Thursday 8 January 2015

Harta Kekayaan Takkan Ke Mana

Lihat sahaja apa yang terjadi dengan mangsa banjir di kelantan. Rumah roboh, barangan hilang dan rosak. Kereta masuk air dan dihanyutkan. Sesetengahnya hanya tinggal sehelai sepinggan. Kesian sungguh nasib mereka.

Sebelum kejadian banjir mereka memiliki kehidupan yang sempurna. Ada segala-galanya. Air bah itu telah memusnahkan semua yang mereka miliki.

Kekadang kita merasai harta benda itu milik kita. Harta yang banyak itu menyebabkan kita tersenyum. Kita sandarkan masa depan kita kepada harta yang kita miliki. Kita selalu merasai nyaman mengenangkan masa depan kita akan bahagia kerana memiliki sekian-sekian harta. Boleh berbuat apa saja. Boleh beli apa sahaja. Boleh melabur ke mana sahaja.

Tanpa disedari kita lupa bahawa Allah Yang Maha Esa yang memberi kita semua itu. Memberi kehidupan, memberi harta kemewahan, kesihatan, kesenangan, kebahagiaan dan sebagainya. Tiba masa dia akan ambil balik apa yang Dia beri dengan apa sahaja cara yang Dia kehendaki.

Allah Dialah Tuhan kita. Kita hanyalah hambaNya. Dia Mutlak ke atas kita semua. Dia mempunyai Iradah. Dia boleh menguji kita dengan apa sahaja. Dan Dia tidak zalim. Dia berfirman, "Aku telah haramkan kezaliman ke atas diriKu..."

Dia menguji kita dengan kekecewaan kehilangan harta benda disebabkan musibah. Kita kecewa dan jika bersabar atas kekecewaan itu serta redha dalam terpaksa... insyaAllah Dia akan gantikan dengan yang lebih baik. Lihat hadis-hadis ini...

Sabda Nabi SAW. "Barangsiapa yang Aku butakan kedua matanya lalu ia bersabar, nescaya akan Aku ganti dengan syurga." (Al-Hadith)

"Siapa saja orang di dunia ini yang kekasihnya Aku cabut nyawanya, kemudian dengan cubaan yang Aku timpakan ini dia (bersabar dan) mengharap pahalaKu, nescaya akan Aku ganti dengan syurga." (Al-Hadith)

Yakni; barangsiapa kehilangan anaknya tetap berusaha untuk bersabar, maka di alam keabdian kelak akan dibangunkan untuknya sebuah Baitul-Hamd (Istana Pujian).

Begitu juga dengan kekayaan dan kemewahan serta kesenangan yang Allah berikan itu merupakan ujian dari Allah. Harta itu amanah kepadanya. Orang yang paling baik adalah orang yang bermanfaat pada orang lain. Jika harta yang dia miliki tidak menjadi manfaat kepada orang lain maka dia tidak guna dengan baik harta yang Allah bagi. Allah boleh tarik balik harta itu dan berikan pada orang lain yang lebih baik. Kita di bumi ini hanya khalifah yang mengurus harta Allah. Jika harta yang Allah amanahkan kepada kita tidak kita urus dengan baik untuk uruskan makhluk di bumi ini kita tidak lain dan tidak bukan hanyalah seorang yang pecah amanah.

Nikmat Allah hanya sementara. Sabar dengan ujian ini maka Allah akan sediakan yang lebih baik di akhirat. InsyaAllah. Fashbir 'ala ma 'ashobak...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...