Friday, 15 July 2011

Didikan Terbaik

Sekolah Meheliah tempat aku belajar dulu akan mengenakan tindakan yang tegas ke atas pelajar yang melakukan kesalahan berat seperti mencuri, ber'dating' atau berpasangan menonton wayang di panggung. Hukuman yang akan dikenakan kepada mereka ini adalah dengan memandikan mereka di depan perhimpunan pelajar setelah disabitkan kesalahan.

Pelajar yang bersalah akan dipanggil ke hadapan, di depan seluruh pelajar dan guru-guru. Kerusi akan disediakan. Kalau melibatkan sepasang kekasih maka sepasang kerusi akan diletakkan, satu di hadapan pelajar-pelajar lelaki dan satu lagi di hadapan pelajar perempuan. Dan pernah juga berlaku pelaksanaan hukuman ini ke atas dua atau tiga pasang mungkin 4 atau lima pasang kerana ber'dating' secara beramai-ramai.

Pelaksanaan hukum bermula dengan ucapan dari guru-guru mengenai hukuman yang akan dijalankan. Kemudian, air yang diletakkan di dalam baldi-baldi akan dibacakan doa oleh ustaz yang paling alim, biasanya ustaz pokme, imam muda masjid pada ketika itu. Bacaan doa yang ditiupkan ke air itu adalah bertujuan untuk memohon petunjuk dari Allah S.W.T. serta memohon keberkatan dariNya agar pesalah diberi hidayah untuk berubah.

Seterusnya air akan dicurahkan ke atas kepala pelajar yang bersalah sedikit demi sedikit oleh beberapa orang ustaz dan ustazah di sebelah pihak pelajar perempuan. Suasana agak riuh rendah ketika pelajar-pelajar menyaksikan pemandian ini.

Walaupun hukuman ini agak memalukan pelajar yang bersalah tetapi mengandungi hikmah yang besar disebalik pelaksanaannya. Di samping memberi pengajaran dan pengalaman berguna kepada pesalah, hukuman ini juga memberi kesan mendalam kepada pelajar-pelajar yang menyaksikannya. Oleh sebab itu kesalahan-kesalahan umpama ini dapat dikekang di sekolah ini. Hanya beberapa kali sahaja dilaksanakan sepanjang aku bersekolah di sana.

Itulah antara didikan yang berguna kepada kami selaku pelajar selain pelajaran secara formal dalam kelas. Kelakuan yang buruk akan dihindari dengan segera kerana kesan yang ditinggal dalam jiwa kami. Kesan itu masih dibawa hingga kini walaupun sudah meninggalkan bangku sekolah lebih sepuluh tahun dan memiliki kerjaya.

Cabaran kini adalah untuk mendidik generasi baru yang penuh dengan serangan moral tidak sihat dari pelbagai arah. Persoalannya adalah mampukah kita mendidik generasi baru agar terdidik seperti pendidikan yang telah kita terima dulu?

Jenayah-jenayah moral yang berlaku kini amat membimbangkan. Pelajaran moral dan akhlak di sekolah-sekolah seakan tidak memberi kesan ke atas kerosakan sosial sekarang. Bentuk hukuman yang ada mungkin tidak boleh memberi kesan yang berterusan seperti hukuman yang dilaksanakan pada zaman kami. Padahal zaman persekolahanlah merupakan masa terbaik untuk memberikan didikan terbaik kepada manusia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...