Wednesday 28 October 2015

Ketegangan Sosial 2015

Ketika dalam perjalanan di jalan Setapak menuju ke rumah petang semalam, saya terlihat satu pertengkaran terjadi di jalan raya berkenaan. Seorang lelaki marah-marah kepada pemandu kereta yang dikatakan menghimpit kereta yang dinaikinya yang dipandu oleh seorang wanita. Dari perkataan yang dihamburkan oleh lelaki yang marah-marah saya dapat faham bahawa pemandu yang menghimpit keretanya tidak bersikap dengan etika pemanduan berhemah dan tidak menghormati wanita yang sedang memandu. Dia menuding jari dengan teriakan mengatakan bahawa pemandu itu berniat membuli kaum wanita di jalan raya.

Saya tergamam apabila melihat hal-hal demikian. Ketika meneruskan perjalanan pulang saya terfikir bahawa kerap sangat berlaku ketegangan di kalangan masyarakat kita sekarang. Banyak kes yang terjadi sejak akhir-akhir ini.

Sebelum ini negara dikejutkan dengan video di laman sosial yang menyaksikan 2 wanita sedang memukul seorang wanita lain. Walaupun wanita yang dipukul dikatakan melakukan kesalahan, akan tetapi tindakan memukul dengan keterlaluan ala-ala samseng sangat tidak boleh diterima dan menjadi cemuhan oleh masyarakat. Akhirnya si pemukul yang bertindak menghukum sendiri itu ditangkap dan dikenakan tahanan reman. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara menanti mereka. Yang dipukul pula dimasukkan ke hospital. Keluarga mangsa sangat marah dengan kejadian dan mungkin dendam tidak akan berakhir di situ sahaja.



Selain kejadian itu, ada lagi kes ketegangan yang berlaku di mana seorang lelaki kulit putih marah-marah pada pemandu kereta kerana dikatakan menghimpit motosikal yang ditunggangnya sehingga hampir-hampir berlaku kemalangan. Lelaki kulit putih itu berperang mulut dengan pemandu kereta sebelum menghentak cermin kereta sehingga retak. Kejadian itu dirakam oleh penumpang kereta berkenaan dan dimuatkan ke dalam media sosial terus gempar menjadi viral. Polis bertindak menangkap lelaki kulit putih berkenaan dan kes berkenaan disoal siasat.


Dua hari lepas berlaku pembunuhan di Pulau Pinang. Mangsa adalah remaja berumur 17 tahun dikatakan dibunuh dengan kejam, lehernya dikelar dengan menggunakan pisau pemotong sayur oleh seorang lelaki yang berumur 20 tahun, seorang kenalan mangsa. Motif kejadian adalah kerana cemburu. Yang tertuduh telah ditangkap oleh pihak berkuasa dan sedang disoal siasat.


Banyak lagi kes-kes yang lain yang berlaku di dalam negara kita yang menunjukkan keadaan yang sangat tegang dalam sosial masyarakat. Marah, tidak puas hati dan tertekan adalah menifestasi dari budaya yang tidak sihat dan mungkin juga desakan hidup era moden yang tidak dapat difahami, ditangani dengan baik. Desakan dan tekanan mungkin menjadi punca pemberontakan dalaman sehingga keadaan menjadi sangat sensitif pada suatu yang negatif dari sudut pandangan individu. Dalam keadaan berkenaan mungkin norma dan etika yang baik, yang diterapkan oleh agama dan kenegaraan, yang patut diamalkan telah dilupakan kerana desakan/tekanan telah mengambil tempat adab dan norma berkenaan.

Jika sebelum ini, negara kita mementingkan keharmonian sehingga termaktub dalam rukun negara suatu nilai yang sangat baik untuk diamalkan iaitu "kesopanan dan kesusilaan" namun keadaan sekarang tidak lagi menunjukkan bahawa rukun berkenaan difahami, diamalkan di dalam masyarakat kita. Mungkin juga amalan tersebut tidak dititik beratkan dalam sosial, pendidikan dan perundangan sehingga terhasil masyarakat yang tertekan, bertindak mengikut rasa dan bukan dari pemikiran yang waras.

