Monday, 21 November 2011

Tiba Masanya...

Seminggu dua ini kami giat melayari laman web mudah.my untuk meneliti kediaman yang mahu dijual. Sememangnya sesuai dengan namanya 'mudah.my' ternyata amat mudah sekali untuk menyemak iklan terbaru untuk pelbagai barangan. Ada beberapa kriteria yang kami senaraikan termasuklah jenis rumah, keluasan, area dan tentunya harga yang menjadi ukuran utama untuk dilanjutkan kepada pertanyaan terus melalui telefon. Tentunya yang berdekatan dengan ibu kota harganya melambung. Manakala yang murah pula sangat daif keadaannya, sempit dan jauh dengan ibu kota tempat kami bekerja. Tidak hairanlah kalau ramai yang membelinya di Rawang, Semenyeh atau Batang kali...

Setakat ini kami sudah menelefon beberapa pemilik namun hasilnya sangat tidak memuaskan kerana kediaman yang diinginkan itu harganya terlalu mahal di samping beberapa orang pemilik yang lain sudah menjual kediaman yang diiklankan itu kepada orang lain. Katanya "first come first serve".

Alternatif kepada itu, kami telah berusaha untuk mendapatkan khidmat personal yang boleh membangunkan rumah. Namun setakat ini kami belum dapat berhubung dengan beliau. InsyaAllah, akan kami hubungi nanti.

Selain bersilaturrahim ke rumah seorang ustaz yang berasal dan juga datang dari daerah yang sama dengan kami, kami bertanyakan nasihat dan juga tip-tip berguna dalam usaha untuk memiliki kediaman.


Kalau dapat rumah macam ni kan best...

Ternyata, usaha untuk memiliki kediaman tidak mudah. Malah perlu difikir secara mendalam untuk mengelakkan penyesalan di hari kemudian. Selain berusaha bersungguh-sungguh, kami sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan kediaman yang sesuai. Bukan rumah serba mewah yang kami inginkan, hanya tempat berteduh anak-anak yang sesuai dengan zaman mereka. Setakat kami berdua sahaja kami tidak kesah tinggal di manapun, asal boleh melelapkan mata untuk berehat seketika dari kepenatan bekerja seharian, itu sudah memadai.

"Ya Allah, tidak ada yang mudah melainkan engkau menjadikannya mudah..."

Blog berkaitan property:

Cara Membeli Rumah Dari Pemaju - macam best je tajuk ni... perlu baca bagi mereka yang ada keinginan untuk membeli property.

Friday, 18 November 2011

Perutusan Hari Lahir

Assalamulaikum kepada semua...

Alhamdulillah aku masih diberi nikmat umur hingga ke hari ini 18 November 2011. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana aku masih hidup dan berada bersama isteri dan anak-anak tercinta, keluarga, sanak saudara, sahabat-sahabat, teman taulan dan anda semua. Anda semua telah memberikan haruman bahagia dalam jiwaku dan menjadikan aku sebahagian hidup kamu. Syukur alhamdulillah...

Pada hari ini 31 tahun yang lalu aku dilahirkan ke dunia. Dari saat itu aku menjadi penghuni tanah yang mulanya dijejaki Nabi Adam (as) ketika dikeluarkan dari syurga. Aku mewarisi status hamba dengan menunduk kepala pada ketentuan Yang Maha Esa. Aku hanya selama ini menelusuri denai-denai becak yang beralun ke sana dan ke mari mencari erti diri sehingga aku terdampar di sebuah kota besar. Dalam perjalanan itu telah aku mengutip bingkisan pengalaman yang berharga buat bekalan untuk hari mendatang. Antara mengerti dan memahami hasrat diri aku masih menghela nafas shahdu dalam bisikan zikir tidak henti memandang ke arah dunia selebar ini bagai tiada apa lagi yang dicari. Namun langkah longlai ini terus dan masih dihayunkan demi kesinambungan dewasa yang beralasan hidup pada ketaatan yang sejati.

