Monday 23 September 2013

Wanita Yang Baik

Wanita yang baik

Wanita yang baik…

Tidak mempertaruhkan kecantikan
Malah pemikiran yang tajam digunakan
Demi masa depan diri dan semua
Mendidik anak-anak menjadi yang terbaik
Bukan hanya baik akhlak malah jiwa
Dipenuhi dada mereka dengan pengetahuan
Bukan hanya ilmu dunia malah agama
Bukan hanya biasa-biasa malah sedalamnya
Bukan pengemis di kala sukar
Bukan pemalas di kala senang
Tidak ego meninggi lupa diri
Tidak sunyi di kala bersendiri
Wanita yang baik…
Sering ditinggalkan
Sering diabaikan
Malah dibebankan
Bahkan dihina… dibiarkan
Waktu sesukar ini dia merangkak
Mencari cahaya yang kian suram
Yang kian kelam
Menghadirkan diri untuk disayangi
Memanjatkan syukur pada Ilahi


Thursday 16 May 2013

Terima Kasih Cikgu

Terima kasih kepada insan-insan yang telah mengajari aku secara rasmi atau tidak rasmi dari kecil hingga dewasa. Semoga Allah memberi kabaikan yang banyak kepada kalian di dunia dan di akhirat. Kepada semua guru-guru... teruskan perjuangan membangun anak bangsa menjadi masyarakat yang berjaya di mata dunia...

Tuesday 14 May 2013

Sinar Baru

Hanya syukur yang dapat diucapkan selepas rawatan Lasik berjaya dilaksanakan ke atas mata saya pada 3 April 2013 yang lalu. Selepas 13 tahun mata ku ini perlu memakai kaca mata kini segala-galanya berubah. Aku seolah-olah diberi sinar baru dalam hidupku. Sesungguhnya saat ini bagai mimpi, aku menatap segala keindahan bumi ini dengan mataku sendiri dengan jelas.

Baru lepas Lasik
Aku masih teringat ketika mula-mula aku mengenakan spek ke atas mataku dek kerana masalah rabun jauh pada tahun 2000. Pada saat itu, aku merasa sangat kecewa dan stress menghadapi had-had yang baru ke atas diriku. Aku tidak lagi sebebas dahulu. Tidak seaktif dahulu. Sejumlah kegiatan yang aku sukai tidak lagi dapat dilakukan. Berenang, sepak takraw, silat umpamanya, semua itu terhalang.

Setelah bertahun-tahun menggunakan spek mata, iaitu sepanjang saya belajar di UIA sehingga bekerja selama 7 tahun kini peluang perubahan diri tidak saya lepaskan tambahan pula pemakaian kaca mata menyekat aktiviti kerja dan juga peribadi.

Sebelum Lasik di Prince Courts Madical Center
Setelah mengetahui adanya rawatan Lasik pada tahun lepas saya memasang cita-cita untuk melakukannya. Ini kerana dorongan untuk bebaskan diri dari sebarang kelemahan yang boleh mengganggu prestasi sebenar diri. Kalau dulu saya tidak boleh melihat dengan jelas tanpa kaca mata kini tidak lagi. Segala aktiviti sukan termasuk sukan air akan menjadi senang dan mudah. Insya Allah, saya akan jaga dan lebih menghargai anugerah Allah yang amat berharga ini. Terima kasih kepada Dr. Muhaya yang melasikkan mata saya. Terima kasih juga untuk isteri yang banyak membantu memberi sokongan dan dorongan. Semoga Allah lebih memberkati hidup kita.
Dengan Prof. Dr. Muhaya

Wednesday 13 February 2013

Mafla Palestin untuk dijual


Mafla Palestin untuk dijual sehelai RM20 sahaja tidak termasuk harga pos. Pemborong dialu-alukan dengan harga menarik. Sila hubungi saya di talian 017-3844600

Thursday 24 January 2013

Muhammad Nour

Ya Rasulallah Salamun Alaik...


Salam Untukmu Ya Rasulallah...

Ketika Rasulullah saw. berjumpa dengan Rabul'alamin pada malam isra' baginda tidak lupa menyebut nama umatnya. Ketika Allah mengucap salam kepadanya, baginda lantas menjawab, "salam ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang solihin".

Begitulah cinta Rasulullah saw. kepada umatnya.Tidak leka di fikirannya mengingati kita semua umatnya walaupun ketika tidur. Baginda tidur mengiring di atas rusuk kanannya sambil tangan kanannya menadah air mata yang berguguran memikirkan nasib umatnya yang mana beginda telah saksikan sepanjang perjalanan isra' dan mi'raj.

