Tuesday 19 October 2010

Seperti Peninju

Bekerjalah dengan fokus dan dengan kesungguhan umpama seorang peninju yang akan bertemu dengan lawan handalan di gelanggang pada bila-bila masa. Jika kita tidak bersedia dengan latihan dan stamina pada hari ini kita sudah pasti akan kecundang dengan penuh perasaan kecewa dan malu.

Mike Tyson, Mohammad Ali, Oscar De La Hoya, Evander Holyfield adalah antara peninju yang masyhur dan hebat dalam sukan tinju. Mereka pernah memenangi perlawanan tinju peringkat tertinggi dunia. Untuk mencapai tahap seperti itu mereka telah melalui pelbagai latihan dan pengalaman. Pernahkah anda melihat mereka berlatih? Apakah jenis disiplin yang mereka lakukan? dan bagaimana mereka melalui kehidupan sebagai seorang peninju yang berjaya?


Peninju yang berjaya perlu mengamalkan disiplin latihan dan memiiki daya tahan serta fokus kepada apa yang diinginkan

Peninju-peninju hebat semestinya menerima latihan yang berat dan berdisiplin. Mungkin setiap hari, setiap masa selain masa makan dan tidur, fikiran dan fokus mereka hanya inginkan kejayaan dalam setiap perlawanan. Mereka akan berada di gelanggang hampir setiap masa. Berlari, melompat, menggunakan tali 'skipping', mengangkat beban yang berat, berlatih menumbuk dan mengelak itu adalah antara latihan yang dilakukan oleh peninju selain menghabiskan masa di gimnasium untuk mendapatkan ketahanan mental dan fizikal.

Sebagai pekerja, di bidang apapun, jika kita inginkan kejayaan dan kemenangan wajarlah dibuat dengan kesungguhan. Tidak boleh sama sekali kita mengambil sikap sambil lewa dan leka dengan tugas. Kesannya nanti, kualiti 'outcomes' akan menurun jika kita tidak fokus.

Bila kita sudah menceburkan diri dalam sesuatu bidang pekerjaan kita mesti redha dan rela untuk melakukannya dengan penuh iltizam dan penuh harapan. Walaupun pada mulanya mungkin akan menemui kesusahan dan kegagalan. Namun, InsyaAllah kita akan merasai kemanisannya di akhir nanti. Seperti juga peninju yang menang sesuatu perlawanan. Itulah saat yang paling manis baginya walaupun bidang kerjaya ini akan mengakibatkan wajahnya sentiasa terdedah kepada risiko ditumbuk dan dihentak!

Monday 18 October 2010

Motivasi Dari Pelombong Chile

Sukar dibayangkan kalau kita menjadi salah seorang yang terperangkap di bawah tanah sedalam 625 meter dalam keadaan gelap, tanpa udara yang bersih, tiada makanan yang cukup dan terputus hubungan dengan dunia luar. Yang ada hanyalah lampu suluh yang akan malap dalam beberapa hari sahaja lagi...

Bagaimanakah perasaan kita jika hal seperti itu benar-benar terjadi pada diri sendiri? Mungkin yang terbayang hanyalah kematian... Namun sebelum mati... mungkin kita akan kelaparan, kebuluran, dahaga, sedih, takut kecewa dan putus harapan. Hidup umpama dipenjara. Setiap saat terasa begitu lama. Berkemungkinan juga runtuhan tanah akan berlaku bila-bila masa!

Beginilah keadaan pelombong yang terperangkap setelah mendapat bantuan.

Hakikatnya, itulah yang terjadi kepada 33 orang pelombong Chile di lombong San Jose yang terperangkap sejak 5 ogos 2010 apabila lombong emas dan tembaga di utara Chile itu runtuh. Bukan satu hari atau satu minggu tetapi selama 69 hari sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat negara mereka dengan menggunakan Pheonix 2, kapsul setinggi 4 meter yang direka khas. Ia adalah rekod paling lama manusia terperangkap di bawah tanah dan terselamat.

Kapsul Pheonix 2 yang direka untuk menyelamatkan pelombong yang terperangkap dan hanya seorang sahaja yang boleh menaikinya dalam satu masa.

Pelombong berkenaan terperangkap selepas sebahagian daripada lombong di kawasan gurun itu roboh menutup laluan masuk.

Beberapa minggu selepas kejadian, pelombong berkenaan dianggap sudah mati sehingga Ogos 22 apabila mereka menghantar surat yang ditampal kepada gerudi bahawa mereka masih selamat. Sejak itu pasukan penyelamat menurunkan bekalkan makanan, air, ubat dan udara untuk pelombong terbabit.

Setelah lebih dua bulan terperangkap mereka akhirnya seorang demi seorang ditarik keluar ke permukaan. Penantian itu berkhir dengan sorakan, tepukan dan airmata kegembiraan oleh keluarga, penyelamat serta pemimpin mereka Presiden Chile, Sebastian Pinera yang setia menunggu saat-saat 'pembebasan'. Kegembiraan itu bukan sahaja dirasai atau dialami oleh mereka yang berada dilokasi menyelamat dijalankan malah dikongsi dan dizahirkan oleh seluruh rakyat Chile.

