Monday 31 December 2012

Diskriminasi Fokus

Raya yang lepas, aku memandu hampir 15 jam dari KB ke KL melalui jalan Timur Barat. Perjalanan yang biasanya memakan masa 8 jam sahaja itu terpaksa diharungi melebihi 7 jam daripada kebiasaan. Ini semua kerana musim perayaan yang sememangnya warga kota secara beramai-ramai pulang ke kota setelah berhari raya beberapa hari di desa.

Apa yang aku ingin nyatakan bahawa kita boleh fokus kepada sesuatu benda sekiranya kita mahukannya. Selama 15 jam memandu adalah suatu jangka masa yang agak lama. Aku mampu buat pengfokusan selama masa itu. Akan tetapi kenapa aku sering hilang fokus pada sesuatu yang lain yang lebih penting? Aku selalu hilang fokus pada penulisan. Begitu juga fokus pada kerja. Kerja tak sampai 5 minit dah penat dan tension.

Sepatutnya fokus semasa memandu dijadikan contoh terbaik dalam melakukan kerja. Semasa mamandu kita ada arah dan halatuju. Objektif sangat jelas dengan sebilangan risiko sekiranya kita gagal fokus dan memandu dengan cuai.

Aku sering tertanya-tanya kenapa perlu ada dalam diri diskriminasi kepada fokus. Sedangkan diri kita adalah orang yang sama ketika memandu dan juga ketika bekerja... huh... perlu muhasabah diri

Memahami Hakikat

Kelihatan ramai dari kalangan umat Islam kini tidak memahami hakikat. Mereka sering melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan kadang-kadang melanggari batas hakikat keadaannya yang sebenar. Bukan setakat tindakan sahaja yang melambangkan mereka tidak faham hakikat malah perkataan dan perasaan juga tersasar dari HAKIKAT. Adakah semua ini kesan daripada zaman yang berubah atau kita yang jauh dari hakikat?

Hakikat atau realiti adalah hal keadaan yang sebenar bukan sahaja benar pada pandangan tetapi juga pada logik dan rasionalnya. Hakikat perlu dibuktikan dengan nas atau hujah yang tepat. Sesuatu dikatakan benar bila dibuktikan benar atau kebenaran itu jelas.

Seorang lelaki yang bekerja keras untuk mendapatkan wang tanpa memikirkan halal dan haram adalah seorang yang tidak memahami hakikat kerana dia tidak melakukan hal yang betul. Bekerja adalah ibadah sekiranya pekerjaan itu harus dari hukum dan tidak mendatangkan bahaya pada orang lain. Seorang pekerja perlu mengelak dari melakukan apa yang dilarang oleh agama iaitu seperti mencuri, merompak, menipu, menindas. Tidak boleh juga menjalankan perniagaan yang dilarang contohnya menjual beli benda yang diharamkan oleh syarak, melibatkan diri dengan rasuah, riba dan penindasan. Untuk mendapatkan status ibadah memang sesuatu pekerjaan itu mestilah murni dari sebarang perkara yang dilarang seperti yang disebut di atas. Maksudnya, seseorang yang memahami hakikat diri akan melakukan kerja yang benar dan mendapat rezeki dengan cara yang betul seperti yang ditunjukkan oleh syarak. Benar atau salah sesuatu pekerjaan itu tidak boleh dinilai dengan akal kita sendiri tetapi dengan Syarak.

Begitu juga dengan orang yang selalu menyakiti hati orang lain dan suka menyusahkan orang dengan menghina dan mengeji atau bergurau berlebihan dikatakan sebagai orang yang tidak memahami hakikat. Dalam agama kita, kita memang disuruh melakukan perkara yang baik. Malah lidah dan tangan kita perlu dijaga kerana dua anggota ini disebut sebagai dua lambang keislaman seseorang. Nabi Muhammad (SAW) menyebut "Muslim ialah seseorang yang mensejahterakan muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya". Dalam apa-apa keadaan sekalipun seorang muslim tidak boleh mengeji dan menghina orang lain. Tidak boleh sesekali menyentuh keburukan orang lain sama ada keburukan rupa parasnya atau perbuatannya. Rupa paras adalah ciptaan Allah. Jika kita menghina rupa paras orang lain maka seolah-olah kita menghina Penciptanya. Tidak kira warna kulit atau kecacatan, itu semua ciptaan Allah yang dianugerahkan kepada seseorang. Begitu juga dengan kelakuan buruk seseorangpun tidak boleh sewenang-wenang kita sebut dan war-warkan kepada umum atau menghina si pelakunya denga kata-kata nista dan keji. Apa yang disuruh oleh Nabi Muhammad adalah menyekat kemungkaran sebagaimana kata Nabi Muhammad (SAW) "Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka cegahlah dengan tanganmu atau dengan lidahmu atau dengan hatimu (berdoa), mka ia adalah selemah-lemah iman". Apa yang dikehendaki oleh Nabi (SAW) adalah cegah kemungkaran dan bukannya menghina perbuatan buruk orang lain. Sekiranya kemungkaran telah berlaku maka kita perlu menyekat daripada berulang atau menyekat kemungkaran yang mungkin lebih buruk jika dibiarkan.

