Seorang pemimpin hanyalah seorang manusia yang diangkat menjadi ketua di sesebuah institusi kecil ataupun besar. Kadang-kadang pemimpin tidak dilantik tetapi ia berlaku secara semulajadi. Tetapi banyak yang ada ialah pemimpin yang dilantik secara rasmi atau tidak rasmi.
Sesebuah institusi keluarga pemimpinnya ialah suami atau bapa. Manakala di pejabat pula pemimpin dipanggil bos, pengurus, pengarah atau ketua pengarah. Di sesebuah kampung ketuanya disebut ketua kampung atau penghulu atau imam. Dalam pembikinan sesebuah filem tentunya dipimpin oleh pengarah filem. Para pemuzik simfoni pula dipimpin seseorang yang bernama conducter. Sehingga ke peringkat negeri, negara dan antarabangsa semuanya mempunyai pemimpin yang dipanggil dengan panggilan yang pelbagai iaitu menteri, ketua menteri, menteri besar, perdana menteri, gabenor, presiden, raja dan lain-lain lagi.
Pemimpin biasanya dikaitkan dengan kebijaksanaan dan keupayaan dalam merancang, mengarah, menggerakkan dan menghasilkan keuntungan kepada institusi. Namun begitu, sebagai manusia pemimpin tidak boleh lari dari sifat-sifat kemanusiaan. Walau sepandai manapun seseorang pemimpin dia masih memerlukan pertolongan pihak lain dalam mengendalikan sesuatu institusi atau organisasi.
Pemimpin yang baik akan memainkan peranan sebagai perubah manusia dan pembina budaya. Budaya kerja yang cemerlang dibantu oleh kepimpinan yang mantap akan menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Di sinilah akan wujud konsep saling bantu-membantu dan kerjasama sesebuah pasukan kerja.
Biasanya pemimpin berperanan sebagai perancang dan pengarah. Ilmu dan pengalaman akan menjadi sesuatu yang diperlukan dalam melaksankan tugas sebagai ketua. Walaupun begitu, pemimpin yang biasanya memimpin manusia lain perlu pimpinan daripada Yang Maha Memimpin iaitu Allah S.W.T..
Untuk mendapatkan pimpinan Ilahi beberapa perkara perlu diambilkira;
1) Kitab pimpinan (al-Quran), perlu dihayati dan mengambil pelajaran terus dari Allah. Ini kerana, kitab ini adalah kitab yang paling meyakinkan dalam memandu arah kehidupan ini seperti firman Allah dalam kitab itu; " alif, lam, mim, itu adalah kita yang tiada keraguan sedikitpun yang menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa". Selain daripada kita al-Quran pemimpin juga perlu merujuk hadis iaitu contoh ikutan dari kata-kata, perbuatan atau tingkahlaku Nabi Muhammad S.A.W., sebagai mana perintah Allah, melalui firmanNya yang bermaksud, "Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemerintah di kalangan kamu...". Nabi S.A.W. juga pernah bersabda; "aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, tidak akan sesat selama-lamanya jika kamu berpegang kepada keduanya iaitu; kitab Allah dan sunnahku".
2) Melakukan solat dengan baik kerana solat akan mendekat diri kita dengan petunjuk Allah. Solat tidak terhad kepada solat yang wajib sahaja malah solat sunat juga perlu didirikan. Firman Allah: "Mintalah pertolongan dengan mengerjakan solat dan bersabar".
3) Berdoa kepada Allah supaya diberikan pimpinan kerana Allah sahaja tempat mengadu segala persoalan yang timbul, firman Allah bermaksud, "mintalah kepadaKU nescaya akan Aku kabulkan".
Syarat penting untuk mendapatkan pimpinan daripada Allah ialah seseorang mesti mendekatkan diri kepada Allah. Mendekatkan diri dalam erti kata mendekatkan diri dengan syariahNya, ilmuNya, Ibadah kepadaNya, tunduk dan patuh seadanya, menelusuri kitabNya dan menghayati kehidupan NabiNya.
Sebaliknya jangan sesekali mendekati syaitan yang akan menyesatkan. Syaitan adalah unsur yang akan menyesatkan dengan mempengaruhi diri supaya melakukan maksiat dan mempengaruhi untuk mengikuti telunjuk nafsu semata-mata.
Oleh sebab itu, seorang pemimpin perlu bijak membuat perancangan bukan sahaja merancang untuk memimpin organisasi, institusi malah memimpin diri serta membuat kawalan kepada diri supaya tidak tersesat di arus yang membinasakan.
Percayalah bahawa, jika seseorang mendapat pimpinan dari pada Yang Maha Memimpin maka segala yang diusahakan tidak kira di peringkat organisasi kecil atau besar, peringkat kampung atau internasional akan beroleh kejayaan dan keberkatan daripada Allah Ta'ala.
Wallahu a'lam...
No comments:
Post a Comment