Friday, 23 October 2015

Pilih Yang Kurang Bahaya


Ketika kita berhadapan dengan urusan seharian, tentunya kita akan menemui jalan buntu dan mungkin tidak ada ruang untuk mencari jalan lain yang selamat melainkan kita mesti menghadapi risiko. Contoh yang paling mudah, pemandu kenderaan yang berdepan dengan lembu yang tiba-tiba melintasi jalan. Pemandu ini tidak sempat memberhentikan kenderaan dan dia cuma mempunyai 2 pilihan. Pertama, melanggar lembu itu, kedua mengelak dan mungkin mengakibatkan kenderaan yang dia pandu terbabas. Jika demikian pilihan yang ada, jika berkesempatan untuk berfikir sejenak dia boleh mengukur kesan terhadap pilihannya. Kedua-dua pilihan itu mempunyai risiko dan mudharat. namun dia mesti memilih risiko yang lebih sedikit. Di sini dia mesti memahami maqasid syariah dan prioritinya. Antara kenderaan, lembu atau nyawa dia sendiri yang mana yang lebih penting? Mana yang patut dia selamatkan? Jika dia ada jawapan kepada soalan ini dia mesti memilihnya. Dalam pelajaran Qawaid Fiqhiyyah disebut:-

وضدُّه تزاحمُ المفاسدِ فارْتَكِب الأدنى من المفاس

"Jika Ada Dua Mudharat (Bahaya) Saling Berhadapan Maka di Ambil Yang Paling Ringan"

Begitulah kaedah yang diajar kepada kita ketika berhadapan dengan situasi berkenaan. Hal berkenaan boleh dijadikan suatu kaedah dasar dalam menangani sesuatu situasi. Contoh di atas hanya suatu contoh ringkas. Mungkin kita akan mendepani dengan hal-hal yang lebih rumit seperti yang selalu diungkapkan dalam pribahasa "ditelan mati emak, diluah mati bapak". Mungkin juga risiko mudharat itu mempunyai hukum yang haram dan berdosa. Sudah tentu kaedah ini juga boleh dipakai. Jika mudharat berkenaan mempunyai dosa maka Allah sudah menetapkan:-

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

"Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Baqorah : 173 )

Islam itu agama yang diredhai Allah adalah satu-satu cara hidup yang baik untuk manusia. Allah telah aturkan sebaik-baiknya untuk kita. Hanya kita sahaja yang wajib dan wajar mengimani segala yang diajar. Amat rugi bagi mereka yang masih lagi ragu-ragu dan mempertikaikan kebaikan Islam apatah lagi yang memusuhinya.

Namun risiko, mudharat atau bahaya perlulah dijauhkan. Tidak boleh sengaja mencari risiko jika sudah tahu hal berkenaan akan mendatangkan bahaya seperti memandu terlalu laju sehingga menyebabkan hilang kawalan. Sengaja mendedahkan diri kepada bahaya adalah dilarang seperti firman Allah yang bermaksud "Jangan mencampakkan diriku kamu ke arah kebinasaan".

Rujukan: Qawaid Fiqhiyyah

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...