Kotak minda terbuka memikirkan keagungan yang terjelas dalam kesamaran alam menuntut segera ditutupkan pada hanya yang jelas. Kesamaran itu kadang kala mengganggu kedewasaan yang andainya diturutkan pasti kecelaruan pintasan alam ini akan dirasai oleh semua. Aku menjadi terbius seketika. Mujur aku masih ditarik oleh tunjukan yang diutarakan pada sinar yang berkilau. Aku mengikutinya dan aku masih mengikutinya. Agar yang lepas dilupakan keras yang mengguris hatinya. Seandainya aku masih alpa pasti terjerat dengan kebekuan yang berpanjangan.

Aku berterima kasih kepadaMu wahai Tuhan. Aku terima kasih padaMu wahai Tuhan. Aku berterima kasih padaMu wahai Tuhan kerana aku masih berada di sini berpeluang melihat sinaran matahari yang menunjukkan aku jalanku untuk keluar mencari rezeki, berjuang dalam keredhaanMu.

Terima kasih kepada kalian, anda mengisi hatiku dan aku mengisi hati anda. Terpaku aku sebenarnya melihat keindahan ciptaan Tuhan dalam diri kalian. Betapa agungnya Tuhan meletakkan tanda-tanda kebesaranNya pada anda semua yang pastinya aku hargai, hormati dan dengan setulus jiwa aku cintai...

Dalam genggamanku... anak-anakku... ingin aku membesarkan kalian semua dengan sepenuh kasih sayang tanpa batasan. Aku ingin sekali menjadi seperti Nabi Muhammad (saw) mendukung anak kecil, menciumnya dengan penuh kasih sayang. Engkaulah permata hatiku... akan kutatang dengan cinta dan kasih sayang.

Semoga kita semua beroleh bahagia di sini dan di sana nanti. Oleh itu sama-sama kita berdoa dan beramal dengan tulus ikhlas untuk Allah (swt) agar diberi kenikmatan berpanjangan serta bimbingan hidayah dalam menghadapi semua keadaan. Amin ya Rabbal Alamin...

Wednesday, 16 November 2011

Kisah Muwaffaq

Dia seorang miskin yang begitu mengimpikan untuk pergi menunaikan haji, namun setelah wangnya terkumpul, dia kemudiannya terhalang untuk memenuhi keinginannya. Sesiapapun tidak akan suka berhadapan dengan situasi seperti ini, tetapi adakah ini merupakan sesuatu yang buruk bagi Muwaffaq? kisah Muwaffaq ada hikmah yang sangat besar untuk menjadi perhatian kita semua. Kisah ini dituturkan oleh seorang ulama bernama Abdullah bin Mubarak. Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak sedang menunaikan haji, dia tertidur di Masjidil Haram dan dia bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, "Berapa ramai orang-orang yang berhaji pada tahun ini?"

"Enam ratus ribu." Jawab yang lain.

Lalu dia bertanya lagi, "Berapa ramai yang diterima?"
Jawabnya, "Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq. Dia tidak menunaikan haji, tetapi diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun ini diterima dengan berkat hajinya Muwaffaq."

Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar percakapan itu, maka terbangunlah dia dari tidurnya dan terus berangkat menuju Damsyik mencari orang yang bernama muwaffaq itu sehingga dia sampai ke rumahnya. Ketika diketuk pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera bertanya namanya. Orang itu pun menjawab, "Muwaffaq."

Lalu Abdullah bin Mubarak menceritakan mimpinya dan bertanya padanya, "Kebaikan apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjah yang demikian itu?" Jawab Muwaffaq, "Tadinya aku ingin menunaikan haji tetapi tidak dapat kerana keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga ratus dirham dari pekerjaanku membuat dan membaiki kasut, lalu aku berniat menunaikan haji pada tahun ini. Pada saat itu isteriku sedang hamil, maka suatu hari dia terbau akan bau makanan dari rumah tetanggaku dan ingin mencubit rasa makanan itu. Aku pun pergi ke rumah jiranku itu dan menyatakan tujuanku kepadanya."

