berempat dan terutamanya pada masa pemerintahan Raja Kuning yang reletif panjang.
             
Dalam sejarah pattani, tempoh antara tahun-tahun selepas kemangkatan Raja Kuning (1651 atau menurut setengah sumber 1688) dikenali sebagai tahun-tahun serba tidak menentu. Selama tempoh ini pattani tidak pernah mempunyai keturunan raja yang tetap. Seorang raja dilantik, tetapi kemudiannya seorang raja lain mneggantikannya. Keadaan seperti ini telah menyebabkan tumpuan tidak dapat diberikan bagi memaju dan memperkukuhkan ekonomi serta pertahanan pattani.
             
Menurut sesertengah sejarawan, sejumlah tidak kurang daripada 8 orang raja telah menerajui negeri Pattani antara tempoh 1688 hingga ke zaman Sultan Muhammad Shah dilantik menjadi raja Pattani pada suatu tarikh yang tidak dapat dipastikan (lihat hikayat Pattani, the hague, mat nus Nijhoff 1970, muka surat 277 dan 278) pada zaman Sultan Muhammad Shah menjadi raja inilah, serangan siam kali yang ke 5 yang membawa kejatuhan Pattani dilancarkan.
           
Menurut Ibrahim Syukri dalam bukunya SEJARAH KERAJAAN MELAYU PATTANI mukasurat 81 hingga 91, latar belakang serangan siam kali ini dapat dikesan seawal tahun 1767 lagi iaitu apabila Ayuthia ditawan oleh orang-orang Burma. Ekoran daripada penaklukan ini bebrapa orang raja kecil telah mengambil kesempatan mengisytiharkan kemerdekaan negerinya masing-masing daripada kekuasaan pusat termasuk raja Ligor  di Selatan. Bagi mengatasi bahaya perpecahan ini siam berusaha sedaya upaya menyatukan semula negaranya ke dalam satu kuasa pusat dan bersatu. Usaha ini berjaya kerana pada waktu yang sama muncul seorang tokoh bernama Taksin yang berjaya mengusir kependudukan Burma di Ayuthia dan sekali gus menyatukan kembali Siam. Raja-raja kecil yang memberontak ditundukkan, tetapi tidak Raja Ligor. Bagi mengalahkan Raja Ligor, satu serangan besaran dilancarkan yang memaksa Raja Ligor lari ke Senggora. Di Senggora baginda tetap diekori oleh pasukan Taksin, menyebabkan baginda lari ke negeri yang lebih ke selatan lagi iaitu Pattani. Di Pattani baginda meminta perlindunagn politik daripada sultan Pattani pada waktu itu Sultan Muhammad Shah.
            
Malang bagi Patani kerana pelarian Raja Ligor tetap dijejaki oleh pasukan Taksin. Pada kira-kira penghujung tahun 1769, rombongan Taksin tiba di sungai Tabor (sempadan Pattani Senggora) dan menghantar utusan ke pattani pada bulan disember tahun yang sama meminta supaya raja Ligor diserahkan kepadanya. Permohonnan diterima, dan sejak itu negeri Ligor atau nakhonsitamarat kembali menjadi wilayah negeri siam.
             
Meskipun demikian, namun siam tetap cemburu kepada Pattani apabila Burma sekali lagi menyerang bahagian utara siam pada thun 1776, siam cuba meminta bantuan Pattani. Permintaan ini lebih berupa untuk mengukur hati raja Pattani daripada untuk mendapat bantuan sebenar. Pattani menolak, dan sejak itu siam bersikap menunggu waktu bagi membaham Pattani. Peluang ini kemudiannya terbuka pada 1784 apabila Burma menyerang ligor selepas siam mengusir Burma dari Ligor pandangan mata jatuh ke Pattani.
            
Dipendekkan cerita Siam menyerang Pattani pada tahun 1785. Kerana lama tidak diserang Pattani hidup dalam lalai dan leka. Dengan kubu-kubu pertahanan yang telah lama terbiar askar-askar yang tidak terlatih serta persiapan logistik yang tergesa-gesa dan kelam kabut, Pattani berusaha menyeamatkan negaranya daripada terkaman singa dari Nancho ini. Namun betapa pun tenaga dikerah Pattani kalah dalam pusiangan ke 5 ini. Sultan Pattani Sultan Muhammad Shah tewas di medan tempur. Sebaliknya panglima perang Siam Phraya Kalahon Rachina dan Phraya Sibakorn berjaya membawa balik kemenangan kepada raja Siam selepas gagal dalam percubaan menakluk Pattani sejak dimulakan lebih 1 setengah abad sebelumnya. Pada waktu kemenangan ini dicapai siam diperintah oleh Raja Rama Tibodi atau lebih diekanli dengan nama Rama I iaitu pengasas kepada dinasti raja-raja Rama yang memerintah Thai sekarang.
             
