Pattani Alah kepada Siam ( 1785)
‘APABILA
DITEMBAK, TUBUH PEMBUAT MERIAM TERBELAH DUA; SEBELAH JATUH DI KUALA PERMA DAN
SEBELAH LAGI JATUH DI KUALA BARAT’
Upaya Siam
menakluki Pattani bermula pada tahun 1603. Entah kerana sakit hati disebabkan
Pattani pernah menyerang Ayuthia pada tahun 1563, entah kerana irihati atas
kemakmuran yang dinikmati Pattani selama abad 17 dan bahagian pertama abad 18,
Siam tetap menjadikan ‘kempen’ penaklukan ini sebagai suatu agenda politik
jangka panjangnya yang tetap dan berterusan. Kempen ini sambung bersambung dari
seorang raja kepada seorang raja lain sehinggalah Pattani jatuh pada tahun
1785. Jumlah keseluruhan masa yang diambil bagi menjayakan kempen ini ialah 182
tahun.
Pada waktu serangan pertama
dilancarkan pada tahun 1603, Pattani sedang diperintah oleh raja perempuan
Pattani yang pertama yang bernama Raja Ijau. Pada waktu ini Pattani sangat
makmur. Kuasanya melebar ke Kelantan dan Terengganu. Kecuali Johor, tidak ada negeri
Melayu lain di belahan timur semenanjung Tanah Melayu yang memiliki kemakmuran
dan kekuatan setanding Pattani. Kuala sungainya (sungai Pattani) menjadi laluan
dagang seteri hilir mudik membawa dagangan masuk dan keluar Pattani. Pada 7hb.
November 1601 misalnya, seorang Belanda bernama Jacob Van Neck dilaporkan
sampai ke Pattani dengan dua buah kapal dagang, Amsterdam dan G Gonds. Setahun
kemudian, 1602, Raja Perempuan Pattani membenarkan orang Belanda mendirikan
logi perdagangannya di Pattani. Sebelum itu pada tahun 1592, Raja Pattani
menerima mengadap wakil kerajaan Jepun yang datang meminta keizinan baginda
untuk membuka perniagaan di Pattani. Hubungan antara Pattani dengan Jepun ini
kemudiannya jadi mesra apabila Ratu Pattani mengirim utusan ke Jepun berturut-turut
pada tahun 1599 dan 1606.
Serangan pertama Siam ini dipimpin
oleh Panglima Okya Dicha. Serangan angkatan laut Siam lengkap dengan
beribu-ribu orang tentera dan kelengkapan perang bertolak dari Ayuthia bagi
memenuhi hasrat Raja Siam waktu itu, Phra Nareswan, untuk menakluk Pattani.
Serangan ini bagaimanapun dapat dipatahkan oleh Pattani dengan bantuan
tenaga-tenaga asing yang berniaga di Pattani pada waktu itu.
Menyedari adanya ancaman Siam ke
atas kemerdekaan Pattani, Raja Perempuan Pattani yang kedua, Raja Biru
(1616-1624), mengerahkan kawalan keselamatan yang ketat ke atas Pattani. Pada
masa bagindalah usaha-usaha pembuatan meriam besar telah dilakukan. Sejumlah
tiga laras meriam besar, masing-masing diberi nama Seri Negara, Seri Pattani dan
Mahalela telah diketuai oleh tukang berbangsa cina bernama Lim Tau Kin. Oleh
kerana peristiwa pembuatan meriam ini merupakan suatu peristiwa besar dalam
sejarah Pattani maka ia telah dikenang dalam ‘ingatan’ rakyat Pattani.
Hasilnya, beberapa versi cerita lisan di sekitar pembuatan meriam ini muncul di
sana sini. Beberapa antaranya masih dituturkan sampai sekarang. Antaranya ialah
cerita “To’ Panjang” yang telah disentuh dalam peristiwa bilangan 24 (mukasurat
18 dan 19) lagenda tragedi bunuh diri Lim Ko Nim yang dikaitkan dengan asal usul riwayat “Tok
Pekong Mek” (PERISTIWA bilangan 17 muka surat 16-19) dan terakhir ialah dongeng
tukang pembuat meriam yang bersedia menjadi “peluru” bagi percubaan menguji
sejauh mana meriamnya mambuat tembakan. Konon khabarnya, apabila ditembak,
tubuh pembuat meriam terbelah dua; sebelah jatuh di Kuala Perma dan sebelah
lagi jatuh di Kuala Barat.
Serangan kedua ini terjadi pada
tahun 1632, juga dengan diketuai oleh Okya Dicha. Sebelum melancarkan serangan,
siam telah terlebih dahulu menghubungi Belanda di Betawi (Betavia) bagi
mendapatkan bantuan. Belanda bersetuju tetapi sehingga serangan dibuat keatas
Pattani, Siam tidak pernah menerima bantuan seperti yang dijanjikan.
