Tuesday, 13 May 2008

Biar hati ummi terhibur! (Bhg. II)

Ummi pernah kata, tak terlintas pun di hatinya dulu dia boleh datang KL. Sekarang ni, hampir 3 bulan sekali juga dia datang KL. Ummi dah pandai naik bas sorang-sorang pergi atau balik KL-KB ketika aku tidak dapat menghantar atau menjemput ummi dari kampong. Sama ada abah ikut sekali, selalunya ummi akan mengikuti aku setelah kami ingin pulang ke KL. Harap-harap ummi tak boring la dengan cucu-cucunya. Kalau ikutkan sekarang ummi seronok dengan cucu-cucunya. Cuma untuk melayan secara keseluruhan tak lah ummi termampu. Tapi ummi suka tolong isteri. Lebih-lebih lagi ketika isteri pantang anak kedua, ummi la yang banyak korbankan masa jaga anak aku yang masih kecil. Sebulan lamanya. Isteri aku pulak ditatangnya macam anak ummi sendiri. Nak makan apa semua ummi masak. Nak ubat apa, herba tradisional melayu kelate semua ummi sediakan. Punyala suka isteri aku dibelai macam itu sekali.

Gaji aku taklah banyak sangat. Namun menjadi kewajipan anak, aku hulurkan duit pada ummi dan abah buat belanja sekadar aku mampu. Ada lebih aku bagi lebih, ada sikit aku hulur sedikit. Hal ini menuntut kefahaman ummi dan abah akan keadaan aku sekeluarga. Kalau aku out-station maka wajib la aku beli sesuatu kepada ummi sebagai buah tangan dari anak yang dia jaga dari hari pertama hingga sekarang dengan susah payahnya. Biar ummi terhibur dengan telatah aku. Ada sekali tu, aku out-station ke Langkawi, aku belikan kain batek jawa sedozen. Aku bagi-bagikan pada ummi, isteri, sedara-sedara terdekat. Aku belikan coklat banyak-banyak. Kalau aku ke Sarawak, aku rela bawak balik ikan terebuk masin. Bila ke sabah pulak aku bawak balik mutiara, kristal dan juga ikan serta udang kering. Untuk abah pulak aku belikan kain palekat, baju. Setakat ini itu lah yang termampu aku berikan untuk menghiburkan mereka. Yang penting aku tidak lupakan mereka. Pantang sekali-kali ketika aku ke mana-mana out-station, aku belikan sesuatu pada isteri tanpa aku belikan sesuatu juga pada ummi. Bila tiba hari raya pula, isteri aku akan belikan kain baju untuk ummi, adik-adik untuk dipakai di hari raya.

Setakat ini, itulah yang menghiburkan hati ummi. Kalau aku tersilap dengan ummi cepat-cepat aku mohon maaf. Kalau ummi ada masalah, cepat-cepat aku bisikkan kata-kata yang menyenangkan. Aku biarkan ummi luah perasaannya. Dan aku akan perbetulkan sana sini. Kalau ada apa-apa hajat, aku minta ummi doakan. Hei… doa ibu untuk anaknya akan maqbul. Hati seorang ibu akan lapang jika didahulukan. Hati ibu akan terluka jika dibelakangkan. Walaupun mendahulukan ibu untuk meminta satu doa. Ibu akan rasa dihargai… bukan susah sangatpun kan! Kadang-kadang agak kurang senang mendengar seorang anak mendahulukan isteri dari ibu. Menyembunyikan segala-gala dari pengetahuan ibu demi kepentingan si isteri. Hei… ini ibumu. Demi isteri segalanya diturutkan… untuk ibu diberi berbagai alasan. Mana nak dapat berkat dalam kehidupan. Menghormati ibu bukan secara adat dan budaya. Tapi itu suruhan dan tuntutan agama.

Kenapa aku terdidik begini?... inilah hasil didikan ummi dan abah. Abah hantar ke sekolah agama untuk mendidik diriku jadi lebih baik. Di sekolah agama dari darjah satu hingga tingkatan 6 aku belajar akhlak Islamiah. Bagaimana selayaknya melayani ibu bapa… al-Quran mengungkapkan segala-galanya…

“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibu yang telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir penyusuannya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibupapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. Luqman :14

Al-Quran mengiktiraf kesakitan ibu sebagai sebab membuat budi kepada ibubapa. Allah SWT menyuruh kita bukan hanya bersyukur kepadanya malah boleh bersyukur kepada ibu bapa. Betapa besarnya pengibaratan ini. Ibubapa diletakkan sebagai tempat seorang anak untuk bersyukur.

Selain itu Allah SWT berfirman:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-dua sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Hah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. Al-Isra’ : 23

Dalam ayat ini Allah SWT menggandingkan ayat tentang aqidah dengan suruhan berbuat baik kepada ibu bapa. Ini menunjukkan keseriusan dalam melayan baik ibubapa dengan baik.

Dalam hadis pula terdapat kisah seorang sahabat bertanya kepada Baginda Rasulullah SAW; katanya; “kepada siapakah lebih afdal aku berbuat baik? Jawab Baginda SAW: “Ibumu”. Tanya sahabat lagi “kemudian siapa?”. Jawab Baginda. “Ibumu”, Sahabat bertanya lagi, “Kemudian siapa?”, jawab Rasulullah SAW “Ibumu”. Sahabat bertanya lagi soalan yang sama,“Kemudian Siapa” jawab Rasulullah SAW “Bapamu dan orang-orang yang dekat denganmu”.

Pepatah Arab ada mengatakan: Syurga dibawah telapak kaki ibu. Allah SWT akan meredhai seseorang bila mana ibu meredhainya.

Gembirakanlah ibu dengan membawa mereka bersiar-siar, memberi hadiah, tutur kata dan ucapan yang baik, menghiburkan hati, beri perhatian dan layanan kepadanya.

Jangan jadi seperti Al-Qomah, salah seorang sahabat Nabi SAW. Yang menderhaka kepada ibunya. Ruh sahabat yang sedang nazak itu tidak mahu keluar dari badan sehingga ibunya memaafkan kesalahannya.

Akhir sekali, berfirman Allah SWT:

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”. Al-Isra’ : 24.

Doakanlah untuk kesejahteraan ibubapa… anak yang soleh akan sentiasa mendoakan rahmat ilahi kepada keduanya di atas jasa mereka memelihara kita dari sekecil-kecilnya hingga menjadi manusia yang sempurna. Kenangilah mereka… jasa mereka tak terbalas oleh mu.

Terima kasih ummi… terima kasih ummi… terima kasih ummi, terima kasih abah untuk segala-galanya. Minggu depan kita jumpa lagi. Anakmu akan pulang untuk kesekian kalinya untuk bermanja denganmu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...