Thursday, 8 March 2012

Minda Yang Merdeka

Haji Ma tersenyum mendengar pertanyaan Ma Ho. Dia berkata, "Kehebatan ilmu mantik akan menjadikan seseorang itu lebih pintar daripada orang lain."

Dahi Ma Ho berkerut, seolah-olah meneliti maksud kata-kata ayahnya. Dia berkata, "Bukankah pakaian indah, rupa paras yang cantik dan segak seseorang membuat seseorang lebih disukai daripada yang berpakaian compang-camping dan rupa paras yang buruk?"

Haji Ma menjawab. "Aspek luaran hanya salah satu daripada ciri-ciri bagi menilai sesuatu."

Ma Ho bertanya, "Bukankah kemampuan menilai keindahan fizikal juga menunjukkan kehebatan ilmu mantik seseorang?"

Haji Ma tersenyum lagi lalu berkata, " Dia hebat hanya apabila dia menilai keindahan fizikal itu dengan kesedaran, di sebalik keindahan itu ada penciptanya."

"Maksud ayah semua penafsiran perlu berlandaskan keesaan Tuhan?"

"Ya benar, malah seluruh kehidupan kita perlu berpaksikan pengabdian kepada Tuhan."

"Bagaimana dengan perhambaan manusia kepada manusia? Adakah manusia yang diperhamba itu berdosa sedangkan dia tidak mempunyai pilihan?"

"Seseorang itu menjadi hamba kepada makhluk yang lain apabila mindanya tidak merdeka, walaupun dia bukan seorang hamba kepada manusia."

"Adakah seseorang hamba kepada manusia dianggap merdeka apabila fikirannya bebas?"

"Selagi seseorang insan itu dapat berfikir tanpa minda terbelenggu, maka dia bebas berfikir. Namun begitu kebebasan berfikir perlu sentiasa berlandaskan tauhid kepada Tuhan."

Ma Ho berkata, "Ertinya seorang hamba kepada maharaja pun pada hakikatnya seorang yang merdeka selagi dia tidak mahu mindanya diperhamba?"

"Bahkan selagi dia menganggap dia hamba Tuhan semata-mata, maka walaupun dia seorang tawanan perang ataupun hamba kepada maharaja China sekalipun, maka selagi itulah pada hakikatnya dia seorang yang merdeka."

"Ayah, adakah seseorang boleh menjadi hamba kepada dua orang tuan?"

Haji Ma berkata, "Tidak mungkin! mustahil! Apabila seseorang dimiliki oleh dua orang tuan, maka satu daripadanya mempunyai tuntutan yang lebih kuat. Sebagai contoh seorang hamba kepada maharaja, juga adalah hamba Tuhan. Tetapi pada hakikatnya hamba maharaja adalah hamba Tuhan semata-mata. Maka tuntutan maharaja ke atas hamba itu dengan sendirinya terbatal kerana Tuhan jua memiliki sekelian alam."

Petikan dari Novel Laksama Cheng Ho: Pemimpin Armada lautan Barat, Imran Yusuf, PTS Litera Utama, 2011, ms 21-22.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...