Sementara itu, dipihak Pattani pula,
orang Melayu telah dapat mengusir serangan itu berkat kekuatan tiga laras
meriam besar yang disediakan oleh Raja Biru sebelumnya. Ditambah dengan tenaga
3000 rakyat Terengganu yang secara kebetulan berada di Pattani kerana menyertai
rombongan Yang diPertuan Muda Johor meminang anak raja Ungu yang bernama Raja
Kuning (Perkahwinan terpaksa ditangguhkan sehingga perang selesai. Selepas
berkahwin Yang diPertuan Muda Johor tidak pulang ke Terengganu, tetapi menetap
di Pattani.
Kecewa dengan kegagalan ini, Siam
sekali lagi melancarkan serangan pada tahun berikutnya, 1633 atau menurut
setengah sumber 1634 di bawah pimpinan Phya Phra Khlang. Pada waktu ini raja
Siam yang lama telah digantikan oleh Prasat Tong, iaitu iaitu seorang yang
lebih dianggap sebagai perampas daripada seorang raja yang sebenar, tetapi juga
yang mempunyai ambisi yang sama terhadap Pattani. Serangan ini dibuat dengan
jarak masa yang dekat kerana siam beranggapan bahawa Pattani masih “belum
Pulih” daripada luka-luka serangan dahulu. Sebaliknya pada pihak Siam, sekali
lagi persetujuan dicapai dengan belanda di Betawi bagi mendapatkan bantuan.
Dipendekkan cerita perang ketiga Siam-Pattani pun terjadilah. Tetapi sekali
lagi Siam gagal kerana beberapa sebab, pertahanan Pattani yang kuat, kekurangan
bekalan makanan serta wabak penyakit di pihak Siam dan kelewatan tiba bantuan
yang dijanjikan Belanda (bantuan sampai setelah angkatan Siam berangkat
pulang). Di sebaliknya pula di pihak Pattani mendapat bantuan daripada
negeri-negeri Melayu dari Johor dan Pahang.
Raja Ungu mangkat dua tahun kemudian
1635 digantikan pula dengan puterinya Raja Kuning. Baginda (raja Kuning) adalah
seorang raja yang masyhur, bijak dalam sejarah kesultanan Pattani, banyak
membuat pembaharuan dan kemajuan kepada rakyat, melibatkan diri dalam perniagaan
dan merupakan raja perempuan dan terakhir memerintah Pattani. Sumbangan baginda
yang kekal dapat dilihat sampai sekarang ialah usahanya memperdalamkan kuala
sungai Pattani sehingga membolehkan kapal-kapal besar masuk berlabuh membawa
dan mengangkut dagangan.
Pada masa baginda menjadi raja, Siam
sekali lagi menyerang Pattani (serangan kali ke4) serangan ini berlaku pada
tahun 1638. Pimpinan kali ini dipegang oleh pesuruh jaya Siam yang memerintah
negeri Ligor bergelar Okya Sena Phimok. Pesuruh jaya ini asalnya orang
berbangsa jepun bernama Yamada. Tetapi telah lama menetap di Siam dan menjadi
pegawai tentera yang berkhidmat kepada raja Siam. Oleh kerana jasa-jasanya
banyak maka raja Siam telah melantiknya menjadi Pesuruh jaya Ligor.
Serangan kali ke empat ini juga
gagal. Selepas seragan ini, Pattani tinggal aman hampir 1 setengah abad. Selang
masa yang lama ini telah menyebabkan Pattani alpa kepada musuh lamanya. Selain
dari itu berbagai kelemahan dialami oleh pattani selepas masa-masa gemilang
dicapainya dalam masa pemerintahan ratu-ratu berempat dan terutamanya pada masa
pemerintahan Raja Kuning yang reletif panjang.
Dalam sejarah pattani, tempoh antara
tahun-tahun selepas kemangkatan Raja Kuning (1651 atau menurut setengah sumber
1688) dikenali sebagai tahun-tahun serba tidak menentu. Selama tempoh ini
pattani tidak pernah mempunyai keturunan raja yang tetap. Seorang raja
dilantik, tetapi kemudiannya seorang raja lain mneggantikannya. Keadaan
seperti ini telah menyebabkan tumpuan tidak dapat diberikan bagi memaju dan
memperkukuhkan ekonomi serta pertahanan pattani.
