Semasa perjalanan pulang dari tempat kerja, menunggang motosikal Honda EX5 mengharungi kesibukan jalan raya di kota raya fikiran aku berputar mengimbau pelbagai kenangan zaman dulu-dulu, zaman ketika masih muda remaja menyebabkan kekadang aku tersenyum sendiri.
Kenangan suka duka silih berganti. Rupanya telah banyak aku lalui sepanjang hidup aku ini. Tidak kurang juga kebodohan yang pernah aku lakukan beberapa kali. Agak melucukan. Sukar diceritakan. Namun hal itu meninggalkan kesan yang mendalam serta mempunyai nilainya tersendiri.
Tentunya sukar untuk mengawalbaik keseluruhan trek kehidupan. Bagi sesiapapun tentunya akan ada suatu perkara yang menyebabkan kesakitan, kerisauan, kesusahan serta mungkin memalukan diri sendiri dan orang lain. Di antara perkara yang pernah berlaku adalah seperti kemalangan, pergaduhan, pertengkaran, percintaan, tersalah anggapan, ketidaksengajaan yang akhirnya membawa kepada peristiwa yang amat memalukan... kesakitan, kekecewaan...
Di antara perkara yang sukar untuk dilupakan adalah peristiwa kemalangan yang berlaku pada suatu petang di akhir tahun 1995. Peristiwa itu berlaku ketika aku menunggang motosikal (Honda c70, Du 6901)dengan seorang sahabat, Asri untuk pulang ke rumah selapas bermain, lepak-lepak bersama rakan-rakan di Pantai Geting. Pada mulanya aku menunggang motosikal kesayangan abah dengan baik sahaja. Namun setibanya di satu selekoh tajam (selekoh biawak namanya) aku mula menunjuk sikap agresif dan memecut laju seolah-olah seperti seorang pelumba handalan lagaknya. Ini semua adalah pengaruh menonton perlumbaan motosikal. Asri yang tadinya diam tiba-tiba terkejut dan melarang perbuatan aku itu. Namun segalanya sudah terlambat. Dalam sekelip mata aku gagal mengawal motosikal. Kami terjatuh dan terseret di selekoh itu serta terhumbang ke dalam semak.
Dalam keadaan yang kalut, antara sedar dan tidak itu aku bangun dari jatuh dan ternampak seekor biawak besar sedang lari dari situ. Mungkin haiwan yang sedang mencari makanan itu terkejut kerana ada manusia yang jatuh ke dalam habitatnya.
Aku cuba bangun dan memerhati sekeliling dengan debaran kencang di dada. Asri juga bangun dan cuba membetulkan diri. Dia kelihatan tidak mengalami sebarang kecederaan. Hanya terluka di jari sahaja. Aku cuba mengangkat motosikal yang kelihatan teruk dan mengheretnya ke tepi jalan. Ketika itu aku terasa ada cecair hangat mengalir dari mukaku. Aku cuba meraba bahagian yang luka... uhhh... pedihnya. Hidung dan pipi kanan sudah luka dan calar balar. Ketika itu aku mendapati ada luka besar sepanjang sejengkal di lengan kiri selain luka-luka di tangan kanan. Darah makin kuat mengalir. Baju kemeja T putih yang aku pakai semacam disirami pewarna merah.
Dengan kudrat yang masih ada, kami berjaya pulang ke rumah dengan menunggang motosikal yang sama, yang masih mampu bergerak. Kali ini Asri yang menunggang. Aku jadi pembonceng.
Ketika sampai di rumah umi, abah dan abang tiada di rumah. Entah ke mana. Yang ada cuma adik perempuan aku sahaja. Aku terus masuk ke bilik dan baring dalam kesakitan. Sebelum itu aku sempat berpesan pada adik supaya memberitahu hal itu kepada umi dan abah apabila pulang nanti. Janganlah abah dan umi marah pada aku kerana aku sangat sakit, pesanku lagi.
Ternyata, seperti yang dijangka pesanan itu tidak berkesan langsung. Dalam kesakitan dan kelukaan itu aku dimarahi dengan teruk sekali. Umi marah atas berbuatan aku itu sehingga mendapat kecederaan. Dalam kemarahan itu pula terselit pesanan supaya aku tidak melakukan hal-hal yang mungkin menyebabkan perkara seperti itu berlaku pada masa akan datang. Banyaklah yang dibebelnya sambil membersihkan luka dan menyapu ubat luka. Abah pula marah kerana menyebabkan motosikalnya rosak. Dia tidak puas menbelek sana-sini. Banyaklah yang dibebelnya. Namun bebelan itu tidaklah seteruk kelukaan yang aku alami. Terasa sengal-sengal seakan mahu demam.
Kemudian, setelah bebelan dan leteran itu semakin surut aku dibawa ke sebuah klinik swasta untuk dirawat. Luka-luka itu dicuci. Namun tidak pula dijahit kerana luka seperti itu tidak perlu dijahit.
Sepatutnya aku bercuti sakit. Tetapi aku tidak boleh bercuti kerana lusa ada peperikasaan akhir tahun. Terpaksalah aku ke sekolah dan menduduki peperiksaan dengan wajah yang buruk sekali. Arghhhh... amat memalukan pada masa itu... Tak sanggup nak ingat semua gelak ketawa kawan-kawan apabila melihat wajah aku yang luka-luka dan calar-balar... pedihnya usah dicerita lagi!
Itulah antara kenangan yang sukar dilupakan... moral of the story... kekadang kita mendapat pengalaman yang berharga dari sebuah kesakitan yang kita alami suatu ketika dulu akibat dari kebodohan sendiri... kesannya kita lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan...
Banyak lagi cerita yang nak aku kongsi...
Bersambung...
Perlu ke? hah? tengok keadaan...
1 comment:
Kelakar pulok. Siap pesan kat mak n abah supaya jange marah... hikhikhikhik
Post a Comment