Saiditina Fatimah ra. puteri baginda saw. pernah bermimpi bahawa kedua-dua puteranya akan mati dibunuh ketika dewasa kelak. Dalam keadaan risau beliau pergi berjumpa dengan Rasulullah saw. dan beginda mengiyakan mimpi tersebut. Dalam tangisan Siti Fatimah ra. memohon, "Ya Rasulullah, aku pernah mendengar darimu bahawa seseorang rasul mempunyai satu doa yang akan dimakbulkan Tuhan?"

Rasulullah saw. menjawab, "benar wahai Fatimah?"

"Wahai Rasulullah, mohonlah kepada Allah agar Allah menghindarkan musibah yang akan menimpa cucu-cucumu?" Siti Fatimah merayu.

"Tidak boleh wahai Fatimah anakku, sebenarnya aku menyimpan doaku ini untuk ummatku di akhirat nanti!" ujar baginda Nabi saw.

Malah ketika sakaratul maut Rasulullah saw. menyebut ummatnya di depan Malaikat Maut yang sedang mencabut nyawanya dan Malaikat Jibril yang menemaninya. Kata Nabi saw. sambil menahan kesakitan, "Betapa sakitnya sakaratul maut ini, wahai Allah biarlah aku yang menanggung semua rasa sakit ini supaya ummatku tidak merasainya...!"

Wahai Rasulullah saw. engkau telah meninggalkan kami dengan kecintaan yang sangat agung kepada ummatmu. Selayaknyalah engkau digelar insan yang termulia, penghulu segala rasul dan nabi, engkau kekasih kami, engkaulah kecintaan kami.

Salam ke atasmu Ya Rasulallah saw. Kami sangat merindui engkau. Kami sering teringatkan engkau dalam setiap ibadah kami. Ketika kami bersolat kami sedar bahawa inilah amalan yang engkau sukai. Engkau telah ajarkan kepada kami bagaimana solat ini sehingga turun temurun kepada kami dan kami telah mengikutinya. Begitu juga amalan-amalan lain. Kami sering terbayang bahawa engkaulah yang sedang mengajar kami tentang semua itu.

InsyaAllah. Kami akan mempertahankan agama yang dibawa olehmu. Kami akan mengamalkan sunnahmu sedaya upaya kami. Semoga kami akan selalu mengingati cintamu kapada kami. Semoga kami selalu mencintaimu sepanjang hayat kami. Semoga kami dapat bertemu denganmu ya Rasulallah di sana nanti.

Allahumma Solli 'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad...



Monday 21 January 2013

Bagaimana Hana Tajima Memeluk Islam

Suatu ketika dulu, nama Hana Tajima Simpson mula menjadi topik perbincangan di kalangan blogger Muslimah. Nama gadis kacukan Jepun dan Inggeris ini dikenali kerana gaya berhijabnya yang unik dan lebih kasual. Wajah manis ini juga telah mula menghiasi sejumlah media di UK dan Brazil.

Hana yang lebih dikenali sebagai seorang pereka fesyen membuat kejutan melalui produk dengan jenama Maysaa. Produk yang telah dilempar ke pasaran dunia itu berupa hijab bergaya ‘layers’. Melalui jenama tersebut, Hana mencuba untuk memperkenalkan gaya berbusana yang trendi, namun tetap sesuai dengan syariat Islam di kalangan Muslimah.

Mula memeluk Islam seawal usia 17 tahun, Hana datang daripada latar belakang keluarga Kristian yang tidak terlalu mementingkan agama dalam kehidupan mereka. Ayahnya berasal dari Jepun manakala ibunya merupakan seorang wanita Inggeris. Minatnya kepada Islam bermula semasa belajar di sekolah tinggi. Hana bertemu dan bersahabat dengan beberapa pelajar Muslim. Pada pandangan Hana, sahabat-sahabatnya yang beragama Islam kelihatan berbeza dengan yang lain.

“Mereka kelihatan menjaga jarak dengan beberapa pelajar tertentu. Mereka juga menolak ketika diajak untuk pergi berhibur di sebuah kelab malam.” katanya.

Bagi Hana, perkara itu sangat menarik. Selain itu, sahabat-sahabatnya yang Muslim dianggap sangat menyenangkan apabila diajak berbincang berkaitan hal kuliah. Menurutnya, pelajar Muslim lebih banyak menghabiskan masa mereka membaca di perpustakaan ataupun berbincang.

