"BAGAI DISENGAT JENGKING, SIAM SEGERA 'BANGKIT' MENYIAPKAN BALA TENTERANYA BUAT 'MENGAJAR' RAJA PATTANI"
Sebelum
jatuh ke tangan Siam pada tahun 1785, negeri Pattani adalah sebuah negeri
besar. Ia merangkumi kawasan-kawasan yang sekarang dipanggil ‘changwad’ atau
wilayah Naratiwas, Yala, Pattani dan sebahagian wilayah Songkhla atau Senggora.
Malah sebahagian besar daerah Ulu Perak di semenanjung Malaysia sekarang. Lebih
kurang mulai dari Lenggong, Kenering, Gerik, Selama, Rantau Panjang dan Keroh
(sekarang Pengkalan Hulu) adalah merupakan daerah kawasan Pattani. Begitu juga
dengan beberapa kawasan yang sekarang termasuk di dalam negeri Kelantan seperti
Jedok, Jeli, Air Lanas dan Batu Melintang (dalam jajahan Tanah Merah dan Jeli).
Di sebelah utara pula, sempadan negeri Pattani dengan wilayah Senggora ditandai
pada sebatang sungai bernama sungai Tibor seperti Sungai Kolok yang menjadi
sempadan antara Kelantan (Malaysia) dengan Thailand.
Inilah lebih
kurang luas kawasan negeri Pattani pada waktu kekalahannya kepada siam pada
tarikh di atas. Menurut A. Bang Nara Pattani dahulu dan sekarang (Penal
Penyelidikan angkatan Al Fatani 1977), setelah mengalahkan Pattani, tentera
pendudukan Siam telah bertindak kejam ke atas rakyat Pattani. Sebulan lamanya
mereka membakar dan merompak segala barang dan harta benda rakyat termasuk
membakar istana Sultan di Kerisik. Sesetengah buku pula menyebut bahawa tentera
Siam menangkap orang-orang Pattani dan mengirimnya ke Bnagkok menjadi tawanan
Perang atau hamba sahaya.
Dua laras
meriam besar yang dibuat dalam masa pemerintahan Raja Biru, Sri Pattani dan Sri
Nagara, juga dibawa sebagai oleh oleh dari medan perang. Meriam yang bernama
Sri Nagara diberitakan jatuh di Kuala Pattani pada waktu diangkut naik ke kapal,
sementara sebuah yang lain Sri Pattani, selamat sampai ke Bangkok dan
sekarang diletak di hadapan pejabat kementerian pertahanan Thai sama ada menjadi
perhiasan atau sebagai tugu kemenangan. Sebuah lagi meriam, Maha Lela lesap
entah dimana.
Memulakan
pemerintahannya di Pattani, Siam melantik seorang yang bernama Tengku Lamidin
menjadi Raja Pattani. (istilah raja dipakai bagi membezakan raja-raja Pattani
yang lantik Siam dengan Sultan-sultan pattani lama. Ibrahim Syukri dalam
bukunya Sejarah kerajaan Melayu Pattani menyebut raja-raja yang dilantik oleh
siam ini sebagai raja patung oleh kerana kuasa sebenar pentadbiran negeri
Pattani adalah terletak pada tangan Pesuruhjaya Siam di Ligor, di samping
Pattani sendiri mulai terpaksa
menghantar ufti bunga emas sebagai tanda taat setia kepada Raja Siam.
Bagi
menggantikan istana lama di Kerisik yang dibakar hangus, Tengku Lamidin membina
kediaman barunya di kampung Perawan.
Zaman awal
pemerintahan Tengku Lamidin adalah merupakan suatu zaman yang sangat sulit.
Keadaan ini dapat diatasi oleh kerana inilah zaman yang pertama kalinya Pattani
dipaksa hidup di bawah payung kekuasaan asing. Keadaannya serba tidak kena dan
payah. Kota kerisik yang dahulunya ramai, kini telah sunyi. Penduduk yang
menguasai ketempat-tempat lain selama perang terjadi masih belum berani pulang
memenuhi ibukota Pattani yang lama. Perdagangan merosot, hasil pertanian tidak
mampu menyuap mulut penduduk yang lapar dan berbagai-bagai masalah selepas
perang yang lain lagi. Namun, dengan segala keupayaan ini, Tengku Lamidin
berjaya mengumpul kembali rakyatnya dan membina semula negerinya.