Saya ingin mencadangkan kepada semua, mari kita berfikir dan mengatur perancangan untuk menangani gejala yang sangat tidak sihat ini. Dari sektor pendidikan, institusi kekeluargaan, sekolah, program tv dan sebagainya, mestilah memberi penekanan kepada pembasmian ketegangan sosial. Semua perlu memainkan peranan semula untuk menjadikan manusia lebih baik dan hormat-menghormati di era moden ini.

Mungkin tidak perlu kepada pendidikan moral dan etika lain. Agama Islam yang suci telah menggariskan akhlak dan adab yang boleh mententeramkan sosial. Sebagai contoh, Islam mengajar kita supaya tidak cepat marah dengan sesuatu keadaan. Banyak kali Nabi Muhammad saw. dianiaya tetapi baginda mengambil sikap yang mulia iaitu memaafkan dan tidak menyimpan dendam sebagaimana kejadian ketika baginda diperdaya oleh Abu Lahab. Akhlak yang baik akan menjadi tarikan dakwah yang sangat berkesan sehingga boleh mengubah tanggapan kepada Islam. Saidina Ali kw. ketika diludah di medan perang oleh musuh, beliau mengambil tindakan meninggalkan musuhnya kerana beliau enggan berbunuhan kerana perasaan marah tetapi hanya berperang untuk agama Islam. Beliau hanya ingin menghapuskan kekufuran dan bukan untuk melunaskan dendam. Akhirnya si musuh mengubah pendirian setelah melihat akhlak beliau serta memeluk Islam.

Semua manusia tidak ingin rugi namun tidak pula boleh mengambil keuntungan dengan menganiaya orang lain. Dunia yang kita huni ini kita berkongsi dengan orang lain. Hidup saling menghormati dan saling menyayangi lebih baik dari memuaskan hati sendiri padahal kepuasan sebenar adalah kepuasan menjadi hamba Allah swt. dan umat Nabi saw.

Friday 23 October 2015

Pilih Yang Kurang Bahaya


Ketika kita berhadapan dengan urusan seharian, tentunya kita akan menemui jalan buntu dan mungkin tidak ada ruang untuk mencari jalan lain yang selamat melainkan kita mesti menghadapi risiko. Contoh yang paling mudah, pemandu kenderaan yang berdepan dengan lembu yang tiba-tiba melintasi jalan. Pemandu ini tidak sempat memberhentikan kenderaan dan dia cuma mempunyai 2 pilihan. Pertama, melanggar lembu itu, kedua mengelak dan mungkin mengakibatkan kenderaan yang dia pandu terbabas. Jika demikian pilihan yang ada, jika berkesempatan untuk berfikir sejenak dia boleh mengukur kesan terhadap pilihannya. Kedua-dua pilihan itu mempunyai risiko dan mudharat. namun dia mesti memilih risiko yang lebih sedikit. Di sini dia mesti memahami maqasid syariah dan prioritinya. Antara kenderaan, lembu atau nyawa dia sendiri yang mana yang lebih penting? Mana yang patut dia selamatkan? Jika dia ada jawapan kepada soalan ini dia mesti memilihnya. Dalam pelajaran Qawaid Fiqhiyyah disebut:-

وضدُّه تزاحمُ المفاسدِ فارْتَكِب الأدنى من المفاس

"Jika Ada Dua Mudharat (Bahaya) Saling Berhadapan Maka di Ambil Yang Paling Ringan"

Begitulah kaedah yang diajar kepada kita ketika berhadapan dengan situasi berkenaan. Hal berkenaan boleh dijadikan suatu kaedah dasar dalam menangani sesuatu situasi. Contoh di atas hanya suatu contoh ringkas. Mungkin kita akan mendepani dengan hal-hal yang lebih rumit seperti yang selalu diungkapkan dalam pribahasa "ditelan mati emak, diluah mati bapak". Mungkin juga risiko mudharat itu mempunyai hukum yang haram dan berdosa. Sudah tentu kaedah ini juga boleh dipakai. Jika mudharat berkenaan mempunyai dosa maka Allah sudah menetapkan:-

