"Wajib bagi orang Islam menuntut kemerdekaan dan membebaskan negara yang asalnya adalah milik orang Islam", tegas abahku pada suatu ketika.
Atas dasar itulah Mujahidin di wilayah-wilayah Patani berjuang menuntut kemerdekaan dari Siam. Mereka menuntut hak-hak mereka. Ini tanah air mereka. Mereka ingin memerintah sendiri negara asal mereka.
Patani dulunya adalah sebuah kerajaan Islam. Rajanya adalah orang Melayu Islam. Rakyatnya majority Muslim. Buktinya Raja-raja di Tanah Melayu juga mempunyai pertalian dengan Raja Patani. Raja Patani yang lari dari serangan Siam berlindung di Tanah Melayu. Kewujudan makam Raja Patani di Kelantan adalah salah satu asas kukuh mengaitkan Empat Wilayah Selatan Siam adalah milik kerajaan Islam.
Tidak sedikit bukti yang menunjukkan Patani adalah Negara Islam asalnya dan dijajah oleh Siam. Dalam buku sejarahpun diceritakan hal demikian. Tapak-tapak sejarah seperti masjid dan istana raja terdapat di Wilayah berkenaan.
Perjuangan suci Mujahidin Patani ini banyak menimbulkan keresahan di kalangan pemerintah Siam. Banyak sekali peristiwa-peristiwa berdarah dalam perjuangan mereka menuntut kemerdekaan. Mereka sebenarnya berjuang menuntut kebebasan. Kebebasan dari tekanan-tekanan Penjajah!
Orang Islam di wilayah Patani ditekan dengan berbagai-bagai tekanan, termasuklah tekanan politik, tekanan sosial dan tekanan ekonomi. Walaupun zahirnya Raja Siam memberi perhatian ke atas orang melayu dengan berbagai-bagai peruntukan termasuklah membina sekolah agama dan masjid Besar Naratiwat misalnya, namun agenda tersembunyi pemerintah itu banyak mengorbankan orang melayu. Orang melayu menjadi mangsa bila yang muda didedahkan dengan wabak penagihan dadah yang berleluasa tanpa bendungan dari pemerintah bagaikan ia satu kesengajaan. Yang mengedar dadah bebas berniaga. Yang ketagih ditangkap dan dihapuskan. Ramai budak-budak Kampung Telian yang ditangkap atas sebab ketagihan dadah. Dan ramai pula yang mati selepas 3 bulan dibebaskan. Seakan mereka disuntik untuk mati dalam tempoh itu. Ramai juga yang mati dalam tahanan.
Dasar kerahan tenaga juga tidak terkecuali ke atas orang Melayu yang semestinya diletakkan di barisan hadapan. Ini antara igauan ngeri sebagai rakyat Negara Siam. Itulah punca utama orang melayu lari dari pemerintah dan menjadi orang buangan, bersembunyi di bukit-bukit dan menyertai Mujahidin.
Kaum tua pula digalakkan menyertai tabligh. Kegiatan tabligh yang seakan terpesong dari perjuangan Islam itu berakar umbi di bumi Patani. Mereka diharamkan bergiat dalam arena politik malah diharamkan menyebut soal-soal jihad. Mereka disogok dengan fahaman tabligh sempit. Mereka bergerak dalam batasan yang sempit dan memberi kenyamanan pada pemerintah. Tiada langsung terdetik dan terlintas di hati mereka tentang hak-hak mereka sebagai muslim yang disuruh membebaskan tanah air yang dijajah.
Kesedaran inilah yang membawa kepada rancangan-rancangan dasar untuk mujahidin menekan pemerintah agar memberi hak kepada orang Islam. Jika tidak cara lembut cara kasar pun dilakukan juga. Yang penting tujuan utama untuk membebaskan negara Islam yang ditawan berhasil.
Tahun 1980 menyaksikan sawah bendang Telian diwarnai dengan merah darah mujahidin. Seramai 11 orang termasuk seorang kanak-kanak belasan tahun terkorban. Peristiwa berdarah ini bermula ketika 10 orang mujahidin paling dikehendaki oleh pemerintah melintasi sawah bendang dari Kampung Telian menuju ke Kampung Puyu yang jaraknya hanya 10 km. Gerak-geri mereka yang telah lama diperhatikan. Kebetulan pada hari itu tentera Siam mendapat peluang terbaik untuk bertindak menghapuskan mereka. Mereka dikepung di tempat terbuka- sawah padi. Dengan jumlah pasukan tentera yang ramai dibantu dengan jentera seperti kereta perisai, helicopter, bot tentera dengan sekelip mata 10 orang Mujahidin bersama seorang kanak-kanak dikepung. Kanak-kanak itu hanya menumpang mereka untuk ke kampung sebelah. Adegan tembak menembak berlarutan selama beberapa jam sebelum kesemua 11 orang terkorban. Syahid!
Peristiwa itu mengingatkan tahun kelahiranku-1980. Pada masa itu, aku baru sebulan dilahirkan di kampung Telian, Takbai. Ketika itu aku masih belum mengerti apabila peluru-peluru sesat jatuh bertaburan di laman rumah. Peluru-peluru itu jatuh merata-rata. Guruh gempita. Gamat suasana.
Abah dan umi selalu bercerita tentang peristiwa itu, memberi gambaran bahawa aku dilahirkan dalam keadaan daerahku agak mendesak. Berbagai-bagai kesukaran wujud di tanah tumpah darahku. Walaupun hati kami gembira sepanjang tinggal di sana namun dari sudut yang terdalam kami mengharapkan akhirnya Patani bebas sebagai sebuah negara Islam. Doakanlah!
No comments:
Post a Comment