Friday 7 February 2014

Tarbiyyah Berterusan

Sememangnya bukan mudah sesuatu nilai yang baik nak diterapkan ke dalam jiwa manusia. Anak-anak perlu dididik selama bertahun-tahun untuk menjadi pandai. Para pelajar memerlukan masa yang lama untuk mendalami ilmu. Begitu juga para pekerja memerlukan satu tempoh masa tertentu bagi menghasilkan pekerja yang berpengalaman.

Tarbiyyah atau pendidikan atau pembelajaran memerlukan masa yang lama. Ianya adalah syarat utama bagi mengubahan sikap dan daya fikir seseorang. Perubahan yang dimaksudkan adalah perubahan secara total yang mewakili sebuah falsafah dan akhlak.

Islam adalah agama yang turunkan dari langit. Ia merupakan satu-satunya cara hidup yang tepat untuk diikuti dan sesuai di setiap masa dan tempat. Sesiapa sahaja boleh mengikuti Islam tidak kira apa bangsa dan kaum sekalipun. Tidak kira di mana pun sama ada di Amerika, Africa, Asia, Kutub Utara, Kutub Selatan dan lain-lain.

Namun, mempelajari Agama Islam bukan semudah yang difikirkan dan bukan terlalu sukar. Pelajaran agama Islam perlu kepada tempoh dan proses yang panjang. Ini kerana selok belok agama terlalu luas menjangkau ke semua aspek kehidupan sama ada aspek sosial, ritual, politik, ekonomi, kerohanian dan sebagainya. Jika masa yang diambil terlalu singkat dibimbangi pelajaran Islam tidak dapat diserapi secara menyeluruh dan mungkin pemikiran akan tersudut pada satu-satu fahaman sahaja yang sempit dan jumud. Padahal Islam tidak sempit malah sangat luas.

Untuk menjadi muslim yang faham agama memang memerlukan pendidikan yang berterusan supaya agama itu boleh dihayati dan dijadikan rujukan atau panduan di setiap masa dalam keadaan apapun juga. Sesekali seorang muslim tidak boleh menggunakan akalnya sahaja untuk bertindak mendepani urusannya malah agama yang ditunjangi al-Quran dan as-Sunnah perlu dijelmakan dalam pemikirannya.

Muslim sejati yang mengalami tempoh panjang tarbiyyah sangat berbeza dengan muslim yang tidak belajar agama setempoh itu. Dia akan menjadi pekerja yang hebat dengan membawa nilai-nilai kental Islam ke dalam gerak kerjanya seharian. Tindakannya dan perkataannya akan terserlah kemusliman yang diajari oleh Nabi S.A.W.

Di rumahnya, dia adalah penanggung jawab utama dalam menyelesaikan rumah tangganya. Tidak akan dia abaikan semua yang ditaklifkan ke atasnya. Kerana dia sedar bahawa jika pengabaian berlaku maka dia tidak akan terlepas dari hukuman yang bakal dikenakan di akhirat nanti. Dia juga akan bertanggung jawab mentarbiyyah anak-anak dan isteri supaya mereka juga tidak mengingkari suruhan Allah dan NabiNya. Bersikap lemah lembut terhadap mereka sesuai dengan ajaran sifat Rasulullah S.A.W yang diimaminya. Supaya mereka, anak dan isteri dapat rasai rahmat Allah yang diturunkan kepada seluruh alam selari dengan kedatangan junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Begitulah hendaknya sang isteri perlu menerima tarbiyyah sebaiknya dari kecil hingga bergelar isteri. Ketika menjadi isteri pun mereka perlu dididik dengan baik oleh suami mukmin sejati dalam rumahnya. Seorang isteri yang sudah faham agama akan lebih mudah melakukan tugasannya sebagai isteri. Ini kerana dia telah mengetahui apa sahaja yang dia lakukan mesti memohon reda dari suaminya. Statusnya di sisi agama dia adalah 'rakyat' kepada suami yang perlu patuh kepada pemimpinnya itu selagi mana perkara ittu tidak bercanggah dengan suruhan Allah. Perakuannya terhadap statusnya itu adalah kebenaran yang besar. Dan penentangan sepatutnya tidak berlaku sekiranya dia tahu carta organisasi kecil ini dan peranan masing-masing.

Tarbiyyah, pengajian, pembelajaran, pendidikan tidak terjadi dengan sepantas kilat. Sebaliknya berterus-terusan itu adalah terbaik dalam hal itu. Hari ini, esok dan selamanya tarbiyyah perlu diteruskan bagi menghasilkan muslim yang solid, kental dan mantap. Berhenti belajar atau mendidik menyebabkan terhenti sungai rahmat yang mengalir untuk kesejahteraan umat. Jangan jemu dan bosan untuk belajar dan mendidik selagi hidup seperti kita tidak jemu untuk makan dan minum setiap hari.

Tanpa tarbiyyah yang cukup manusia akan tergelincir dari arus yang sepadan dengan agama. Natijah dari tergelincir itu maka banyak perkara buruk dan negatif akan terjadi umpamanya Islam akan menjadi lemah, budaya yang negatif akan mudah meresap dan mengambil alih budaya Islam yang diajar oleh Nabi S.A.W. dan sebagainya.

Marilah kita mulakan semula tarbiyyah agama kepada mereka yang kita sayang. Bersatulah untuk Agama. Semoga Allah membantu kita semua. Wallhu A'lam...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...