Dari sahabat-sahabat Muslim itulah, secara perlahan-lahan Hana mulai tertarik dengan ilmu falsafah terutamanya falsafah Islam. Sejak saat itu, Hana mula mempelajari falsafah Islam langsung dari sumbernya iaitu Al-Quran. Kenyataan bahawa Al-Quran tetap sama seperti sebelumnya memberi maksud bahawa sentiasa ada titik rujukan untuk semua perkara. 

“Di dalam Al-Quran, saya menemukan banyak rujukan berkisar tentang isu-isu mengenai hak wanita. Semakin banyak saya membaca, semakin diri saya bersetuju dengan idea-idea disebalik Al-Quran dan saya boleh melihat bagaimana Islam boleh mewarnai kehidupan sahabat-sahabat Muslim saya. Namun saat itu, keinginan untuk memeluk agama ini masih belum tiba. Sehinggalah tiba pada satu titik yang mana saya tidak dapat mengatakan tidak pada diri saya mengenai kebenaran agama ini, maka saya memutuskan untuk menjadi seorang Islam” katanya.

Rasa kagumnya terhadap ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran akhirnya membuatkan Hana memutuskan untuk memeluk Islam. Tanpa menemui sebarang paksaan dan halangan, dengan hanya disaksikan oleh teman-teman Muslimahnya, Hana pun mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Menyatakan perkara tersebut kepada keluarga adalah sesuatu yang mudah. Saya tahu mereka akan gembira selagi mana saya juga gembira, dan mereka boleh melihat ianya adalah sesuatu yang baik,” tuturnya.

Seperti halnya semasa Hana memutuskan untuk memeluk Islam, begitu juga keputusan untuk mengenakan hijab datang tanpa paksaan. Hana mula mengenakan hijab di hari sama dia mengucap dua kalimah syahadah. “Ini merupakan cara terbaik bagi membezakan kehidupan saya di masa lalu dengan kehidupan saya pada masa hadapan,” ujarnya.

Keputusan untuk mengenakan hijab pada masa yang sama menerima pelbagai reaksi dari orang-orang di sekelilingnya, terutamanya kawan rapatnya. Sebelum mengenakan hijab, Hana sudah memahami fahaman negatif terhadap orang-orang yang berhijab.

“Saya tahu apa yang mereka fikirkan mengenai hijab, tetapi saya akan bersikap berpura-pura tidak mengetahuinya. Namun seiring dengan masa, orang-orang di sekitar saya kini sudah boleh menerima penampilan saya dengan balutan hijab.” katanya lagi.
Dalam blog peribadinya,

Hana mengakui bahawa menjadi seorang Muslimah di sebuah negara barat adalah sedikit menakutkan, terutamanya ketika semua mata di sekitarnya memandangnya dengan pandangan yang aneh. Maklum sajalah, sebahagian penduduk de negara-negara barat telah dijangkita dengan wabak Islamofobia.

“Oleh sebab itu, saya ingin menciptakan sesuatu yang akan membantu para muslimah di mana jua untuk terus berusaha mengatasi perasaan takut itu.” ujarnya.

Kini, dengan busana Muslimah yang dirancangkannya, kaum Muslimah di negara-negara barat mampu tampil dengan busana yang boleh diterima oleh masyarakat di sana tanpa meninggalkan peraturan yang ditetapkan Islam.

Kini fesyen busana Muslimah yang diperkenalkannya bukan saja mendapat sambutan yang hangat daripada muslimah di seluruh dunia, malah penerimaan daripada yang bukan Islam juga sangat menggalakkan.

Sumber: Facebook

Tuesday 8 January 2013

Allah Membayar Secara Tunai

Semasa menunggang motosikal Yamaha LC 135 pulang dari pejabat petang tadi fikiranku melayang-layang dan disaratkan dengan kerja-kerja yang masih belum selesai serta yang akan diselesaikan sehinggakan aku terlupa bahawa petrol sudah kering. Niat asalnya aku nak isi petrol di Jalan Sentul tetapi sedar tak sedar aku sudah melepasi Kg. Chubadak dan menuju ke Gombak.

Ketika di Jalan Lebuh Raya (DUKE) kelajuan 135 LC aku semakin berkurang dan terasa tersekat-sekat menandakan bahan bakarnya sudah tidak ada lagi. Aku cuba kurangkan kelajuan dengan mengendurkan sedikit tali minyaknya namun semakin lama semakin tersekat-sekat dan enjin seakan sudah nyawa-nyawa ikan.