Empat tahun
kemudian, 1789 setelah keadaan kembali pulih dan stabil, Tengku Lamidin mula
mengatur strategi melawan siam. Meskipun beliau dilantik oleh siam dan
kekuasaannya sangat terbatas, namun tidak sangguplah negerinya menderita
dibawah penjajahan Siam. Memulakan langkah dalam hal ini, tindakan baginda yang
pertama ialah menghantar utusan kepada seorang raja Annam yang bernama Ong
Ching Su, memintanya supaya menyerang Siam dari sebelah utara, manakala baginda
sendiri akan menyerang dari sebelah selatan. Namun Malang bagi Tengku Lamidin,
kerana bukan sahaja permintaan baginda tidak dipenuhi, akan tetapi lebih dari
itu, Raja Annam telah memanjangkan surat baginda kepada Raja Siam di Bangkok
sebagai bukti pengkhianatan.
Bagai
disengat Kalajengking, Siam segera bangkit menyiapkan bala tentranya buat
mengajar raja Pattani. Dengan dipimpin oleh Phra’ya Kalahom, pasukan
ini berangkat ke selatan lalu menyatu dengan pasukan pesuruhjaya di Ligor dan
Singgora, memukul angkatan Pattani yang pada waktu itu telah mara sejauh Pathlung. Peperangan ini telah berlaku dengan hebatnya selama 3 tahun.Tiada
siapa yang menang dan kalah, lapor Ibrahim Syukri dalam bukunya sejarah kerajaan Melayu Pattani mukasurat 97. Tetapi oleh kerana kesilapan Raja Pattani yang
keluar terlalu jauh dari pusat Negerinya, maka ini telah menyebabkan sukar
baginya mendapatkan bantuan tambahan baik berupa tenaga, makanan ataupun
senjata. Keadaan ini telah mengakibatkan tentera Pattani menjadi lemah dan
akhirnya terpaksa mundur untuk memberi laluan kepada tentera siam menuju ke
Pattani.
Dipendekkan
cerita, Negeri Pattani dengan ibu kotanya yang baru di Perawan jatuh ke tangan
Siam pada tahun 1791. Sekali lagi sejarah berulang, Pattani babak-belur
dilanyak tentera Siam yang bermaharajalela. Tengku Lamidin ditangkap dan
dihukum bunuh. Rakyat ditawan dan harta benda dirampas.
Sebelum
tentera Siam pulang ke Bangkok, mereka sekali lagi melantik raja patung mejadi
raja Pattani. Kali ini mereka melantik seorang yang dikelali dengan nama Dato' Pengkalan iaitu salah seorang pembesar melayu yang berpengaruh dan yang pernah
dilantik oleh Tengku lamidin menjadi ketua di Kerisik. Selain dari itu bagi
tujuan mengimbangi keadaan, Siam juga melantik seorang pembesar Siam bergelar
Laksamana Dajang menjadi semacam pengawal keselamatan negeri bagi mengawal orang
melayu daripada menderhaka kepada Siam. Beberapa orang Siam juga di arah
tinggal di Pattani sebagai langkah berjaga-jaga.
Sedikit masa
tenang berlaku di Pattani selepas Siam menguatkuasakan perlantikan ini. Akan
tetapi tidak lama. Beberapa tahun kemudian, Dato' Pengkalan sering bertelagah
dengan orang-orang Siam dalam perkara pemerintahan dan pentadbiran
negeri. Mereka dikatakan banyak campurtangan dan menghalang Dato' Pengkalan,
di samping seringkali melakukan tindakan ganas ke atas rakyat. Pada tahun 1808,
pertelagahan ini mencapai kemuncaknya. Akibatnya Dato' Pengalan secara mengejut
menyerang orang-orang Siam di Pattani menyebabkan ketuanya, Laksamana Dajang
lari menyelamatkan diri ke Sengggora.
Di Senggora
mereka memaklumkan kepada Bangkok bahawa Dato' Pengkalan dan orang-orang Melayu
telah belot. Bala tentera siam dikerah ke Pattani bagi menangkap Dato Pengkalan.
Di Pattani, sekali lagi persiapan diatur bagi menyekat kemaraan orang-orang gasar Siam. Sekalian kerabat Dato' Pengkalan, Dato' Said an Dato' Pujud dikerah mengumpulkan kekuatan dan usaha melepaskan Pattani daripada belenggu Siam. Dalam pusingan pertama, tentera Pattani berjaya memaksa tentera Siam berundur hingga ke Ligor. Tetapi dalam pusingan kedua, apabila Siam secara serantak menyerang dari arah laut dan darat, tentera Pattani tidak ampuh lagi. Sekali lagi Pattani menyerang. Dato' Pengkalan sendiri mati dalam pertempuran ini, manakala dato'-dato' yang lain sempat menyelamatkan diri.
