Kalau boleh aku nak ummi dan abah tinggal dengan kami kat KL, aku bertekad nak jaga mereka berdua. Namun buat masa ni, adik bongsu aku lebih memerlukan perhatian ummi dan abah kat kampong. Adik masih belajar di tingkatan 5. Tahun ni SPM. InsyaAllah, bila adik dah habis belajar aku nak mintak ummi abah duduk dengan kami.
Kalau dulunya sebulan sekali aku mesti balik kampong semata-mata nak tengok mata ummi abah. Walaupun hakikatnya bila balik kampong aku bukan lepak kat rumah sangat, aku suka memancing hingga lewat malam. Itulah yang selalu jadi rungutan ummi. Rungutan itu pula dah berjangkit pada isteri sekarang. Sebenarnya memancing itu satu hobi kitorang sekeluarga. Dulu-dulu kami selalu memancing bersama kat sawah atau tali air. Namun kini jarang dah kami dapat meluangkan masa sebab jarang balik kampong. Kami agak sibuk dengan tugasan masing-masing. Walaupun begitu, setiap dua bulan mesti aku berjalan jauh menuju ke desa tercinta. Aku tak lupa nak telefon ummi hampir setiap hari. Tanya khabar macam mana keadaan mereka. Lebih-lebih lagi sekarang ni ummi dah semakin uzur. Macam-macam penyakit dah hinggap kat badannya yang dulunya agak ‘kebal’. Kini usia yang semakin meningkat itu telah merampas detik-detik yang mana kesihatannya itu bisa melayan anak-anaknya dengan sempurna. Labih-lebih lagi melayan aku yang agak degil, kuat merajuk dan kadang-kadang gila-gila.
Satu pengakuan ummi dulu masa aku mula-mula nak masuk universiti, ummi kata dia terlalu berhati-hati dengan aku sebab tak nak biar aku terasa hati. Hanya ummi yang faham kalau aku tak suka sesuatu. Apa tindakan aku kalau aku tak setuju sesuatu perkara. Macam mana kalau aku marah… semua ummi tahu. Ummi kenal anak-anak ummi. Dalam pada itu juga, yang menjadikan aku ini anak yang selalu ingat pada ummi ialah ketika dia kata aku ni anak ummi yang paling baik melayan dia. Sebenarnya aku bukan baik sangat dalam kuarga namun satu yang aku ingat adalah dari aku bodoh-bodoh dulu hingga aku masuk U, kawin, dapat kerja… aku memang melayani mesra ummi lebih dari abah! Aku lebih manja dengan ummi. Masa aku di sekolah menengah pun kadang-kadang ummi masih menyuap nasi kepada aku. Satu lagi hal yang masih aku rindukan ialah… ummi memotong kuku aku di tahun-tahun berkenaan. Kini ummi tak boleh potong kuku aku lagi sebab mata ummi dah mulai kabur. Rindunya pada ummi, tapi sukar jugak bagi seorang lelaki mengungkapkannya.
Ummi sebenarnya suka jalan-jalan, ambik angin kat tempat-tempat yang dia tak pernah pergi. Jadi aku hanya perlu ajak ummi untuk pergi jalan-jalan sekali sekala ketika dia datang KL. Ada sekali tu aku ajak ummi teman kami ke UUM kerana ada pameran kat sana. Kami bertolak pukul 5 petang dari KB ke Kedah melalu Gerik. Masa tu anak pertama aku baru 3 bulan. Bayangkan malam yang gelap dan hujan yang lebat, kami melalu jalan berbukit meredah hutan. Risau jugak kalau-kalau terserempak pak belalai. Tiba kat UUM pukul 4 pagi. Kami tinggal kat Hotel dalam UUM. 3 hari jugak kami kat situ. Nampak ummi seronok sangat bila kami sempat pergi ke Padang besar, Bukit kayu Hitam, makan laksa dekat Kuala Perlis… sampai sekarang ummi sebut peristiwa itu. Kalau boleh ummi nak pegi lagi. Begitu juga la pada 2004, aku ajak ummi jalan-jalan kat kampong Husin, salah satu kampong orang asli yang pernah aku masuk masa aku aktif persatuan COMRADE kat UIA dulu. Seronoknya kami bermalam kat kampong tu. Dapat rasai kehidupan masyarakat di situ. Ummi kata, dia pernah hidup macam tu masa remaja dulu. Iya lah… ummi pernah ambil upah motong getah kat selatan Siam. Pernah tinggal dalam hutan dengan nenek sekian lama. Mereka pernah rasai keperitan hidup. Tambahan ummi anak yatim. Ayah ummi meninggal masa ummi berumur lima tahun. Ummi tak pernah bersekolah. Ummi cuma tahu membaca al-Quran. Lepas kawin dengan abah baru ummi pandai baca jawi dan rumi sebab usaha abah ajar ummi. Ummi perlu berkerja menyara diri sendiri semasa remaja. Susah payah kehidupan yang ummi lalui takkan dapat kami rasai lagi pada zaman kini. Kadang ummi bercerita tentang bagaimana dia cari makan. Kami sekeluarga akan menangis mendengarkannya.
Kehidupan sukar yang dialami itulah menyebabkan ummi terlalu sayangkan anak-anaknya. Ummi tak pernah membenarkan kami berkawan dengan budak-budak tidak baik. Kalau pergi ke mana-mana pun kami mesti balik sebelum maghrib. Kalau tak… buruk padahnya. Makan penyapu atau dilayankan tali timba ke badan. Berleter takyah cakap la… semua tu untuk kebaikan dan didikan seorang ibu. Didikan ummi itu terkesan dalam naluri ku menyebabkan aku jadi anak yang bertanggungjawab dan takut nak melakukan sesuatu sebelum berfikir.
Pernah dua tiga kali jugak aku bawak ummi ke Cameron Highland, menikmati udara nyaman. Bermalam di sana, minum teh kat gerai Boh, beli sayur. Tambahan pulak aku dapat isteri yang suka travel. Aku, isteri dan ummi punyai hobi yang sama, suka travel. So, perkongsian hobi yang sama ini tidak mendatangkan banyak masalah kepada kami ketika pergi ke sana sini. Dan InsyaAllah, jika dimurahkan rezeki olehNya, aku terlalu ingin bawak ummi dan abah pergi ke Mekah, tunaikan haji atau umrah. Itulah kemuncak impian aku.
Hah… ini paling menarik… Bab makan pulak tak usah cerita, semua orang suka masakan mak masing-masing. Air tangan ummi membuatkan aku berselera pada semua jenis masakannya. Tak kira la, dari rebus ikan hingga ke asam pedas kelate… hussss… meleleh air liur aku nih. Yang pedas pulak ialah phat pit. Paling special ketika aku balik baru-baru ni aku beli belut. Aku suruh ummi masak phat pit belut… punya lah sedap makan ramai-ramai. Buncit perut aku makan nasik bertambah-tambah. Kejap je phat pit licin tak tertinggal pun kat dapur. Kalau ummi datang KL lagi best. Aku pergi pasar Selayang, beli ikan merah suruh dia masak asam pedas kelate… pekhgsss… hanya orang pernah rasa je dapat bayangkan. Betapa aku dan abah berselera makan.
No comments:
Post a Comment