Sifat mengeji, menghina, mencela atau membuka keaiban orang tidak sangat membantu untuk mencegah kemungkaran malah ia akan menjadi kemungkaran kepada diri penghina atau pencela pula. Bukan mudah untuk menyekat keburukan orang. Strategi dan perancangan diperlukan dalam uslub dakwah Islamiyyah yang semakin mencabar. Niat yang baik tidak bererti sekiranya tidak disusuli dengan perbuatan yang betul yang boleh menyokong niat itu.

Selain itu juga, wanita hari ini ramai kelihatan tidak memahami hakikat. Ini dibuktikan dengan tindakan mereka dalam melalui kehidupan di zaman moden ini. Wanita adalah ciptaan Allah yang mempunyai hak-hak tertentu dalam masyarakat. Namun, wanita seperti juga lelaki ada keterbatasan tertentu yang ditetapkan. Perkara-perkara yang sering dikedepankan berkenaan dengan wanita adalah seperti pergaulan, aurat, hormat ibu bapa dan suami serta fungsi dalam masyarakat. Lelaki dipertanggung jawabkan untuk menjaga wanita. Manakala wanita dipertanggungjawabkan untuk menjaga diri dan maruahnya. Untuk menjaga dirinya, wanita perlu menjaga dirinya supaya tidak dirosakkan seperti yang dianjurkan dalam Quran dan Sunnah. Jika tidak ada Quran dan tidak ada Nabi maka kita tidak tahu macam mana penjagaan ke atas wanita. Syukurlah ada panduan yang diberikan kepada kita semua.

Wanita perlu ada toleransi kepada masyarakat. Toleransi yang paling wajar adalah hormat kepada lelaki yang bernama bapa atau suami. Bapanya yang membiayainya dari kecil dari segi keperluan diri dan pendidikannya maka sewajarnya diletakkan ditempat teratas dalam hierarki hormat sebelum dia mempunyai suami. Bila sudah bersuami maka hormat itu pula beralih kepada sang suami.

Semua yang difardhukan kepada wanita itu adalah suatu perintah daripada Ilahi. Suatu perintah yang diwajibkan kepada setiap wanita. Semua yang dilakukan itu adalah ibadah bukti perhambaan kita kepada Ilahi. Bukanlah suruhan menghormati suami itu sebagai melambangkan wanita itu rendah tarafnya tetapi ia adalah suatu nilai yang tinggi sebagai pengabdian kepada Allah. Wanita bukan hamba kepada suami tetapi wanita adalah hamba Allah yang bertugas sebagai isteri. Yang menilai kita semua adalah Allah. Dia jugalah yang memberi ganjaran nanti mengikut setiap amalan kita semua.

Wallahu A'lam

Sunday 26 August 2012

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya AidilFitri diucapkan kepada semua sanak saudara, sahabat handai, guru-guru, rakan taulan dan semua yang mengenali diri ini. Maaf zahir dan batin. Ada masa kita jumpa ok...

Monday 11 June 2012

Cuti-cuti & Jalan-jalan

 Alhamdulillah, sempena cuti sekolah minggu lepas kami sekeluarga balik ke kampung, Geting Tumpat Kelantan. Kesempatan seminggu cuti yang diambil digunakan sepenuhnya untuk bersama keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan faedah.

Untuk cuti kali ini kami sempat mengadakan trip ke wilayah selatan Thai. Objektifnya adalah untuk melawat keluarga sambil makan angin. Dan di bawah ini adalah gambar-gambar perjalanan kami.