Rakyat Chile bergembira kerana pelombong-pelombong berjaya diselamatkan

Bagi saya, hal seperti ini adalah sangat hebat. Betapa semangat persaudaraan yang ditunjukkan oleh mereka. Salah seorang pelombong, Mario Sepuldeva Espina menzahirkan ucapan "saya benar-benar bernasib baik. Tuhan bersama saya." sambil memuji operasi dijalankan dia menyambung "Sungguh hebat kerana mereka berjaya menyelamatkan dan membawa kami keluar dari kedalaman 700 meter bawah tanah." katanya.

Salah seorang pelombong yang baru diselamatkan menunjukkan rasa gembira.

Pelombong berpelukan dengan ahli keluarga yang terpisah sejak lebih 2 bulan.

Apa yang menjadi motovasi pada diri saya adalah beberapa perkara berikut:-

Pertama; Kesungguhan kerajaan Chile dalam usaha menyelamatkan rakyat mereka yang terperangkap walaupun mereka hanyalah 33 orang pekerja lombong dengan membelanjakan RM70 juta. Kerajaan mereka memiliki sifat tidak meremehkan pekerja 'bawahan' dan tidak bersifat memilih kasih. Sifat berhati perut ini sangat diperlukan dalam sesebuah kerajaan dalam usaha menyelamatkan rakyat yang 'terperangkap'.

Kedua; Bersatu hati menangani cabaran. 33 orang pelombong yang terperangkap bersatu hati di bawah pimpinan ketua pelombong, Luis Urzua dalam menghadapi cabaran itu. Meraka saling memberi semangat untuk terus hidup dan disematkan dalam hati mereka bahawa mereka akan diselamatkan selain terus berusaha. Para penyelamat juga bersatu hati, berusaha dengan melakukan perancangan terbaik termasuk membina jentera penyelamat terbaik serta menggunakan langkah yang strategik dan berhati-hati.

Ketiga; Sokongan moral dari pelbagai pihak termasuk keluarga, media, pekerja lombong, pemimpin dan rakyat seluruhnya sangat membantu dalam usaha gerakan menyelamat.

Keempat; Segala masalah boleh diatasi asalkan ada kesungguhan. Perancangan yang baik dan sokongan semua pihak adalah perkara penting selain bersabar menghadapi rintangan.

Kelima; Jangan mudah putus asa walau apapun terjadi. Sebelum mati usaha perlu diteruskan. Bak kata pepatah berpantang maut sebelum ajal...

Keenam; Kepimpinan yang baik dan bijak sana (good Governance). Ketua Pelombong yang terperangkap, Luis Urzua, 54, menunjukkan sifat kepimpinan yang sangat baik kerana dapat memberi khidmat kepada anak buahnya seperti membahagi-bahagikan makanan, memberi motivasi, merawat dan sebagainya. Dia adalah orang yang terakhir menaiki kapsul itu setelah semua anak buahnya berada dipermukaan. Dia ibarat kapten kapal yang enggan meninggalkan kapal yang sedang karam selagi semua anak kapalnya menyelamatkan diri - bersetuju untuk terus berada di perut bumi sehingga semua 32 pelombong lain diselamatkan.

Luis Urzua, ketua pelombong dan merupakan orang terakhir muncul dipermukaan.

Ketujuh; Untuk lebih berjaya kita mesti kreatif. Lihat sahaja Pheonix 2 dan jentera menyelamat, betapa kreativiti manusia perlu digunakan dalam menghadapi segala kemungkinan.

Kelapan; Apapun usaha manusia... betapa hebat pun manusia... perlu berbalik kepada Yang Maha Berkuasa, Allah SWT. Allah SWT. yang menguji manusia dengan memerangkap mereka di bawah tanah dan Dialah Yang Menyelamatkan manusia melalui instrumennya iaitu manusia yang diberi akal dan mampu berfikir serta berkreativiti.

Semoga kita semua mendapat iktibar dari apa yang berlaku. Wallahu A'lam bisshowab...

Thursday 14 October 2010

Dari Kebodohan Kita Dewasa

Semasa perjalanan pulang dari tempat kerja, menunggang motosikal Honda EX5 mengharungi kesibukan jalan raya di kota raya fikiran aku berputar mengimbau pelbagai kenangan zaman dulu-dulu, zaman ketika masih muda remaja menyebabkan kekadang aku tersenyum sendiri.

Kenangan suka duka silih berganti. Rupanya telah banyak aku lalui sepanjang hidup aku ini. Tidak kurang juga kebodohan yang pernah aku lakukan beberapa kali. Agak melucukan. Sukar diceritakan. Namun hal itu meninggalkan kesan yang mendalam serta mempunyai nilainya tersendiri.

