Tuesday 2 February 2016

Konsep Kemaafan pada Hukum


Baru-baru ini saya ada menyemak hukum-hukum terkini berkaitan dengan aktiviti ekonomi zaman canggih ini seperti pelaburan internet, riba, pinjaman dan sebagainya. Kebanyak hukum-hukum ini ada banyak perbezaan antara satu ustaz dengan ustaz yang lain, antara satu pihak dengan pihak yang lain di Malaysia. Ada setengahnya pihak yang pakar dalam kajian ekonomi, ada yang alim dengan agama, dan ada pihak yang berautoriti seperti majlis fatwa atau lain-lain. Perbezaan individu atau badan menyebabkan perbezaan hukum terhadap isu ekonomi terkini.

Seperti hukum, pelaburan internet, forex contohnya, saya mengambil 4 individu/ badan yang membincangkan tentang isu ini. Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Dusuki Abdul Rani mengatakan hukumnya harus dengan beberapa syarat iaitu mesti dengan ada ilmu kajian tentang pelaburan berkenaan dan bukan secara membuta tuli (gamble). Sementara fatwa Jakim dan Ustaz Dr Zaharudin dengan mengambilkira kajian dari Internatial Syari'ah Research Academy (ISRA) mengatakan hukumnya haram kerana ada unsur yang haram dalam pelaburan berkenaan.

Kalau dilihat pada fatwa Jakim, badan ini lebih berautoriti untuk menetapkan hukum. Tetapi harus diingat bahawa penetapan hukum bersandarkan kepada kajian isra yang melihat ada unsur haram dalam pelaburan berkenaan seperti leverage dan perjudian. Sama juga dengan ASN/ASB atau mana-mana pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap adalah haram tetapi ada pendapat yang mengatakan harus juga.

Perkembangan ekonomi sekarang ini memang sudah berubah dari cara lama kepada cara yang moden dan mungkin tidak tercapai oleh akal orang tidak menelitinya secara dekat. Gambaran sebenar tidak mungkin didapati dengan jelas. Sebab itu ada perbezaan pendapat.

Bagi saya, bila ada perbezaan pendapat maka ia sudah jadi perkara khilaf yang mana disebut oleh Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada umat Islam. Tidak perlu bertegang urat untuk menegakkan kebenaran kerana kebenarannya adalah rahmat semata-mata. Yang mana menghindari perkara ini adalah berupa rahmat baginya dan sesiapa yang  mengamalkannya juga adalah rahmat baginya. Aku betul dan engkau juga betul sebab kita ada sandaran masing-masing. Siapa yang jadikan khilaf ini...? Allah yang jadikan untuk hambaNya. Kalau Dia Mahu... boleh saja Dia jadikan khilaf ini kepada Qat'i.

Saya juga mengambil contoh yang lain. Umpamanya, apa hukum makan darah? Haram bukan? Tapi kenapa hampir semua orang Islam makan darah? Sedangkan jelas hukum makan darah adalah haram yang disebutkan dalam Quran Surah Al-Ma'idah ayat 3. Darah adalah najis mukhaffafah. Jika terdapat pada pakaian dan tempat solat maka solat tidak sah kerana kenajisannya. Mesti dicuci menggunakan air sehingga hilang rasa, bau dan warna baru boleh dipakai pakaian tersebut untuk hadir solat. Kajian sains juga mengatakan darah tidak elok untuk dimakan kerana mengandungi unsur yang tidak baik.

Lihat... dalam keadaan darah itu haram pada hukum, pada najisnya, pada pandangan sainsnya tetapi kita masih makan darah yang terdapat pada daging. Kita tidak membuang semua darah pada daging ketika memasaknya. Tidak ada orang yang mencuci daging sehingga tidak ada darah langsung pada daging tersebut sebersih-bersihnya. Kekadang darah itu masih mengalir walaupun sudah dibersihkan dan kita memasaknya juga. Maka bercampur dengan makanan dan kita makan darah tersebut. Kalau makan di restoran lagi dahsyat kerana kita tidak tahu pun mereka membersihkannya dengan baik atau cincai-cincai sahaja.

Persoalannya, kenapa kita makan darah juga? Kerana di sana ada kemaafan syarak! Islam tidak mungkin menyusahkan umatnya. Tidak perlu buang darah semuanya pada daging. Asalkan bersih daging walaupun masih mengalir darah maka dimaafkan. Jangan pula membuang daging kerana darah masih juga mengalir walaupun dibersihkan kerana daging itu halal.

Jangan buang ekonomi bentuk baru. Berekonomi itu halal. Tapi bersihkannya juga seperti membersih darah pada daging. Manfaatnya pasti dapat dirasai oleh semua... Wallahu a'lam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...