Monday, 16 May 2011

Sebuah Hadis Yang Memotivasikan

Sebuah hadis menyebutkan bahwa ada seseorang yang berjalan melalui tempat Rasulullah. Orang tersebut sedang bekerja dengan giat dan semangat yang tinggi. Para sahabat kemudian bertanya, "Wahai Rasulullah, andaikata bekerja semacam orang itu dapat digolongkan jihad fi sabilillah, maka alangkah baiknya." Mendengar itu Rasul pun menjawab, "Kalau ia bekerja untuk menyara anak-anaknya yang masih kecil, itu adalah fi sabilillah; Kalau ia bekerja untuk menyara kedua orang tuanya yang sudah lanjut usia, itu adalah fi sabilillah; Kalau ia bekerja untuk kepentingan (kehormatan) dirinya sendiri agar tidak meminta-minta, itu juga fi sabilillah." (H.R. Al-Thabrani).

Hadis ini memberikan motivasi yang sangat tinggi kepada para pekerja muslim kerana Islam menyamakan kedudukan pekerja dengan jihad fi sabilillah, suatu pekerjaan yang sangat mulia dalam Islam.

Jihad fi sabilillah merupakan perang suci dalam Islam bagi menentang kekufuran dan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Peristiwa perang banyak terjadi di zaman Rasulullah S.A.W. ketika baginda dan para sahabatnya berusaha menyebarkan dakwah Islam serta untuk mempertahankan kesuciannya.Seterusnya pada zaman Khulafa' Al-Rasyidin juga banyak terjadi peperangan fi sabilillah dan berlanjutan kepada zaman tabi'in.

Jika peperangan itu dianggap suci kerana bertujuan untuk menegakkan syariat Islam, menegakkan kalimah La ilaha illa 'llah, menghapuskan kakafiran, membuang ketidakadilan, menyebarkan perdamaian dan kesejahteraan dengan berpayung pada agama suci iaitu Islam, maka bekerja juga dianggap jihad kerana bekerja mempunyai unsur-unsur seperti jihad. Ini kerana, seseorang yang bekerja sebenarnya ia berjuang untuk kesejahteraan orang yang ditanggungnya. Dia juga sedang menghilangkan kemungkaran dengan menghasilkan sumber yang halal kepada anak-anak dan ibu bapanya. Sesungguhnya kefakiran amat dekat dengan kekafiran, sabda Nabi S.A.W.:

{ كاد الفقران يكون كفرا }

"Hampir-hampir kefakiran itu menjadi kekufuran"

Lantaran takut menjadi kafir dia berjuang untuk tidak menjadi fakir dan ini seolah-olah dia berjuang di jalan Allah (fi sabilillah). Bekerja juga boleh dipandang sebagai menjaga agama kerana pekerja yang bekerja bersungguh-sungguh telah menjaga salah satu daripada maqasid syariah iaitu menjaga kehormatan diri.

Selain itu, bekerja dengan bersungguh-sungguh sebenarnya akan menghasilkan keadaan ekonomi yang baik. Imej seseorang akan meningkat bila keadaan ekonominya meningkat. Keadaan sosialnya juga akan berubah, Malah jenayah juga akan dapat dikurangkan. Agama Islam akan dipandang tinggi bila ummatnya mempunyai kedudukan ekonomi, sosial yang baik. Sebaliknya Islam akan dipandang sepi bila ummatnya bermalasan serta tidak mempunyai aset yang banyak.

Oleh sebab itu, bekerja itu satu jihad kerana bekerja boleh membangunkan keluarga, meningkatkan imej Islam, meningkat ekonomi dan semua itu adalah dakwah Islamiah secara tidak langsung dapat memberi gambaran baik kepada orang bukan Islam untuk mendalami Islam.

Kesimpulannya, Islam sudah menandakan suatu kedudukan yang baik kepada pekerja muslim iaitu sebagai jihad. Maka, berusahalah dengan sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat Agama.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...