Tentunya sukar untuk mengawalbaik keseluruhan trek kehidupan. Bagi sesiapapun tentunya akan ada suatu perkara yang menyebabkan kesakitan, kerisauan, kesusahan serta mungkin memalukan diri sendiri dan orang lain. Di antara perkara yang pernah berlaku adalah seperti kemalangan, pergaduhan, pertengkaran, percintaan, tersalah anggapan, ketidaksengajaan yang akhirnya membawa kepada peristiwa yang amat memalukan... kesakitan, kekecewaan...

Di antara perkara yang sukar untuk dilupakan adalah peristiwa kemalangan yang berlaku pada suatu petang di akhir tahun 1995. Peristiwa itu berlaku ketika aku menunggang motosikal (Honda c70, Du 6901)dengan seorang sahabat, Asri untuk pulang ke rumah selapas bermain, lepak-lepak bersama rakan-rakan di Pantai Geting. Pada mulanya aku menunggang motosikal kesayangan abah dengan baik sahaja. Namun setibanya di satu selekoh tajam (selekoh biawak namanya) aku mula menunjuk sikap agresif dan memecut laju seolah-olah seperti seorang pelumba handalan lagaknya. Ini semua adalah pengaruh menonton perlumbaan motosikal. Asri yang tadinya diam tiba-tiba terkejut dan melarang perbuatan aku itu. Namun segalanya sudah terlambat. Dalam sekelip mata aku gagal mengawal motosikal. Kami terjatuh dan terseret di selekoh itu serta terhumbang ke dalam semak.

Dalam keadaan yang kalut, antara sedar dan tidak itu aku bangun dari jatuh dan ternampak seekor biawak besar sedang lari dari situ. Mungkin haiwan yang sedang mencari makanan itu terkejut kerana ada manusia yang jatuh ke dalam habitatnya.

Aku cuba bangun dan memerhati sekeliling dengan debaran kencang di dada. Asri juga bangun dan cuba membetulkan diri. Dia kelihatan tidak mengalami sebarang kecederaan. Hanya terluka di jari sahaja. Aku cuba mengangkat motosikal yang kelihatan teruk dan mengheretnya ke tepi jalan. Ketika itu aku terasa ada cecair hangat mengalir dari mukaku. Aku cuba meraba bahagian yang luka... uhhh... pedihnya. Hidung dan pipi kanan sudah luka dan calar balar. Ketika itu aku mendapati ada luka besar sepanjang sejengkal di lengan kiri selain luka-luka di tangan kanan. Darah makin kuat mengalir. Baju kemeja T putih yang aku pakai semacam disirami pewarna merah.

Dengan kudrat yang masih ada, kami berjaya pulang ke rumah dengan menunggang motosikal yang sama, yang masih mampu bergerak. Kali ini Asri yang menunggang. Aku jadi pembonceng.

Ketika sampai di rumah umi, abah dan abang tiada di rumah. Entah ke mana. Yang ada cuma adik perempuan aku sahaja. Aku terus masuk ke bilik dan baring dalam kesakitan. Sebelum itu aku sempat berpesan pada adik supaya memberitahu hal itu kepada umi dan abah apabila pulang nanti. Janganlah abah dan umi marah pada aku kerana aku sangat sakit, pesanku lagi.

Ternyata, seperti yang dijangka pesanan itu tidak berkesan langsung. Dalam kesakitan dan kelukaan itu aku dimarahi dengan teruk sekali. Umi marah atas berbuatan aku itu sehingga mendapat kecederaan. Dalam kemarahan itu pula terselit pesanan supaya aku tidak melakukan hal-hal yang mungkin menyebabkan perkara seperti itu berlaku pada masa akan datang. Banyaklah yang dibebelnya sambil membersihkan luka dan menyapu ubat luka. Abah pula marah kerana menyebabkan motosikalnya rosak. Dia tidak puas menbelek sana-sini. Banyaklah yang dibebelnya. Namun bebelan itu tidaklah seteruk kelukaan yang aku alami. Terasa sengal-sengal seakan mahu demam.

Kemudian, setelah bebelan dan leteran itu semakin surut aku dibawa ke sebuah klinik swasta untuk dirawat. Luka-luka itu dicuci. Namun tidak pula dijahit kerana luka seperti itu tidak perlu dijahit.

Sepatutnya aku bercuti sakit. Tetapi aku tidak boleh bercuti kerana lusa ada peperikasaan akhir tahun. Terpaksalah aku ke sekolah dan menduduki peperiksaan dengan wajah yang buruk sekali. Arghhhh... amat memalukan pada masa itu... Tak sanggup nak ingat semua gelak ketawa kawan-kawan apabila melihat wajah aku yang luka-luka dan calar-balar... pedihnya usah dicerita lagi!

Itulah antara kenangan yang sukar dilupakan... moral of the story... kekadang kita mendapat pengalaman yang berharga dari sebuah kesakitan yang kita alami suatu ketika dulu akibat dari kebodohan sendiri... kesannya kita lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan...

Banyak lagi cerita yang nak aku kongsi...

Bersambung...

Perlu ke? hah? tengok keadaan...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...