Sedang beratur untuk menaiki feri dari Pengkalan Kubor ke Takbai
Ambil peluang bergambar atas feri
Masih atas feri menuju ke Pekan Takbai, Thailand
Memasuki lebuh raya... Welcome to Narathiwat
Pemandangan biasa di Selatan Thai, kereta kabat
Gi ke laut dengan sepupu, Pakcu Rahim

Acara candat sotong bermula... sotong sudah muncul
Pakcu Rahim sedang beraksi
Hasil tangkapan
Sudah cerah
Suasana pagi di lautan
Waktu untuk pulang
Muara sungai Khae Khae Beach
Menuju ke pengkalan
8 kilo sotong sudah mencukupi untuk buat santapan sekeluarga
Sotong bakar cicah air asam
Selebihnya buat ketupat sotong
Makan atas 'gere'... bestnya angin pantai sepoi-sepoi
Lepas tu pakcu kait buah Ta (Kelapa laut) pulak
Inilah dia rupa buah Ta muda
Isi buah Ta muda sangat sedap... macam jelli
Acara mandi laut bersama anak-anak
Somtam ori yang sangat sedap dari orang Saiburi (Telubang) Thailand
Minum air nyor muda untuk menyegarkan badan yang keletihan memandu
Rumah nenek saudara di Nyatoh, Narathiwat Thailand
Bergambar dengan keluarga di sana
Colek pauh
Solat Jumaat di Menara Central Mosque (Masjid Menara, Narathiwat)
Mat Yo bergambar atas jambatan menuju ke Pantai Menara
Nasi sup perut yang sangat sedap
Nadhirah sempat bermain layang-layang di Pantai Menara, Narathiwat
Perhiasan dan mainan orang sana, Burung Merbok Jambul
Bendera siam di gantung di kedai sepupu saya di Kampung Telian
Keluar dari Thailand melalui Imigresen Sungai Golok kerana perkhidmatan feri di Takbai sudah tamat pada jam 6.30 petang.


Inilah antara pengalaman manis semasa cuti sekolah yang lepas. InsyaAllah trip silaturrahmi macam ini harus diadakan lagi bagi mendekati kaum kerabat yang masih hidup di sana selain dapat menikmati dan menyelami kehidupan masyarakat di sana. So... sape yang nak ikut next time... jom!

Monday 7 May 2012

Saturday 5 May 2012

Tergesa-gesa

Tergesa-gesa

Pagi-pagi tergesa-gesa bersiap
Tergesa-gesa pergi kerja
Tergesa-gesa menunggang
Menyelit-nyelit
Cilok-mencilok
Pintas-memintas
potong-memotong
Berdengung telinga mendengar dengungan enjin

Sesampai di tempat kerja
Tergesa-gesa naik ke opis
Belum bukak helmet dah semak memo
Tergesa-gesa kejar dateline
Menyudahkan kerja tidak berkesudahan
Memerah fikiran
Menelaah perancangan
Membuat tindakan susulan

Tengahari pulak... tergesa-gesa makan
Atau sekadar tapau makan sambil menaip...
Melakar, mencatat, menelefon
Tergesa-gesa menyediakan keperluan
Mendapatkan persetujuan
Melaksanakan segala yang dirancang
Tergesa-gesa contact orang berkaitan
Tergesa-gesa membuat keputusan

Menjelang petang pula...
Atau kadang-kadang bila sudah malam
Harus tergesa-gesa pulang
Takut terlepas makan malam
Bersama anak isteri tersayang
Terkadang hujan
Terpaksa berteduh bawah jambatan
Atau redah sahaja biar kebasahan

Begitulah sehari-harian
Bagai berkejar-kejaran
Masa yang sangat pantas
Kalau tidak berlari-larian 
Tentunya ketinggalan
Tentunya juga berciciran
Atau sekurang-kurangnya kerja tak jalan
Walaupun separuh mati hidup perlu diteruskan

Walaupun terpaksa tergesa-gesa
Namun ibadah tidak dilupakan
Malah jangan ditinggalkan
Jangan tergesa-gesa dalam solat
Ingin cepat-cepat disudahkan
Kepada Allah dipohon segala rahmat
Dimudahkan segala urusan
Diterima segala amalan

Masa begitu pantas
Tergesa-gesa pegi kerja

Tuesday 27 March 2012

Berdoalah Sentiasa

Bila ingin memulakan sesuatu yang baik kita akan berdoa... "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani... Aku mohon petunjuk dan redhaMu dengan apa yang bakal aku lakukan. Semoga dilindungi olehMu dari awal hingga akhir. Aku berharap ianya menjadi satu ibadah yang bakal dihitung olehMu di hari akhirat nanti".

