Wednesday, 19 August 2009

Antara Ustaz Asri Rabbani dan Michael Jackson

Kematian yang menjemput manusia saban hari adalah suatu fitrah dahsyat dalam kehidupan ini. Kematian juga merupakan titik akhir kehidupan yang bernilai dan dinilai. Tanpa mengetahui masa dan tempatnya, tanpa disangka-sangka, manusia yang hidup di atas muka bumi ini, yang sentiasa terdedah dengan keinginan untuk memiliki, mengasihi segala isi dunia serta mahu sebolehnya hidup lebih lama tiba-tiba telah dijemput oleh hamba Allah yang bernama ‘Izrael (a.s.). Tidak akan terlepas sesiapapun dari kematian, sama ada dia itu si raja, si kaya, si cantik, si glamor, si rakyat, si hamba hatta seorang nabi pun.

25 Jun 2009 yang lalu, satu dunia terkejut dengan kematian raja pop, Micheal Jackson. Para peminatnya menangis pilu dan meraung kesedihan. Begitu beremosi sekali mereka yang mengasihi dan mengaguminya menunjukkan rasa kehilangan. Berbagai-bagai upacara dilakukan termasuklah berhimpun, bertafakur, meletakkan bunga-bungaan dan kad ucapan, berarak sambil membawa sepanduk yang tertulis perkataan “Michael, we love you”, “Michael, we miss you”, “Michael, you’re always in my heart”, “you are not alone” dan berbagai-bagai lagi.

Kemudian, jasadnya diletakkan di dalam keranda mahal dan diberi penghormatan terakhir yang diadakan di Staple Centre yang dihadiri oleh anak-anak, ibu bapa, saudara-mara, sahabat-handai dan beribu-ribu peminatnya. Dalam upacara tersebut, lagu-lagu ratapan dan kesedihan dinyanyikan termasuk lagu-lagu ciptaannya. Para sahabat dan keluarga membuat ucapan khas terhadapnya. Tambah pilu lagi apabila anaknya, Paris-Michael Katherine menangis teresak-esak ketika menyatakan bahawa bapanya seorang bapa yang terbaik.

Dengan pemergiannya itu maka berakhirlah riwayat seorang penghibur dengan membawa pergi segala suka duka kehidupannya, yang tinggal menemani hanya kenangan kepada mereka yang pernah terhibur dengan pesona lagu nyanyiannya.

Jasad yang terkujur kaku itu tidak mungkin bernafas kembali, namun di hati pengagumnya, Michael tidak akan pernah mati.

Dia akan terus hidup dan dekat di hati serta jiwa mereka menerusi lagu nyanyiannya yang bisa membuat penggemarnya tersenyum, ketawa, malah menitiskan air mata kerananya.

Betapa kehidupan misteri lelaki yang pernah dilabel sebagai Wacko Jacko itu akan terus melekat kukuh di hati sanubari pencinta seni.

Lantas pemergian mengejutnya pada tarikh keramat itu akan terus diratapi dan ditangisi masyarakat seluruh dunia biarpun tidak pernah bertentang mata dengannya.

Michael Jaseph Jackson yang lahir pada 29 Ogos 1958 merupakan seorang hamba Allah yang sentiasa diberi ilham untuk mengarang lagu-lagu serta diberi keupayaan untuk menghiburkan manusia seluruh dunia dengan suara dan gerak tarinya terutama tarian moonwalk yang diperkenalkan pada tahun 1983. Hidupnya dipenuhi dengan berbagai-bagai kontroversi. Walaupun pada zahirnya, dia dilihat mewah dan terkenal, namun di sebalik tabir kehidupannya itu, dia sebenarnya kesunyian dan sentiasa murung. Sehinggalah pada akhir hayatnya dia dikatakan mengucapkan dua kalimah syahadah dan menganut agama Islam yang nyata lebih mententeramkan jiwanya. Semoga benar ucapan Abangnya, Jermaine Jackson, “Semoga Allah bersamanya”.