Kedah yang kecut hati melihat kejatuhan Pattani di depan matanya segera membuat perjanjian memajak Pulau Pinang kepada Inggeris pada tahun berikutnya 1786 dengan janji bahawa Inggeris akan melindungi dari ancaman siam.
             
Mampukah kedah menghadapi ancaman siam atau bersediakah Inggeris melindungi kedah daripada ancaman ini? Jawapan bagi pertanyaan ini akan merupakan satu permasalahan sejarah yang lain pula. Bagaimanapun adalah jelas bahawa kejatuhan Pattani telah mengubah warna sejarah dan masa depan politik negeri “merong mahawangsa” ini.

Bersambung...

Glamor Perlu Untuk Dakwah?

Apa yang saya nampak sekarang adalah dakwah lebih berkesan bila ada glamor. Artis, pelawak, public figure lebih diberi perhatian untuk memberikan ceramah. Walaupun baru berubah namun mereka dianggap orang yang tepat untuk membicarakan soal agama dan dakwah. Contohnya ramai... Ali Setan, Syam Kamekaze dan ramai lagi.

Boleh dikatakan sekarang, untuk berdakwah memang memerlukan glamor. Sebab itu, banyak rancangan tv yang menjurus kepada mencipta glamor contohnya Pencetus Ummah, Imam Muda dan lain-lain.

Ada baik dan buruknya apa yang berlaku. Kebaikannya mungkin kita boleh katakan Islam makin dikenali dengan adanya pendakwah glamor. Namun, buruknya pula adalah kredibiliti mereka sebagai pendakwah masih boleh dipersoal. Bayaran yang tinggi untuk mengisi sesi majlis dan sebagainya. Ilmuan dipinggirkan, walaupun masih ramai yang boleh membicarakan tentang agama dengan lebih baik namun tidak diberi perhatian kerana tiada nama.

Ada segelintir ustaz yang sengaja mencetuskan kontroversi semata-mata untuk mendapat perhatian. Namun tidak semua yang bersikap demikian contohnya ustaz Kazim dan Ustaz Azhar. Walaupun mereka glamor namun bukan glamor itu datang dulu. Tapi mereka telah berdakwah lebih lama sebelum menjadi glamor.

Persoalan yang timbul adalah adakah dakwah yang lebih berkesan memerlukan glamor? Adakah tanpa glamor kita tidak boleh berdakwah? Apakah glamor akan datang kemudian selepas berdakwah? Apakah boleh berniat untuk mencapai glamor dengan kerja-kerja dakwah? Apakah boleh kita mencari populariti untuk tujuan dakwah?

Persoalan ini sangat banyak dan boleh menjadi pemangkin untuk seseorang berjaya dalam dakwahnya atau bakat dakwahnya berkubur setelah tidak mendapat tempat di arena dakwah terkini.

Bagi saya, niat sangat penting. Kalau berdakwah untuk cari glamour sehingga jadi riak pun tak boleh. Buatlah dakwah mengikut kemampuan dan kekuatan glamor masing-masing. Walaupun secara kecilan dan rutin itu lebih baik untuk orang yang terdekat kerana yang akan disoal di akhirat adalah orang yang di bawah tanggungannya sendiri.

Ust Kazim sangat glamour dan saya sangat minat...dakwahnya sangat berkesan

Wednesday 28 October 2015

Ketegangan Sosial 2015

Ketika dalam perjalanan di jalan Setapak menuju ke rumah petang semalam, saya terlihat satu pertengkaran terjadi di jalan raya berkenaan. Seorang lelaki marah-marah kepada pemandu kereta yang dikatakan menghimpit kereta yang dinaikinya yang dipandu oleh seorang wanita. Dari perkataan yang dihamburkan oleh lelaki yang marah-marah saya dapat faham bahawa pemandu yang menghimpit keretanya tidak bersikap dengan etika pemanduan berhemah dan tidak menghormati wanita yang sedang memandu. Dia menuding jari dengan teriakan mengatakan bahawa pemandu itu berniat membuli kaum wanita di jalan raya.

Saya tergamam apabila melihat hal-hal demikian. Ketika meneruskan perjalanan pulang saya terfikir bahawa kerap sangat berlaku ketegangan di kalangan masyarakat kita sekarang. Banyak kes yang terjadi sejak akhir-akhir ini.