Dengan doa itu kita melakukan suatu kebajikan dengan niat kerana Allah SWT. Kemudian apabila kita merasa masih kuat untuk melakukannya kita akan pula berdoa, "Ya Allah... aku berharap padaMu agar engkau memberi kekuatan kepada ku ini berpanjangan dan dapat aku meneruskan usaha aku ini dengan baik hingga sempurna... Engkaulah Yang Maha Kuat ya Allah..."

Jika kita merasa semakin lemah kita segera berdoa kepada Allah SWT, "Ya Allah... berikanlah kekuatan kepadaku untuk meneruskan usahaku ini. Aku berlindung denganMu dari segala sifat lemah... Ya Allah... aku ini insan biasa dan tidak dapat lari dari sifat lemah... oleh itu... aku sangat mengharapkan pertolongan Engkau ya Allah untuk memberikanku sedikit kekuatan..." Inilah rintihan kita pada Allah.

Begitu juga bila kita dilanda rasa lalai, resah dan tidak dapat fokus pada usaha kita, dengan segera kita akan memohon kepada Allah untuk mengembalikan tumpuan dan fokus kita pada usaha kita itu selain memohon keampunan dariNya dari kelalaian kita. Kemudian jika kita berjaya menyelesaikan usaha itu kita akan juga berdoa kepada Allah semoga usaha itu menjadi manfaat kepada semua manusia dan semoga Allah memberikan kejayaan yang lebih besar dari kejayaan itu di masa akan datang.

Jika kita gagal menyudahkan usaha itu pula kita akan berdoa pada Allah, "Ya Allah... aku gagal dalam usahaku... berilah aku kekuatan untuk menghadapi kegagalan ini. Janganlah Engkau jadikan kegagalan ini sebagai pematah semangatku untuk aku lebih berusaha di masa hadapan. Ya Allah... aku sangat yakin ada hikmah di sebalik kegagalan ini. Ya Allah... walaupun usahaku ini gagal tetapi aku mengharapkan keredhaan Engkau sepanjang usahaku ini kerana aku juga yakin suatu amalan tidak hanya dikira pada natijahnya atau hasilnya akan tetapi pada usahanya juga."

Ketika kita merasa tersesat dan tersalah langkah dalam usaha kita, selain dari kita sedaya upaya kembali kepada misi dan visi serta niat yang asal kita juga hendaklah segera berdoa pada Allah "Ya Allah... aku mengharapkan petunjuk dariMu ya Allah..." atau " Ya Allah... tunjukkanlah yang benar itu benar supaya dapat aku mengikutinya dan tunjukkan aku yang bathil itu bathil supaya dapat aku menghindarinya..."

Manakala ketika kita diganggu oleh syaitan dan manusia, kita diajar untuk memohon perlindungan dari Allah dari semua itu. Allah Maha Kuasa. Mohon sahaja padaNya dengan syarat jangan hanya berdoa tetapi berusaha kerana Allah tidak akan memberi jika kita tidak mencari seperti burung yang senantiasa terbang di waktu pagi keluar mencari makanan.

Doa adalah motivasi terbesar dalam hidup muslim-mukmin. Orang yang senantiasa berdoa akan merasai kekuatan yang Allah berikan padanya dan dia tidak akan rasa baawa kekuatan itu berpunca dari dirinya sendiri. Seseorang yang berdoa, dia akan mendapat rangsangan dari doanya itu kerana ketika berdoa dia menyebutnya misinya atau sesuatu yang bakal dilakukan itu di depan Tuhannya Yang Maha Agung dan pastinya doanya itu akan didengari oleh Allah, kerana Allah berfirman:
{وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ}

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya padamu mengenai aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa padaKu"

Marilah kita berdoa pada Allah SWT pada setiap masa, ketika senang ataupun sudah, ketika berjaya atau gagal dan ketika sibuk atau lapang. Mintalah apa sahaja dari Allah SWT walaupun sekecil-kecil benda seperti pesan Nabi SAW;

"Mintalah pada Allah walaupun sebuku garam."

