Wednesday 11 November 2015

Pattani Alah Kepada Siam (1785) - part 2

Pattani Dibahagi-bahagi


"BAGAI DISENGAT JENGKING, SIAM SEGERA 'BANGKIT' MENYIAPKAN BALA TENTERANYA BUAT 'MENGAJAR' RAJA PATTANI"

Sebelum jatuh ke tangan Siam pada tahun 1785, negeri Pattani adalah sebuah negeri besar. Ia merangkumi kawasan-kawasan yang sekarang dipanggil ‘changwad’ atau wilayah Naratiwas, Yala, Pattani dan sebahagian wilayah Songkhla atau Senggora. Malah sebahagian besar daerah Ulu Perak di semenanjung Malaysia sekarang. Lebih kurang mulai dari Lenggong, Kenering, Gerik, Selama, Rantau Panjang dan Keroh (sekarang Pengkalan Hulu) adalah merupakan daerah kawasan Pattani. Begitu juga dengan beberapa kawasan yang sekarang termasuk di dalam negeri Kelantan seperti Jedok, Jeli, Air Lanas dan Batu Melintang (dalam jajahan Tanah Merah dan Jeli). Di sebelah utara pula, sempadan negeri Pattani dengan wilayah Senggora ditandai pada sebatang sungai bernama sungai Tibor seperti Sungai Kolok yang menjadi sempadan antara Kelantan (Malaysia) dengan Thailand.

Inilah lebih kurang luas kawasan negeri Pattani pada waktu kekalahannya kepada siam pada tarikh di atas. Menurut A. Bang Nara Pattani dahulu dan sekarang (Penal Penyelidikan angkatan Al Fatani 1977), setelah mengalahkan Pattani, tentera pendudukan Siam telah bertindak kejam ke atas rakyat Pattani. Sebulan lamanya mereka membakar dan merompak segala barang dan harta benda rakyat termasuk membakar istana Sultan di Kerisik. Sesetengah buku pula menyebut bahawa tentera Siam menangkap orang-orang Pattani dan mengirimnya ke Bnagkok menjadi tawanan Perang atau hamba sahaya.

Dua laras meriam besar yang dibuat dalam masa pemerintahan Raja Biru, Sri Pattani dan Sri Nagara, juga dibawa sebagai oleh oleh dari medan perang. Meriam yang bernama Sri Nagara diberitakan jatuh di Kuala Pattani pada waktu diangkut naik ke kapal, sementara sebuah yang lain Sri Pattani, selamat sampai ke Bangkok dan sekarang diletak di hadapan pejabat kementerian pertahanan Thai sama ada menjadi perhiasan atau sebagai tugu kemenangan. Sebuah lagi meriam, Maha Lela lesap entah dimana.
 
Meriam Sri Pattani yang diletakkan di hadapan Pejabat Kementerian Pertahanan Thai
Memulakan pemerintahannya di Pattani, Siam melantik seorang yang bernama Tengku Lamidin menjadi Raja Pattani. (istilah raja dipakai bagi membezakan raja-raja Pattani yang lantik Siam dengan Sultan-sultan pattani lama. Ibrahim Syukri dalam bukunya Sejarah kerajaan Melayu Pattani menyebut raja-raja yang dilantik oleh siam ini sebagai raja patung oleh kerana kuasa sebenar pentadbiran negeri Pattani adalah terletak pada tangan Pesuruhjaya Siam di Ligor, di samping Pattani  sendiri mulai terpaksa menghantar ufti bunga emas sebagai tanda taat setia kepada Raja Siam.

Bagi menggantikan istana lama di Kerisik yang dibakar hangus, Tengku Lamidin membina kediaman barunya di kampung Perawan.

Zaman awal pemerintahan Tengku Lamidin adalah merupakan suatu zaman yang sangat sulit. Keadaan ini dapat diatasi oleh kerana inilah zaman yang pertama kalinya Pattani dipaksa hidup di bawah payung kekuasaan asing. Keadaannya serba tidak kena dan payah. Kota kerisik yang dahulunya ramai, kini telah sunyi. Penduduk yang menguasai ketempat-tempat lain selama perang terjadi masih belum berani pulang memenuhi ibukota Pattani yang lama. Perdagangan merosot, hasil pertanian tidak mampu menyuap mulut penduduk yang lapar dan berbagai-bagai masalah selepas perang yang lain lagi. Namun, dengan segala keupayaan ini, Tengku Lamidin berjaya mengumpul kembali rakyatnya dan membina semula negerinya.