Jiranku kemudiannya menjelaskan, "Aku terpaksa membuka rahsiaku, sebenarnya anak-anakku sudah tiga hari tidak makan kerana itu aku keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba terjumpalah aku dengan bangkai himar di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk dimasak. Adapun makanan ini halal bagi kami dan haram untukmu." Ketika aku mendengar jawapan itu, aku segera kembali ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan ku serahkan kepada jiranku tadi sambil menyuruhnya membelanjakan wang tersebut untuk keperluan anak-anak yatim yang ada dalam jagaannya itu. Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku." Demikian Muwaffaq menutup kisahnya.

Begitulah kisah Muwaffaq, walaupun terhalang dari menunaikan haji padahal dia telah mengimpikannya selama bertahun-tahun. Namun, apa yang tidak menyenangkan itu ternyata membuahkan kebaikan baginya. Malah itu bukan hanya baik bagi Muwaffaq seorang. Muwaffaq yang tidak pergi haji, diterima hajinya dan menyebabkan seluruh jemaah haji pada tahun itu diterima hajinya oleh Allah. Pada kes Muwaffaq, Allah memberitahukan keutamaan yang diperoleh melalui mimpi seorang ulama. Padahal ada begitu banyak kejadian di dalam hidup kita ini di mana kita tidak mengetahui hikmah di sebalik peristiwa-peristiwa yang kita alami.

Sekiranya Allah tidak memberitahu rahsia di sebalik batalnya perjalanan haji Muwaffaq apakah agaknya yang akan dirasakan oleh Muwaffaq dan mereka yang tahu tentang beliau? Muwaffaq mungkin merasa sedih kerana tidak jadi pergi menunaikan haji. Isterinya pun mungkin ikut bersedih kerana suaminya tidak dapat menunaikan haji. Orang-orang lainnya mungkin akan kasihan dengan nasib Muwaffaq. Tapi apa hendak dikata kerana semua telah digariskan oleh Allah dan Allah memerintahkan orang-orang beriman untuk beriman terhadap ketetapanNya "Supaya kamu jangan terlalu sedih terhadap apa-apa yang menimpamu."

Dipetik dari buku Bila Allah Menduga Kita tulisan Syed Alwi Alatas (2011).

Majlis Fatwa: Syarat-Syarat Pelaburan Emas

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:

Syarat Umum Jual Beli

1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.

Pihak Yang Berakad

2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:

i. Baligh, berakal dan rasyid

Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.

ii. Keredhaan

Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.

Harga Belian (al-Thaman)

3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.

Barang Belian (al-Muthman)

4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.

5. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.

6. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:

i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.

ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.

iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.

Sighah

7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.

8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.

9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi

10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.

ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.

Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.

Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:

Syarat Pertama: Taqabudh

11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.

12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:

a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.

Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.

13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.

14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.

Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.

Syarat Kedua: Secara Lani

15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.

16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.

17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.

Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.

Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:

Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:

i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.

ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.

iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.

iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.

Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.

Akad Dan Unsur Sampingan

18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.

19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.

20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.

21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.

22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.

23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas

Thursday, 10 November 2011

Dilanggar dari Belakang: Apa Anda Perlu Buat???

Saja je nak kongsi sedikit maklumat ini sekiranya perkara ini berlaku pada anda... Sekiranya kereta anda dilanggar dari belakang, perkara yang anda perlu lakukan adalah:

1) Jangan panik dan marah, sila ketepikan kenderaan anda, jangan berhenti di tengah jalan kerana ia akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain dan pastikan semua berada dalam keadaan selamat.

2) Sila catatkan maklumat penting seperti masa, tempat kejadian dan nombor serta jenis kenderaan yang melanggar kereta anda. Lebih senang kalau anda ada telefon berkamera. Ambil sahaja gambar kereta yang melanggar kereta anda. Dari situ anda dapat catat masa dan tempat kejadian.

