Wednesday 24 September 2008

Amalan Murni Pada Eid Mubarak

Firman Allah SWT. "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran:10).

Kita selaku umat terbaik mestilah menyambut hari raya dengan amalan yang cukup baik di sisi agama sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti memperbanyakkan takbir dan tahmid.

Takbir boleh dilakukan sepanjang masa bermula selepas solat maghrib terakhir Ramadhan sehingga ke hari raya iaitu sebelum solat sunat hari raya. Secara spesifiknya takbir terbahagi kepada dua iaitu Takbir Mursal dan Takbir mqaiyyad. Takbir mursal ialah takbir yang tidak terikat dengan waktu solat (sepanjang masa). Manakala takbir muqaiyyad ialah takbir yang diucapkan selepas solat fardhu.

Malam raya pula disebut sebagai Lailatul Jaaizah iaitu malam pengurniaan hadiah daripada Allah Taala yang rahmat dan pengampunanNya setelah kita berjaya mengharungi pelbagai ujian di bulan puasa.

Sembahyang sunat hari raya disyariatkan dalam tahun pertama hijrah. Dalam hal ini, Anas bin Malik pernah berkata: "Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu, penduduk Madinah sudah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka rayakan." Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Tabaraka Wata'ala telah menggantikan yang dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya dan Aidiladha." (Ahmad, Abu Daud, Naasa'ei dan al-Baihaqi) Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan), dan hendaklah kamu mengagumkan Allah atas petunjuk yang diberikan-Nya ke pada kamu, supaya kamu bersyukur." (Surah Al-Baqarah : 185)

Kita dianjurkan bersyukur kepada Allah Taala atas kebesaran nikmat yang telah diberikan. Pun begitu kita tidak digalakkan membazir. Jadilah orang yang sederhana dalam semua keadaan.

Alangkah baiknya kalau malam yang mulia ini dihidupkan dengan pelbagai ibadah. Antara ibadat yang boleh dilakukan ialah banyakkan bertakbir, beristiqhfar, solat tasbih dan memuji kebesaran Allah pada malam hari raya itu.

Amalan yang baik untuk menyambut hari raya ialah disuruh mandi, bersugi (menggosok gigi) dan memakai wangi-wangian. Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya. Dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah, kita disuruh memakai pakaian yang bersih dan cantik. Hassan bin Ali berkata "Rasulullah SAW. menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami." Amalan ini haruslah dilakukan oleh umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan kegembiraan ketika menyambut Hari Raya.
Umat Islam juga disuruh pergi menunaikan sembahyang hari raya iaitu setelah selesai mengerjakan sembahyang subuh dan hendaklah bersiap untuk pergi ke masjid. Pelbagai amalan yang baik boleh dilakukan sempena Hari Raya, antaranya mengeratkan hubungan silaturahim dengan berkunjung ke rumah saudara-mara yang lebih tua, sahabat atau jiran.

Menziarahi kubur juga boleh dilakukan pada Hari Raya seperti dilakukan oleh umat Islam di negara ini. Amalan ini juga boleh dilakukan sebelum hari raya.

Akhir sekali, jagalah adab dan sopan sepanjang hari raya. Sesungguhnya hari raya Islam tidak sama dengan hari raya kaum lain. Walaupun hari raya adalah hari untuk bergembira dan bersuka ria tetapi janganlah sampai melampaui batas sehingga terjadi kekufuran, kemungkaran serta menjadi sahabat syaitan. Wallahu A’lam!

كل عام وأنتم بخير من العيد والفائزين المقبولين

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...