Sebelum ini negara dikejutkan dengan video di laman sosial yang menyaksikan 2 wanita sedang memukul seorang wanita lain. Walaupun wanita yang dipukul dikatakan melakukan kesalahan, akan tetapi tindakan memukul dengan keterlaluan ala-ala samseng sangat tidak boleh diterima dan menjadi cemuhan oleh masyarakat. Akhirnya si pemukul yang bertindak menghukum sendiri itu ditangkap dan dikenakan tahanan reman. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara menanti mereka. Yang dipukul pula dimasukkan ke hospital. Keluarga mangsa sangat marah dengan kejadian dan mungkin dendam tidak akan berakhir di situ sahaja.



Selain kejadian itu, ada lagi kes ketegangan yang berlaku di mana seorang lelaki kulit putih marah-marah pada pemandu kereta kerana dikatakan menghimpit motosikal yang ditunggangnya sehingga hampir-hampir berlaku kemalangan. Lelaki kulit putih itu berperang mulut dengan pemandu kereta sebelum menghentak cermin kereta sehingga retak. Kejadian itu dirakam oleh penumpang kereta berkenaan dan dimuatkan ke dalam media sosial terus gempar menjadi viral. Polis bertindak menangkap lelaki kulit putih berkenaan dan kes berkenaan disoal siasat.


Dua hari lepas berlaku pembunuhan di Pulau Pinang. Mangsa adalah remaja berumur 17 tahun dikatakan dibunuh dengan kejam, lehernya dikelar dengan menggunakan pisau pemotong sayur oleh seorang lelaki yang berumur 20 tahun, seorang kenalan mangsa. Motif kejadian adalah kerana cemburu. Yang tertuduh telah ditangkap oleh pihak berkuasa dan sedang disoal siasat.


Banyak lagi kes-kes yang lain yang berlaku di dalam negara kita yang menunjukkan keadaan yang sangat tegang dalam sosial masyarakat. Marah, tidak puas hati dan tertekan adalah menifestasi dari budaya yang tidak sihat dan mungkin juga desakan hidup era moden yang tidak dapat difahami, ditangani dengan baik. Desakan dan tekanan mungkin menjadi punca pemberontakan dalaman sehingga keadaan menjadi sangat sensitif pada suatu yang negatif dari sudut pandangan individu. Dalam keadaan berkenaan mungkin norma dan etika yang baik, yang diterapkan oleh agama dan kenegaraan, yang patut diamalkan telah dilupakan kerana desakan/tekanan telah mengambil tempat adab dan norma berkenaan.

Jika sebelum ini, negara kita mementingkan keharmonian sehingga termaktub dalam rukun negara suatu nilai yang sangat baik untuk diamalkan iaitu "kesopanan dan kesusilaan" namun keadaan sekarang tidak lagi menunjukkan bahawa rukun berkenaan difahami, diamalkan di dalam masyarakat kita. Mungkin juga amalan tersebut tidak dititik beratkan dalam sosial, pendidikan dan perundangan sehingga terhasil masyarakat yang tertekan, bertindak mengikut rasa dan bukan dari pemikiran yang waras.

Saya ingin mencadangkan kepada semua, mari kita berfikir dan mengatur perancangan untuk menangani gejala yang sangat tidak sihat ini. Dari sektor pendidikan, institusi kekeluargaan, sekolah, program tv dan sebagainya, mestilah memberi penekanan kepada pembasmian ketegangan sosial. Semua perlu memainkan peranan semula untuk menjadikan manusia lebih baik dan hormat-menghormati di era moden ini.

Mungkin tidak perlu kepada pendidikan moral dan etika lain. Agama Islam yang suci telah menggariskan akhlak dan adab yang boleh mententeramkan sosial. Sebagai contoh, Islam mengajar kita supaya tidak cepat marah dengan sesuatu keadaan. Banyak kali Nabi Muhammad saw. dianiaya tetapi baginda mengambil sikap yang mulia iaitu memaafkan dan tidak menyimpan dendam sebagaimana kejadian ketika baginda diperdaya oleh Abu Lahab. Akhlak yang baik akan menjadi tarikan dakwah yang sangat berkesan sehingga boleh mengubah tanggapan kepada Islam. Saidina Ali kw. ketika diludah di medan perang oleh musuh, beliau mengambil tindakan meninggalkan musuhnya kerana beliau enggan berbunuhan kerana perasaan marah tetapi hanya berperang untuk agama Islam. Beliau hanya ingin menghapuskan kekufuran dan bukan untuk melunaskan dendam. Akhirnya si musuh mengubah pendirian setelah melihat akhlak beliau serta memeluk Islam.

Semua manusia tidak ingin rugi namun tidak pula boleh mengambil keuntungan dengan menganiaya orang lain. Dunia yang kita huni ini kita berkongsi dengan orang lain. Hidup saling menghormati dan saling menyayangi lebih baik dari memuaskan hati sendiri padahal kepuasan sebenar adalah kepuasan menjadi hamba Allah swt. dan umat Nabi saw.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...