3) Anda tidak payah susah-susah nak ambil maklumat pemandu yang melanggar kereta anda. semua itu tidak perlu dan akan menyusahkan dia.

4) Jangan marah-marah. kemarahan tidak dapat kembalikan bentuk asal kenderaan anda.

5) Sekiranya kenderaan anda masih boleh bergerak sila ke balai polis berdekatan untuk membuat aduan *nota penting: Jangan pergi ke balai polis yang berada diluar daerah kejadian kerana salinan report akan dikeluarkan hanya oleh pegawai penyiasat bahagian trafik, balai polis dalam daerah berkenaan sahaja.

6) Jika kenderaan anda tidak boleh bergerak sila dapatkan khidmat kereta tunda yang dicadangkan oleh insuran anda untuk ke balai polis berdekatan.

7) Buat pengaduan dengan tepat mengikut apa yang telah terjadi.

8) Aduan anda ini berguna untuk claim insuran. walaupun nampak dari luaran kerosakan kereta anda tidak serius tetapi jangan terkejut bila mekanik meletakkan harga yang tinggi untuk membaikinya. Itulah gunanya insuran yang kita bayar setiap kali nak memperbaharui cukai jalan.

Nota: Sekiranya perlanggaran itu melibatkan 4-5 buah kenderaan, saman akan dikeluarkan kepada pemilik kereta yang berada di belakang sekali. Begitu juga dengan insuran, insuran kereta yang berada di belakan sekali akan cover semua kerosakan kereta yang berada di hadapan.

Akhir kata; sila hati-hati ketika memandu dan amat-amatlah penting anda menjaga jarak anda bagi mengelakkan terjadi hal-hal demikian.

Sila tambah sekiranya maklumat ini tidak mencukupi dengan meninggalkan komen anda...

Friday, 4 November 2011

Akulah Yang Akan Dikorbankan

Tahun ini aku didaftarkan untuk dijadikan korban. Tahun lepas aku terlepas sebab belum cukup umur. Nampaknya aidil adha ini adalah tarikh mati aku. Aku tak kesahpun. Memang kaum aku bangga dijadikan korban. Lebih baik mati dijadikan korban daripada dijadikan daging untuk jualan. Lebih teruk lagi kalau aku hanya mati dilanggar lori. Sia-sia sahaja tuan aku membela aku.


Aku ni kira berani-berani takut je untuk mati. Sakit ke tak sakit pun aku tak tahu. Yang pastinya bila aku tengok bapakku dulu meraung-raung kena pisau belati dekat leher naik seram jugak aku. Darah yang mengalir bagai sungai itu terus melenakan bapakku. Tak pernah tengok raungan sesakit itu walaupun kaumku kena sedok atau kena tanduk atau kena 'cendah'.


Orang kata apabila mati boleh masuk syurga. Entah lah. Aku pun tak tahu. Yang pastinya nanti kulit aku akan dilapah dan disiat-siat. Bagaimanalah rasanya nanti diri ini apabila tidak lagi berkulit yang selama ini aku sangat bergaya kerana kulit cantikku. Kulit ini jugalah yang menahan diri ini dari kesejukan di kala malam menjelma atau di pagi hari yang hening.


Seterusnya nanti keempat-empat kakiku akan diasingkan. Kaki itu akan dibuang daging oleh kumpulan orang yang hadir gotong royong untuk buat korban. Daging segar itu akan dipotong-potong dan dilambak di suatu sudut. Kaki ku hanya akan tinggal tulang kemudian akan dipotong tulang-tulang kakiku. Aduh... tulang keringku juga akan dihentak dengan belakang kapak. Tapi yang peliknya kenapalah diorang panggil tulang kaliku ini sebagai gear box. Padahal aku bukan kereta yang ada gear. Aku hanya lembu dan yang pastinya juga kereta lembupun takde gear apatah lagi gear box.


