Selama berhenti kerja di tempat lama saya tidak lagi aktif menulis. Fokus utama saya adalah menjadi pengusaha. Sudah banyak yang diusahakan namun, kejayaan belum tiba. Saya hanya berjaya menghabiskan modal sahaja. Dan saya belajar benda besar dalam hidup. Hidup ini bukan seperti yang kita impikan. Kadang-kadang ia terjadi serentak dengan mimpi. Kadang ia melebihi apa yang diimpikan dan kadang-kadang pula ia menjadi lebih buruk dari apa yang kita buru. Kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. Setiap orang tidak akan sama bentuk pemberian Tuhan. Ada yang lebih dan ada yang kurang. "Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa".
Dengan kefahaman yang kuat tentang keupayaan diri dan kelebihan yang ada saya menukar arah mengambil pusingan u turn ke jalan yang lebih terarah menuju destinasi mimpi-mimpi yang kian terpadam. Saya perlu akur dan akui yang jalan-jalan kehidupan bukan satu arah dan sentiasa satu arah. Kekadang jalan yang kita sukai itu tidak semestinya akan sampai pada titik akhir. Manakala jalan yang sukar dan tidak kita sukai itu akan lebih baik pengakhirannya. Allah berkata: Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata dan lidah serta dua bibir (sebagai kejadian yang sempurna untuk keperluannya)? dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan. Maka kenapa kamu tidak memilih jalan yang susah?".
Dalam kita Al-Hikam ada menyebut bahawa sememangnya di dunia ini memang susah. Selagi kita di dunia ini memang kena akur dengan kesusahan kerana sebabnya adalah kita belum sampai di akhirat. Memang patut susah sebab kita ini masih di dunia bukan akhirat. Bagi orang mukmin memang ini cabarannya. Tapi bagi yang suka bersenang lenang di dunia awaslah. Kesenangan itu akan diragut di akhirat jika tidak kena dengan syariatnya. Nabi SAW ada berkata yang mafhumnya "jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu tidak akan ketawa selama-lamanya".
Tentunya saya tidak akan sekali-kali menyerah kalah, walau sudah tiada apa yang tinggal saya tetap bangkit menerusi semangat anak jantan pantang tunduk walau dipijak namun misai jangan sekali-kali mencecah tanah. Yang digenggam itu biarlah dilepas walau sangat dicintai dan merupakan perjuangan awal. Mungkin tiada lagi rezeki saya diarena itu. Perjalanan ini saya doakan lebih baik dan lebih bermanfaat. InysaAllah... doakan saya dan saya aminkan doa-doa kalian.
1 comment:
Aamin
Post a Comment