Monday, 6 January 2014

Rindu Abah (1)

Abah telah pergi selamanya dari dunia yang fana ini pada 13 Disember 2013. Azan maghrib di masjid dan surau-surau pada hari itu adalah azan terakhir yang abah dengar. Belumpun sempat azan itu dihabiskan abah telah menghembuskan nafas terakhir dengan tenang. Abah pergi ketika kaki abah belum sembuh. Abah pergi ketika rumah abah belum siap. Abah pergi ketika belum sempat lihat anak ke empat aku yang bakal lahir pada bulan Februari nanti. Abah pergi ketika aku belum puas berkhidmat untuknya. Apalah nasib anakanda mu ini nanti. Akan terjawabkah di akhirat nanti jika ditanya tentang birru walidain?

Abah manusia teristimewa yang pernah aku kenali. Watak abah sangat sarat dengan kebaikan dan kebapaan. Hatinya bukan seperti hati orang lain. Dia adalah pejuang. Dia adalah pelindung. Dia adalah teman. Dia adalah tempat rujukan kami. Dia penghibur. Dia juga... banyak sekali jasa dia.

Yang paling banyak yang aku ingati ialah... abah yang selalu gunting rambut aku semenjak kecil sehingga tahun lepas. Tahun lepas abah tidak mampu lagi nak gunting rambut disebabkan mata abah sudah kabur. Bagi tahu sahaja jenis rambut yang macam mana aku nak... dia akan buat.

Ketika susah... abah banyak membantu. Abah tidak susah nak ajak berbincang. Dan tidak pula susah untuk tolong. Ajak sahaja ke KL dia akan selalu mahu untuk tujuan apapun. Demi anak-anaknya yang dia banggakan dia akan segera respon.

...aku nak buat kerja dulu... ada masa aku nak sambung tulisan ini untuk kenangan aku sendiri. Korang tak nak baca pun tak apa...

Mencari Sesuatu

Tahun ini merupakan tahun mencabar. Semuanya seakan baru bermula. Walaupun dilihat sebagai suram dan tengggelam punca namun hujungnya pasti ada sinar. Itu yang selalu aku imani.

Bukan ingin menunjuk kehebatan dan bukan mendabik dada dengan apa yang berlaku. Semuanya dilihat sebagai taklif yang berat di bahu ini yang bakal dipikul selamanya sehingga akhirat. Di mata mereka... biarlah. Di fikiran mereka... biarkanlah. Rambut sama hitam hati belum tentu.

Keadaan sudah teduh seteduh awan selepas hujan dengan sinar yang baru memancar. Diri ini baru bangun dari mimpi panjang. Mencuba bangun dan bangkit dari rebah yang berat seperti baru sedar dari koma yang lama. Mencuba mengatur kembali susunan langkah yang telah direka dahulu. Baru mencuba untuk menghadirkan diri ke pentas utama sebagai watak sampingan untuk dipersembahkan kepada Rabbul Jalil.

Bagi mengisi diri ini yang kian kosong aku sendiri perlu mencederakan diri untuk mendapatkan ketahanan yang sebenar. Merompak sekelian tenaga yang ada untuk digunakan dalam kehidupan yang real. Menagih simpati Tuhan untuk menghujankan Rahmat yang boleh membasahkan tekak individu-individu yang amat aku sayangi.

Bukan tasyrif... bukan tasyrif... bukan tasyrif... tidak sekali-kali. Diri ini bakal dihitung di depan sekelian makhluknya tentang apa yang aku lakukan hari ini. Aku selalu ingat bahawa aku hanya insan biasa yang tidak akan terlepas dari hitungannya... percayalah bahawa aku ini untukMu Tuhan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...