Aku cuba redha dengan keadaan yang bakal berlaku dan terbayang dalam fikiranku bahawa aku terpaksa menapak dengan menolak tungganganku itu sehingga sekurang-kurangnya 3 kilometer. Dengan keadaan petang yang semakin gelap dan Maghrib akan dikumandangkan pada bila-bila masa sahaja aku cuba berhentikan momentom motorku yang sudah tidak bernyawa lagi itu di tepi jalan. Sudah mati total...

Aku cuba perhatikan sekeliling, depan dan belakang. Nampaknya jalan semakin sesak pada waktu petang-petang begini. Kereta-kereta tidak dapat bergerak dengan laju. Hanya merangkak-rangkak menuju kediaman masing-masing. Ketika masih berada atas LC 135 yang sudah mati itu aku mengeluarkan handphone dan menghubungi isteri untuk menyatakan keadaan yang berlaku. Beliau menyuarakan untuk memberikan pertolongan tetapi aku tidak membenarkan atas sebab jalan semakin sesak dan mungkin terperangkap dalam kesesakan itu sebelum tiba ke tempat perhentianku.

Aku turun dari motosikal itu dengan keluhan yang berat. Bukan menyesali musibah dari Tuhan ini tetapi mengeluh kerana lenguh urat kakiku masih belum pulih sepenuhnya kerana semalam aku dan rakan-rakan telah mendaki Bukit Tabur di Taman Melawati.

Mulutku mengucapkan istighfar dan berdoa agar ada pertolongan dari Tuhan seperti dua tiga kali yang lepas. Sebagai penunggang hal ini pernah aku alami sebelum ini dan setiap kali itu juga Allah memudahkan jalanku. Sebelum ini aku pernah dibantu oleh penunggang lain ketika kehabisan petrol. Seorang pemuda datang mendekati dan menawarkan pertolongan. Dia telah menolak motorku dengan kakinya sambil menunggang motosikalnya. Semangat tolong-menolong yang sangat baik telah ditunjukkan oleh pemuda penunggang itu. Seingat aku, hal aku dibantu seperti itu terjadi 2 kali. Dalam hatiku berharap agar ada yang akan bermurah hati untuk menolongku seperti itu buat kali ketiga. 

Ternyata suara harapan aku itu didengariNya dan pertolonganNya datang tiba-tiba. Tidak sampai lima langkah aku menapak aku telah disapa oleh penumpang sebuah van yang bergerak agak perlahan yang lalu di tepiku.

"kenapa bang?", tanya penumpang itu yang rupa parasnya seperti seorang yang berbangsa cina. Tapi yang nyata dia adalah Melayu.

"Minyak abis", jawab aku secara pendek dan pantas.

Van itu berhenti dua meter didepanku dan penumpang itu keluar. Aku agak tercengang dengan tindakan pemandu dan penumpangnya. Penumpang itu tadi mencari sesuatu di belakang vannya dan menuju ke arahku dengan tangannya membawa satu tong kecil.

"Ini ada minyak sikit. Kalau minyak yang abis bolehlah guna. Ambik je..." kata penumpang itu.

"Minyak... terima kasih bang... berapa ringgit nih...?," tanyaku seolah-olah bertujuan untuk tahu adakah minyak itu untuk dijual atau sebaliknya sambil tanganku membuka penutup tangki minyak motorku.

Dia kata, "tak payah lah..."

Ketika petrol dituang kami sempat bertegur sapa, bertanya dari mana dan hendak ke mana. Setelah separuh petrol dituang saya berkata, "cukup-cukup... saya nak bagi hidup je". Yelah... takkan nak mintak dipenuhkan pulak. Dahlah orang tolong free je.

Saya mengucapkan terima kasih dua tiga kali kepadanya. "Sama-sama," balasnya ringkas. Saya sempat bersalaman dan bertanya namanya. Dia hanya menyebut "Udin". Saya dengan senyuman saya sekali lagi mengucapkan terima kasih. Dalam hati berdoa agak Allah membalas kebaikannya itu dan dipermudahkan segala urusannya.

Setelah itu LC 135 aku telah kembali bernafas. Ketika mendahului van mereka aku sempat mengangkat tangan dan terus berlalu menuju ke rumah. Dalam perjalanan itu aku tidak putus-putus mengucapkan syukur serta berdoa pemandu dan penumpang van tadi diberi kebaikan yang banyak oleh Allah Ta'ala serta diberi ketabahan dalam menghadapi kesesakan jalan raya pada petang itu.

