Friday 30 September 2016

Buat tak tahu jer...

Sesetengah orang bila tengok member kena musibah ujian dia buat tak tahu je... tak tanya khabar, apa lagi nak bantu. Malah ada yang menghindar diri. Beginikah sifat sebagai seorang mengaku Islam yang mana diajar sesama Islam adalah sebagai satu badan? Jika sakit satu anggota badan maka anggota badan lain akan turut merasai. Lagipun, mencintai, menyayangi, merasa belas kasihan sesama muslim seperti mana menyayangi serta mementingkan diri sendiri adalah syarat kesempurnaan iman. Jangan pula lupa bahawa kita boleh ditimpa musibah ujian yang sama pada bila-bila masa sahaja jika kita berterusan bersikap angkuh dan beranggapan selamanya tidak diuji kerana kita bijak pandai lebih dari orang lain. Ingatlah... Semua kita dalam genggamanNya.

Tuesday 27 September 2016

Tinggallah Kita Si jahil

Allah mengambil satu persatu alim ulamak. Terbaru adalah Ustaz Fadhil Al-Yamani. Sebelum itu Dato' Dr. Haron Din, Tuan Guru Salleh Musa, Tok Guru Nik Abdul Aziz dan lain-lainnya. Kehilangan yang tiada gantinya lagi kepada dunia Islam khasnya di Malaysia.

Orang yang tidak mendekati mereka semasa hayatnya mungkin tidak merasa apa-apa. Tapi bagi pencinta ilmu dan ilmuwan pastinya bergegar dadanya menahan sebak. Merasai suatu kehilangan yang sukar diungkapkan.

Dengan hilangnya ilmuwan-ilmuan ini maka suara-suara nasihat yang ikhlas menjadi semakin berkurangan. Sedangkan manusia sentiasa perlukan nasihat. kesan secara langsung terhadap kehilangan suara nasihat ulamak ini akan menyebabkan manusia semakin lalai dan alpa. Mungkin ada lagi suara-suara ilmuwan namun aura yang dapat memandu arah masyarakat tidak ada. Ada suara tapi tanpa ruh dan semangatnya. Mesej yang sama disampaikan oleh orang yang berbeza akan diterima secara berbeza tentunya.

Kehilangan demi kehilangan ini mengurangkan para ilmuwan dan menambahkan jumlah si jahil. Malah ramai yang cenderung melakukan kezaliman berleluasa di sana-sini. Tidak lama lagi apa akan jadi kepada bumi ini. Kerosakan akhlak sudah terjadi dari pemimpin sampai kepada rakyat terbawah malah anak-anak sekolah sudah punah ranah moralnya. Kezaliman pula merebak ke merata-rata. Merebak kepada sesiapa sahaja. Puncanya kerana nasihat tidak ada kesan lagi kepada jiwa-jiwa yang kotor.

Kita dapat lihat percampuran antara baik dan buruk. Ramai orang sembahyang namun orang yang sama melakukan maksiat tanpa silu. Ramai yang mendengar ceramah tapi selepas ceramah mereka melakukan keburukan yang sama dilakukan oleh orang yang tidak mendengar ceramah. Hiburan menguasai sebahagian besar kehidupan. Anak-anak tidak dididik dengan quran tapi hanya mainan dan hiburan.

Saya menyeru wahai sahabat-sahabat yang sempat membaca keluhan ini, mari kita berganding bahu menghidupkan taman-taman ilmu sehingga diri sendiri, anak-anak dan keluarga merendah dan perhambakan diri terhadap ilmu khususnya ilmu agama. Kalau tidak sampai tahap ulamak pun sudah memadai menjadi pencinta ilmu dan pencinta ilmuwan.

Monday 26 September 2016

Nikmat Lupa

Antara banyak-banyak nikmat yang Allah bagi yang sangat dihargai sekarang adalah nikmat lupa. Biasanya orang tidak suka lupa. Tapi tanpa kita sedar lupa juga satu nikmat besar. Lupa yang saya maksudkan adalah lupa terhadap masalah dan kesedihan.

Bayangkan semua peristiwa sedih kita teringat, mungkin emosi kita akan terganggu. Kerja juga terganggu dan mungkin juga urusan seharian kita menjadi tidak menentu. Kita mungkin hidup dalam keadaan murung dan tidak bersemangat. Asyik termenung teringatkan kesedihan-kesedihan masa lampau sehingga masa depannya tergadai.

Begitu juga dengan permasalahan yang menghantui diri. Alangkah indahnya dunia jika kita tidak mempunyai sebarang masalah. Akan tetapi mustahil bagi setiap orang jika tidak mempunyai masalah. Masalah datang dan pergi silih berganti kepada kita semua sama ada besar atau kecil. Masalah datang adalah untuk diselesaikan dan bukan untuk disesali. Prinsipnya senang... masalah adalah ujian hidup untuk menguji kematangan cara berfikir dan bertindak. Masa kecil dulu, masalah kita adalah kecil sesuai dengan keadaan keanak-anakan kita. Dan apabila meningkat dewasa, masalah juga ikut membesar bersama. Agak malang bagi seseorang yang tidak mengetahui apa masalah yang dia sedang hadapi kerana dia tentunya tidak bersedia untuk menanganinya dan akan jadi besar bila sudah terlambat. Yang lebih baik adalah dia tahu keadaan diri, tahu apa masalah dan tahu bagaimana untuk selesaikan dengan cara yang paling baik dan kreatif. Kreatif? Ya... berfikir secara kreatif menanganinya sama ada secara menyeluruh atau secara beransur-ansur kerana tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan pantas. Mungkin akan mengambil masa berhari-hari atau berbulan-bulan atau makan tahun!!!

Namun, jika masalah berlarutan yang tentunya mengambil masa yang lama dan sukar untuk diselesaikan, alangkah baiknya jika masalah itu tidak diingati selalu. Dilupakan. Bukan bermaksud melupakan masalah itu langsung. Namun jika langkah-langkah penyelesaian sudah dibuat... maka bertawakkallah pada Allah dan biar Allah yang tolong kerana Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Jika masalah tidak menguasai minda maka kita dapat melakukan urusan dengan baik. Dan inilah maksud nikmat lupa yang saya ingin perkatakan. Syukur pada Allah yang melupakan masalah-masalah dan memberi minda sihat untuk melakukan ketaatan-ketaatan kepadaNya.

Thursday 1 September 2016

Sehati Sejiwa

SehatiSejiwa

Suami isteri bekerjasama bergaduh dengan jiran-jiran
dua-dua maki hamun... sama naik
Sehati sejiwa betul...

Para pelajar lompat pagar beramai-ramai
ponteng ke kedai runcit beli rokok
lepak shopping kompleks...
nampak benar-benar sehati sejiwa budak-budak ni.

Perompak-perompak yang ditangkap semalam pun sehati sejiwa
mereka pandai 'cover' antara satu sama lain
tugas pun dibahagi sama rata
aku pegang senapang, kau kaut dulang
kita sama-sama untung
bila kena tangkap semua tak bukak mulut
pegangan kuat... biar pecah diperut jangan pecah dimulut.

kita boleh pilih sehati sejiwa untuk saling berlawanan
atau bersatu hati untuk membangun bersama-sama
bersatu untuk berdendam atau bersatu untuk berbaik
Hati mesti bersih... jiwa mesti tenang
Hati waja... jiwa tidak lara
Hati baik... jiwa besar
Hati dan budi
Jiwa dan raga
kekal abadi... terpahat di sanubari.

Wan Norhisyam - 1 September 2016

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...