Manusia memang memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidup yang asasi seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya. Namun begitu, bukan sewenang-wenang seseorang boleh mengambil, mendapatkan harta dengan mudah tanpa memikirkan hal-hal seperti halal haram, betul salah, risiko, memudharatkan orang lain. Seseorang perlu memikirkan hak siapa yang dia ambil. Jika betul dia bekerja dengan jalan yang jelas benarnya, itu memang rezekinya. Jika ia mendapatkan harta dengan merampas hak orang lain atau melalui jalan-jalan yang salah dan tidak bermoral maka pemilikan harta ini adalah salah.
Allah melarang manusia makan harta dengan dengan cara yang bathil, merampas hak orang lain, jangan makan harta anak yatim dan lain-lain. Namun begitu, makin ramai yang tidak mengambil berat larangan Allah. Ramai yang berbelanja dengan harta yang salah sama ada salah kerana bukan miliknya atau kerana salah cara mendapatkannya.
Salah satu soalan yang perlu dijawab di padang mahsyar ialah tentang harta, dari mana kamu mendapatkannya dan ke mana kamu membelanjakannya. Maka kalau seseorang tidak dapat menjawab persoalan ini maka di saat itulah akan datang penyesalan yang amat dahsyat.
Kita masih di dunia. Namun jangan lupa akhirat yang bakal menjelma sekejap lagi. Awaslah. kehidupan di sini bukan selamanya. Akhirat jua yang akan kekal abadi. Harta di dunia bukan matlamat dan wawasan yang perlu didahulukan. Sebaliknya, kehidupan akhirat yang perlu diutamakan...
Allah tidak larang mencari harta. Akan tetapi, pencarian harta mestilah dengan landasan taqwa. Iaitu berhati-hati jangan sampai mengambil yang haram. Kerana setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, Allah menyebut sebagai ...an-naru aula bih - "neraka adalah tempat yang sesuai dengannya".
Sahabat-sahabat, saya berpesan pada diri sendiri dan kalian supaya berhati-hati dalam usaha mendapatkan harta. Jangan sampai kita terambil barang yang salah dan haram di sisi agama. Cubalah sampaikan pada rakan-rakan yang lain. Kerana pesan-pesan yang baik akan tidak merugikan kita (...watawashou bil haq, watawashou bis shobr).
No comments:
Post a Comment