Bila sesuatu perkara yang buruk sudah menjadi kegiatan yang sering dilakukan, maka perkara itu tidak lagi dianggap sesuatu yang buruk, malah timbul kebanggaan dan keseronokan bila seseorang itu melakukannya. Sehinggakan dalam diam tak diam ianya mungkin menjadi budaya yang merebak dari atas ke bahagian bawah dalam sesuatu organisasi atau masyarakat.
Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai kegiatan penipuan dan penyelewengan yang sedang berleluasa di mana-mana pada masa kini. Lebih teruk lagi penyelewengan itu seolah-olah dihalalkan oleh pihak atasan yang berkepentingan. Fenomena ini semakin merunsingkan seolah-olah tiada cara yang sesuai untuk membendungnya.
Sekiranya diamati kes-kes jenayah yang dipaparkan di akhbar-akhbar, maka didapati banyak jenayah penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh pegawai yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga amanah tersebut, umpamanya, pegawai bank didakwa pecah amanah, pegawai agama yang ditangkap khalwat, polis didakwa membunuh, kastam didakwa mengamalkan rasuah, guru berlebihan menghukum anak muridnya dan sebagainya.
Begitulah pula kegiatan jenayah penipuan dan penyelewangan secara kecil-kecilan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai bawahan yang nampak semakin hari semakin berleluasa tanpa batasan dan tanpa rasa malu serta takut kepada undang-undang yang ada. Hal ini tidak terkecuali terjadi di institusi-institusi Islam terkemuka negara. Jenayah ini semakin merebak dengan begitu halus tanpa disedari.
Walaupun ianya bersifat kecil-kecilan dan merupakan jenayah terpencil namun ianya tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berwajib kerana biasanya di suatu lubuk ikan, jika ada anak maka sudah pasti akan ada ibunya. Tunggu sahaja hari bila penjala hebat datang menjala di lubuk itu.
Punca utama terjadinya jenayah-jenayah ini sudah pastinya adalah kesedaran yang amat kurang terhadap kewajipan mematuhi peraturan, terutama peraturan agama (hukum syariah). Islam mengajar ummatnya supaya mematuhi hukum walau di mana dan pada bila-bila masa tidak kira sama ada ketika ramai atau bersendirian.
Setelah diamati, sememangnya umat Islam khususnya di negara ini sudah memahami asas-asas agama misalnya yang baik mesti dilakukan dan jahat perlu dihindari. Akan tetapi jika hanya ada asas sahaja tanpa penyuburan dan pembudayaan yang merata serta kesentiasaan dalam pelaksanaan maka asas yang ada itu tidak dapat membantu untuk menghindari godaan yang mendatang tambah-tambah lagi godaan dunia yang amat kuat.
Sebagai manusia, tentu tidak dapat lari dari lalai dan lupa. Walau sekuat manapun kefahamannya tentang agama dan syariatnya namun jika terlalu lama tidak di'up-date' dan asyik tenggelam dalam kesibukan mengejar dunia, kadang-kadang terjerumus juga ke lembah kehinaan ini. Sebab itulah, Islam mengajar supaya umatnya saling memperingati, sentiasa mendekati dan menekuni hukum syariat.
Salah satu sebab juga ialah kajahilan. kejahilan akan menyuburkan pengabaian kepada peraturan. Kejahilan akan menghilangkan sifat keinsanan dan etikanya.
Setelah diketahui punca dan faktor-faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya janayah ini maka akan mudahlah untuk menghindarinya. Walaupun tidak secara total, perubahan perlu dilakukan sebelum hal ini benar-benar parah.
Wallahu a'lam
1 comment:
Inilah antara contoh bila kita tidak amanah. Anjakan paradigma perlu untuk mengubati gejala bila dah terbiasa ini dalam masyarakat kita. Jauhkan diri kita dari mengamalkan budaya bila dah terbiasa ini. Bak kata orang mencegah lebih baik dari mengubati.
Post a Comment