Ketika tiba di rumah aku baru teringat bahawa ketika menunggang motosikal dengan rakan-rakan untuk menuju ke bukit Tabur semalam kami telah membantu menukarkan tayar kereta Dr. Mohamad Fauzan, seorang pensyarah UIA yang pancit di tepi lebuh raya MRR2. Subhanallah... Allah telah membayar secara tunai pertolongan itu. Dengan tiba-tiba semangat untuk memberi pertolongan kepada orang lain semakin berkobar-kobar. InsyaAllah...

Wednesday 2 January 2013

2013 Aku Masih Di Sini

Alhamdulillah... Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana aku  masih hidup sehingga tahun 2013. InsyaAllah di kesempatan masa yang diberikan ini akan aku gunakan untuk melakukan amal kebajikan sebagai bekal ke alam akhirat.

Ramai yang meraikan detik kiraan kedatangan tahun baru 2013 dengan berbagai cara. Ada yang pergi ke dataran-dataran berduyun-duyun dengan sahabat handai rakan taulan serta keluarga. Tidak kurang yang pergi ke sana bertemankan boyfriend girlfriend. Huh... sudah menjadi adat kebiasaan malam sambutan seumpama ini mereka jadikan sebagai masa untuk berpesta dan keramaian yang hanya menyajikan kepuasan diri tanpa memikirkan ianya baik atau buruk. Tambahan pula ramai di kalangan anak muda termasuk pelajar IPT yang leka berhibur di malam itu dengan sorak, tari, hilai tawa nyanyian yang agak melalaikan. Apalah sangat kiranya malam yang seumpama malam-malam yang lain ini juga dijadikan sebagai malam yang menginsafkan. Nabi menyebut, "sekiranya kamu mengetahui keadaan akhirat kamu tidak akan ketawa selamanya...". Sepatutnya malam itu disambut dengan syukur dan insaf dengan umur dunia yang semakin berusia dan hampir dengan qiamat.

Namun tidak dinafikan ada juga segolongan yang melaksanakan sambutan kedatangan tahun baru 2013 dengan cara yang berbeza. Mereka berjaya mengumpulkan anak muda remaja di satu padang dan mereka mandikan dengan hidayah Allah serta mendidik jiwa pada malam itu dengan kerohanian yang amat berfaedah kepada umat. Ceramah dan syarahan Islami berjaya menarik perhatian. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran dapat meruntunkan jiwa. Sesuangguhnya cara ini lebih baik dari pesta liar yang tersimpang dari syarak.

Aku pula, pada malam itu hanya berkumpul dengan keluarga. Tidak ada apa yang lebih baik bagi aku selain daripada berada di tengah-tengah anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang dari seorang bapa. Namun dalam hatiku perasaan bercampur baur menghadapi 2013. 2012 yang aku tinggalkan adalah masa yang sangat indah untuk dikenang dengan sejumlah nostalgia dan tragedi yang boleh dijadikan iktibar dan kenangan.

Biarpun sebesar mana ujian di tahun 2012 ianya sudah berlalu dan kini datang tahun baru yang lebih mencabar. Akan kuatkah lagi kakiku ini untuk berdiri dan masih kuatkah tanganku untuk menepis segala ujian yang datang? Harapan aku semoga jiwa dan mental serta fizikal masih segar untuk menghadapi semua itu.

Sekali lagi syukur pada Ilahi... Aku doakan semoga tahun ini lebih baik dan dirahmati oleh Allah SWT. Ya Allah... berikan aku kekuatan untuk menjadi hambaMu yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Ya Allah berikan aku ilmu yang banyak dan ilham yang tidak putus-putus untuk urusan duniaku dan akhiratku. Ya Allah... bimbinglah aku dalam segala hal dan keadaan. Janganlah Engkau pesongkan niat dan tindakan aku sehingga tersasar dari agamaMu. Jauhi aku dari sifat yang buruk. Didiklah aku sebagaimana Engkau didik nabi dan rasulMu. Perhaluskanlah akhlak dan tuturkataku agar dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat secara berhikmah. Hubungkan silaturrahim dan kasih sayang dengan semua manusia agar semua urusan berjalan dengan lancar dan mantap. Ya Allah ya Rabbi ya Karim... Amin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...