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

"Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Baqorah : 173 )

Islam itu agama yang diredhai Allah adalah satu-satu cara hidup yang baik untuk manusia. Allah telah aturkan sebaik-baiknya untuk kita. Hanya kita sahaja yang wajib dan wajar mengimani segala yang diajar. Amat rugi bagi mereka yang masih lagi ragu-ragu dan mempertikaikan kebaikan Islam apatah lagi yang memusuhinya.

Namun risiko, mudharat atau bahaya perlulah dijauhkan. Tidak boleh sengaja mencari risiko jika sudah tahu hal berkenaan akan mendatangkan bahaya seperti memandu terlalu laju sehingga menyebabkan hilang kawalan. Sengaja mendedahkan diri kepada bahaya adalah dilarang seperti firman Allah yang bermaksud "Jangan mencampakkan diriku kamu ke arah kebinasaan".

Rujukan: Qawaid Fiqhiyyah

Wednesday 21 October 2015

Saat Sukar

Setiap dari kita pasti merasai saat-saat sukar. Entah sebagai ujian atau taqdir ketentuan Ilahi buat perjalanan kita di dunia dihiasi dengan kesukaran yang melanda selain Allah jadikan saat-saat bahagia yang berulang-ulang dan berselang seli. Semua akan merasai saat-saat sedemikian tidak kira sama ada seseorang itu dari kategori mana sekali pun.

Nelayan yang biasanya setiap kali kembali ke pengkalan dengan muatan botnya sarat dengan tangkapan kadang-kadang bila datang musim bergelora, tengkujuh di bulan sebelas hasilnya tidak memberangsangkan untuk beberapa ketika atau bahkan mungkin tidak dapat turun ke laut pun. Jika si nelayan ini hanya bergantung rezekinya pada laut maka musibah ini menjadi parah. Pasti saat yang dilalui sangat sukar, tenat, sebak nafas dan lena terganggu serta menjadi punca ketegangan.

 Peniaga pun begitu. Kadang-kadang kesilapan yang sedikit menjadi punca kejatuhan jualan yang akhirnya mengakibatkan muflis dan merudum dengan pantas. Banyak kita saksikan peniaga yang jatuh dan tidak berdaya bangkit lagi. Semua harta benda dilelong dan kehilangan rakan-rakan. Terpaksa merempat dengan dibebani hutang dan mungkin musuh. Lebih parah jika didakwa atas kesalahan-kesalahan tertentu dan dipenjarakan.

Demikian kalau kita lanjutkan pengamatan kita kepada contoh yang lain, pemerintah agung misalnya. Ketika kegemilangannya, dialah raja yang memiliki kerajaan yang hebat, dialah si kaya memiliki kekayaan. Dia mempunyai bawahan yang sangat patuh. Dia disegani kawan dan musuh. Dia boleh arahkan apa-apa saja. Sehingga ramai yang cemburu kepada kejayaannya dan tidak kurang yang jadikan dia inspirasi. Namun, bila sampai waktunya, dia ditumbangkan oleh musuh-musuh. Apabila musuh yang dengki kepadanya datang dengan kekuatan yang lebih hebat darinya, negerinya dihentam, kekayaan dirampas, keluarganya dibunuh dan diusir, rakyatnya dijadikan tahanan, negaranya runtuh, pemerintahannya jatuh, dia terpaksa bersembunyi di lubang sempit beberapa ketika sebelum dijumpai dalam keadaan yang sangat mengharukan. Akhirnya dia dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman, digantung mati.

Saat-saat sukar begini boleh mendatangi sesiapa sahaja. Mungkin sebagai ujian atas ikrar-ikrar kita, atas kepercayaan kita yang kita anuti dan imani. Mungkin ianya sebagai suatu saat yang kita perlu duduk tunduk muhasabah diri. Hanya orang yang bersedia menghadapi saat-saat sukar ini boleh survive dan bangkit kembali. Dengan ketabahan dan perancangan serta jangkauan pemikiran pada masa depan yang jelas akan menjadikan dia lebih baik dari masa lampau yang sukar.