Sementara kaki-kakiku diselenggarakan, badanku pula akan dibedah. Bagitu mahir pakcik Mat membedah badan bapakkku dulu. Kemudian nanti pastinya ususku akan dikeluarkan. Mungkin aku akan terasa sangat geli apabila tidak lagi berusus kecil atau besar. Begitu juga dengan jantung, limpa, penkreas, hempedu, hati, buah pinggang, kerongkong dan sebagainya akan dikeluarkan... alamak mati la aku kalau takde jantung. Kalau takde usus takpe lagi kot...


Si Zain yang mahir dengan kerja-kerja menguruskan tulang rusuk lembu aku tengok tadi dah siap sedia dengan pisau dan parang tajamnya yang ditempah khas. Sudah siap diasah dan digilap-gilap. Seriau darah aku tengok pisau setajam itu. Pastinya nanti dengan senang sahaja tulang rusuk aku ini akan dicerai-beraikan. Diorang kata sup tulang rusuk adalah pilihan utama kerana keenakannya... enak macam mana laaa aku pun tak tahu. Tak pernah rasa plak sepanjang hidup.


Yang paling aku risau bukanlah ekor aku yang pastinya akan dibuat sup ekor oleh penggemar sup ekor kerana khasiatnya tersendiri dan membuatkan mereke yang menyebutnya tersengeh penuh makna tapi yang aku risaukan ialah 'torpedo' aku dan pelurunya. Aku mohon lah kalau korang nak buat masak kari atau nak buat sup ke atau masak lemak cili api ke boleh tak jangan dipotong-potong. Kekalkan lah bentuk asalnya. Sakit tau bila dipotong-potong macam tu. Kalau korang nak rasa betapa sakitnya korang boleh cuba ketuk sendiri yang korang punya. Aduh mencarut plak aku nihhh sori satu malaya ye... Kepala aku pulak nanti korang bukak elok-elok dan ambik otak aku yang tak berapa cerdik ni korang buat masak mmm masak apa ye... ikut suka korang la... yang penting masak lah jangan makan mentah-mentah nanti termuntah.


Semalam aku terdengar tuan aku bercakap-cakap dengan beberapa orang dekat kandang aku nih. Diorang datang nak tempah beberapa bahagian untuk buat korban dan aqiqah. Seekor kami boleh dijadikan tujuh bahagian. Tersenyum kambing tuan aku memandang tempahan sudah melebihi jangkaan. untung sangat lah tahun nih. InsyaAllah jumlah kami akan ditambah tahun depan bisik tuan aku pada aku sambil mengusap-usap kepala aku. Aku jugak yang tersenyum pahit sambil memamah-mamah rumput yang kering. Rasa tak lalu nak makan...


Untuk kali terakhir aku memohon korang janganlah sia-siakan pengorbanan aku yang korang korbankan. Biarlah upacara pengkorbanan ini dijadikan sebagai ibadah bukan pesta membelasah lembu-lembu seperti aku. Buatlah dengan penuh keinsafan dengan mengenangkan pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail (as) dan syari'ah yang disunatkan oleh nabi Muhammad (saw).


Aku bukan mengidamkan layanan first class untuk pengkorbanan ini. Tapi silalah dahulukan yang sunat misalnya korang tajamkan lah pisau-pisau korang supaya senang korang buat kerja dan tidaklah nampak sangat korang menyiksa aku. Aku tak tersiksa pun. Dah memang macam ni nasib kami. Tapi biarlah semua kerja smooth je... lancar.


Mulakanlah dengan bismillah. Sambil memotong dan menyiat-nyiat daging aku korang jangan lah berbual kosong atau gelak. Ingatlah pada Tuhan sambil bertakbir raya. Jangan pula korang isap rokok sambil buat kerja kerana asap rokok akan mengganggu orang lain. Kalau jatuh habuk rokok kat daging-daging aku nanti beracun pulak. Kata buat korban so... korban la skit... asyik nak merokok je... rosak trakea dan paru-paru korang.