Empat tahun kemudian, 1789 setelah keadaan kembali pulih dan stabil, Tengku Lamidin mula mengatur strategi melawan siam. Meskipun beliau dilantik oleh siam dan kekuasaannya sangat terbatas, namun tidak sangguplah negerinya menderita dibawah penjajahan Siam. Memulakan langkah dalam hal ini, tindakan baginda yang pertama ialah menghantar utusan kepada seorang raja Annam yang bernama Ong Ching Su, memintanya supaya menyerang Siam dari sebelah utara, manakala baginda sendiri akan menyerang dari sebelah selatan. Namun Malang bagi Tengku Lamidin, kerana bukan sahaja permintaan baginda tidak dipenuhi, akan tetapi lebih dari itu, Raja Annam telah memanjangkan surat baginda kepada Raja Siam di Bangkok sebagai bukti pengkhianatan.

Bagai disengat Kalajengking, Siam segera bangkit menyiapkan bala tentranya buat mengajar raja Pattani. Dengan dipimpin oleh Phra’ya Kalahom, pasukan ini berangkat ke selatan lalu menyatu dengan pasukan pesuruhjaya di Ligor dan Singgora, memukul angkatan Pattani yang pada waktu itu telah mara sejauh Pathlung. Peperangan ini telah berlaku dengan hebatnya selama 3 tahun.Tiada siapa yang menang dan kalah, lapor Ibrahim Syukri dalam bukunya sejarah kerajaan Melayu Pattani mukasurat 97. Tetapi oleh kerana kesilapan Raja Pattani yang keluar terlalu jauh dari pusat Negerinya, maka ini telah menyebabkan sukar baginya mendapatkan bantuan tambahan baik berupa tenaga, makanan ataupun senjata. Keadaan ini telah mengakibatkan tentera Pattani menjadi lemah dan akhirnya terpaksa mundur untuk memberi laluan kepada tentera siam menuju ke Pattani.

Dipendekkan cerita, Negeri Pattani dengan ibu kotanya yang baru di Perawan jatuh ke tangan Siam pada tahun 1791. Sekali lagi sejarah berulang, Pattani babak-belur dilanyak tentera Siam yang bermaharajalela. Tengku Lamidin ditangkap dan dihukum bunuh. Rakyat ditawan dan harta benda dirampas.

Sebelum tentera Siam pulang ke Bangkok, mereka sekali lagi melantik raja patung mejadi raja Pattani. Kali ini mereka melantik seorang yang dikelali dengan nama Dato' Pengkalan iaitu salah seorang pembesar melayu yang berpengaruh dan yang pernah dilantik oleh Tengku lamidin menjadi ketua di Kerisik. Selain dari itu bagi tujuan mengimbangi keadaan, Siam juga melantik seorang pembesar Siam bergelar Laksamana Dajang menjadi semacam pengawal keselamatan negeri bagi mengawal orang melayu daripada menderhaka kepada Siam. Beberapa orang Siam juga di arah tinggal di Pattani sebagai langkah berjaga-jaga.

Sedikit masa tenang berlaku di Pattani selepas Siam menguatkuasakan perlantikan ini. Akan tetapi tidak lama. Beberapa tahun kemudian, Dato' Pengkalan sering bertelagah dengan orang-orang Siam dalam perkara pemerintahan dan pentadbiran negeri. Mereka dikatakan banyak campurtangan dan menghalang Dato' Pengkalan, di samping seringkali melakukan tindakan ganas ke atas rakyat. Pada tahun 1808, pertelagahan ini mencapai kemuncaknya. Akibatnya Dato' Pengalan secara mengejut menyerang orang-orang Siam di Pattani menyebabkan ketuanya, Laksamana Dajang lari menyelamatkan diri ke Sengggora.

Di Senggora mereka memaklumkan kepada Bangkok bahawa Dato' Pengkalan dan orang-orang Melayu telah belot. Bala tentera siam dikerah ke Pattani bagi menangkap Dato Pengkalan.

Di Pattani, sekali lagi persiapan diatur bagi menyekat kemaraan orang-orang gasar Siam. Sekalian kerabat Dato' Pengkalan, Dato' Said an Dato' Pujud dikerah mengumpulkan kekuatan dan usaha melepaskan Pattani daripada belenggu Siam. Dalam pusingan pertama, tentera Pattani berjaya memaksa tentera Siam berundur hingga ke Ligor. Tetapi dalam pusingan kedua, apabila Siam secara serantak menyerang dari arah laut dan darat, tentera Pattani tidak ampuh lagi. Sekali lagi Pattani menyerang. Dato' Pengkalan sendiri mati dalam pertempuran ini, manakala dato'-dato' yang lain sempat menyelamatkan diri.