Doa bukan sahaja sebagai motivasi atau pencetus kepada usaha kebajikan tetapi juga sebagai senjata untuk orang Islam. Sabda Nabi Muhammad SAW;

الـدعـاء ســلاح الـمـــؤمـــن

Betapa kuatnya orang Islam dari segi mental dan fizikal serta spritualnya jika benar-benar sentiasa mengamalkan doa. Wallahu a'lam... (Ya Allah... semoga tulisan ini menjadi manfaat kepada semua dan ada ganjaran di sisiMu... Amin)

Tuesday 20 March 2012

Sayu di Kuburan

Pagi itu, hari Jumaat yang shahdu, aku melangkah menuju ke kuburan. Terdetik perasaan dan keinginan untuk menziarahi orang yang telah pergi mendahului aku. Sesampai di sana aku memberi salam... dan aku tahu salam ku pasti dijawab.

Aku mulai berkata-kata, "Ma... Hisyam datang... dah lama tak jenguk Ma... "

Kenapa aku ini sukar datang menziarahi Ma. Sibuk sangatkan cucumu ini. Atau kenapa mudah sangat lupa pada Ma.

Pasir di sekitar kubur Ma nampak bersih. Tiada rumput pun. Rumput sudah dibuang oleh Khali (bapa saudara) yang datang setiap Jumaat. Yang ada atas kuburan itu hanyalah dua anak pohon kemboja yang ditanam ketika pengkebumian Ma.

Pagi yang hening itu, matahari baru terbit separuh tapi sudah cerah. Baru jam 7.10 pagi. Orang kampung baru sahaja mendatangi kuburan menziarahi arwah keluarga mereka. Mereka kelihatan baru memulakan bacaan tahlil dan surah yasin.

"Ma... aku nak baca yasin Ma..."

Ketika mula membacakan surah itu, hatiku menjadi sayu terkenang kenangan bersama arwah Ma. Dan suaraku tersekat kerana kerongkongku mula menutup... tiba-tiba air mataku menitis. Aku cuba memberi perhatian pada bacaan yasin tetapi sesekali hatiku berbicara sendiri. "Ma... maafkan cucumu ini... maafkanlah aku... cucucmu ini bukan cucu yang baik dan tidak banyak jasa padamu sepanjang hayatmu. Cucumu ini sering mengabaikanmu... tidak selalu dan sering menghiburkanmu..." Titisan air mata melaju turun dan jatuh ke tanah... syahdunya.

Selesai bacaaan yasin dan tahlil serta doa aku sekali lagi berkata-kata, " Ma... Ma duduklah kat sini dulu... satu hari kita akan jumpa lagi...

"Hisyam balik dulu Ma... ada masa nanti Hisyam datang..."

Sebelum pulang aku pergi ke kubur arwah Su di hujung sana. Setelah melihat nama su tertulis di suatu nisan aku segera memberi salam, salam rindu dan hormatku pada arwah.

"Su... Hisyam datang Su... Su apa khabar? Lama tak jumpa Su. Sunyinya balik kampung setelah Su tidak ada lagi..." Air mata mula menitis lagi. Senyuman Su jelas terbayang. Wajah tenangnya bisa meredakan semua orang yang memandangnya. Jasanya padaku dan pada keluargaku tidak terhitung. Hidupnya penuh dengan duri ranjau perjuangan dan kasih sayang. Dialah juga yang mengajarku menjadi seseorang. Tidak akan aku lupa sedikitpun.

Selesai membaca beberapa surah dan berdoa aku berdiri, dengan genangan air mata aku memberi salam dan meminta diri untuk pulang. InsyaAllah aku akan menziarahi mereka lagi setiap kali aku balik ke kampung.

Thursday 8 March 2012

Minda Yang Merdeka

Haji Ma tersenyum mendengar pertanyaan Ma Ho. Dia berkata, "Kehebatan ilmu mantik akan menjadikan seseorang itu lebih pintar daripada orang lain."

Dahi Ma Ho berkerut, seolah-olah meneliti maksud kata-kata ayahnya. Dia berkata, "Bukankah pakaian indah, rupa paras yang cantik dan segak seseorang membuat seseorang lebih disukai daripada yang berpakaian compang-camping dan rupa paras yang buruk?"

Haji Ma menjawab. "Aspek luaran hanya salah satu daripada ciri-ciri bagi menilai sesuatu."

