Monday 5 May 2014

Rindu Abah (2)

aku ketika menziarahi kubur abah
Peluang balik ke kampung baru-baru ini sambil program aku sempat meluangkan masa untuk menziarahi kubur abah. Semenjak aku kembali ke KL selepas majlis mengebumian abah ini adalah kali pertama aku menjenguk abah. Demi melangkah masuk ke pintu kawasan kuburan aku memberi salam. Salam khas ku untuk abah dan untuk semua ahli kubur di situ.

Menatapi dengan penuh syahdu nisan nan dua dan pelindan yang tertera nama sebenar abah. di hujung kaki abah pula ada satu lagi kubur insan yang sangat aku hormati- arwah bapa saudara, Paksu.

Selepas beberapa ketika merenungi kenangan-kenangan bersama mereka berdua ketika hayat mereka aku mulai membaca tahlil untuk keduanya. pagi itu sangat tenang... aku menghabiskan tahlil dan doa pengampunan bagi keduannya. Aku sangat rindukan abah. Sangat-sangat merasai kehilangan.

Aku mulai perasan satu kehilangan besar dalam hidupku mengenai seorang abah apabila anakku meminta aku doakan dia untuk menghadapi peperiksaan. Begitulah aku... ketika aku menghadapi peperikasaan, ujian dalam pelajaran atau dalam kehidupan aku selalu minta abah doakan aku atau buat solat hajat untuk aku. Bila aku meminta demikian abah selalu menjawab... "abah sentiasa doakan untuk anak-anak abah!"

Ya... itulah sikap abah. Berkat doa abah kami adik-beradik berjaya mengharungi dunia yang penuh pancaroba ini. Abah juga selalu ke masjid ketika dia sihat. Banyak solat sunat, banyak berzikir. Aku suka jadi makmum bila bersolat dengan abah sebab aku sangat hormati dia. Dia banyak ilmu. Di dalam dadanya mengandungi ajaran agama yang sangat tebal. Usah diajak berdebat dengan apa jua kemusykilan pasti dijawabnya dengan nas Quran dan Hadis Nabi (s.a.w).

Abah... semenjak abah tiada aku tidak ada tempat bermanja. Tidak ada orang yang memasak untuk kami. Tidak ada orang menggunting rambut kami. Tidak ada yang mengajar kami. Tidak ada yang ketawa bersama kami. Tidak ada orang yang berjenaka dengan kami. Tidak ada yang menemani kami, menyayangi kami...

Abah... Hisyam ada masalah abah... masalah Hisyam sangat berat abah... tolong Hisyam abah... aku bagai meluahkan semua yang aku alami pada abah... sarat hati ini biar terluah di sini. Moga abah dapat doakan aku di sana. Moga abah gembira aku datang kepadanya. Tenanglah abah. Akan Hisyam kirim pada abah doa dan pahala quran untuk abah.

Aku meninggalkan kuburan itu setelah matahari meninggi. Selamat tinggal abah. Nanti kita akan berjumpa lagi. Aku akan menyusuli abah nanti. Semoga kita akan sama-sama berkumpul di syurga.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...