Wednesday, 21 October 2015

Saat Sukar

Setiap dari kita pasti merasai saat-saat sukar. Entah sebagai ujian atau taqdir ketentuan Ilahi buat perjalanan kita di dunia dihiasi dengan kesukaran yang melanda selain Allah jadikan saat-saat bahagia yang berulang-ulang dan berselang seli. Semua akan merasai saat-saat sedemikian tidak kira sama ada seseorang itu dari kategori mana sekali pun.

Nelayan yang biasanya setiap kali kembali ke pengkalan dengan muatan botnya sarat dengan tangkapan kadang-kadang bila datang musim bergelora, tengkujuh di bulan sebelas hasilnya tidak memberangsangkan untuk beberapa ketika atau bahkan mungkin tidak dapat turun ke laut pun. Jika si nelayan ini hanya bergantung rezekinya pada laut maka musibah ini menjadi parah. Pasti saat yang dilalui sangat sukar, tenat, sebak nafas dan lena terganggu serta menjadi punca ketegangan.

 Peniaga pun begitu. Kadang-kadang kesilapan yang sedikit menjadi punca kejatuhan jualan yang akhirnya mengakibatkan muflis dan merudum dengan pantas. Banyak kita saksikan peniaga yang jatuh dan tidak berdaya bangkit lagi. Semua harta benda dilelong dan kehilangan rakan-rakan. Terpaksa merempat dengan dibebani hutang dan mungkin musuh. Lebih parah jika didakwa atas kesalahan-kesalahan tertentu dan dipenjarakan.

Demikian kalau kita lanjutkan pengamatan kita kepada contoh yang lain, pemerintah agung misalnya. Ketika kegemilangannya, dialah raja yang memiliki kerajaan yang hebat, dialah si kaya memiliki kekayaan. Dia mempunyai bawahan yang sangat patuh. Dia disegani kawan dan musuh. Dia boleh arahkan apa-apa saja. Sehingga ramai yang cemburu kepada kejayaannya dan tidak kurang yang jadikan dia inspirasi. Namun, bila sampai waktunya, dia ditumbangkan oleh musuh-musuh. Apabila musuh yang dengki kepadanya datang dengan kekuatan yang lebih hebat darinya, negerinya dihentam, kekayaan dirampas, keluarganya dibunuh dan diusir, rakyatnya dijadikan tahanan, negaranya runtuh, pemerintahannya jatuh, dia terpaksa bersembunyi di lubang sempit beberapa ketika sebelum dijumpai dalam keadaan yang sangat mengharukan. Akhirnya dia dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman, digantung mati.

Saat-saat sukar begini boleh mendatangi sesiapa sahaja. Mungkin sebagai ujian atas ikrar-ikrar kita, atas kepercayaan kita yang kita anuti dan imani. Mungkin ianya sebagai suatu saat yang kita perlu duduk tunduk muhasabah diri. Hanya orang yang bersedia menghadapi saat-saat sukar ini boleh survive dan bangkit kembali. Dengan ketabahan dan perancangan serta jangkauan pemikiran pada masa depan yang jelas akan menjadikan dia lebih baik dari masa lampau yang sukar.

Demikanlah banyak hal di dunia ini yang boleh menekan jiwa. Namun Allah yang menguji dengan ujian berat dan ringan telah menyediakan kepada jawapan serta penyelesaian. Allah sediakan akal pemikiran. Allah sediakan panduan. Allah sediakan sumber alam dan kekuatan diri. Paling tidakpun buat menghadapi ujian sebegini Allah sediakan daya ketahanan dan ketabahan dalam diri setiap insan seperti yang Allah telah firmankan; "tidak dibebankan pada kamu selain dari apa yang boleh ditanggung sahaja..."

Gabungan pemikiran dan daya usaha serta penggunaan sumber yang telah tersedia berupa seluas bumi dan seisinya buat kita berkemungkinan besar kita akan berjaya keluar melepasi dari kepungan duri-duri ujian. Allah telah janjikan bahawa; "Maka sesungguhnya bersama setiap kesukaran ada kemudahan. Sesungguhnya bersama setiap kesukaran ada kemudahan."
Saat sukar perlu dihadapi dengan tabah. Sesukar manapun pasti saat itu akan berlalu jua...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...