Friday, 21 August 2009

Ramadhan Karim, Wallahu Akram!

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan!

Pengertian Ramadhan dari segi lughah adalah panas yang terik. Dari sudut istilah pula Ramadhan bermaksud panas yang membakar segala dosa-dosa dari diri manusia seperti api yang panas boleh menghilangkan karat dari besi. Begitulah Ramadhan, bulan puasa, bulan pengampunan, bulan pesta ibadah, bulan sedekah, bulan tarbiyyah jiwa, bulan yang diturunkan al-Quran, padanya ada suatu malam yang menyamai seribu bulan.

Puasa ialah ibadah dengan menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan niat kerana Allah Taala. Begitu juga hendaklah menahan diri daripada perkataan sia-sia, perkataan yang menimbulkan syahwat, perkataan yang diharamkan dan dimakruhkan menurut syarat-syrat yang telah ditentukan.

Wajib ke atas individu muslim berpuasa dalam bulan ini dengan sabit dengan Ayat al-Quran dan hadis. Allah berfirman:
Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa". -Al-Baqarah: 183.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Islam itu didirikan atas lima; persaksian bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa pada bulan Ramadhan".
Puasa diwajibkan ke atas muslim yang telah akil baligh, sesiapa tidak berpuasa hukumnya haram, sesiapa yang mengingkari serta menafikan kewajipannya hukumnya kafir. Sesiapa yang tidak berpuasa secara sengaja maka wajib qadha serta kifarat. Sesiapa yang tidak berpuasa dengan sebab uzur maka wajib qadha tanpa kifarat.

