Wednesday, 16 November 2011

Kisah Muwaffaq

Dia seorang miskin yang begitu mengimpikan untuk pergi menunaikan haji, namun setelah wangnya terkumpul, dia kemudiannya terhalang untuk memenuhi keinginannya. Sesiapapun tidak akan suka berhadapan dengan situasi seperti ini, tetapi adakah ini merupakan sesuatu yang buruk bagi Muwaffaq? kisah Muwaffaq ada hikmah yang sangat besar untuk menjadi perhatian kita semua. Kisah ini dituturkan oleh seorang ulama bernama Abdullah bin Mubarak. Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak sedang menunaikan haji, dia tertidur di Masjidil Haram dan dia bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, "Berapa ramai orang-orang yang berhaji pada tahun ini?"

"Enam ratus ribu." Jawab yang lain.

Lalu dia bertanya lagi, "Berapa ramai yang diterima?"
Jawabnya, "Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq. Dia tidak menunaikan haji, tetapi diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun ini diterima dengan berkat hajinya Muwaffaq."

Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar percakapan itu, maka terbangunlah dia dari tidurnya dan terus berangkat menuju Damsyik mencari orang yang bernama muwaffaq itu sehingga dia sampai ke rumahnya. Ketika diketuk pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera bertanya namanya. Orang itu pun menjawab, "Muwaffaq."

Lalu Abdullah bin Mubarak menceritakan mimpinya dan bertanya padanya, "Kebaikan apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjah yang demikian itu?" Jawab Muwaffaq, "Tadinya aku ingin menunaikan haji tetapi tidak dapat kerana keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga ratus dirham dari pekerjaanku membuat dan membaiki kasut, lalu aku berniat menunaikan haji pada tahun ini. Pada saat itu isteriku sedang hamil, maka suatu hari dia terbau akan bau makanan dari rumah tetanggaku dan ingin mencubit rasa makanan itu. Aku pun pergi ke rumah jiranku itu dan menyatakan tujuanku kepadanya."

Jiranku kemudiannya menjelaskan, "Aku terpaksa membuka rahsiaku, sebenarnya anak-anakku sudah tiga hari tidak makan kerana itu aku keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba terjumpalah aku dengan bangkai himar di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk dimasak. Adapun makanan ini halal bagi kami dan haram untukmu." Ketika aku mendengar jawapan itu, aku segera kembali ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan ku serahkan kepada jiranku tadi sambil menyuruhnya membelanjakan wang tersebut untuk keperluan anak-anak yatim yang ada dalam jagaannya itu. Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku." Demikian Muwaffaq menutup kisahnya.

Begitulah kisah Muwaffaq, walaupun terhalang dari menunaikan haji padahal dia telah mengimpikannya selama bertahun-tahun. Namun, apa yang tidak menyenangkan itu ternyata membuahkan kebaikan baginya. Malah itu bukan hanya baik bagi Muwaffaq seorang. Muwaffaq yang tidak pergi haji, diterima hajinya dan menyebabkan seluruh jemaah haji pada tahun itu diterima hajinya oleh Allah. Pada kes Muwaffaq, Allah memberitahukan keutamaan yang diperoleh melalui mimpi seorang ulama. Padahal ada begitu banyak kejadian di dalam hidup kita ini di mana kita tidak mengetahui hikmah di sebalik peristiwa-peristiwa yang kita alami.

Sekiranya Allah tidak memberitahu rahsia di sebalik batalnya perjalanan haji Muwaffaq apakah agaknya yang akan dirasakan oleh Muwaffaq dan mereka yang tahu tentang beliau? Muwaffaq mungkin merasa sedih kerana tidak jadi pergi menunaikan haji. Isterinya pun mungkin ikut bersedih kerana suaminya tidak dapat menunaikan haji. Orang-orang lainnya mungkin akan kasihan dengan nasib Muwaffaq. Tapi apa hendak dikata kerana semua telah digariskan oleh Allah dan Allah memerintahkan orang-orang beriman untuk beriman terhadap ketetapanNya "Supaya kamu jangan terlalu sedih terhadap apa-apa yang menimpamu."

Dipetik dari buku Bila Allah Menduga Kita tulisan Syed Alwi Alatas (2011).

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...