Alhamdulillah... Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana aku masih hidup sehingga tahun 2013. InsyaAllah di kesempatan masa yang diberikan ini akan aku gunakan untuk melakukan amal kebajikan sebagai bekal ke alam akhirat.
Ramai yang meraikan detik kiraan kedatangan tahun baru 2013 dengan berbagai cara. Ada yang pergi ke dataran-dataran berduyun-duyun dengan sahabat handai rakan taulan serta keluarga. Tidak kurang yang pergi ke sana bertemankan boyfriend girlfriend. Huh... sudah menjadi adat kebiasaan malam sambutan seumpama ini mereka jadikan sebagai masa untuk berpesta dan keramaian yang hanya menyajikan kepuasan diri tanpa memikirkan ianya baik atau buruk. Tambahan pula ramai di kalangan anak muda termasuk pelajar IPT yang leka berhibur di malam itu dengan sorak, tari, hilai tawa nyanyian yang agak melalaikan. Apalah sangat kiranya malam yang seumpama malam-malam yang lain ini juga dijadikan sebagai malam yang menginsafkan. Nabi menyebut, "sekiranya kamu mengetahui keadaan akhirat kamu tidak akan ketawa selamanya...". Sepatutnya malam itu disambut dengan syukur dan insaf dengan umur dunia yang semakin berusia dan hampir dengan qiamat.
Namun tidak dinafikan ada juga segolongan yang melaksanakan sambutan kedatangan tahun baru 2013 dengan cara yang berbeza. Mereka berjaya mengumpulkan anak muda remaja di satu padang dan mereka mandikan dengan hidayah Allah serta mendidik jiwa pada malam itu dengan kerohanian yang amat berfaedah kepada umat. Ceramah dan syarahan Islami berjaya menarik perhatian. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran dapat meruntunkan jiwa. Sesuangguhnya cara ini lebih baik dari pesta liar yang tersimpang dari syarak.
Aku pula, pada malam itu hanya berkumpul dengan keluarga. Tidak ada apa yang lebih baik bagi aku selain daripada berada di tengah-tengah anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang dari seorang bapa. Namun dalam hatiku perasaan bercampur baur menghadapi 2013. 2012 yang aku tinggalkan adalah masa yang sangat indah untuk dikenang dengan sejumlah nostalgia dan tragedi yang boleh dijadikan iktibar dan kenangan.
Biarpun sebesar mana ujian di tahun 2012 ianya sudah berlalu dan kini datang tahun baru yang lebih mencabar. Akan kuatkah lagi kakiku ini untuk berdiri dan masih kuatkah tanganku untuk menepis segala ujian yang datang? Harapan aku semoga jiwa dan mental serta fizikal masih segar untuk menghadapi semua itu.
Sekali lagi syukur pada Ilahi... Aku doakan semoga tahun ini lebih baik dan dirahmati oleh Allah SWT. Ya Allah... berikan aku kekuatan untuk menjadi hambaMu yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Ya Allah berikan aku ilmu yang banyak dan ilham yang tidak putus-putus untuk urusan duniaku dan akhiratku. Ya Allah... bimbinglah aku dalam segala hal dan keadaan. Janganlah Engkau pesongkan niat dan tindakan aku sehingga tersasar dari agamaMu. Jauhi aku dari sifat yang buruk. Didiklah aku sebagaimana Engkau didik nabi dan rasulMu. Perhaluskanlah akhlak dan tuturkataku agar dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat secara berhikmah. Hubungkan silaturrahim dan kasih sayang dengan semua manusia agar semua urusan berjalan dengan lancar dan mantap. Ya Allah ya Rabbi ya Karim... Amin.
No comments:
Post a Comment