Belajar dari
dua kali pengalaman khianat ini, Siam kemudiannya melantik seorang Siam yang bernama Nai Kwan Sai menjadi Raja
Pattani. Beliau ialah seorang pembesar Chennak yang berasal dari keturunan
bangsa cina yang datang berniaga di Chennak. Setelah dilantik sebagai raja, beliau
pun datanglah ke Pattani untuk memerintah Pattani dan berbuat kampung kediaman
di kampung Bandar, tidak jauh dari Kerisik. Turut bersama beliau ialah beberapa
ramai keluarga Siam dari Senggora.
Inilah
julung kali dalam sejarah negeri Pattani diperintah oleh seorang bukan Melayu. Apabila Nai Kwan Sai mati pada tahun 1815, tempatnya diganti oleh adiknya Nai Phai. Pada
masa Nai Phai menjadi raja, Negeri Pattani tidak pernah aman. Perbalahan dan
kadangkala pertumpahan darah terjadi di mana-mana di antara orang-orang Melayu
dan Siam. Apabila satu laporan dikemukakan ke Bangkok mengenai perkara ini,
Siam memutuskan bahawa satu dasar perlu diperkenalkan di Pattani.
Dasar baru
ini yang mulai diperkenalkan pada tahun1816 ialah sebuah dasar yang dikenali
umum di dunia politik penjajahan dengan nama Divide and Rule. Dibawah dasar ini
Negeri Pattani Besar dipecahkan kepada 7 negeri kecil masing-masing bernama
Nongchik, Jambu, Jalor,Teluban, Legeh (Renge), Raman dan Pattani. Pada setiap
negeri kecil ini Siam melantik raja-raja dari kalangan orang-orang yang pada
anggapannya dapat berkerjasama dengannya. Inilah asal mula wujud raja kecil
di Pattani yang keturunannya masih dapat ditemui sehingga sekarang. Sedikit
sejarah mengenai raja-raja dari negeri-negeri kecil bertujuh ini, InsyaAllah
saya akan tulis pada kesempatan yang lain.
90 Tahun kemudian (1906), iaitu beberapa tahun sebelum persetiaan Bangkok yang terkenal itu, negeri-negeri kecil bertujuh ini di susun semula mejadi hanya empat buah negeri kecil iaitu Pattani (dengan memasukkan Nongkecik dan Jambu), Teluban dan Leguh. Pada penyusunan kali ini, nama Leguh ditukar menjadi Bangnara dan kemudian lagi pada tahun 1915 nama ini bertukar kepada Naratiwat sehingga sekarang.
Pada tahun
19 Mei 1916, istilah negeri dihapuskan digantikan dengan kalimah wilayah atau
changwad sebagaimana pemakain sekarang. Kemudian pada 16 Februari 1963 pula Taluban
(Saiburi) ditukar daripada sebuah wilayah menjadi hanya sebuah daerah dalam
wilayah Pattani.
Inilah
sekelumit daripada sebuah riwayat panjang mengenai bagaimana negeri Pattani
besar berubah dan mengecil menjadi apa yang dikenal sekarang ini dengan nama
Naratiwat, Yala (daripada perkataan Jalor) dan Pattani. Semua wilayah ini
diketuai oleh Gabenor yang dikenali di kalangan orang melayu Pattani dengan nama
Raja negeri. Tidak pernah ada orang melayu dilantik bagi menjadi gabenor
di bekas negeri Pattani ini setakat ini.
Cerita ini ditulis oleh Ahmad
Fathy Al-Fatani. Saya telah menaip cerita ini dengan menggunakan mesin taip lama ketika zaman sekolah menengah, sumbernya entah dari buku atau majalah mana, saya tidak ingat dan tidak catat. Saya telah taip semula dan kongsikan di blog ini sebagai maklumat kita bersama.
2 comments:
Woi setan....ustaz munafik. Apahal kau tak cerita kau kawin lari di patani siam dengan bini no2 kau sekarang....pembohong no satu.
Woi setan....ustaz munafik. Apahal kau tak cerita kau kawin lari di patani siam dengan bini no2 kau sekarang....pembohong no satu.
Post a Comment