Dan aku nak pesan juga korang jangan la bila dah banyak daging nanti korang makan banyak sangat nanti korang jugak susah, dapat darah tinggi nanti. Satu lagi jangan lah korang membazir. Kalau buat sup atau kari nanti korang rajin-rajin la panaskan kalau tak habis makan. Jangan biarkan basi dan terbuang macam tu je. Ingat... membazir itu bukan amalan lembu tapi amalan syaitan.


Pandai-pandailah korang bahagi-bahagikan daging, tulang dan organ-organ dalaman aku nanti. Berikanlah pada yang memang memerlukan. Kalau korang buat aqiqah silalah masak terlebih dahulu dan panggil orang makan atau berikan yang sudah dimasak dan masaklah masakan yang manis-manis skit. Itu lah syariah korang dan bukan syariah lembu... hehehe muhhhh...


Akhir sekali... korang banyak-banyaklah bersyukur kerana tak dilahirkan sebagai lembu. Bersukurlah kerana dijadikan oleh Tuhan sebagai makhluk terbaik. Jangan tiru perangai kami yang hanya mengikut sahaja tarikan tali hidung... tak merdeka langsung. Kami tak reti melawan... kalau melawan nanti pendek umur atau sekurang-kurangnya rebes hidung. So... korang pandai-pandai la masa yang ada ini untuk mengisi hidup merdeka korang untuk melakukan amal soleh. Serulah pada kebenaran dan cegah kemungkaran. Pandai pulak aku berceramah... hahai...


Okeh lah... aku sibuk nih... stress dah nihhh babai... jumpa lagi...

Menjahit

Minggu lepas kami sekeluarga pergi ke Langkawi. Dari Langkawi kami terus balik ke kampung, Pengkalan Kubor. Kami tiba di kampung pada jam 8.00 pagi. Hari dah cerah.

Hari pertama di kampung aku agak excited nak cuba menjahit memandangkan mesin jahit buruk dah dibaiki oleh abah. Mesin tersebut dibeli oleh abah ketika abah berumur belasan tahun dengan menggunakan duit biasiswa yang dia dapat ketika belajar di sekolah menengah Thailand. Sebelum ini, arwah nenek yang menggunakannya. Setelah arwah nenek tiada, sepupu aku pula yang menggunakannya. Raya lepas, kami sekeluarga balik ke kampung dan dapati mesin buruk itu tersadai oleh kerana sepupu sudah ada mesin baru mesin itu tidak lagi digunakan. Peluang tersebut abah gunakan untuk membawa pulang pusaka itu ke rumah kami di Pengkalan Kubor.

Geram tengok adik aku, Sebu dah boleh menjahit sikit-sikit dengan menggunakan mesin jahit yang berumur lebih 40 tahun itu. Aku mintak Sebu ajarkan basic yang dia tahu. Dari situ aku terkial-kial mencuba beberapa kali hingga tak ingat bahawa aku baru je sampai di kampung yang biasanya aku akan tidur seharian dulu baru la hilang kepenatan.

Pada keesokan harinya isteri aku menghulurkan kain batik yang dibeli di Langkawi mintak aku menjahitnya. Aku cakap aku baru belajar dan takut rosak nanti. Dia kata takpe la... jahit terus je. Dia kata lagi kain itu lebih bermakna kalau aku menjahitnya. Tanpa membuang masa aku terus mencuba. Sudahnya bukan sehelai tapi tujuh helai selesai dijahit. Tersenyum lebar isteri aku kerana kain batiknya tak payah dihantar kepada tukang jahit. Dia terus pakai. Cantik katanya walaupun baru belajar. Hehe... Bangga sungguh hari itu. Bukan apa... satu lagi kemahiran aku bertambah. Dia cakap nanti nak beli mesin jahit. Senang nak jahit kain.

InsyaAllah kalau ada peluang nak tambah kemahiran. Kena belajar banyak benda lagi. Barulah hidup ini menarik skit. Jom kawan-kawan tambah kemahiran...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...