Tuesday, 27 September 2016

Tinggallah Kita Si jahil

Allah mengambil satu persatu alim ulamak. Terbaru adalah Ustaz Fadhil Al-Yamani. Sebelum itu Dato' Dr. Haron Din, Tuan Guru Salleh Musa, Tok Guru Nik Abdul Aziz dan lain-lainnya. Kehilangan yang tiada gantinya lagi kepada dunia Islam khasnya di Malaysia.

Orang yang tidak mendekati mereka semasa hayatnya mungkin tidak merasa apa-apa. Tapi bagi pencinta ilmu dan ilmuwan pastinya bergegar dadanya menahan sebak. Merasai suatu kehilangan yang sukar diungkapkan.

Dengan hilangnya ilmuwan-ilmuan ini maka suara-suara nasihat yang ikhlas menjadi semakin berkurangan. Sedangkan manusia sentiasa perlukan nasihat. kesan secara langsung terhadap kehilangan suara nasihat ulamak ini akan menyebabkan manusia semakin lalai dan alpa. Mungkin ada lagi suara-suara ilmuwan namun aura yang dapat memandu arah masyarakat tidak ada. Ada suara tapi tanpa ruh dan semangatnya. Mesej yang sama disampaikan oleh orang yang berbeza akan diterima secara berbeza tentunya.

Kehilangan demi kehilangan ini mengurangkan para ilmuwan dan menambahkan jumlah si jahil. Malah ramai yang cenderung melakukan kezaliman berleluasa di sana-sini. Tidak lama lagi apa akan jadi kepada bumi ini. Kerosakan akhlak sudah terjadi dari pemimpin sampai kepada rakyat terbawah malah anak-anak sekolah sudah punah ranah moralnya. Kezaliman pula merebak ke merata-rata. Merebak kepada sesiapa sahaja. Puncanya kerana nasihat tidak ada kesan lagi kepada jiwa-jiwa yang kotor.

Kita dapat lihat percampuran antara baik dan buruk. Ramai orang sembahyang namun orang yang sama melakukan maksiat tanpa silu. Ramai yang mendengar ceramah tapi selepas ceramah mereka melakukan keburukan yang sama dilakukan oleh orang yang tidak mendengar ceramah. Hiburan menguasai sebahagian besar kehidupan. Anak-anak tidak dididik dengan quran tapi hanya mainan dan hiburan.

Saya menyeru wahai sahabat-sahabat yang sempat membaca keluhan ini, mari kita berganding bahu menghidupkan taman-taman ilmu sehingga diri sendiri, anak-anak dan keluarga merendah dan perhambakan diri terhadap ilmu khususnya ilmu agama. Kalau tidak sampai tahap ulamak pun sudah memadai menjadi pencinta ilmu dan pencinta ilmuwan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...