Semasa menunggang motosikal Yamaha LC 135 pulang dari pejabat petang tadi fikiranku melayang-layang dan disaratkan dengan kerja-kerja yang masih belum selesai serta yang akan diselesaikan sehinggakan aku terlupa bahawa petrol sudah kering. Niat asalnya aku nak isi petrol di Jalan Sentul tetapi sedar tak sedar aku sudah melepasi Kg. Chubadak dan menuju ke Gombak.
Ketika di Jalan Lebuh Raya (DUKE) kelajuan 135 LC aku semakin berkurang dan terasa tersekat-sekat menandakan bahan bakarnya sudah tidak ada lagi. Aku cuba kurangkan kelajuan dengan mengendurkan sedikit tali minyaknya namun semakin lama semakin tersekat-sekat dan enjin seakan sudah nyawa-nyawa ikan.
Aku cuba redha dengan keadaan yang bakal berlaku dan terbayang dalam fikiranku bahawa aku terpaksa menapak dengan menolak tungganganku itu sehingga sekurang-kurangnya 3 kilometer. Dengan keadaan petang yang semakin gelap dan Maghrib akan dikumandangkan pada bila-bila masa sahaja aku cuba berhentikan momentom motorku yang sudah tidak bernyawa lagi itu di tepi jalan. Sudah mati total...
Aku cuba perhatikan sekeliling, depan dan belakang. Nampaknya jalan semakin sesak pada waktu petang-petang begini. Kereta-kereta tidak dapat bergerak dengan laju. Hanya merangkak-rangkak menuju kediaman masing-masing. Ketika masih berada atas LC 135 yang sudah mati itu aku mengeluarkan handphone dan menghubungi isteri untuk menyatakan keadaan yang berlaku. Beliau menyuarakan untuk memberikan pertolongan tetapi aku tidak membenarkan atas sebab jalan semakin sesak dan mungkin terperangkap dalam kesesakan itu sebelum tiba ke tempat perhentianku.
Aku turun dari motosikal itu dengan keluhan yang berat. Bukan menyesali musibah dari Tuhan ini tetapi mengeluh kerana lenguh urat kakiku masih belum pulih sepenuhnya kerana semalam aku dan rakan-rakan telah mendaki Bukit Tabur di Taman Melawati.
Mulutku mengucapkan istighfar dan berdoa agar ada pertolongan dari Tuhan seperti dua tiga kali yang lepas. Sebagai penunggang hal ini pernah aku alami sebelum ini dan setiap kali itu juga Allah memudahkan jalanku. Sebelum ini aku pernah dibantu oleh penunggang lain ketika kehabisan petrol. Seorang pemuda datang mendekati dan menawarkan pertolongan. Dia telah menolak motorku dengan kakinya sambil menunggang motosikalnya. Semangat tolong-menolong yang sangat baik telah ditunjukkan oleh pemuda penunggang itu. Seingat aku, hal aku dibantu seperti itu terjadi 2 kali. Dalam hatiku berharap agar ada yang akan bermurah hati untuk menolongku seperti itu buat kali ketiga.
Ternyata suara harapan aku itu didengariNya dan pertolonganNya datang tiba-tiba. Tidak sampai lima langkah aku menapak aku telah disapa oleh penumpang sebuah van yang bergerak agak perlahan yang lalu di tepiku.
"kenapa bang?", tanya penumpang itu yang rupa parasnya seperti seorang yang berbangsa cina. Tapi yang nyata dia adalah Melayu.
"Minyak abis", jawab aku secara pendek dan pantas.
Van itu berhenti dua meter didepanku dan penumpang itu keluar. Aku agak tercengang dengan tindakan pemandu dan penumpangnya. Penumpang itu tadi mencari sesuatu di belakang vannya dan menuju ke arahku dengan tangannya membawa satu tong kecil.
"Ini ada minyak sikit. Kalau minyak yang abis bolehlah guna. Ambik je..." kata penumpang itu.
"Minyak... terima kasih bang... berapa ringgit nih...?," tanyaku seolah-olah bertujuan untuk tahu adakah minyak itu untuk dijual atau sebaliknya sambil tanganku membuka penutup tangki minyak motorku.
Dia kata, "tak payah lah..."
Ketika petrol dituang kami sempat bertegur sapa, bertanya dari mana dan hendak ke mana. Setelah separuh petrol dituang saya berkata, "cukup-cukup... saya nak bagi hidup je". Yelah... takkan nak mintak dipenuhkan pulak. Dahlah orang tolong free je.
Saya mengucapkan terima kasih dua tiga kali kepadanya. "Sama-sama," balasnya ringkas. Saya sempat bersalaman dan bertanya namanya. Dia hanya menyebut "Udin". Saya dengan senyuman saya sekali lagi mengucapkan terima kasih. Dalam hati berdoa agak Allah membalas kebaikannya itu dan dipermudahkan segala urusannya.
Setelah itu LC 135 aku telah kembali bernafas. Ketika mendahului van mereka aku sempat mengangkat tangan dan terus berlalu menuju ke rumah. Dalam perjalanan itu aku tidak putus-putus mengucapkan syukur serta berdoa pemandu dan penumpang van tadi diberi kebaikan yang banyak oleh Allah Ta'ala serta diberi ketabahan dalam menghadapi kesesakan jalan raya pada petang itu.
Ketika tiba di rumah aku baru teringat bahawa ketika menunggang motosikal dengan rakan-rakan untuk menuju ke bukit Tabur semalam kami telah membantu menukarkan tayar kereta Dr. Mohamad Fauzan, seorang pensyarah UIA yang pancit di tepi lebuh raya MRR2. Subhanallah... Allah telah membayar secara tunai pertolongan itu. Dengan tiba-tiba semangat untuk memberi pertolongan kepada orang lain semakin berkobar-kobar. InsyaAllah...