Belajar dari dua kali pengalaman khianat ini, Siam kemudiannya melantik seorang Siam yang bernama Nai Kwan Sai menjadi Raja Pattani. Beliau ialah seorang pembesar Chennak yang berasal dari keturunan bangsa cina yang datang berniaga di Chennak. Setelah dilantik sebagai raja, beliau pun datanglah ke Pattani untuk memerintah Pattani dan berbuat kampung kediaman di kampung Bandar, tidak jauh dari Kerisik. Turut bersama beliau ialah beberapa ramai keluarga Siam dari Senggora.

Inilah julung kali dalam sejarah negeri Pattani diperintah oleh seorang bukan Melayu. Apabila Nai Kwan Sai mati pada tahun 1815, tempatnya diganti oleh adiknya Nai Phai. Pada masa Nai Phai menjadi raja, Negeri Pattani tidak pernah aman. Perbalahan dan kadangkala pertumpahan darah terjadi di mana-mana di antara orang-orang Melayu dan Siam. Apabila satu laporan dikemukakan ke Bangkok mengenai perkara ini, Siam memutuskan bahawa satu dasar perlu diperkenalkan di Pattani.
Dasar baru ini yang mulai diperkenalkan pada tahun1816 ialah sebuah dasar yang dikenali umum di dunia politik penjajahan dengan nama Divide and Rule. Dibawah dasar ini Negeri Pattani Besar dipecahkan kepada 7 negeri kecil masing-masing bernama Nongchik, Jambu, Jalor,Teluban, Legeh (Renge), Raman dan Pattani. Pada setiap negeri kecil ini Siam melantik raja-raja dari kalangan orang-orang yang pada anggapannya dapat berkerjasama dengannya. Inilah asal mula wujud raja kecil di Pattani yang keturunannya masih dapat ditemui sehingga sekarang. Sedikit sejarah mengenai raja-raja dari negeri-negeri kecil bertujuh ini, InsyaAllah saya akan tulis pada kesempatan yang lain.

90 Tahun kemudian (1906), iaitu beberapa tahun sebelum persetiaan Bangkok yang terkenal itu, negeri-negeri kecil bertujuh ini di susun semula mejadi hanya empat buah negeri kecil iaitu Pattani (dengan memasukkan Nongkecik dan Jambu), Teluban dan Leguh. Pada penyusunan kali ini, nama Leguh ditukar menjadi Bangnara dan kemudian lagi pada tahun 1915 nama ini bertukar kepada Naratiwat sehingga sekarang.

Pada tahun 19 Mei 1916, istilah negeri dihapuskan digantikan dengan kalimah wilayah atau changwad sebagaimana pemakain sekarang. Kemudian pada 16 Februari 1963 pula Taluban (Saiburi) ditukar daripada sebuah wilayah menjadi hanya sebuah daerah dalam wilayah Pattani.

Inilah sekelumit daripada sebuah riwayat panjang mengenai bagaimana negeri Pattani besar berubah dan mengecil menjadi apa yang dikenal sekarang ini dengan nama Naratiwat, Yala (daripada perkataan Jalor) dan Pattani. Semua wilayah ini diketuai oleh Gabenor yang dikenali di kalangan orang melayu Pattani dengan nama Raja negeri. Tidak pernah ada orang melayu dilantik bagi menjadi gabenor di bekas negeri Pattani ini setakat ini.

Cerita ini ditulis oleh Ahmad Fathy Al-Fatani. Saya telah menaip  cerita ini dengan menggunakan mesin taip lama ketika zaman sekolah menengah, sumbernya entah dari buku atau majalah mana, saya tidak ingat dan tidak catat. Saya telah taip semula dan kongsikan di blog ini sebagai maklumat kita bersama.

2 comments:

Aku benci mu said...

Woi setan....ustaz munafik. Apahal kau tak cerita kau kawin lari di patani siam dengan bini no2 kau sekarang....pembohong no satu.

Aku benci mu said...

Woi setan....ustaz munafik. Apahal kau tak cerita kau kawin lari di patani siam dengan bini no2 kau sekarang....pembohong no satu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...