Siapa Yang Wajib Berpuasa?
  1. Orang Islam.
  2. Mukallaf ('akil Baligh). Tidak wajib ke atas orang yang tidak berakal (gila atau pengsan). Begitu juga tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum 'akil baligh.
  3. Orang yang suci dari darah haid dan nifas.
  4. Orang yang bermukim (menetap). Tidak wajib ke atas orang yang bermusafir.
  5. Berkuasa (orang yang lemah dan sakit tidak diwajibkan)
Sah puasa sekiranya dilakukan oleh:
  1. Muslim (orang kafir tidak sah).
  2. Orang yang suci dari haid dan nifas.
  3. Mumayyiz (dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk).
  4. Berpuasa pada waktunya.
Batal puasa sekiranya:
  1. Berniat berbuka puasa.
  2. Makan, minum dan bersetubuh siang hari dengan sengaja.
  3. Memasukkan sesuatu ke dalam lubang rongga seperti hidung, telinga dan mulut walaupun tidak mengenyangkan.
  4. Muntah dengan sengaja.
  5. Melihat bulan syawal.
  6. Keluar haid bagi kaum wanita.
  7. Mengeluarkan mani dengan sengaja pada siang hari.
  8. Bersalin.
  9. Hilang akal sebab gila atau mabuk pada siang hari.
  10. Murtad.
Sunat dilakukan semasa puasa;
  1. Menyegerakan berbuka. Berbukalah dengan kurma (tamar) atau sesuatu yang manis.
  2. Melambatkan makan sahur.
  3. Menjauhi perkara-perkara yang kotor.
  4. Mengerjakan solat terawih pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan.
  5. berdoa dan berzikir pada setiap malam sesudah sembahyang witir.
  6. Tadarrus (membaca) al-Quran pada sepanjang bulan Ramadhan.
  7. Memperbanyakkan sedekah.
  8. Ketika berbuka puasa hendaklah berdoa; Ertinya: Ya Allah, untuk Engkaulah puasaku dan dengan Engkaulah aku beriman dan atas adanya rezeki Engkaulah aku berbuka disertai dengan rahmat Engkau wahai Yang Maha Pengasih.
  9. Membaca qunut pada rakaat terakhir sembahyang witir mulai malam ke 15 Ramadhan hingga akhir bulan ramadhan.
Makruh dilakukan semasa puasa;
  1. Berkumur-kumur dan menggosok gigi setelah gelincir matahari.
  2. Memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan.
  3. Mengeluarkan kata-kata kotor dan sia-sia.
  4. Memandang dan mencium bunga atau bau-bauan.
  5. Berbekam jika berbekam itu melemahkan badan.
  6. Merasa makanan dengan lidah.
  7. Mengunyah benda keras yang tidak boleh hancur seperti getah dan sebagainya.
Adab-Adab ketika berpuasa;
  1. menjauhi diri daripada mengumpat, mencela, mencaci, maki-hamun dan perkara-perkara kotor.
  2. Menjauhi diri dari segala perkara yang membatalkan puasa.
  3. Mengurangkan makan dan minum ketika berbuka dan makan sahur.
  4. Mengurangkan tidur terutama pada siang hari.
  5. Manahan hati daripada memikirkan keinginan-keinginan yang hina dan kotor.
  6. Hendaklah selalu mengingatkan bencana pada hari Akhirat.
  7. Menanam rasa penuh harapan terhadap segala amal ibadat kita semoga dibalasi Allah dengan balasan yang setimpal.
Yang dibolehkan ketika berpuasa;
  1. Menyelam dan membasahkan kepala asalkan air tidak masuk ke dalam perut.
  2. Bercelak dan menitiskan ubat ke dalam mata.
  3. Mencium, memegang tangan atau memeluk isteri bagi orang yang kuasa menahan dan mengawal nafsu syahwatnya.
  4. Suntikan dibolehkan. Sekiranya orang yang disuntik itu sakit maka boleh tidak puasa (buka puasa) dan wajib qhada.
  5. Memasuki subuh dalam keadaan berjunub.
  6. Perempuan yang berhenti haid dan nifas pada malam hari bulan puasa, boleh melambatkan mandi sehingga subuh.
Hikmah ibadah puasa;
  1. Melahirkan perasaan ingin tolong-menolong, kasih sayang terhadap fakir miskin, anak-anak yatim dan orang yang melarat hidupnya serta menginsafi akan kesusahan mereka itu yang pernah menderita kelaparan berhari-hari lamanya.
  2. Melatih sifat sabar, kuat dan mempunyai daya tahan untuk menghadapi segala kesusahan dan cabaran.
  3. Melatih sifat amanah.
  4. Menyihatkan badan.
  5. Melatih disiplin.
  6. Sebagai tanda syukur dan terima kasih kepada Allah kerana memberi nikmat yang tidak terhingga.
  7. Menguatkan iman kepada Allah, kerana Dialah kita berpuasa dan dapat menahan diri dari nafsu.
  8. Mendidik jiwa mentaati Suruhan Allah.
  9. Orang yang ikhlas berpuasa dan betul-betul mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.
  10. Meningkatkan keikhlasan.
  11. Melatih menjadi muqarrabin iaitu orang yang dapat menahan diri dari keinginan nafsu keduniaan.
  12. Menginsafkan diri sebagai hamba yang lemah di sisi Allah.
  13. Menjaga diri dari jatuh ke jurang dosa dan maksiat.
  14. Memperkuat fikiran dan daya penglihatan mata hati (basirah).

Hari-Hari Yang Dilarang Berpuasa

  1. Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal)
  2. Hari Raya Aidil Adha (10 Zulhijjah)
  3. Hari Tasyriq, iaitu 11, 12, 13 harubulan Zulhijjah
  4. Hari Syak (hari yang diragui antara 30 haribulan Sya'ban atau sudah masuk 1 haribulan Ramadhan
Hari-Hari Yang Makruh Berpuasa
  1. Berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa berturut-turun dengan hari sebelum atau selepas Jumaat. Tidak makruh sekiranya berturut-turut atau berselang-seli seperti sunnah Nabi Daut a.s. yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat.
  2. Berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa berturut-turun dengan hari sebelum atau selepas Sabtu. Tidak makruh sekiranya berturut-turut atau berselang-seli seperti sunnah Nabi Daut a.s. yang kebetulan jatuh pada hari Sabtu.
  3. Berpuasa terus menerus sepanjang tahun.
Keutamaan Tadarus Al-Quran Di Bulan Ramadhan
  1. Tiap-tiap satu huruf al-Quran yang dibaca dalam bulan Ramdhan itu diberi satu kebajikan oleh Allah.
  2. Membaca al-Quran dalam bulan Ramadhan bererti memohon kebajikan, kerahmatan dan keampunan daripada Allah.
  3. Puasa dan al-Quran itu memberi syafaat kepada orang yang berpuasa dan orang yang bertadarrus al-Quran pada bulan Ramadhan.
Wallahu A'lam

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...