Tuesday, 26 April 2011

Zahirkan Syukur

Sepertimana diketahui bahawa syukur itu bukan sahaja dijelmakan dengan mengungkapkannya pada bibir tetapi lebih jauh dari itu.



Sebenarnya syukur mengandungi pengertian yang luas dengan tidak menghadkan syukur yang diadakan hanya ketika mendapat nikmat bahkan perlu berterusan pada saat-saat yang lain hatta pada ketika menerima ujian dan bala' dari Allah Ta'ala. Ini kerana pada ketika Allah menguji manusia pun Allah masih memberi nikmat seperti ketika sakit, Allah masih memberi tenaga untuk bergerak atau sekurang-kurangnya ia masih boleh bernafas.

Syukur bukan hanya diungkap bahkan dibuat. Orang yang mengucapkan syukur dan benar-benar bersyukur ia tidak mengabaikan kewajipan bahkan menambahkan. Biasanya orang bila diberi nikmat ia akan mengucapkan 'al-hamdulillah'. Ucapan al-hamdulillah adalah salah satu zikir yang sunat kita ucapkan pada bila-bila masa dan tergolong dari zikir besar yang lain iaitu 'subhanallah' dan 'Allahu akbar'.

Maksudnya di sini, bila kita dapat nikmat kita akan melakukan hal yang sunat iaitu mengucap zikir kepada Allah. Yang sunat dilakukan oleh muslim bukan hanya zikir tetapi adalah lebih dari itu iaitu bersedekah, memberi makan kepada orang miskin, mengerjakan solat sunat, puasa sunat, umrah dan lain-lain. Sebab itu, kita pernah dengar orang yang melakukan kenduri kesyukuran, pergi ke Mekah kerana telah dapat apa yang diimpikan dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. juga banyak sekali mengerjakan yang sunat ketika baginda benar-benar ingin jadi hamba yang syukur kepada Yang Mengutuskannya. Banyak sekali Nabi S.A.W. mengerjakan solat sunat walaupun baginda seorang Nabi, yang dijamin seratus peratus akan masuk syurga. Ketika isteri baginda, 'Aisyah R.A. bertanya "kenapa Tuan sampai bengkak kaki mengerjakan solat malam padahal Tuan telah dijanjikan syurga?", jawab baginda, "Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur".



Baginda adalah orang yang amat-amat bersyukur. Syukurnya bukan hanya pada bibir tapi pada hati, pada anggotanya dan pada perbuatannya. Demikian itulah yang diajar kepada para sahabatnya dan pada ummatnya.

Amat bercanggah sekali kali bila bibir mengucapkan syukur tetapi masih melakukan larangan Allah seperti meninggalkan solat dan kewajipan lain. Ini kerana kesyukuran yang sebenar adalah ketaatan. Orang yang bersyukur adalah orang yang taat mengerjakan ibadah. Amatlah besar erti kesyukuran apabila diberi nikmat hidayah dan kekuatan untuk beribadah.

Amatlah malang sekiranya konsep kesyukuran disalahertikan. Ini kerana ada di kalangan kita yang bersyukur ketika melakukan maksiat atau ketika mendapat anugerah, pingat, piala, penghargaan dari maksiat-maksiat yang dilakukan. Ucapan syukur ini tidak termasuk dari konsep kesyukuran dalam Islam bahkan ianya diucapkan hanya sebagai penghias bibir dan menurut adat semata-mata.

Bersyukurlah atas nikmat yang tidak terhitung kerana melalui kesyukuran nikmat akan bertambah. Sesuatu nikmat akan bertambah nikmat bila dijamah dengan syukur. Firman Allah Ta'la:
Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu mema'lumkan, "jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambahkan (ni'mat) dan jika kamu mengingkari (ni'mat-Ku), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih" -Surah Ibrahim ayat 7.

Wallahu a'lam...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...