Wednesday, 28 October 2015

Ketegangan Sosial 2015

Ketika dalam perjalanan di jalan Setapak menuju ke rumah petang semalam, saya terlihat satu pertengkaran terjadi di jalan raya berkenaan. Seorang lelaki marah-marah kepada pemandu kereta yang dikatakan menghimpit kereta yang dinaikinya yang dipandu oleh seorang wanita. Dari perkataan yang dihamburkan oleh lelaki yang marah-marah saya dapat faham bahawa pemandu yang menghimpit keretanya tidak bersikap dengan etika pemanduan berhemah dan tidak menghormati wanita yang sedang memandu. Dia menuding jari dengan teriakan mengatakan bahawa pemandu itu berniat membuli kaum wanita di jalan raya.

Saya tergamam apabila melihat hal-hal demikian. Ketika meneruskan perjalanan pulang saya terfikir bahawa kerap sangat berlaku ketegangan di kalangan masyarakat kita sekarang. Banyak kes yang terjadi sejak akhir-akhir ini.

Sebelum ini negara dikejutkan dengan video di laman sosial yang menyaksikan 2 wanita sedang memukul seorang wanita lain. Walaupun wanita yang dipukul dikatakan melakukan kesalahan, akan tetapi tindakan memukul dengan keterlaluan ala-ala samseng sangat tidak boleh diterima dan menjadi cemuhan oleh masyarakat. Akhirnya si pemukul yang bertindak menghukum sendiri itu ditangkap dan dikenakan tahanan reman. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara menanti mereka. Yang dipukul pula dimasukkan ke hospital. Keluarga mangsa sangat marah dengan kejadian dan mungkin dendam tidak akan berakhir di situ sahaja.



Selain kejadian itu, ada lagi kes ketegangan yang berlaku di mana seorang lelaki kulit putih marah-marah pada pemandu kereta kerana dikatakan menghimpit motosikal yang ditunggangnya sehingga hampir-hampir berlaku kemalangan. Lelaki kulit putih itu berperang mulut dengan pemandu kereta sebelum menghentak cermin kereta sehingga retak. Kejadian itu dirakam oleh penumpang kereta berkenaan dan dimuatkan ke dalam media sosial terus gempar menjadi viral. Polis bertindak menangkap lelaki kulit putih berkenaan dan kes berkenaan disoal siasat.


Dua hari lepas berlaku pembunuhan di Pulau Pinang. Mangsa adalah remaja berumur 17 tahun dikatakan dibunuh dengan kejam, lehernya dikelar dengan menggunakan pisau pemotong sayur oleh seorang lelaki yang berumur 20 tahun, seorang kenalan mangsa. Motif kejadian adalah kerana cemburu. Yang tertuduh telah ditangkap oleh pihak berkuasa dan sedang disoal siasat.


Banyak lagi kes-kes yang lain yang berlaku di dalam negara kita yang menunjukkan keadaan yang sangat tegang dalam sosial masyarakat. Marah, tidak puas hati dan tertekan adalah menifestasi dari budaya yang tidak sihat dan mungkin juga desakan hidup era moden yang tidak dapat difahami, ditangani dengan baik. Desakan dan tekanan mungkin menjadi punca pemberontakan dalaman sehingga keadaan menjadi sangat sensitif pada suatu yang negatif dari sudut pandangan individu. Dalam keadaan berkenaan mungkin norma dan etika yang baik, yang diterapkan oleh agama dan kenegaraan, yang patut diamalkan telah dilupakan kerana desakan/tekanan telah mengambil tempat adab dan norma berkenaan.

Jika sebelum ini, negara kita mementingkan keharmonian sehingga termaktub dalam rukun negara suatu nilai yang sangat baik untuk diamalkan iaitu "kesopanan dan kesusilaan" namun keadaan sekarang tidak lagi menunjukkan bahawa rukun berkenaan difahami, diamalkan di dalam masyarakat kita. Mungkin juga amalan tersebut tidak dititik beratkan dalam sosial, pendidikan dan perundangan sehingga terhasil masyarakat yang tertekan, bertindak mengikut rasa dan bukan dari pemikiran yang waras.

Saya ingin mencadangkan kepada semua, mari kita berfikir dan mengatur perancangan untuk menangani gejala yang sangat tidak sihat ini. Dari sektor pendidikan, institusi kekeluargaan, sekolah, program tv dan sebagainya, mestilah memberi penekanan kepada pembasmian ketegangan sosial. Semua perlu memainkan peranan semula untuk menjadikan manusia lebih baik dan hormat-menghormati di era moden ini.

Mungkin tidak perlu kepada pendidikan moral dan etika lain. Agama Islam yang suci telah menggariskan akhlak dan adab yang boleh mententeramkan sosial. Sebagai contoh, Islam mengajar kita supaya tidak cepat marah dengan sesuatu keadaan. Banyak kali Nabi Muhammad saw. dianiaya tetapi baginda mengambil sikap yang mulia iaitu memaafkan dan tidak menyimpan dendam sebagaimana kejadian ketika baginda diperdaya oleh Abu Lahab. Akhlak yang baik akan menjadi tarikan dakwah yang sangat berkesan sehingga boleh mengubah tanggapan kepada Islam. Saidina Ali kw. ketika diludah di medan perang oleh musuh, beliau mengambil tindakan meninggalkan musuhnya kerana beliau enggan berbunuhan kerana perasaan marah tetapi hanya berperang untuk agama Islam. Beliau hanya ingin menghapuskan kekufuran dan bukan untuk melunaskan dendam. Akhirnya si musuh mengubah pendirian setelah melihat akhlak beliau serta memeluk Islam.

Semua manusia tidak ingin rugi namun tidak pula boleh mengambil keuntungan dengan menganiaya orang lain. Dunia yang kita huni ini kita berkongsi dengan orang lain. Hidup saling menghormati dan saling menyayangi lebih baik dari memuaskan hati sendiri padahal kepuasan sebenar adalah kepuasan menjadi hamba Allah swt. dan umat Nabi saw.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...