Ma Ho bertanya, "Bukankah kemampuan menilai keindahan fizikal juga menunjukkan kehebatan ilmu mantik seseorang?"

Haji Ma tersenyum lagi lalu berkata, " Dia hebat hanya apabila dia menilai keindahan fizikal itu dengan kesedaran, di sebalik keindahan itu ada penciptanya."

"Maksud ayah semua penafsiran perlu berlandaskan keesaan Tuhan?"

"Ya benar, malah seluruh kehidupan kita perlu berpaksikan pengabdian kepada Tuhan."

"Bagaimana dengan perhambaan manusia kepada manusia? Adakah manusia yang diperhamba itu berdosa sedangkan dia tidak mempunyai pilihan?"

"Seseorang itu menjadi hamba kepada makhluk yang lain apabila mindanya tidak merdeka, walaupun dia bukan seorang hamba kepada manusia."

"Adakah seseorang hamba kepada manusia dianggap merdeka apabila fikirannya bebas?"

"Selagi seseorang insan itu dapat berfikir tanpa minda terbelenggu, maka dia bebas berfikir. Namun begitu kebebasan berfikir perlu sentiasa berlandaskan tauhid kepada Tuhan."

Ma Ho berkata, "Ertinya seorang hamba kepada maharaja pun pada hakikatnya seorang yang merdeka selagi dia tidak mahu mindanya diperhamba?"

"Bahkan selagi dia menganggap dia hamba Tuhan semata-mata, maka walaupun dia seorang tawanan perang ataupun hamba kepada maharaja China sekalipun, maka selagi itulah pada hakikatnya dia seorang yang merdeka."

"Ayah, adakah seseorang boleh menjadi hamba kepada dua orang tuan?"

Haji Ma berkata, "Tidak mungkin! mustahil! Apabila seseorang dimiliki oleh dua orang tuan, maka satu daripadanya mempunyai tuntutan yang lebih kuat. Sebagai contoh seorang hamba kepada maharaja, juga adalah hamba Tuhan. Tetapi pada hakikatnya hamba maharaja adalah hamba Tuhan semata-mata. Maka tuntutan maharaja ke atas hamba itu dengan sendirinya terbatal kerana Tuhan jua memiliki sekelian alam."

Petikan dari Novel Laksama Cheng Ho: Pemimpin Armada lautan Barat, Imran Yusuf, PTS Litera Utama, 2011, ms 21-22.

Monday 20 February 2012

Beza Sedekah dan Memberi Pinjam

Diriwayatkan dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Pada saat aku mi'raj, aku melihat tulisan di syurga yang berbunyi, 'Setiap sedekah dibalas sepuluh kali dan pinjaman dibalas lapan belas kali.' Aku bertanya, 'Wahai Jibril, mengapa pinjaman diberi balasan yang lebih dari sedekah?' Jibril berkata, 'Kerana seseorang boleh meminta sedekah pada masa dia tidak memerlukannya, tetapi peminjam hanya meminjam kerana benar-benar memerlukan." (HR Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

Wednesday 15 February 2012

Kerja Keras

Sukses adalah fungsi dari kerja keras. Semakin keras Anda bekerja, semakin besar sumbangan yang akan Anda berikan.

Anda belum bekerja secara efektif jika Anda tidak merasa letih di akhir hari kerja. Ketika Anda merasakan keletihan, itulah saatnya untuk berhenti – namun itu bukan bererti jika anda merasa letih, ada sesuatu yang salah. Sebabnya adalah jika kita menganggapnya enteng dan menghindari hal-hal yang sulit mengurus energi.

Setiap kejayaan dalam hidup – entah itu menyelesaikan maraton, memenangkan persaingan, atau bahkan menulis buku – memerlukan kerja keras. Ertinya, memusatkan energi untuk menyelesaikan setiap langkah lanjutan dari perencanaan maupun untuk menghadapi hal-hal di luar rencana.

Pemimpin pasukan yang selalu belajar dari semua itu dan membangun gaya hidup bekerja keras. Mereka memilki komitmen dan gairah atas apa yang mereka lakukan dan mempersiapkan diri untuk mencurahkan sejumlah usaha dari jam ke jam, hari ke hari untuk mencapai hasil yang diharapkan. Mereka tahu bahawa semakin keras mereka dan pasukannya bekerja, semakin besar kemungkinan untuk sukses dalam persaingan.