Menurut sesertengah sejarawan,
sejumlah tidak kurang daripada 8 orang raja telah menerajui negeri Pattani
antara tempoh 1688 hingga ke zaman Sultan Muhammad Shah dilantik menjadi raja Pattani pada suatu tarikh yang tidak dapat dipastikan (lihat hikayat Pattani,
the hague, mat nus Nijhoff 1970, muka surat 277 dan 278) pada zaman Sultan
Muhammad Shah menjadi raja inilah, serangan siam kali yang ke 5 yang membawa
kejatuhan Pattani dilancarkan.
Menurut Ibrahim Syukri dalam bukunya
SEJARAH KERAJAAN MELAYU PATTANI mukasurat 81 hingga 91, latar belakang serangan
siam kali ini dapat dikesan seawal tahun 1767 lagi iaitu apabila Ayuthia
ditawan oleh orang-orang Burma. Ekoran daripada penaklukan ini bebrapa orang raja
kecil telah mengambil kesempatan mengisytiharkan kemerdekaan negerinya masing-masing
daripada kekuasaan pusat termasuk raja Ligor di Selatan. Bagi mengatasi bahaya
perpecahan ini siam berusaha sedaya upaya menyatukan semula negaranya ke dalam
satu kuasa pusat dan bersatu. Usaha ini berjaya kerana pada waktu yang sama
muncul seorang tokoh bernama Taksin yang berjaya mengusir kependudukan Burma
di Ayuthia dan sekali gus menyatukan kembali Siam. Raja-raja kecil yang
memberontak ditundukkan, tetapi tidak Raja Ligor. Bagi mengalahkan Raja Ligor,
satu serangan besaran dilancarkan yang memaksa Raja Ligor lari ke Senggora. Di
Senggora baginda tetap diekori oleh pasukan Taksin, menyebabkan baginda lari ke
negeri yang lebih ke selatan lagi iaitu Pattani. Di Pattani baginda meminta
perlindunagn politik daripada sultan Pattani pada waktu itu Sultan Muhammad Shah.
Malang bagi Patani kerana pelarian Raja Ligor tetap dijejaki oleh pasukan Taksin. Pada kira-kira penghujung tahun
1769, rombongan Taksin tiba di sungai Tabor (sempadan Pattani Senggora) dan
menghantar utusan ke pattani pada bulan disember tahun yang sama meminta supaya
raja Ligor diserahkan kepadanya. Permohonnan diterima, dan sejak itu negeri Ligor atau nakhonsitamarat kembali menjadi wilayah negeri siam.
Meskipun demikian, namun siam tetap
cemburu kepada Pattani apabila Burma sekali lagi menyerang bahagian utara siam
pada thun 1776, siam cuba meminta bantuan Pattani. Permintaan ini lebih berupa
untuk mengukur hati raja Pattani daripada untuk mendapat bantuan sebenar.
Pattani menolak, dan sejak itu siam bersikap menunggu waktu bagi membaham Pattani. Peluang ini kemudiannya terbuka pada 1784 apabila Burma menyerang
ligor selepas siam mengusir Burma dari Ligor pandangan mata jatuh ke Pattani.
Dipendekkan cerita Siam menyerang Pattani pada tahun 1785. Kerana lama tidak diserang Pattani hidup dalam lalai
dan leka. Dengan kubu-kubu pertahanan yang telah lama terbiar askar-askar yang tidak
terlatih serta persiapan logistik yang tergesa-gesa dan kelam kabut, Pattani
berusaha menyeamatkan negaranya daripada terkaman singa dari Nancho ini. Namun
betapa pun tenaga dikerah Pattani kalah dalam pusiangan ke 5 ini. Sultan Pattani Sultan Muhammad Shah tewas di medan tempur. Sebaliknya panglima perang Siam Phraya Kalahon Rachina dan Phraya Sibakorn berjaya membawa balik
kemenangan kepada raja Siam selepas gagal dalam percubaan menakluk Pattani
sejak dimulakan lebih 1 setengah abad sebelumnya. Pada waktu kemenangan ini
dicapai siam diperintah oleh Raja Rama Tibodi atau lebih diekanli dengan nama
Rama I iaitu pengasas kepada dinasti raja-raja Rama yang memerintah Thai
sekarang.
Kedah yang kecut hati melihat
kejatuhan Pattani di depan matanya segera membuat perjanjian memajak Pulau Pinang kepada Inggeris pada tahun berikutnya 1786 dengan janji bahawa Inggeris
akan melindungi dari ancaman siam.
Mampukah kedah menghadapi ancaman
siam atau bersediakah Inggeris melindungi kedah daripada ancaman ini? Jawapan
bagi pertanyaan ini akan merupakan satu permasalahan sejarah yang lain pula.
Bagaimanapun adalah jelas bahawa kejatuhan Pattani telah mengubah warna sejarah
dan masa depan politik negeri “merong mahawangsa” ini.
Bersambung...
Bersambung...
No comments:
Post a Comment