Monday, 28 September 2015

Bagaimana Akhlak di Jalan Raya

Di mana-mana pun kita, akhlak perlu dijaga tidak kira di rumah, di tempat kerja malah di jalan raya. Ramai yang  tidak berakhlak semasa di jalan raya menyebabkan pengguna jalan raya tidak selesa dan takut ketika memandu. Sebagai contoh, baru-baru ni berlaku kemalangan di jalan raya dek kerana aktiviti lumba haram. Kerana ingin berseronok-seronok main lumba-lumba tanpa disengajakan (saya rasa) kereta yang dipandu tidak dapat dikawal dan terlanggar kereta lain sehingga menyebabkan berlaku tragedi. Pemandu kereta yang dilanggar serta isteri dan seorang anaknya meninggal. 2 anak mereka yang ditinggal kepada saudaranya meraung dengan sekian tangisan dan air mata. Ramai yang simpati dan menghulurkan bantuan. Namun nyawa ibu bapa mereka tidak dapat lagi dikembalikan. Tambahan pula pada masa itu hampir dengan hari raya. Bertambahlah sayunya.

Lihat, pada asalnya hanya seronok-seronok, main-main di jalan raya akhirnya membawa padah. Kes ini masih dibicarakan. Kalau didapati bersalah maka memandu kereta yang melanggar akan dihukum penjara kerana kecuaian yang menyebabkan kematian. Benda kecik dah jadi besar.

Sebab itu, di jalan raya perlu juga mengamalkan akhlak yang diajar oleh Islam. Islam telah meletakkan asasnya. "Seorang Islam adalah seorang yang 'salima' (menyelamatkan, mendamaikan, menjaga) seorang Islam yang lain dengan menggunakan lidah dan tangannya". Tidak harus bagi kita untuk meletakkan orang lain dalam keadaan tidak selesa, takut dan rasa tidak selamat. Haram hukumnya menzalimi orang lain, mengambil hak orang lain dan mencederakan mereka.

Jalan raya merupakan tempat untuk berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain yang menjadi destinasi masing-masing. Di jalan raya ada berbagai-bagai kenderaan yang digunakan oleh manusia seperti kereta, motosikal, lori, bas dan lain-lain. setiap pengguna jalan raya mempunyai hak sama rata tidak kira dia berkereta atau bermotosikal. Semua ingin sampai ke destinasi dengan selamat.

Jika semua pengguna jalan raya ingin rasa damai dan selamat semasa di jalan raya semestinya beberapa sifat atau adab mesti dijadikan amalan dan budaya semasa berada di jalan raya mengikut amalan dan adab yang diajar oleh agama Islam. Berikut adalah adab-adab semasa di jalan raya:

1- Saling menghormati- Amalan ini sangat penting. Bukan sahaja menghormati pengguna lain. Malah mesti menghormati undang-undang jalan raya yang telah digariskan oleh pihak berkuasa. Kita mesti sedar bahawa orang lain juga ada hak seperti kita. Jika kita mahu dihormati hak dan maruah kita, kita juga mesti menunjukkan sifat yang sama pada orang lain terlebih dahulu. Pernah terjadi seorang pemandu yang merokok semasa memandu membuang habuk rokoknya keluar. Akibatnya, mata penunggang motosikal di belakang keretanya terkena habuk rokok dan dia terpaksa berhenti di tepi jalan kerana tidak dapat meneruskan perjalanan.

2-  Berhemah ketika memandu- Mesti mengamalkan pemanduan yang berhati-hati. Maksudnya, dari awal perjalanan hingga sampai ke destinasi semua perkara dalam keadaan baik. Kenderaan baik dan kesihatan fizikal dan mental juga baik. Keadaan yang baik itu membolehkan kita mengelak dari sebarang kecelakaan yang akan mencederakan orang lain. Mental juga harus dalam keadaan yang baik. Tidak dalam keadaan tertekan, marah atau mabuk.

3- Tidak membuang sampah keluar dari kenderaan- Amalan membuang sampah keluar kenderaan adalah sangat tidak bagus. Dia hanya mementingkan diri sendiri dan hanya mahu kenderaannya sahaja kelihatan bersih tanpa mempedulikan alam sekitar. Pernah juga terjadi seorang penumpang kereta membuang tin minuman keluar dan terkena kenderaan lain. Akibatnya pemandu kenderaan yang terkena sampah itu naik marah dan terjadi pergaduhan.

4- Tidak main-main di jalan raya- Jalan raya merupakan kemudahan untuk sampai ke destinasi dan bukan tempat untuk main-main dan untuk tunjuk kehandalan yang akhir mengakibatkan kemalangan. Seringkali kita lihat sekumpulan mat-mat motor yang menunggang secara melulu dan berbahaya. Menyelit-nyelit di celah-celah kenderaan dalam keadaan yang kurang sopan. Jika salah seorang daripada mereka membuat kesilapan maka kemungkinan ramai pengguna lain yang menerima akibatnya.

5- Mengurangkan kesilapan- Apa yang saya ingin maksudkan adalah mengurangkan kesilapan yang boleh dielakkan umpamanya menukar lorong tanpa mempedulikan pengguna lain. Sehingga pengguna di belakang terpaksa berhenti mengejut dan kemungkinan boleh berlaku rempuhan dari belakang kenderaan itu. Selain itu juga, antara kesilapan yang biasa terjadi adalah tersalah memberi isyarat. Jika ingin membelok ke kiri, maka nyalakan lampu isyarat kiri dan bukan ke kanan. Kesilapan ini amat membahayakan kepada diri sendiri dan orang lain.

6- Fokus kepada pemanduan- Pemandu tidak harus melakukan perkara lain selain dari mengawal kenderaannya serta memerhati keadaan kenderaan di hadapan dan di belakang (sekali-sekala melalui cermin pandang belakang). Tidak sepatutnya pemandu menggunakan telefon bimbit atau gadget ketika memandu kerana perbuatan itu akan mengundang masalah kegagalan dalam mengawal kenderaan yang dipandu. Mata manusia tidak mampu untuk melihat ke dua arah yang berbeza dalam satu masa. Jika matanya tertumpu pada skrin gadgetnya dengan sebelah tangan sahaja digunakan maka tumpuan ke arah pemanduan akan menjadi kurang. hal ini juga boleh menyumbang kepada kemalangan.

7- Sombong- Kesombongan di jalan raya boleh digambarkan sebagai pengguna jalan raya yang berlagak dengan kehebatan atau kekayaannya. Mentang-mentang dia menggunakan kenderaan mahal dan hebat dialah raja di jalanan. Orang ini berkecenderungan untuk memandu laju tanpa pedulikan pengguna lain malah tidak pedulikan undang-undang. Baginya, jalan raya hanya dia yang punya.

Jika pengguna jalan raya dapat mengawal diri dan mengamalkan budaya yang baik seperti di atas maka tidak mustahil kemalangan dapat dielakkan. Statistik kematian akibat kemalangan pada tahun 2014 sebanyak 8,000 mungkin dapat dikurangkan pada tahun ini dan juga tahun-tahun mendatang. Jalan raya bukan tempat untuk menyakiti hati, tempat untuk buat dosa dan bukan tempat untuk mati. Tapi, jalan raya juga boleh jadi tempat untuk menunjukkan kasih sayang, hormat-menghormati

Nabi Muhammad SAW. bersabda:

Tidak sempurna iman kamu jika tidak kamu kasihi saudaramu sebagaimana kamu kasihi diri kamu sendiri

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...