Monday, 26 September 2016

Nikmat Lupa

Antara banyak-banyak nikmat yang Allah bagi yang sangat dihargai sekarang adalah nikmat lupa. Biasanya orang tidak suka lupa. Tapi tanpa kita sedar lupa juga satu nikmat besar. Lupa yang saya maksudkan adalah lupa terhadap masalah dan kesedihan.

Bayangkan semua peristiwa sedih kita teringat, mungkin emosi kita akan terganggu. Kerja juga terganggu dan mungkin juga urusan seharian kita menjadi tidak menentu. Kita mungkin hidup dalam keadaan murung dan tidak bersemangat. Asyik termenung teringatkan kesedihan-kesedihan masa lampau sehingga masa depannya tergadai.

Begitu juga dengan permasalahan yang menghantui diri. Alangkah indahnya dunia jika kita tidak mempunyai sebarang masalah. Akan tetapi mustahil bagi setiap orang jika tidak mempunyai masalah. Masalah datang dan pergi silih berganti kepada kita semua sama ada besar atau kecil. Masalah datang adalah untuk diselesaikan dan bukan untuk disesali. Prinsipnya senang... masalah adalah ujian hidup untuk menguji kematangan cara berfikir dan bertindak. Masa kecil dulu, masalah kita adalah kecil sesuai dengan keadaan keanak-anakan kita. Dan apabila meningkat dewasa, masalah juga ikut membesar bersama. Agak malang bagi seseorang yang tidak mengetahui apa masalah yang dia sedang hadapi kerana dia tentunya tidak bersedia untuk menanganinya dan akan jadi besar bila sudah terlambat. Yang lebih baik adalah dia tahu keadaan diri, tahu apa masalah dan tahu bagaimana untuk selesaikan dengan cara yang paling baik dan kreatif. Kreatif? Ya... berfikir secara kreatif menanganinya sama ada secara menyeluruh atau secara beransur-ansur kerana tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan pantas. Mungkin akan mengambil masa berhari-hari atau berbulan-bulan atau makan tahun!!!

Namun, jika masalah berlarutan yang tentunya mengambil masa yang lama dan sukar untuk diselesaikan, alangkah baiknya jika masalah itu tidak diingati selalu. Dilupakan. Bukan bermaksud melupakan masalah itu langsung. Namun jika langkah-langkah penyelesaian sudah dibuat... maka bertawakkallah pada Allah dan biar Allah yang tolong kerana Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Jika masalah tidak menguasai minda maka kita dapat melakukan urusan dengan baik. Dan inilah maksud nikmat lupa yang saya ingin perkatakan. Syukur pada Allah yang melupakan masalah-masalah dan memberi minda sihat untuk melakukan ketaatan-ketaatan kepadaNya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...