Pada 13 Ogos 2009 pula, rakyat Malaysia terutamanya peminat nasyid tanah air dikejutkan pula dengan kematian Ustaz Asri Rabbani. Beliau seperti yang diberitakan bahawa berkeadaan kurang sihat sebelum rebah pada Majlis pelancaran Program Syahadah, di Angkasapuri. Setelah dihantar ke Hospital Pantai, beliau disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Keluarga, anggota Rabbani dan sahabat-sahabat beliau menziarahi dan menguruskan jenazahnya serta menguruskan pengebumiannya di Perkuburan Islam Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam selepas Maghrib.

Para peminat dan sahabat-sahabat yang mengenalinya, menarik nafas sebak mengenangkan bahawa pemergiannya terlalu awal, iaitu ketika umat Islam di sini masih dahagakan hiburan Islam yang dibawa oleh Rabbani. Lagu-lagu nyanyian Rabbani seperti Assalamualaikum, Mari Berkasih Sayang , Pandanglah Lihatlah bisa menyegarkan jiwa yang layu. Ketika peminatnya menginginkan lagu-lagu ketuhanan pula, lagu Munajat, Insan, Subhanallah akan menjadi pilihan. Manakala lagu Intifada, Pergi Tak Kembali, Bidadari, Adab Sopan adalah lagu segar yang sarat dengan mesej.

Dalam dunia yang dipenuhi dengan budaya negatif dan ibu bapa berdepan dengan cabaran untuk mendidik minda anak-anak maka lagu nasyid yang tepat seperti Rabbani akan diperdengar kepada mereka di rumah mahupun di dalam kenderaan.

Ustaz Asri atau nama Sebenarnya Mohd Asri Ibrahim sebelum menubuhkan Rabbani, beliau adalah salah seorang Vokalis Nadamurni. Sebanyak 44 album telah diterbitkan sepanjang 1986 sehingga 1996 bersama Nadamurni. Pada asalnya Nadamurni mempunyai 20 orang anggota. Mereka berpecah kepada 3 kumpulan iaitu 4 orang bersama Hijjaz dan seorang bersama Raihan.

Ustaz Asri bersama 13 anggota yang lain menubuhkan Rabbani, antaranya ialah Azaddan Abd Aziz, Rahmat Shafie, Mohamad Asri Ubaidullah, Lokman Abdul Aziz, Rithauddeen Yaacob, Zulkifli Azman, Nazrul Tamrin, Effendi Sahabudin, Azizan Khalid dan Hamzah Hashim.

Seperti teman-teman yang lain, saya juga turut merasai pemergiannya. Hati saya berkata, tiada lagi gantinya orang yang bernama Ustaz Asri Rabbani. Lagu-lagunya sejak dari Nadamurni amat mempengaruhi minda hiburan saya. Kini lagu-lagunya sering dimainkan ketika perjalanan dan anak-anak saya juga sudah pandai menyanyikannya. Beliau adalah ikon dan lagenda yang tidak akan terhenti gema suaranya dalam hati para peminatnya.

Saya mendokan supaya Allah swt. Menempatkannya di kalangan orang-orang soleh, dilapangkan kehidupan akhiratnya dan terus mendapat syurga Allah. Beliau sudah berdakwah di jalan Allah dengan merdu suaranya. Moga-moga Allah membalas nikmat di negeri akhirat.

Begitu jugalah harapan saya pada Michael Jackson. Sebagai salah seorang daripada jutaan peminatnya, saya yang juga begitu gembira mendengar berita keislamannya pada pada 21 November 2008 mendoakan agar rohnya dirahmati oleh Allah swt. dan diberi nikmat seperti hamba-hambaNya yang baik.

Walaupun mempunyai persamaan yang sedikit dan perbezaan yang jauh antara Michael Jackson dan Ustaz Asri Rabbani namun hakikat kedua-duanya hanyalah hamba Allah yang telah kembali kepadaNya setelah mengharungi dunia ini dengan meninggalkan karya-karya hebat. Walau bagaimanapun, banyak pengajaran yang boleh dipelajari dari kehidupan mereka berdua selain dari hanya mendengar lagu-lagu mereka. Wallahu a’lam!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...