Tuesday, 20 December 2011

KARNIVAL HIJRAH 2011, PADA 22, 23 & 24 DISEMBER 2011

Karnival Hijrah 2011 anjuran bersama Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dan TV AlHijrah buat pertama kalinya akan menemui rakyat Pantai Timur khususnya rakyat negeri Terengganu Darul Iman dan negeri-negeri berdekatan pada 22 – 24 Disember 2011 nanti.

Karnival Hijrah yang akan diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu selama tiga hari ini akan dilancarkan pada hari Khamis 22 Disember 2011 jam 3 petang.

Dengan tema “HIJRAH 1 TRANSFORMASI”, Karnival yang menggabungkan 44 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri Terengganu ini menjangkakan satu fenomena baru di dalam penglibatan agensi-agensi Kerajaan Malaysia untuk membawa kepada rakyat pelbagai inovasi dan kemajuan yang telah diperkenalkan oleh agensi masing-masing.

Tema HIJRAH 1 TRANSFORMASI bersesuaian dengan hasrat Kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai kecemerlangan melalui perubahan yang menyeluruh dalam pentadbiran Islam yang akan memberi kebaikan kepada rakyat serta membawa negara ini mencapai kemajuan khususnya dalam bidang keislaman di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom,
“Karnival Hijrah 2011 ini bertujuan untuk memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia memahami dan mendapat pendedahan mengenai pencapaian pembangunan Islam di Malaysia dan peranan yang telah dan sedang giat dimainkan oleh Kerajaan serta semua pihak termasuk Kerajaan Negeri.

“Antara empat belas Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akanterlibat secara menyeluruh bagi menjayakan Karnival Hijrah ini ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Tabung Haji Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Waqaf Malaysia, International Zakat Organization (IZO), Yayasan Taqwa dan TV AlHijrah sebagai penganjur bersama.
Selain daripada agensi-agensi tersenarai, Karnival yang bersifat terbuka dan secara langsung ini turut melibatkan penyertaan badan-badan penyiaran seperti TV Alhijrah dan IKIM FM bersama Salam FM dan Manis FM.

FAMA juga akan turut serta dengan mini MAHA dengan membawa hasil-hasil pertanian seperti buah-buahan tempatan dan produk-produk makanan yang dihasilkan dari tanaman tempatan.

Menyentuh lebih lanjut tentang aktiviti yang bakal disediakan kepada tetamu-tetamu yang hadir, Dato’ Seri Jamil Khir mengulas,“ Pelbagai aktiviti termasuk pameran yang akan berjalan di sana nanti. Antaranya ialah PAMERAN DETIK-DETIK KEGEMILANGAN ISLAM yang julung kalinya akan membawa beberapa artifak dan replika kegemilangan Islam seperti Lampu Masjid Mamluk, Astrolab, Sfera Bintang, dan Papan Lapis yang tertera perkataan “Bismillahirrahmanirrahim”.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula akan mempamerkan kepada pengunjung Alatan Penentu Tarikh Lahir Islam manakala JAKIM pula akan menganjurkan KLINIK AL-QURAN dan juga pameran tentang HALAL HUB.” kata beliau.

Pengunjung ke Karnival Hijrah juga akan dapat melihat sendiri alat menguji emas dikhemah pameran YAPEIM dan Tabung Haji pula akan menyediakan perkhidmatan dan urusan haji yang menjadi tanggungjawab utama agensi tersebut.

Sebagai tambahan, TV AlHijrah yang bertindak sebagai penganjur bersama Karnival Hijrah ini diamanahkan untuk membawa siaran secara langsung dari Dataran Shahbandar Kuala Terengganu program seperti bual bicara ASSALAMUALAIKUM dan KONSERT ULANG TAHUN TV ALHIJRAH yang membariskan artis terkemuka seperti Yasin, Nora, Opick, Rabbani, Aishah, Badri dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, rakaman program 30 MINIT BERSAMA USTAZ DON, TERENGGANU BERSELAWAT dan DIALOG HARMONI akan turut diadakan.

Sesi perkenalan dengan penyampai-penyampai TV AlHijrah seperti Amin Idris, Ustaz Don Danial, Irma Hasmie dan Munif Isa juga akan diadakan.

Karnival yang menganggarkan kunjungan seramai 200,000 pengunjung ini turut tidak ketinggalan menyiarkan program Forum Perdana bertajuk “Hijrah Satu Transformasi ”serta program Adik-Adikku terbitan RTM.

IKIM FM, Manis FM serta Salam FM akan turut memeriahkan Karnival besar-besaran ini dengan menyiarkan siaran lintas langsung melalui frekuensi radio masing-masing.

Dengan adanya karnival ini juga kesempatan terbaik untuk rakyat negeri Terengganu datang beramai-ramai bersama keluarga sempena musim cuti sekolah untuk berada di khemah pameran agensi-agensi yang menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti sesuai untuk seisi keluarga.

Sumber: www.manis.fm

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...