Friday, 22 April 2011

Cermin

Pernahkah anda ditegur oleh rakan tentang pakaian anda yang tidak kena? Pernahkan anda dibisikkan oleh sahabat anda ketika tersilap dalam berbicara? Pernahkah anda dinasihatkan ketika terlanjur dalam melakukan kesalahan? Pernahkah anda disekat dari melakukan kemungkaran? Sekiranya hal ini terjadi kepada anda, anda orang yang bertuah kerana memiliki rakan-rakan, sahabat-sahabat, teman-teman, ahli keluarga yang baik.

Namun begitu, suatu persoalan yang perlu dibicarakan oleh hati nurani kita ialah apakah reaksi kita selepas ditegur, dinasihat dan dibetulkan oleh rakan-rakan? Adakah kita akan melatah dengan mudah dek kerana teguran itu? Atau menerima teguran itu dengan hati yang terbuka? Syukurlah sekiranya anda memilih untuk berlapang dada dalam hal ini dan tidak sedikit pun memendam rasa serta merancang untuk membalas pada suatu ketika nanti.

Sebagai manusia, kita sudah maklum bahawa kita tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Sekiranya kita sedar akan kesalahan itu, maka kita sudah dikira bagus. Namun, ramai dikalangan kita tidak sedar sudah melakukan kesilapan sama ada kesilapan ketika berbicara, berpakaian, ketika melakukan kerja dan sebagainya. Di sinilah gunanya rakan-rakan dan sahabat. Di sini juga kita akan kenal sahabat yang baik atau sebaliknya... yang betul-betul mukmin atau tidak seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W.:

المؤمن مرآة المؤمن - رواه أبو داود

"Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain" - Riwayat Abu Daud.

Sememangnya kita sudah tahu apa gunanya cermin iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melihat diri kita sendiri dan memperbetulkan penampilan. Begitulah gunanya sahabat yang baik. Dalam hal ini kita tidak hanya boleh menunggu rakan-rakan menjadi baik bahkan kita sendiri perlu terlebih dahulu menjadi baik dan ikhlas dalam berkawan. Antara sifat utama sahabat yang baik yang perlu ada ialah berkasih sayang, saling menghormati, saling menasihati dan saling bantu-membantu. Ciri-ciri inilah yang diperlukan oleh masyarakat kita dalam menjana pembangunan peradaban ummah.

Al-hamdulillah, saya juga pernah ditegur oleh sahabat-sahabat ketika melakukan kesalahan dan kesilapan. Dengan senang hati dan rendah diri saya berterima kasih kepada semua kerana menjadi cermin bagi saya. Saya bangga menjadi sebahagian dari anda semua. Wallahu A'lam... Barakallahu fikum.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...