Demikanlah banyak hal di dunia ini yang boleh menekan jiwa. Namun Allah yang menguji dengan ujian berat dan ringan telah menyediakan kepada jawapan serta penyelesaian. Allah sediakan akal pemikiran. Allah sediakan panduan. Allah sediakan sumber alam dan kekuatan diri. Paling tidakpun buat menghadapi ujian sebegini Allah sediakan daya ketahanan dan ketabahan dalam diri setiap insan seperti yang Allah telah firmankan; "tidak dibebankan pada kamu selain dari apa yang boleh ditanggung sahaja..."

Gabungan pemikiran dan daya usaha serta penggunaan sumber yang telah tersedia berupa seluas bumi dan seisinya buat kita berkemungkinan besar kita akan berjaya keluar melepasi dari kepungan duri-duri ujian. Allah telah janjikan bahawa; "Maka sesungguhnya bersama setiap kesukaran ada kemudahan. Sesungguhnya bersama setiap kesukaran ada kemudahan."
Saat sukar perlu dihadapi dengan tabah. Sesukar manapun pasti saat itu akan berlalu jua...

Friday 16 October 2015

Menjadi Ujian Untuk Yang Lain

Sekali direnungkan bahawa hidup ini sangat menarik. Aku diminta untuk memberi pendapat tentang seseorang anak yang tidak baik, melakukan hal mamalukan diri dan keluarga serta terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Pada awalnya aku hanya mendengar semua yang diberitahu supaya tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan yang mungkin tidak tepat.

"Segala yang berlaku adalah ketetapan dari Allah..." aku memulakan bicara.
"Namun apa yang belum berlaku, kita diberi pilihan walaupun pada hakikatnya semuanya telah diketahui oleh Allah. Sebagai seorang Islam, tidak ada alasan untuk melakukan perkara buruk sama ada ketika dalam keadaan nikmat atau dalam keadaan sangat kecewa. Allah telah memberi panduan", sambung ku.

Mereka yang ada di situ mengiyakan dan mencelah sekali sekala.

"Sebenarnya, yang diberi ujian bukan hanya si anak. Tapi kita sebagai kaum keluarga juga akan ditanya oleh Allah, apa kalian buat ketika kalian melihat anak ini dalam keadaan begini?"

"Kitalah yang perlu perbetulkan dan berusaha mencari jalan terbaik untuk memulihkannya".

"Berjaya atau tidak itu terpulang kepada dia, serta bertawakal kepada Allah, mudah-mudahan akan diberi jalan untuk kembali...".

Salah seorang dari mereka bertanya, "kenapa Allah jadikan anak ini tidak baik, adakah ini balasan atas perbuatan orang tuanya...?"

Aku menjawab, "Banyak sebab seseorang anak boleh menjadi begitu, salah satunya disebabkan kurang didikan dan kasih sayang. Selain itu, mungkin disebab termakan dari harta yang tidak baik. Barang yang tidak baik jika dimakan akan mempengaruhi tingkah laku... ada satu cerita di mana seorang bapa mendapati anaknya menjadi tidak baik sedangkan dia menghantar ke sekolah agama dan hafal Quran. Dalam kesedihan di ayah yang kecewa dengan keadaan si anak, dia telah mengeluarkan sebahagian hartanya untuk disedekahkan atau dizakatkan. Setelah beberapa ketika, si anak kembali menjadi baik..."

"Namun jangan beranggapan 'mafhum mukhalafah' atau menterbalikkan kenyataan ini... yakni jangan sesekali menganggap orang yang tidak baik itu confirm sebab makan benda haram. Mungkin ada alasan lain...".

Mereka mengiyakan sahaja pendapat ini dan aku yang kehabisan idea hanya mendengar celoteh mereka.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...