Dalam bekerja keras, mereka menolak pengalih perhatian apa pun untuk memfokuskan energi pada hasil yang diharapkan hari itu, entah itu bicara pada 50 pelanggan, bertemu 50 pekerja, atau melakukan 50 panggilan telepon. Pada beberapa kesempatan hal ini bererti bekerja lebih lama, mulai lebih awal, selesai lebih lama, dan bekerja selama jam makan siang. Namun, tentu saja tidak di setiap kesempatan, kerana hal ini akan berbahaya.

Bekerja keras tidak sinonim dengan bekerja lama

Hal itu tidak pula sinonim apa yang disebut workaholic, di mana seseorang tidak pernah berhenti bekerja. Melakukan bisnes bererti memfokuskan usaha pada saat Anda sedang bekerja. Hal ini akan mudah memotivasi pekerja untuk bekerja keras. Mereka memiliki alasan yang kuat untuk melakukan hal itu – dan tugas atasan dan menjamin bahawa alasan ini secara efektif dikomunikasikan, difahami, dan dilakukan dengan paras gairah dan komitmen yang tinggi.

Lebih jauh lagi, pekerja perlu menikmati apa yang mereka kerjakan. Anggota pasukan cenderung bekerja keras ketika mereka mengerjakannya dengan senang dan dapat melihat hasil nyata dari usaha mereka.

Bekerja keras tidak melulu berkaitan dengan energi fizikal. Semua tentang adrenalin dan energi emosional. Keduanya adalah unsur penting untuk menjaga semangat kerja seseorang dan pasukan. Mereka akan bekerja keras secara tulus dari hati, bukan pikiran. Fikiran logiknya selalu melangkah masuk dan mengatakan, “Jangan bekerja sedemikian keras,” dan pada saat itu ketika berhak untuk menjalankan fikirannya ini. Meski pun demikian, yang terus-menerus memberi tenaga pada karyawan adalah adrenalin dan dorongan emosional yang menekankan bahawa tujuan ini begitu penting bagi kita, sehingga kita harus mendedikasikan seluruh energi yang ada untuk meraihnya.

Ketika tiba saatnya untuk meningkatkan -melalui bisnes bererti latihan- latihan dan latihan itulah yang disebut kerja keras – tapi memang ini lah yang dilakukan para bintang. Penyanyi opera Pavarotti pernah mengatakan, “Saya berlatih 100 kali untuk menjadi seperti ini, sementara orang lain hanya berlatih 10 kali.”
Pemain golf Tiger Woods berkata, ”Semaikin keras saya berlatih, semakin beruntung saya.” Semakin Anda bekerja keras dalam latihan dan meningkatkan apa yang Anda kerjakan, semakin sukses Anda nantinya.

Bekerja keras menuntut pengorbanan. Ertinya, bekerja terus tanpa memerhatikan hal yang lebih mudah dan menyenangkan sambil mengkonsentrasikan energi untuk meraih hasil yang diharapkan. Rasa senang akan datang dengan sendirinya ketika Anda selesai bekerja.

Rujukan: pengusahamuslim.com

Tuesday 3 January 2012

Tahun Baru Semangat Pun Baru

Menyambut tahun 2012 ini tidak seperti kebiasaan menyambut tahun-tahun baru yang sudah. Aku lebih banyak berfikir dan menajamkan rencana yang bakal aku hadapi sepanjang tempoh tahun baru ini. Seandai aku tidak membijakkan diri menghadapi cabaran-cabaran baru maka nahas lah aku.

Selonggokan tanggungjawab dan komitmen sudah diterima dan diamanahkan. Bebanan yang bakal dipikul akan menjadi lebih berat sekiranya aku berleka-lekaan dengan permainan duniawi. Aku sedar bukan mudah untuk mengharungi dunia yang kian cepat berputar. Kalaupun kita tidak pening mungkin kita akan terasa loya dan pinar mata.

Yang pastinya Tahun baru ini aku mesti setidak-tidaknya menjadi lebih baik dari tahun lepas. Ayuh sahabat-sahabat kaum muslimin kita mesti tunjukkan prestasi yang cemerlang dari orang bukan Islam. Usah terleka dengan ulitan dunia ini. Kembara kita belum berakhir. Bekal apa yang mahu kita bawa kalau bukan amal terbaik yang soleh dan solid untuk dibawa serta dipersembahkan kepada Rabbul Jalil, Tuhan Semesta Alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...